Pada tahun 2008 yang lalu, sekumpulan penyelidik dan ahli arkeologi dari Universiti York, yang terlibat dalam misi penggalian di tapak manusia pra-sejarah yang pernah menempati di kawasan tersebut untuk bercucuk tanam pada sekitar 2,000-3,000 tahun dahulu menemui sesuatu yang menakjubkan. Kawasan berlumpur di daerah Heslington, United Kingdom mula dibuka untuk penggalian secara besar-besaran oleh pihak Universiti York pada tahun 2007 (rujuk gambar kedua).
Dalam misi penggalian tersebut, mereka telah menemui tengkorak manusia yang diyakini hidup pada Zaman Besi. Tengkorak tersebut ditemui tanpa bahagian tulang yang lainnya mencetuskan tanda tanya kepada mereka. Lebih mengejutkan lagi, tengkorak yang ditemui tersebut mengandungi ‘permata’ yang mana ia masih dalam keadaan baik iaitu sebiji otak.
Ya, otak yang masih dalam keadaan kelihatan segar walaupun sudah tertanam di dalam tanah selama 2,500 tahun lamanya. Otak ini diberikan nama Heslington Brain atau Otak Heslington. Nama yang diambil daripada tapak penggalian tersebut.
Otak ini mula diketahui kewujudannya di dalam tengkorak tersebut setelah ia dibawa oleh pihak arkeologi ke makmal untuk dianalisis. Racheal Cubitt, pihak makmal York, yang bertanggungjawab dalam penemuan tersebut menyatakan yang beliau terkejut apabila terlihat ‘sesuatu’ yang berwarna kuning di dalam tengkorak tersebut. Setelah penemuan yang mengejutkan ini, pihak makmal mengeluarkan beberapa bahagian otak tersebut untuk dianalisis samada ia merupakan otak manusia atau sesuatu ‘benda’ yang lain. Dan hasilnya memberangsangkan. Ia sememangnya sebiji otak milik manusia zaman pra-sejarah (rujuk gambar ketiga).
Menurut ahli arkeologi dari Universiti York, Matthew Collins, daripada hasil sisa protein dan tisu yang masih terdapat di dalam otak tersebut menyatakan yang tengkorak tersebut dimiliki oleh seorang lelaki yang berusia sekitar 26-45 tahun dan diyakini hidup pada sekitar 673 SM-482 SM. Tambahan pula, saiz otak tersebut hanya berkurang sebanyak 20% sahaja daripada bentuk asalnya selama rentang waktu beribu tahun (rujuk gambar keempat). Satu kumpulan penyelidik khas yang dianggotai seramai 34 orang ahli dari pelbagai kepakaran terlibat dalam kajian ini.
Ketika seseorang manusia mati, bahagian organ yang pertama kali hancur adalah otak selain usus. Jadi, bagaimana otak ini boleh terselamat walhal, bahagian organ lainnya sudah hancur terlebih dahulu?
Dalam sebuah jurnal bertajuk ‘Journal of Archeological Science’, menyatakan antara sebab otak tersebut masih dalam keadaan yang baik adalah permukaan tanah yang tebal, udara yang lembap dan kekurangan kadar oksigen di dalam tanah berkemungkinan menyelamatkan otak tersebut daripada melalui proses kehancuran. Kemungkinan antara sebab-sebab yanh dinyatakan tersebut secara tidak sengaja telah menyelamatkan otak tersebut daripada hancur kesemuanya.
Para penyelidik mengemukakan teori punca kematiannya adalah digantung sampai mati. Setelah si mangsa sudah mati, kepalanya dipisahkan dan ditanam di dalam tanah. Kemungkinan kematiannya tiada unsur jenayah, tetapi ia tertuju ke arah upacara sesebuah ritual atau persembahan kepada dewa.
RUJUKAN:
1. Pictures: 2,500-Year-Old Brain Examined, National Geographic (8 April 2011).
2. Raman Spectroscopy in Archaeology and Art History, Volume 2 oleh Carl Heron (halaman 115).
3. 2,500 year old brain from the Heslington excavations examined by a team of scientists, University of York.
– TAMAT –
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih