Suatu gerakan penyelidikan mengenai hal-hal ketimuran khasnya mengenai agama Islam, dan apa-apa sahaja yang berkaitan dengannya seperti sejarahnya, agama-agama di Timur, bahasa-bahasanya, falsafahnya, sosio-ekonominya, adat-istiadatnya dan keseniannya. Orientalisme merupakan gerakan yang didokong oleh para sarjana barat, ia juga boleh dimaksudkan sebagai satu bentuk fahaman yang boleh dihubung-kaitkan kepada suatu aliran pemikiran atau pembelajaran mengenai kehidupan bangsa – bangsa timur umumnya dan mengenai Tamadun Islam serta bangsa Arab khususnya.
Edward Said mendefinisikannya sebagai suatu cara untuk memahami dunia Timur berdasarkan tempatnya yang khusus dalam pengalaman manusia Eropah. Pandangan Said tersebut menunjukkan bahawa Timur sebenarnya adalah diciptakan oleh orang Barat, dengan kata lain “ditimurkan. Makna Orientalism secara luas berupa kajian mengenai sesuatu tentang dunia Timur, tentang kebudayaannya, agama, peradabannya, kehidupannya, dan bahasa bukan hanya mengenai dunia Arab dan Islam sahaja.
Christian Snouck Hurgronje
Dr Ramadhan Buthi dalam syarahan Fiqh Sirah, pernah menghentam orientalis ini sebagai musuh Islam. Snouck Seorang orientalis terkemuka dari Belanda. Dia dilahirkan pada 8 Februari 1857 di Oosterhout, Belanda. Bapanya, J.J Snouck Hurgronje adalah seorang paderi dan pendeta Kristian Prostetan. Masuk Islam dengan nama Abdul Ghaffar. Snouck dengan liciknya cuba memisahkan tiga bahagian utama daripada Islam iaitu Agama, Sosial dan Politik. Ketiga-tiga bahagian ini dalam Islam tidak boleh dipisahkan kerana Islam adalah agama Politik dan agama Sosial.
Dengan usaha jahat Snouck, umat Islam beransur-ansur menganggap Islam adalah terpisah daripada politik dan sosial dan hanya menganggap Islam itu agama di dalam masjid.
Selepas itu, Snouck cuba memasukkan elemen pembelajaran sekular dan kebudayaan barat ke dalam masyarakat Islam. Baginya, melalui cara ini masyarakat Islam lebih mudah meninggalkan ajaran Islam mereka di mana pada satu ketika kelak akan bangkit penentang Islam daripada masyarakat mereka sendiri.
Konsep Politik Asosiasi akhirnya memberi impak yang besar apabila Acheh akhirnya kalah pada tahun 1913. Rakyat Acheh walaupun terkenal sebagai orang alim ulama dan Acheh sendiri terkenal dengan jolokan negeri Serambi Mekah namun kejahilan terhadap agama bangkit tidak lama selepas itu. Snouck pernah berkahwin dua kali dengan gadis Melayu-Islam sepanjang berada di Indonesia. Kedua-dua anak gadis tersebut adalah anak kepada individu berpengaruh di kalangan masyarakat tempatan.
Seorang lagi orientalis yang memberi kesan negatif kepada Islam sepertinya, ialah TE Lawrence.
Amaran Tentang Sarjana Palsu.
“Pekerjaan orang-orang warak ialah cahaya dan gemerlapan. Pekerjaan orang-orang keji ialah tipu muslihat dan tidak tahu malu. Mereka membuat singa berbulu biri-biri untuk tujuan mengemis. Mereka memberi gelaran Ahmad kepada Bu Musaylim. Kepada Bu Musaylim tinggallah gelaran Kazzab, Kepada Ahmad tinggallah gelaran Ulul Albab.” (MATHNAWI. MEVLANA JALALUDDIN RUMI)
Ahmad yang dimaksudkan ialah nama bagi Nabi Muhammad. Bu Musaylim pula merujuk kepada seorang nabi palsu yang muncul selepas Rasulullah wafat. Ia sebagai simbolik kepada sarjana palsu yang dinobatkan oleh orang yang buta menilai antara kaca dan permata. Sebelum muncul Imam Mahdi, akan muncul 40 mahdi-mahdi palsu. Sebelum muncul Dajjal, akan muncul 40 dajjal-dajjal kecil. Yang dirisaukan Rasulullah menimpa Umat ini selain daripada fitnah Dajjal, ialah fitnah sarjana palsu.
Saidina Umar berkata “Sesungguhnya paling mengkhawatirkannya yang aku khawatirkan dari umat ini adalah para munafiq yang berilmu”. Para sahabat bertanya “Bagaimana orang munafiq tapi ia alim?” Saidina Umar menjawab “Mereka alim dalam lisannya tapi tidak dalam hati dan amaliahnya”
Rasulullah telah memberi kita amaran:
• “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Ketika itu pendusta dibenarkan sedangkan orang yang jujur malah didustakan, pengkhianat dipercaya sedangkan orang yang amanah justru dianggap sebagai pengkhianat. Pada saat itu Ruwaibidhah berbicara.” Ada yang bertanya, “Apa yang dimaksud Ruwaibidhah?”. Beliau menjawab, “Orang bodoh yang turut campur dalam urusan masyarakat luas.” (HR. Ibnu Majah)
• “Apabila amanah telah disia-siakan maka tunggulah datangnya hari kiamat.” Lalu ada yang bertanya, “Bagaimana amanah itu disia-siakan?”. Maka baginda menjawab, “Apabila suatu urusan diserahkan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kiamatnya.” (HR. Bukhari)
Arthur John Arberry
Banyak berjasa kepada dunia akademik Islam. Seorang orientalis British yang dihormati. Sarjana Arab, Parsi, dan Islam yang prolifik. Berpendidikan di Sekolah Grammar Portsmouth dan Pembroke College, Cambridge. Terkenal dengan Terjemahan Al-Qur’an dalam bahasa Inggeris.
Berpengalaman sebagai Ketua Jabatan Klasik di Universiti Kaherah di Mesir, Penolong Pustakawan di Perpustakaan Pejabat India dan penyandang Kerusi Parsi di Sekolah Pengajian Oriental dan Afrika SOAS, University of London 1944-47. Pernah memikul jawatan Professor di Universiti Cambridge.
Sufism: An Account of the Mystics of Islam adalah antara karyanya yang paling dibaca. Berjasa memperkenalkan karya Rumi ke barat menerusi terjemahan selektifnya; Mystical Poems of Rumi dan terjemahan puisi Arab Andalucian abad pertengahan; The Pennants of the Champions & Standard of the Distinguished. Turut menulis tentang Muhammad Iqbal. Penulisannya yang lain ialah The Secrets of Selflessness, Javid Nama, Muslim Saints and Mystics, A translation of episodes from the ‘Tazkirat al-Awliya’.
Seorang lagi orientalis barat yang memberi kesan positif kepada Islam sepertinya, ialah Annemarie Schimmel.
Mevlana Jalaluddin Rumi & Orientalis Barat
Pada suatu hari, seorang sarjana yang juga paderi Kristian terkemuka dari Konstantionple menziarahi Rumi. Dia telah mendengar tentang ketinggian adab ulama’ sufi ini, timbul hasrat di hati mahu menghirup harumannya di depan mata. Kedatangan paderi dari Konstantinople itu disambit oleh paderi dari Konya, lalu dibawa berjumpa Rumi.
Sebaik sahaja melihat wajah Rumi, sarjana itu langsung menundukkan kepala, menunjukkan hormat sebanyak 30 kali. Akibat rasa kagum, dia segan melihat langsung ke wajah Rumi.
Apabila sarjana itu membuka mata dan melihat ke hadapannya, dia terkejut. Tidak menyangka, rupa-rupanya Rumi pun berbuat hal yang sama. Menunjukkan rasa hormat kepada paderi Kristian itu dengan ketinggian adab yang sama.
Orientalis itu langsung menangis. Dia berkata:
“Wahai sultan agama, betapa santunnya engkau, berapa merendah dirinya engkau! Adakah paderi yang hina seperti aku ini layak untuk dihormati?
Mevlana Jalaluddin Rumi menjawab:
“Nabi pernah berpesan bahawa Allah merahmati sesiapa sahaja yang diberikan kekayaan, keindahan, prestij dan penghormatan masyarakat, masih tetap bersikap pemurah, menjaga maruah, dan merendahkan diri meskipun dihormati dan dikagumi. Nabi ialah guru dan sultan kami. Apabila aku adalah pengikut kepada Rasul yang sebegini, bagaimana tidak aku menampilkan akhlak kepada hamba Allah yang lain? Mengapa tidak aku merendahkan diri? Jikalau aku tidak berbuat sebegini, apalah gunanya diriku ini?”
Sebaik sahaja mendengar mutiara kata Rumi ini, paderi itu bersama-sama rombongannya semua mengucap dua kalimah syahadah. Rombongan orientalis itu semua masuk Islam. Mereka bertukar busana Kristian dengan busana Islam.
Di rumah apabila pulang, Rumi berkata kepada anaknya:
“Bahauddin, tadi ada seorang paderi yang kasihan, cuba mengatasi kita dalam merendahkan diri. Alhamdulillah, dengan izin Allah dan madad daripada Rasulullah, sifat kerendahan hati kita masih tidak bisa diatasi.”
Sumbangan John L. Esposito
Seorang sarjana orientalis barat yang keras melawan salah faham barat terhadap islam di Amerika. Islamphobia cuba dibenteras dengan menulis bermacam-macam makalah dan buku. Selepas peristiwa 11 September 2001, dia lebih giat mempertahankan kacamata positif kepada Islam.
Profesor agama dan hal ehwal antarabangsa di Pusat Pemahaman Islam-Kristian Putera Alwaleed di Universiti Georgetown, US. “Oxford Encyclopedia of the Islamic World” dan “Oxford Dictionary of Islam” yang disunting beliau merupakan antara sumber rujukan tentang Islam yang paling authoritative dalam dunia akademik Barat.
Antara karya penulisannya ialah Who Speaks for Islam? What a Billion Muslims Really Think, The Islamic Threat: Myth or Reality? Tulisan akademik beliau bersama Dr Kalin (penasihat Turki) Islamophobia: The Challenge of Pluralism in the 21st Century as coeditor with Ibrahim Kalin (2011)
Antara Terbuka & Waspada
Bukanlah satu kesalahan, mengetengahkan ilmuwan luar bagi mengkayakan tradisi Islam. Dialog peradaban sebegini bukanlah asing, ia telah rancak dilaksanakan seawal era Abbasiah di Baghdad dan Andalucia di Granada.
Ilmu Allah itu luas. Sesiapa pun yang membuka hatinya berpeluang memperoleh limpahan pengetahuan daripada Allah yang Maha Mengetahui. Hikmah itu barang yang hilang daripada orang Mukmin, di tangan sesiapa pun ia dijumpai, maka orang Mukmin lebih berhak mengambilnya. Meskipun begitu, jangan lupa bahawa wujud perbezaan epistimologi dalam membentuk perspektif mengenai pandang alam Islam. Worldview. Ya, kita tidak nafikan sumbangan orientalis. Sudah semestinya bila orang berbudi, kita berbahasa. Orang memberi, kita merasa. Adab kepada orang yang beradab ialah bukti ketinggian peradaban.
Tetapi, jangan lupa bahawa umat Islam juga mempunyai pengalaman buruk dengan orientalis. Orientalis seperti AJ Arberry dan Annemarie Schimmel memang meninggalkan legasi baik yang mengangkat Islam. Tetapi orientalis yang jahat seperti TE Lawrence dan Christiaan Snouck Hurgronje telah menjatuhkan Islam. Kerana ini tidaklah salah untuk umat Islam berhati-hati. Mengambil jalan tengah supaya tidaklah bila terhantuk baru terngadah.
Di tengah-tengah krisis identiti yang melanda Malaysia baru akibat desakan LGBT, pengaruh Ahmadiah, ancaman Syiah dan fahaman Islam Liberal, tidak hairanlah bila sarjana bukan Islam bercakap tentang Islam, ia senang menjemput persepsi pelik. Meskipun niatnya baik, situasi yang meruncing mudah mengundang pandangan serong.
Jalan Tengah
Orientalis yang berjasa kepada Islam dipersilakan dengan hormatnya untuk mengisi panel kuliah di Malaysia.Jasa John L. Esposito tidak wajar dipinggirkan. Seseorang itu biarlah diletakkan pada tempatnya. Sarjana sebaik beliau patut dihormati. Namun, sebaik-baiknya biarlah wujud mediator.
Perantara yang menterjemahkan kembali mesej hikmah daripada beliau supaya apa yang benar dapat dilaungkan, apa yang tersasar dapat diluruskan. Modul sesi dialog amat sesuai untuk sesi sebegini. Seorang moderator, seorang sarjana non-muslim, dan seorang sarjana muslim. Saling lengkap melengkapi.
Kepakarannya dalam geopolitik sangat dikagumi. Prestasinya dalam kajian akademik perlu dipuji. Silakan mendidik masyarakat. Di sinilah jua peranan sarjana Islam membina jambatan kefahaman. Saling menyebarkan mesej keamanan dan kasih sayang.
Pentas dialog adalah jalan tengah yang terbaik bagi menangani “grey area”. Syeikh Hamzah Yusuf melalui Religious Freedom Project pernah sepentas dengan Esposito dalam isu merapatkan jurang Islam-Kristian pasca kontoversi 9/11 dan Perang Iraq. Supaya kita sepakat pada setakat mana sesuatu kefahaman itu dilontarkan. Supaya yang terbit ialah pengetahuan, bukannya salah faham.
Memanglah tidak diharapkan pandangan John L. Esposito tepat 100% menurut acuan Islam, kerana dia sendiri seorang non-Muslim. Namun diharapkan platform dialog dan kehadiran sarjana Islam dalam sesi tersebut, memastikan pemikiran yang sampai tidak melarikan fikrah masyarakat daripada Worldview Of Islam.
Supaya sarjana Muslim dapat mengetengahkan pemikiran Islam yang tidak kalah hebat. Supaya kaum muslimin tidak inferior complex atau bersikap apologetik. Supaya skop pembincangan tidak mencapah ke luar kemampuan.
Kementerian Pendidikan Malaysia wajar mempertimbangkan semula metod penyampaian, daripada one-man-talk kepada dialog, agar tidak menimbulkan salah faham.
Isu berkenaan John L. Esposito telah saya ajukan kepada seorang sarjana Islam iaitu Dr. Khalif Muammar. Berikut merupakan jawaban beliau:
“Wa’alaikumussalam, isu yang paling besar dalam hal ini adalah inferiority complex, orang kita suka memuja ilmuwan Barat, rasa rendah diri, kerana mereka merasa kerdil bila berhadapan dgn mereka. Bagi kami di CASIS dan dulu di ISTAC, mereka ini tidak sepatutnya dijadikan rujukan, jika kita jemput sekalipun kita jemput untuk berdialog dengan mereka, tunjukkan kpd mereka kesarjanaan kita tidak kurang hebatnya, kita mampu berdiri sama tinggi dgn sarjana2 Barat. Tetapi siapakah ilmuwan yang boleh berhadapan dengan sarjana Barat ini? Adakah ilmuwan dlm UMNO, PAS PKR atau PPBM? Saya rasa tidak ada. Kerana ilmuwan kita sudah lama disisihkan.”
Sekian, terima kasih atas teguran.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih