Dalam sejarah pengembaraan orang Eropah ke benua Amerika, kita mesti berfikir bahawa Christopher Columbus adalah orang Eropah pertama menjejakkan kaki di benua tersebut yang pada awalnya dia menganggap tanah yang dia pijak itu adalah India. Namun Columbus bukanlah penjelajah pertama terawal di dunia yang biasa para intelektual Barat popularkan. Penjelajah Eropah paling awal tiba ke benua Amerika adalah kaum Viking.
Kolonisasi orang Viking bermula pada akhir abad ke-10 Masihi,di mana mereka menjelajah dan menduduki kawasan Utara Atlantik termasuklah timur laut Utara Amerika. Penempatan koloni orang Viking hanya bertahan selama 500 tahun. L’Anse aux Meadows yang bertempat di utara pulau Newfoundland adalah satu-satunya kawasan penempatan sementara Viking yang masih dipelihara kemudian menjadi tapak arkeologi Kanada.
Sekitar tahun 980-an, Erik the Red dihukum keluar dari Iceland kerana jenayahnya melakukan pembvnuhan, kemudian mengembara ke kawasan barat daya pantai Greenland selama 3 tahun. Sepanjang beliau menetap di tanah baru, dia menamakan tanah tersebut sebagai Greenland. Manakala fjord/fiord (laluan laut yang dikelilingi oleh tebing) yang Erik lalui dinamakan sebagai Eiriksfjord dan beliau mempunyai ladang bernama Brattahlid. Kiranya penempatan Erik inilah yang pertama orang Viking lakukan di luar tanah air mereka, seterusnya menjadi penemu pertama Greenland.
Greenland pada fasa Viking atau Norse Greenland mempunyai dua buah penempatan. Penempatan Timur (Eastern Settlement) terletak di barat daya Greenland manakala Penempatan Barat (Western Settlement) berada di 500km ke persisiran pantai barat di mana terletaknya ibu kota Greenland kini, Nuuk. Purata populasi koloni Viking di Greenland adalah sekitar 2000-3000 orang dan mempunyai sebanyak 400 buah ladang. Norse Greenland ditadbir oleh pihak gereja, di mana Bishop adalah pentadbir yang berpusat di Garðar. Dalam sektor ekonomi, koloni ini mengeksport barangan seperti, gading walrus, bulu, tali, organ pelampung ikan paus, haiwan ternakan seperti kambing biri-biri dan kulit lembu.
Kaum Viking kemudian rancak berlayar ke Greenland setelah pembinaan penempatan koloni pertama mereka oleh Erik the Red. Tahun 985, sebanyak 400-700 orang yang menaiki 25 buah kapal belayar ke Greenland, diketuai oleh pengembara bernama Bjarni Herjólfsson. Tiga hari kemudian Bjarni berlayar ke persisiran pantai barat demi mencari ayahnya tetapi dia bertemu dengan seorang lagi pengembara bernama Leif Erikson yang juga meneroka kawasan tersebut. Kemudian mereka berdua membina Penempatan Barat.
Leif seterusnya mengembara ke barat, mengikut informasi yang dia peroleh dari Bjarni ketika berlayar ke Penempatan Barat. Leif berlajar dari Greenland melalui Laut Labrador bersama 35 orang kelasi, menaiki sejenis kapal dagang bernama Knarr. Leif mengajak ayahnya sekali iaitu Erik the Red sekaligus menjadikan ayahnya sebagai ketua ekspedisi namun kaki Erik tercedera semasa pergi ke pelabuhan, maka Erik tidak jadi mengikuti ekspedisi anaknya.
Pada musim sejuk 1001, Leif menetap di kawasan berdekatan Cape Bauld, Newfoundland, di mana dia menemui pokok squashberry, gooseberry, dan cranberry tumbuh meliar. Buah pokok ini menjadi sumber kepada pembuatan arak. Maka Leif menamakan tempat tersebut sebanagi Vinland. Leif sekali lagi menetap di kawasan bernama Leifsbúðir, kemudian kembali ke Greenland untuk meneruskan tugasan keluarganya. Dengan penemuan Vinland ini, Leif diisytiharkan sebagai penemu pertama benua Amerika mengalahkan Columbus.
Masuk tahun 1004, adik lelaki Leif iaitu Thorvald Eiriksson berlayar bersama 30 orang kelasi ke Vinland dan menetap di sana sepanjang musim sejuk. Pada musim luruh, Thorvald menyerang 9 orang kaum asal Amerika yang sedang berehat di perahu kanu mereka. Di akhir serangan, Thorvald dibvnuh oleh anak panah tembakan 9 orang kaum asal itu. Seorang adik lelaki Leif iaitu Thorstein kemudian tiba di Vinland untuk mengambil m4yat abangnya namun dia juga meninggal dunia sebelum kembali ke Greenland.
Thorfinn Karlsefni, dikenali sebagai ‘Thorfinn the Valiant’ adalah pelayar ketiga ke Vinland bersama tiga buah kapal yang memuatkan haiwan ternakan dan warga Viking seramai 160-250 orang. Tiba di sana selepas musim sejuk, koloni Thorfinn melakukan hubungan dagangan dengan orang asal Amerika dengan pemberian kulit dan bulu spesis tupai kelabu, dan memperoleh susu dan pakaian tradisional oleh orang asal tersebut.
Ketika koloni Viking menetap di Vinland, salah seekor lembu jantan mereka mengamuk sehingga orang asal yang menetap berhampiran takut dan melarikan diri menggunakan perahu kanu mereka. Tiga hari kemudian, orang asal Amerika kembali ke Vinland tetapi membawa bala tentera mereka kerana menyangka koloni Viking memulakan pert3mpuran. Dengan bilangan orang asal melebihi warga koloni Viking, mereka berundur.
Adik perempuan Leif bernama Freydís Eiríksdóttir yang sarat mengandung dan tidak mampu bergerak laju bersama koloni Viking yang melarikan diri. Demi menyelamatkan dirinya, Freydís menakutkan orang asal dengan mengambil pedang dari orang Viking yang dibunuh, membuka pakaiannya sehingga menunjukkan dadanya, kemudian menikam dirinya di kawasan berhampiran payudaranya.
Dari ketiga-tiga pengembaraan inilah, kaum Viking menjadikan Newfoundland sebagai kawasan naungan mereka. Berbeza dengan Greenland, Newfoundland hanya dijadikan sebagai penempatan sementara Viking untuk mencari bulu dan menebang pokok untuk menambahkan sumber mereka yang berkurangan di Greenland. Tidak pasti mengapa mereka tidak menetap terus di pulau yang penuh dengan sumber yang mereka inginkan namun koloni Viking meneruskan hubungan dagang dengan kaum asal Amerika dan memperoleh sumber selama 400 tahun.
Tahun 1261, Norse Greenland menjadi naungan raja Norwegian. Masuk abad ke-14 Masihi, aktiviti koloni Viking di Greenland semakin berkurang terutamanya Penempatan Barat, diabaikan pada tahun 1350. Kemudian Penempatan Timur turut diabaikan sekitar abad ke-15 Masihi. Sebab koloni Viking semakin terbiar adalah kehadiran Zaman Ais Kecil (Little Ice Age) yang berlaku pada 1250.
Zaman Ais Kecil ini menyebabkan pembentukan glasier besar-besaran berlaku di sekitar Kutub Utara, maka aktiviti perdagangan antara Greenland dan Eropah terbantut. Pertanian yang menjadi keutamaan sumber mereka juga terbantut, walaupun pemburuan anjing laut memberikan pendapatan sumber yang lumayan. Tambahan pula penjualan gading dari Greenland semakin kurang mendapat pasaran.
Warga Eropah beralih kepada penjualan gading Afrika yang semakin laku. Setelah berlaku Reformasi Agama Kristian di Eropah, ekspedisi para missionary (paderi yang mengembara) yang diketuai oleh Hans Egede dihantar oleh kerajaan Dano-Norwegian (gabungan Denmark dan Norway) ke Greenland pada tahun 1721. Walaupun tiada lagi penduduk Viking menetap di sana, Denmark mengisytiharkan Greenland sebagai naungannya.
L’Anse aux Meadows, satu-satunya penempatan sementara koloni Viking yang masih wujud di Utara Amerika. Kawasan ini kemudian menjadi tapak arkeologi Kanada.
RUJUKAN:
“L’Anse aux Meadows”. L’Anse aux Meadows National Historic Site of Canada. Parks Canada. 2018. Retrieved 2018-12-21.
Berglund, Joel (1986). “The Decline of the Norse Settlements in Greenland”. Arctic Anthropology. 23 (1/2): 109–135
Klein, Christopher (8 Oct 2013). “The Viking Explorer Who Beat Columbus to America”, History Channel. Retrieved 16 January 2020. https://www.history.com/news/the-viking-explorer-who-beat-columbus-to-america
Oxenstierna, Eric; The Norsemen (1965), 320 pages, New York Graphic Soc.
Reeves, Arthur Middleton; Anderson, Rasmus B. (1906). “Discovery and colonization of Greenland”. Saga of Erik the Red. Retrieved 2008-08-27
Wernick, Robert; The Seafarers: The Vikings, (1979), 176 pages, Time-Life Books, Alexandria, Virginia
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih