Pada tengah malam 15 April 1912, kapal persiaran mewah dan paling besar pada zamannya, RMS Titanic karam selepas berlanggar dengan aisberg di luar pesisir Newfoundland. Tragedi tersebut mengorbankan 1,500 penumpang dan krew. Dan dalam kalangan mereka yang terbunuh mengandungi senarai orang terkenal ketika itu. Antara individu masyhur yang mati ialah pemain industri John Jacob Astor IV dan Benjamin Guggenheim, penulis misteri Amerika Jacques Futrelle, pelukis dan pengukir Francis Millet dan pembantu Presiden Amerika Syarikat, William Taft. Tetapi ada juga ikon-ikon terkenal diberi peluang menaiki Titanic tetapi tidak melakukannya. Berikut senarai individu terkenal yang tidak menaiki Titanic:
1. THEODORE DREISER
Penulis novel Sister Carrie (1900) dan An American Tragedy (1925), Theodore Dreiser baru berusia 40 tahun dan sedang mempertimbang untuk pulang dari percutian Eropahnya dengan menaiki Titanic. Bagaimanapun, seorang penerbit Inggeris memujuknya mengambil kapal persiaran lain yang mengenakan kos lebih berpatutan berbanding Titanic. Berikutan itu, Dreiser memilih kapal persiaran Kroonland untuk kembali ke Amerika Syarikat.
Semasa berada di kapal inilah, beliau mendengar berita tragedi tersebut. Dreiser menulis pengalamannya dalam memoir A Traveler at Forty, “Untuk memikirkan sebuah kapal sebesar Titanic yang baru lagi bercahaya, tenggelam dalam air lautan yang dalam. Dan 2,000 penumpangnya dihalakan seperti tikus yang keluar dari lubang hanya untuk terkapai-kapai dalam lautan tanpa sebarang bantuan, berdoa dan menangis!”
2. GUGLIELMO MARCONI
Pencipta dan pelopor teknologi wayarles serta pemenang Hadiah Nobel Fizik 1909, Guglielmo Marconi ditawarkan untuk menaiki Titanic secara percuma. Bagaimanapun, Marconi memilih untuk menaiki kapal Lusitania atas alasan menyelesaikan kertas kerjanya. Dan Lusitania mempunyai stenografer yang dapat membantu beliau melakukan kerjanya seperti dijelaskan anak perempuannya, Degna.
Selepas tragedi Titanic berlaku, Marconi disoal oleh sebuah jawatankuasa Senat berkenaan tuduhan syarikatnya merahsiakan berita dari khalayak agar ianya dijual kepada akhbar New York Times. Bagaimanapun, tuduhan tersebut dianggap tidak berasas dan Marconi muncul dari tragedi tersebut sebagai wira. Ini kerana ciptaan radio wayarlesnya itu berjaya menyelamatkan lebih 700 penumpang dan krew semasa tragedi Titanic. Dan tiga tahun selepas itu, Marconi sekali lagi terselamat dari menjadi satu lagi bencana maritim terkenal. Pada April 1915, beliau menaiki Lusitania yang dalam pelayaran sebelum ditenggelamkan oleh sebuah kapal selam Jerman sebulan selepas itu.
3. MILTON SNAVELY HERSHEY
Terdapat pelbagai versi tentang kisah Milton Snavely Hershey dan Titanic. Hershey dan isterinya sudah menempah satu suite Titanic yang berharga antara $3,000 hingga $4,000. Suite tersebut mengandungi bilik menunggu, dua bilik tidur, bilik persalinan, dek peribadi dan bilik air peribadi. Buktinya, cek $300 yang ditulis Hershey kepada White Star Line pada Disember 1911 sebagai deposit tempahan. Bagaimana Hershey dan isterinya tidak menaiki kapal ini mempunyai banyak versi. Satu versi menyatakan isterinya, Catherine Sweeney jatuh sakit beberapa minggu sebelum mereka berlayar dan memaksa Hershey membuat aturan perjalanan berbeza. Satu lagi versi menyatakan masalah kilang di Amerika Syarikat memaksa beliau pulang seminggu lebih awal dengan menaiki kapal persiaran mewah Jerman, Amerika. Mereka tiba beberapa hari sebelum Titanic karam di utara Lautan Atlantik. Amerika juga menempah sejarah tragedi ini dengan menjadi antara kapal yang memberi amaran lapangan ais pada laluan Titanic.
4. J. PIERPONT MORGAN
Beliau bertanggungjawab menubuhkan General Electric dan U.S Steel serta menyelamatkan sistem perbankan Amerika Syarikat semasa Krisis Knickerbocker. Salah satu daripada kepentingan perniagaannya ialah International Mercantile Marine, sebuah syarikat perkapalan yang menguasai syarikat White Star Line, pemilik Titanic.
Morgan sendiri menghadiri majlis pelancaran kapal pada tahun 1911 dan mempunyai suite peribadi di mana ia mempunyai dek persiaran peribadi dan tempat mandi lengkap dengan pemegang cerut. Beliau sepatutnya berlayar dengan Titanic sempena pelayaran sulungnya tetapi lebih berminat kekal di sebuah resort Perancis di Aix untuk menikmati sesi urutan pagi dan mandian sulfur. Beberapa hari selepas Titanic tenggelam, Morgan ditemubual oleh wartawan New York Times dan berkata, “Kerugian kewangan tiada ganti dengan kehilangan nyawa. Kehilangan nyawa itu yang penting. Ianya satu kematian yang menakutkan.”
5. HENRY CLAY FRICK
Taikun besi Pittsburgh ini merupakan rakan perniagaan J.P Morgan. Frick dan isterinya, Adelaide sudah menempah tiket pelayaran Titanic untuk pelayaran sulungnya untuk kembali semula ke New York. Namun, pasangan tersebut terpaksa membatalkan hasrat tersebut selepas buku lali Adelaide terseliuh semasa di Itali. Ini menyebabkan mereka tidak menaiki kapal tersebut semasa tragedi itu berlaku.
6. ALFRED GWYNNE VANDERBILT
Alfred Gwynne Vanderbilt merupakan seorang ahli sukan dan ahli perniagaan Amerika yang terkenal dan kaya-raya. Semasa hendak pulang dari percutiannya di Eropah, Vanderbilt memutuskan untuk pulang dengan Titanic tetapi membatalkannya pada saat akhir. Bagaimanapun, ramai menyangka beliau menaiki kapal malang tersebut sehinggakan ia dicatat dalam laporan awal akhbar. Vanderbilt kemudiannya menjadi antara mangsa kapal Lusitania yang ditenggelamkan tiga tahun kemudian. Walau bagaimanapun, ramai mengingatinya kerana tindakan berani membantu penumpang masuk ke bot penyelamat dan sedia menyerahkan jaket keselamatannya untuk dipakai penumpang lain.
7. JOHN R. MOTT
John R. Mott merupakan antara mubaligh Kristian yang terkenal pada awal abad ke-20. Dan beliau merupakan pemenang bersama untuk anugerah Nobel Keamanan 1946. Mott dan seorang rakannya ditawarkan berlayar secara percuma bersama Titanic oleh seorang pegawai White Star Line yang berminat dengan kerja mereka. Bagaimanapun, tawaran tersebut ditolak dengan baik dan kedua-duanya menaiki kapal persiaran Lapland. Menurut sebuah biografi yang ditulis oleh C. Howard Hopkins, ketika Lapland tiba di New York, berita tragedi Titanic diketahui semua termasuk Mott dan rakannya. Kedua-duanya saling berpandangan dan salah seorangnya berkata, “Tuhan mesti ada kerja lebih banyak untuk kita lakukan.”
Sekiranya Titanic berjaya mengelak dari dilanggar aisberg dan berjaya sampai dengan selamat ke Amerika Syarikat, sudah ada jadual perjalanan pulang pada 20 April 1912. Ada beberapa nama terkenal sudah menempah tiket perjalanan kembali ke England. Antaranya sejarawan Amerika Syarikat dan keturunan dua pengasas negara Uncle Sam itu, John Adams dan John Quincy Adams iaitu Henry Adams, Gabenor New York John Alden Dix, Pengerusi White Star Line J. Bruce Ismay, Marconi dan pengasas syarikat tayar Goodyear, Frank Seiberling. Ada juga yang sudah merancang untuk perjalanan seterusnya seperti pengasas rangkaian kedai J.C Penney iaitu James Cash Penney. Penney mahu berlayar dari England ke Amerika Syarikat bersama Titanic untuk pelayaran seterusnya.
SUMBER
- Conradt, Stacy. (2011). Mental Floss. How the Titanic Almost Sank Hershey. http://mentalfloss.com/article/28766/how-titanic-almost-sank-hershey
- Daugherty, Greg. (2012). Smithsonian Magazine. Seven Famous People Who Missed the Titanic. https://www.smithsonianmag.com/history/seven-famous-people-who-missed-the-titanic-101902418/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih