Boleh kata, semua mengenali Banjaran Himalaya. Baik sebagai banjaran berkemuncak tertinggi di dunia, mahupun banjaran yang merentangi lima negara. Ia bukan sekadar gah di mata. Tetapi turut kaya dengan manfaat buat manusia.

Misalnya, dalam membentengi pergerakan angin antara Asia Tengah dan sub-benua India. Andai tiada Himalaya, angin beku dari Siberia pasti membadai India di musim sejuk dan hujan lebat pula pasti menimpa India Utara di musim tengkujuh – lantas mengubah habis bentuk geografi di sana; India Selatan jadi gersang bak Gurun Thar dan India Utara pula subur dan sejuk seperti di Bhutan.

Selain mempengaruhi cuaca, Banjaran Himalaya juga menjadi punca bagi banyak sungai utama di Asia. Antaranya Ganges, Indus, Mekong, dan Yangtze. Justeru, tidak hairan apabila ia dikatakan sebagai sumber rezeki buat 20% populasi dunia (1.65 billion orang). Kerana sungai memang nadi kehidupan, terutama buat golongan nelayan.

Madu laboriosa (madu Himalaya), punca rezeki suku Gurung di Nepal (Kredit: Andrew Newey)

Bagi suku Gurung di Nepal pula, bahagian Himalaya yang menjadi lubuk rezeki adalah bahagian cerun. Ini kerana ia merupakan habitat buat spesis lebah madu terbesar dunia, iaitu apis laboriosa. Lebah laboriosa ini saiznya dua kali ganda berbanding lebah Eropah (apis mellifera) dan lebah lalat (apis cerana).

Setiap sarangnya boleh mencecah sehingga 60 kg berat, dan nilai pasaran bagi setiap kg pula biasanya sekitar RS 3,500 (RM 197). Makna kata, satu sarang sahaja boleh raih sampai RM 11,820. Itu baru satu. Kalau sekali menuai dapat dua-tiga sarang? Memang terus boleh pasang ‘madu’ dengan jual madu.

Apapun sebetulnya, aktiviti menuai sarang madu laboriosa ini bukan boleh dibuat secara individu. Ia memerlukan penglibatan satu kampung. Jadi bila setiap kali tiba musim menuai (yang cuma dua kali setahun), suku Gurung memang seumpama berpesta.

Ia dimulakan dengan aktiviti gotong-royong menyiapkan segala peralatan menuai seperti jaring, tangga tali, dan galah. Setelah selesai, ia disusuli pula oleh ‘majlis doa selamat’. Di mana, seekor kambing akan dikorbankan dan jamuan buah-buahan akan dihidang. Tujuannya supaya aktiviti penuaian dipermudahkan.

Orang Nepal panjat Himalaya ambil madu, segelintir orang kita pula panjat Siam pasang madu (Kredit: FNBK)

Majlis doa selamat begini memang amat diperlukan. Sebab bayangkan, si penuai perlu bergayut pada cerun tinggi menggunakan tali sahaja. Sudahlah perlu bergayut, tangan pula perlu pikul galah panjang untuk kaut sarang madu. Kalau ringan, boleh tahan lagi. Ini dengan galahnya berat, sarang pun berat.

Bermain pula dengan lebah. Kalau tak kena sengat, memang tidak sah. Jadi tiap kali menuai, si penuai memang kena pilih – sama ada disengat lebah atau bersesak nafas menghadap asap yang dibuat sebagai penghalau. Dua-dua pun menyeksakan. Tapi dah nama mencari pendapatan, harus ada pengorbanan. Jadi dalam keadaan demikian, si penuai tetap perlu mengaut dan menurunkan sarang ke bawah – untuk disambut oleh orang-orang kampung yang ikut turun kawasan.

Aktiviti penuaian begini biasanya tidak sempat disiapkan dalam masa sehari. Kadang makan sampai tiga hari. Ini, kalau menurut Andrew Newey, seorang jurugambar yang pernah menetap bersama suku Gurung selama dua minggu pada tahun 2013. Daripada gambar-gambar yang dirakam oleh beliau lah, dunia mula mengetahui banyak tentang tradisi menuai madu laboriosa ini.

Silap menapak memang boleh arwah (Kredit: Andrew Newey)

Cuma itulah, bukan semua benda baik harus dikongsi. Terutama, kepada kerajaan yang mudah buta hati. Sebaik sahaja manfaat kesihatan dan pulangan lumayan madu laboriosa diketahui secara meluas, kerajaan Nepal pantas mengambil-alih. Lantas, tender penuaian pun beralih dari tangan suku Gurung kepada syarikat-syarikat swasta. Ini supaya ia dapat dikomersialkan ke negara-negara luar.

Masa sama, agensi pelancongan juga ikut berbuat onar. Di mana, mereka mengupah penuai amatur untuk menuai tanpa kawalan. Konon sebagai pakej tarikan. Ikutkan memang betul, pada satu sisi ia menggalakkan industri pelancongan. Tapi kalau dah sampai madu dituai sepanjang tahun, bukan takat suku Gurung sahaja yang hilang mata pencarian akibat persaingan. Ekosistem lebah itu sendiri ikut terjejas.

Akibatnya, populasi mereka berkurang dengan mendadak. Hasil tuaian juga ikut berkurang – dari 200 liter setahun kepada kurang 100 liter setahun bagi satu lokasi penuaian. Dengan masa depan yang tidak menguntungkan, golongan belia Gurung pun lantas beralih meninggalkan tradisi lama ini. Hingga diandaikan ia bakal pupus dalam beberapa dekad.

Hujungnya, sifat rakus mengejar fulus hanya merugikan semua. Populasi lebah jadi pupus. Pendebungaan habis terjejas. Budaya pun hilang. Suku asli pula terbuang. Mujur, ekonomi Nepal bukan bergantung penuh pada industri madu laboriosa. Kalau tidak, boleh jadi Nauru 2.0 jawabnya.

RUJUKAN

Andrei, Mihai. (2021, 1 February). The surreal practice of honey hunting in Nepal. ZME Science.

Gillan, Joanna. (2022, 11 June). The Ancient Art of the Honey Collecting on the Himalayan Cliffs of Nepal. Ancient Origins.

The Guardian. (2014, 27 February). The ancient art of honey hunting in Nepal – in pictures.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Leave A Reply