Sebelum ini kita biasa mendengar dan membaca tentang kapal terbang pertama di dunia yang telah dibina oleh adik-beradik Wright pada tahun 1903. Mereka merupakan antara perantis dalam dunia penerbangan yang telah berjaya menghasilkan dan menerbangkan kapal terbang pertama di dunia yang dioperasikan secara motor.
Namun, tahukah anda bahawa 300 tahun sebelum adik-beradik Wright ini mencipta kapal terbang pertama dunia, Dinasti Joseon sebenarnya terlebih dahulu telah membina kapal terbangnya yang pertama? Kisah kapal terbang pertama dunia yang dibangunkan oleh seorang rakyat Dinasti Joseon ini dimulakan dengan peristiwa pencerobohan Jepun ke atas Joseon.
Pencerobohan Jepun ke atas Joseon
Pencerobohan Jepun ke atas Joseon antara tahun 1592 hingga 1598 dianggap sebagai ‘Pe.ra.ng Dunia Serantau’ yang pertama di Asia, iaitu pertama kali dalam sejarah Asia, angkatan tentera besar jumlahnya dengan dilengkapi dengan senjata moden bertempur dalam pepe.ra.ngan ini. Ia dimulakan dengan pencerobohan pertama pada tahun 1592, diikuti gencatan senjata pada tahun 1596 dan pencerobohan kedua pada tahun 1597.
Pencerobohan ke atas Joseon ini telah dilancarkan oleh Toyotomi Hideyoshi, sebagai salah satu rancangannya dalam siri menakluk Semenanjung Korea dan China, yang masing-masing diperintah oleh dinasti Joseon dan Ming. Jepun berjaya menduduki sebahagian besar Semenanjung Korea dalam jangkamasa yang singkat, tetapi bantuan tentera oleh Dinasti Ming, serta masalah jumlah tentera Jepun di sepanjang pantai barat dan selatan yang dijaga oleh tentera Joseon telah memaksa angkatan tentera Jepun ini untuk berundur daripada Pyongyang dan wilayah utara ke selatan di Busan serta wilayah-wilayah yang berdekatan.
Selepas pengunduran tersebut, angkatan tentera militia Joseon telah melancarkan pe.ra.ng gerila terhadap pihak Jepun dan masalah bekalan tentera serta makanan yang dihadapi oleh kedua-dua pihak ini telah menyebabkan tiada se.ra.ngan yang berjaya dilakukan serta tidak ada wilayah tambahan yang berjaya ditakluk. Pencerobohan pertama ini hanya bertahan sehingga tahun 1596, dan rundingan damai antara pihak Jepun dan Ming antara tahun 1596 hingga 1597 juga telah gagal mencapai kata sepakat.
Sekitar tahun 1597, pihak Jepun kembali menye.ra.ng Joseon buat kali kedua. Taktik yang mereka gunakan menyamai taktik yang digunakan sewaktu pencerobohan kali pertama. Pihak Jepun berjaya menguasai beberapa kawasan di bahagian darat, dengan menakluk beberapa buah kota serta kubu pertahanan. Walau bagaimanapun, pihak Jepun terpaksa menghentikan se.ran.gan dan berundur ke wilayah pesisir selatan Semenanjung Korea. Pihak tentera Ming dan Joseon yang tidak mampu menghalang taklukan Jepun ke atas kubu-kubu yang tersisa di bahagian pesisir selatan, menyebabkan kedua-dua pihak menemui jalan buntu selama hampir 10 bulan.
Pengepungan ke atas wilayah Jinju
Di wilayah Jinju inilah kisahnya bermula. Kubu Jinjuseong merupakan sebuah istana batu, yang menjadi kubu bagi menjaga Wilayah Jeolla. Kawasan ini telah menjadi perhatian pihak Jepun sewaktu pencerobohan kali pertama ke atas Joseon pada tahun 1592. Ukita Hideie dan Hosokawa Tadaoki telah merancang untuk mengambil alih kubu istana ini kerana jika pihak Jepun berjaya menawannya, ia akan membuka jalan seterusnya untuk menguasai wilayah Jeolla. Malah, mereka juga mempunyai peluang yang cerah untuk meny.era.ng pasukan gerila Gwak Jaeu yang bersembunyi di kawasan tersebut.
Pengepungan Wilayah Jinju adalah salah satu daripada dua pertempuran semasa pencerobohan Jepun ke Korea – yang pertama pada tahun 1592, dan yang kedua pada tahun 1593. Percubaan pengepungan pertama oleh Jepun telah gagal, dan pihak Joseon masih menguasai istana Jinju. Namun begitu, pengepungan kali kedua yang dilakukan oleh pihak Jepun ke atas Jinju telah berjaya, lalu istana jatuh ke tangan Jepun.
Wilayah Jeolla juga merupakan kawasan yang digunakan untuk menempatkan banyak barang rampasan pe.ra.ng. Pada sekitar November, 1592, angkatan tentera Jepun seramai 30,000 orang di bawah pimpinan Kato Mitsuyasu, Hasegawa Hidekazu, Nagaoka Tadaoki, dan Kimura Shigeji telah berangkat untuk menye.ra.ng kawasan Jinju.
Jeneral Yu Sung In, iaitu komander kanan bagi wilayah Gyeongsang telah bersiap sedia dengan menempatkan pasukan tenteranya di hadapan pintu gerbang Jinju. Kim Si Min, iaitu seorang lagi jeneral juga membawa pasukannya untuk menjaga gerbang Jinju. Pasukan Jepun menjangkakan mereka akan mampu menawan kubu Jinju dengan mudah, namun Jeneral Kim Si Min bersama 3,800 angkatan tenteranya telah bertahan mengawal kawasan Jinju.
Setelah tiga hari bertempur, Kim Si-min telah ditembak di kepalanya dan tidak lagi mampu untuk memimpin pasukannya. Panglima Jepun kemudian menekan tentera Joseon dengan lebih keras lagi agar mereka berundur tetapi pasukan Joseon terus berjuang. Walau bagaimanapun, tentera Jepun masih tidak dapat menembusi tembok meskipun telah menggunakan senjata moden mereka. Pertempuran ini berakhir dengan kemenangan di pihak Joseon walaupun mereka berada dalam posisi yang tidak baik kerana kecederaan Kim Si Min dan pasukan tentera yang kehabisan peluru.
Penciptaan kapal terbang oleh Jeong Pyeong Gu
Pertempuran Jinju tahun 1592 yang berakhir dengan kemenangan Joseon ini turut merakamkan kisah menarik di sebaliknya. Pada tahun 2016, satu pasukan aktivis sejarah, iaitu Jinju Bicha Restoration Commitee telah mengadakan seminar berkaitan dengan penemuan rekod bahawa sebuah kapal terbang telah dibina sewaktu era pencerobohan Jepun ke atas Jinju pada tahun 1592.
Kim Dong Min, iaitu pengerusi kepada jawatankuasa ini menyatakan bahawa pihak mereka telah menemui dokumen purba yang mencatatkan terdapatnya rekaan asas serta wujudnya kapal terbang pertama pada tahun berkenaan. Apa yang menariknya, binaan kapal terbang ini telah berlaku 300 tahun sebelum adik-beradik Wright membina kapal terbang pertama mereka!
Berdasarkan rekod yang ditemui, kapal terbang ini telah dhasilkan oleh seorang pegawai tentera Jinju, bernama Jeong Pyeong-Gu, yang diberi nama bicha atau dipanggil juga sebagai bigeo. Ia sebenarnya telah digunakan oleh Jeong Pyeong-Gu bagi menyelamatkan tentera serta orang-orang yang dikurung dan terperangkap sewaktu peristiwa pencerobohan Jinju pada tahun 1592.
Rekaan unik kapal terbang pertama Joseon ini dikatakan mempunyai satu beg kulit besar di bahagian tengah badannya yang dipenuhi dengan udara termampat, dan apabila penutup di bawah beg itu dibuka, ia menjadikannya dapat terbang ke atas oleh kekuatan reaktif udara termampat yang dikeluarkan melalui lubang.
Walaupun begitu, tiada tinggalan rangka atau rekabentuk yang ditemui, dan mereka masih mengumpulkan dokumen yang berkaitan dengannya. Pada hari ini, rekabentuk asas kapal terbang ini telah dibina semula dan telah dipamerkan di Muzium Sains Nasional Gwacheon untuk tatapan umum masyarakat.
Kesimpulan
Meskipun ramai yang masih sangsi dengan penciptaan kapal terbang era Joseon ini, namun penciptaan teknologi ini bukanlah sesuatu yang mustahil kerana Joseon waktu itu telah banyak menghasilkan ciptaan yang lain serta menggalakkan banyak penemuan dalam bidang sains dan teknologi. Apapun, usaha pengumpulan bukti dan rekod sejarah masih giat dijalankan bagi menguatkan lagi penemuan kapal terbang Joseon ini.
RUJUKAN:
Swope, K. M. (2005). Crouching tigers, secret weapons: Military technology employed during the Sino-Japanese-Korean Wa.r, 1592-1598. Journal of Military History, 69(1), 11–41. https://doi.org/10.1353/jmh.2005.0059
Swope, K. M. (2006). Beyond Turtleboats : Siege Accounts from Hideyoshi ’ s Second In.vasion of Korea , 1597-1598, 6(2), 1597–1598.
Anonymus (2016). Korea 300 years ahead of Wright Brothers in making airplane: activist. Retrieved 16th Feb 2021, from https://en.yna.co.kr/view/AEN20161110004900315
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih