Isu orang ketiga ini selalu dijadikan sebagai plot konflik dalam setiap filem atau drama di seluruh dunia. Dalam drama atau filem Melayu sendiri, ia sentiasa menjadi pilihan sutradara dalam mengembangkan plot penceritaan mereka. Hakikatnya ia banyak berlaku dalam kehidupan seharian dan ia boleh berlaku kepada sesiapa saja tanpa mengira bangsa, pangkat atau usia. Kita memang marah berkenaan isu ini tetapi tahukah anda terdapat remedi dari segi undang-undang bagi mangsa yang terkena tempias isu ini?
Sebelum kita tengok isu ini dengan lebih mendalam, mari kita lihat definisi orang ketiga itu sendiri. Menurut Seksyen 37 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, orang ketiga ini boleh ditakrifkan mana-mana individu yang menghalang sesebuah pasangan yang sudah berkahwin dari menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pasangan suami isteri. Dan mengikut Seksyen 38 akta sama, takrif ini turut diluaskan kepada mana-mana individu yang menghasut, memaksa atau memujuk seorang lelaki atau wanita untuk bercerai atau mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami atau isteri.
Jika ada yang mengada-ada kata akta ini hanya terpakai kepada kekasih gelap sahaja, anda salah. Seperti yang dikatakan dalam Seksyen 37 dan Seksyen 38 akta sama, ia terpakai kepada mana-mana individu termasuk ahli keluarga pasangan seperti ibu bapa, mentua, ipar-duai, kawan-kawan atau mana-mana pihak yang bertanggungjawab membawa kepada kemusnahan sesebuah rumahtangga itu. Contohnya, sekiranya pihak yang mendesak sesebuah pasangan itu bercerai atau mengabaikan tanggungjawab mereka ialah ibu bapa atau ahli keluarga, mereka boleh didakwa di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang syariah negeri masing-masing. Dan sekiranya didapati bersalah, mereka boleh saja disabitkan hukuman penjara, denda atau kedua-duanya sekali. Begitu juga sekiranya pelaku kesalahan ini ialah kekasih gelap lelaki atau perempuan, di mana mereka melakukan perkara sehingga menyebabkan pasangan lalai dari menjalankan tanggungjawab mereka, maka pelaku-pelaku ini boleh diheret ke mahkamah dan dibicarakan.
Sekiranya saudara/saudari pembaca artikel merasakan rumahtangga dilanda onar gara-gara orang ketiga, jangan panik. Lihat langkah di bawah:
1. Kemukakan aduan kepada Unit Penguatkuasa dan Pendakwaan, Mahkamah Syariah yang berdekatan.
2. Semasa isi borang aduan, jelaskan secara terperinci hubungan pasangan dengan individu ini sehingga mengakibatkan rumahtangga yang dibina berantakan.
3. Kemukan bukti kukuh untuk sokong keterangan anda. Antara bukti yang boleh dikemukakan ialah bukti bergambar dan bukti sebarang bentuk komunikasi secara teks atau perbualan telefon yang membuktikan hubungan tersebut sebenarnya wujud. Ini kerana agak sukar bagi pihak berkuasa mendakwa pelaku sekiranya bukti yang dikemukakan tidak kuat atau tiada asas.
Selepas mereka menerima aduan, mereka akan siasat aduan tersebut dengan teliti dan sekiranya ia sahih, maka si pelaku boleh ditahan, dituduh dan didakwa di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang negeri masing-masing. Dan sekiranya sabit kesalahan, maka si pelaku akan dihukum mengikut hukuman yang ditetapkan. Contoh, bagi pesalah Seksyen 36, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) iaitu memujuk seorang isteri lari meninggalkan suami, membawanya keluar atau mempengaruhinya meninggalkan kediaman mereka yang ditentukan suaminya boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun, denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali. Dan pihak mahkamah boleh memerintahkan si isteri untuk kembali semula pada suaminya.
Pasti ada suara-suara sumbang kata benda ini remeh dan tak perlukan perhatian. Remeh kepala timun kamu! Hukum bagi orang ketiga sehingga merosakkan perkahwinan sesebuah pasangan adalah haram, berdosa besar menurut para ulama dan diancam dengan seksa neraka. Imam al-Haitsami rahimahullah dalam kitabnya Al-Zawajir an Iqtiraf Al-Kabair menyatakan dosa besar ke-257 dan ke-258 ialah menghasut seorang isteri meninggalkan suaminya dan menghasut seorang suami meninggalkan isterinya. Dalam kitab yang sama, Imam al-Haitsami turut menyebut Rasulullah s.a.w menolak perbuatan keji ini dengan menyifatkan pelaku perbuatan ini bukan sebahagian daripada umat baginda.
Perbuatan orang ketiga ini juga sama seperti perbuatan merosakkan ikatan silaturahim dan bahaya bagi si pelaku ini ialah tidak dapat masuk syurga. Ini berdasarkan ancaman baginda dalam satu hadis riwayat Imam Muslim, “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan.” Dan mahukah orang ketiga ini mengaku bahawa mereka secara tidak langsung menjalankan kerja iblis berdasarkan satu lagi hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Dalam hadis tersebut, baginda menceritakan perihal iblis yang meletakkan singgahsananya di atas laut dan menghantar anak-anak buahnya ke setiap penjuru dunia. Apabila salah seorang dari mereka pulang dan menceritakan apa yang dilakukannya, iblis hanya menggeleng kepala dan berkata, “Kamu belum berbuat begitu.” Lalu datang seorang lagi syaitan dan bercerita apa yang dilakukannya sehingga menyebabkan pasangan suami isteri bercerai. Mendengar laporan tersebut, iblis menjadikan syaitan tersebut orang yang paling hampir dengannya. Iblis berkata, “Tindakan kamu sangat bagus.” lalu memeluk syaitan tersebut.
Allah s.w.t turut mencela perbuatan orang ketiga ini. Ini berdasarkan firman-Nya dalam ayat 22-23, Surah Muhammad, “Kalau kamu tidak mematuhi perintah maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan – jika kamu dapat memegang kuasa – kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat? Orang-orang yang melakukan perkara yang tersebut merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya.”
SUMBER
- Ghazali, Suzana. (2010). Resipi Hidup Bersama Suzana Ghazali. Jom Lawan Orang Ketiga. http://resipihidup-bersamasuzana.blogspot.my/2010/01/jom-lawan-orang-ketiga.html
- Awang, Musa. (2013). Blog Musa Awang. Orang ketiga boleh dihukum dunia dan akhirat. http://musaawang.blogspot.my/2013/04/orang-ketiga-boleh-dihukum-dunia-dan.html
- Dimon, Zanariah dan Mat Yusoh, Zaini Yusnita. (2014). Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS). 043 UNDANG-UNDANG MENANGANI ORANG KETIGA DALAM RUMAHTANGGA: SATU SOROTAN DALAM UNDANG-UNDANG JENAYAH SYARIAH NEGERI SELANGOR DAN UNDANG-UNDANG KELUARGA SIVIL. http://rmc.kuis.edu.my/irmic/wp-content/uploads/2014/12/043-UNDANG-UNDANG-MENANGANI-ORANG-KETIGA-DALAM-RUMAHTANGGA.pdf
- Dalam Islam. (2017). Hukum Merebut Suami Orang dan Dalilnya. https://dalamislam.com/hukum-islam/wanita/hukum-merebut-suami-orang
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih