Sebut saja lagu patriotik Britain, pasti ramai teringat lagu Rule, Britannia. Lagu penuh semangat yang lahir dari zaman kegemilangan Empayar British. Antara lirik paling ikoniknya berbunyi: “Britons never, never, never shall be slaves.”
Maksudnya? “Orang Britain takkan, takkan, takkan jadi hamba.”
Bunyi memang angkuh gila. Yalah, mereka pernah jadi kuasa maritim terbesar dunia. Tapi kalau kita gali sejarah lebih dalam, hakikatnya… orang Inggeris sendiri pernah jadi hamba. Bukan sikit, tapi ribuan orang.
Cerita ini bermula sebelum Britain pegang gelaran Ratu di Lautan. Sekitar abad ke-16 hingga ke-18, ada ancaman besar menghantui pantai-pantai England, Scotland dan Ireland. Ancaman itu adalah lanun Barbar dari Afrika Utara. Mereka datang dari Algiers, Tunis dan Tripoli, di bawah pengaruh Empayar Uthmaniyyah.
Lanun Barbar ini bukan jenis merompak kapal lepas dan cabut lari. Mereka culik orang. Ada yang ditangkap di tengah laut ketika belayar, ada juga yang diculik dari kampung-kampung pesisir di Cornwall, Devon, malah sehingga ke Ireland. Mangsa dibawa jauh merentasi laut dan dijual di pasar hamba Afrika Utara.
Di sana, nasib mereka ditentukan oleh pembeli. Lelaki muda yang kuat biasanya dipaksa mengayuh galley (kapal besar) siang malam tanpa henti. Ada yang dihantar jadi buruh di projek pembinaan atau kerja berat lain. Wanita pula ada yang dijadikan hamba rumah tangga dan ada yang dijual ke harem pemerintah.
Ramai yang mati akibat penyakit, kelaparan dan penderaan. Yang bernasib baik mungkin dibebaskan jika keluarga mampu bayar tebusan yang sangat tinggi. Tapi bagi kebanyakan mangsa, kehidupan lama di Britain hanya tinggal kenangan.
Ahli sejarah anggarkan puluhan ribu rakyat Kepulauan British menjadi mangsa perhambaan Barbar antara awal 1600-an hingga pertengahan 1700-an. Ironinya, pada tempoh yang sama, Britain sendiri aktif degan bisnes hamba Afrika ke Amerika dan Caribbean.
Jadi, bangsa yang berbangga kononnya “takkan jadi hamba”, pernah berada di kedua-dua sisi rantai perhambaan. Mereka pernah jadi mangsa dan pemangsa.
Apabila Rule, Britannia! digubah pada 1740, lagu itu diangkat sebagai propaganda untuk membakar semangat nasional dan memperkukuh imej Britain sebagai kuasa maritim yang kebal. Tapi sejarah membuktikan, sebelum mereka kuasai ombak, rakyat mereka sendiri pernah hanyut sebagai hamba di tanah asing.
Kesimpulannya, tiada bangsa yang kebal daripada menjadi mangsa dan kadangkala, mereka yang paling lantang melaungkan kebebasan, pernah merasai pahitnya perhambaan.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
Historofil yang punyai minat untuk berkongsi hasil dapatannya melalui wadah penulisan. Harapannya cuma satu, menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada pembangunan tamadun anak bangsa menuju sebuah keagungan.