Filipina terdiri dari lebih 7,600 buah pulau yang kesemuanya dikelompokkan ke dalam tiga pulau utama; iaitu Luzon, Visaya, dan Mindanao. Taburan sebegini memperkaya kepelbagaian suku, bahasa, dan budaya di negara berkenaan.
Dianggarkan, Filipina mempunyai kira-kira 100 suku asli dengan populasinya mewakili 10% dari populasi keseluruhan. Yakni, sekitar 11.3 juta orang. Ia satu jumlah yang signifikan – cukup untuk memberi nyawa kepada warisan budaya masyarakat asal.
Sepanjang tiga dekad kebelakangan, ada empat warisan budaya Filipina yang diiktiraf oleh UNESCO iaitu epik Darangen, nyanyian Hudhud, permainan Punnuk, dan ritual Buklog. Sebagai perbandingan, Malaysia ada lima warisan yang diiktiraf iaitu silat, dondang sayang, mak yong, pantun dan upacara wangkang.
Pengiktirafan sebegini sedikit-sebanyak mencelikkan dunia tentang warisan-warisan lama yang masih bernyawa, terutama di negara yang identitinya sudah diacu dengan identiti baru lantaran dijajah.
Sama seperti Mexico, Filipina adalah bekas jajahan Sepanyol. Nama ‘Filipina’ itu sendiri mengambil sempena King Philip II yang berkuasa pada 1556-1598. Walaupun Filipina sudah pun disinggahi orang Eropah sejak 1521 Masehi – bermula dengan Ferdinand Magellan – ia hanya menjadi koloni rasmi Sepanyol pada 1565 dengan pejabat pertamanya bertempat di Manila.
Berada di bawah kekuasaan Sepanyol selama tiga ratus tiga puluh tahun mengubah Filipina menjadi sebuah negara Kristian yang besar – paling besar di Asia dan kelima terbesar di dunia. Pengaruh-pengaruh Sepanyol juga meresap secara ketara dalam kehidupan mereka, walaupun jika diikutkan, Filipina juga sempat dikuasai Amerika Syarikat selama lebih kurang 50 tahun.
Peralihan kuasa di Filipina ini berlaku berikutan Perjanjian Paris 1898. Ia ditandatangani selepas Sepanyol tewas dalam Perang Sepanyol-Amerika yang berlaku pada 21 April hingga 13 Ogos tahun sama.
Menerusi perjanjian tersebut, penguasaan ke atas Filipina bertukar tangan. Namun, tidak sebelum tentangan diberikan selama tiga tahun menerusi Perang Filipina-Amerika 1899-1902 yang mengorbankan hampir 40,000 orang tempatan (baik tentera mahupun rakyat awam).
Dua tahun berikutnya, Amerika Syarikat membelanjakan sebanyak 1.5 juta dollar untuk membawa masuk lebih 1,000 orang asli Igorrot dari Filipina. Tujuannya adalah untuk dipertontonkan dalam Pameran Sedunia St. Louis 1904 bersama beberapa suku asli lain termasuklah dari Afrika.
Pameran manusia sebegini bagaimana pun bukanlah khusus di Amerika Syarikat sahaja. Setahun sebelumnya, Osaka mempamerkan orang Korea. Brussel pula mempertontonkan orang Congo tujuh tahun lebih awal. Bandar-bandar seperti Paris, London, Hamburg, Barcelona, dan Milan juga tidak ketinggalan dari melakukan hal yang sama.
Kesemua ini terjadi pada kurun di mana dunia baru sahaja memansuhkan sistem perhambaan; baru sahaja menerima gelombang pertama perjuangan hak wanita; dan baru sahaja berjinak-jinak untuk membuka peluang pendidikan kepada semua – tidak hanya di barat tetapi juga di timur, sepertimana yang boleh kita selusuri senarionya dari kisah hidup R.A. Kartini (1879-1904).
Motif di sebalik pameran manusia atau zoo manusia ini berlainan bagi setiap peringkat masyarakat. Bagi negarawan, ia bertujuan memunasabahkan dasar kolonialisme. Bagi ilmuwan (ahli antropologi contohnya), ia bermatlamatkan penyelidikan. Sementara bagi masyarakat umum, ia dilihat sebagai satu bentuk hiburan.
Pameran manusia juga merupakan satu perniagaan yang menguntungkan. Dari sinilah muncul beberapa taikun yang mengambil peluang untuk membina kekayaan. Di Amerika Syarikat, antara nama yang utama ialah Truman Hunt.
Sepanjang kelangsungan Pameran Sedunia St. Louis, Hunt ditugaskan menyelia orang Igorrot. Dia sememangnya berpengalaman menjadi gabenor di Bontoc (daerah di Filipina) selain terlibat dalam Perang Sepanyol-Amerika.
Jadi, orang Igorrot bukanlah suku yang asing baginya. Sepanjang tempoh pameran itu pun, orang Igorrot menjadi tarikan utama. Ini memangkin sisi kapitalis dalam diri Hunt.
Justeru sesudah tamat pameran dan kesemua orang Igorrot dihantar pulang, Hunt enggan melepaskan peluang. Dia terus sahaja berangkat ke Filipina dan menggaji seorang ejen bernama Julio Balinag untuk merekrut sekumpulan orang tempatan.
Tidak lain dan tidak bukan, Hunt mahu jadikan mereka sebagai bahan pameran – pameran atas nama persendirian dan bukan lagi di bawah kerajaan.
Kerja merekrut bertambah senang disebabkan ejen yang digajikannya merupakan salah seorang Igorrot yang terlibat dalam pameran sebelumnya. Jadi, dengan mudah dia dapat kumpulkan seramai 50 orang dengan masing-masing dijanjikan bayaran sebanyak $15 sebulan.
Lalu pada awal 1905, Hunt pun membawa kesemua 50 orang Igorrot ini ke Coney Island, New York. Mereka dipamerkan di Luna Park dan mendapat sambutan hangat termasuklah dari pengamal media dari New York Times, Washington Post, Associated Press, dan Vogue.
Orang ramai juga datang berkerumunan dari serata bandar seperti New York, New Jersey, Connecticut, dan Pennsylvania. Ada yang datang membawa hadiah dan ada pula yang ingin mengambil anak-anak kecil Igorrot sebagai anak angkat.
Namun, kesemua hadiah dan duit kopi tersebut tidak sampai ke tangan orang-orang Igorrot sebaliknya masuk ke poket Hunt. Wang dari jualan kraftangan seperti cincin rotan, kalung, dan bakul anyaman juga diambil oleh Hunt.
Teruknya pemerasan si Hunt ini sampaikan orang Igorrot terpaksa menyorokkan duit mereka dalam lubang telinga dan lubang punggung kerana tidak mahu ia diambil.
Hunt kemudian membahagikan orang-orang Igorrot itu kepada tiga kumpulan. Setiap kumpulan disuruh bergerak ke bandar-bandar berlainan – bermula dari Texas, Louisiana, Florida, hinggalah ke Kansas. Ini bagi memaksimakan keuntungan. Baginya, lebih banyak pameran dilakukan, lebih besar pendapatan.
Dengan demikian, perniagaan zoo manusia yang dikelolakan oleh Hunt ini pun berpanjangan selama lebih setahun. Sepanjang tempoh itu juga, orang-orang Igorrot disuruh membuat pelbagai pertunjukan – menyanyi, menari, dan mengadakan upacara-upacara kebudayaan seperti berkahwin dan berburu. Mereka juga disuruh makan anjing setiap hari untuk tontonan umum.
Sememangnya, Igorrot adalah suku yang terkenal dalam memburu kepala manusia. Mereka pun memang makan daging anjing. Cuma, ia hanya untuk keraian-keraian tertentu dan bukannya dimakan setiap hari.
Justeru, suruhan Hunt itu membuatkan ramai dari mereka diserang penyakit. Bahkan, ada dua orang dari mereka mati tanpa dikebumi semasa dalam perjalanan ke Memphis, Tennessee.
Layanan buruk Hunt terhadap orang-orang Igorrot ini akhirnya memakan diri. Dia dilaporkan ke pihak kerajaan dan pada Oktober 1906, Hunt diberkas atas dakwaan menyonglap gaji orang-orang Igorrot yang berjumlah $9,600 tidak termasuk ratusan dollar hasil jualan kraftangan.
Kesemua orang Igorrot di bawahnya kemudian dihantar pulang ke Filipina, kecuali lima orang termasuk Balinag yang ditahan sehingga 20 Mac 1907 untuk membantu proses perbicaraan mahkamah. Hunt dijatuhi hukuman penjara 18 bulan.
Tujuh tahun kemudian, kedutaan Amerika Syarikat di Filipina mengharamkan sebarang bentuk pameran manusia yang melibatkan rakyatnya di luar negara. Undang-undang tersebut turut dipinda ke dalam Akta Anti-Perhambaan sekali gus memulakan langkah membasmi zoo manusia yang kali terakhir berlaku di Belgium pada 1958.
RUJUKAN
Kirti, Kamna. (14 July 2021). This Tribe was Exported to the US and Forcefully Fed Dog Meat. Medium.
Prentice, Claire. (14 October 2014). The Igorrotes Tribe Traveled the World for Show and Made These Two Men Rich. Smithsonian Magazine.
Qiu, Linda. (29 October 2014). Tribal Headhunter on Coney Island? Author Revisits Disturbing American Tale. National Geographic.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih