Lima hari lepas, kerajaan membenarkan rakyat untuk merentas negeri. Jadi, ramailah yang pergi bercuti – sama ada makan angin ataupun balik kampung. Bercerita tentang balik kampung, kalau bagi orang Amerika, mungkin akan menggamit mereka pada satu memori kelakar. Iaitu, memori tentang bayi dan anak kecil yang dihantar ke kampung menggunakan khidmat posmen.
Peristiwa ini berlaku sekitar 108 tahun dahulu. Yakni, semasa generasi atuk atau moyang bagi generasi sekarang. Ketika itu (1 Januari 1913), Perkhidmatan Pos Amerika Syarikat (U.S. Post Service; USPS) baru sahaja memperkenalkan khidmat penghantaran bungkusan (parcel).
Ia membolehkan orang ramai mengirimkan barang dengan berat yang lebih tinggi, bergantung pakej – bermula dari sebelas paun (4.99 kg) sehingga 50 paun (22.68 kg). Sebelum itu, had berat yang diterima oleh USPS adalah empat paun (1.8 kg). Mana-mana yang lebih akan diserahkan kepada kurier swasta, menyebabkan kosnya jadi lebih tinggi justeru tidak mesra orang awam.
Jadi, pembaharuan yang dibuat USPS ini memang disambut dengan hangat. Dalam tempoh enam bulan pertama sahaja mereka menerima sebanyak 300 juta parcel (Blazeski, 2018). Banyak tak banyak jumlah ini, bandingkanlah dengan jumlah bungkusan yang diterima oleh Pos Laju semasa tempoh PKP. Menurut laporan April tahun lepas, Pos Laju menerima sebanyak 770,000 parcel sehari. Ini bersamaan 23.1 juta sebulan dan 138.6 juta untuk enam bulan. Hampir separuh juga perbezaannya.
Soalnya, mengapa boleh sampai 300 juta bungkusan? Pertama, kerana populasi (manalah sesuai dibandingkan dengan Malaysia). Kedua, kerana ia perkhidmatan baru yang memang diperlukan. Dan ketiga, kerana ia diperkenalkan seiring dengan program Farm-to-Table yang dilancarkan oleh Presiden Woodrow Wilson (presiden ke-28).
Sejelas namanya, program ini bertujuan membekalkan produk pertanian dari ladang terus ke tangan pembeli di bandar melalui perantaraan posmen – dengan harga yang lebih murah untuk barang yang lebih segar. Lebih kurang macam apa yang dilakukan oleh Kebun Kita.
Cuma, skalanya tentulah lebih besar. Pada Mac 1914, ia berjaya melibatkan sebanyak 10 buah bandar iaitu Washington DC, Boston (Massachusetts), Baltimore (Maryland), St. Louis (Missouri), Atlanta (Georgia), Birmingham (Alabama), San Francisco (California), Rock Island (Illinois), La Crosse (Wisconsin), dan Lynn (Massachusetts).
Ia merangkumi pelbagai barang pertanian termasuklah keju, sayur, buah, kekacang, dan daging. Namun, produk yang paling biasa dihantar – hatta semasa Perang Dunia Pertama – ialah mentega dan lemak babi. Sambutan terhadap program ini juga amat menggalakkan. Rekod pada Julai 1916 mendapati USPS mengendalikan sebanyak 15,000 bungkusan barang pertanian setiap hari – menunjukkan betapa dahsyatnya penangan khidmat penghantaran bungkusan yang baru diperkenalkannya itu.
Apapun, ia tetap bukan tandingan tujuh penghantaran epik dalam sejarah USPS.
Hanya dua minggu setelah khidmat penghantaran bungkusan diperkenalkan, ada pasangan suami isteri diilhami satu idea yang tiada siapa jangka – guna posmen untuk hantar bayi ke rumah neneknya.
Bagaimana boleh timbul idea sebegitu rupa? Ringkasnya, kerana ia tidak dilarang pun dalam peraturan. Perincian tentang ‘apa yang boleh’ dan ‘apa yang tidak boleh’ dihantar oleh USPS masih longgar. Sampaikan, ada kes orang gunakan khidmat mereka untuk kirimkan anjing dan ular. Iya, anda tidak salah dengar (Weird History, 2021).
Dah kalau anjing dan ular pun boleh dihantar… mengapa tidak bayi? Lagipun, ia menjimatkan kos perjalanan – daripada habiskan beberapa dollar untuk beli tiket penumpang kereta api, lebih baik beli setem yang harganya cuma beberapa belas atau puluh sen.
Idea inilah yang singgah di fikiran Jesse dan Mathilda Beagle pada 15 Januari 1913. Dengan bayaran 15 sen tidak termasuk insurans, mereka menghantar bayi lapan bulannya, James ke rumah neneknya yang berjarak beberapa batu di Batavia, Ohio.
Ia kes pertama seumpamanya, justeru tidak hairan jika ia menggamit perhatian akhbar di seluruh negara dan mendorong kes kedua, ketiga, dan seterusnya.
Cuma untuk mengusir imaginasi bukan-bukan, bayi atau kanak-kanak ini tidaklah dihantar dalam bungkusan. Posmen yang mengendalikannya juga bukan orang sembarangan. Mereka biasanya adalah kenalan (Little, 2020).
Bagi komuniti yang kecil, terutama di luar bandar, penduduknya memang mengenali satu sama lain. Hatta pakcik posmen sekali pun. Sebahagiannya malah berkongsi hubungan saudara. Jadi, bolehlah kata yang anak tadi dikirim pada orang terpercaya. Ia macam kita minta tolong sepupu yang memandu van Pos Laju untuk tumpangkan anak ke rumah neneknya, yang kebetulan sekali jalan.
Tambahan, USPS memang ada reputasi yang boleh diharapkan. Setidaknya, kalau kita imbau kisah bagaimana Harry Winston pindahkan Hope Diamond dari New York ke Washington melalui khidmat USPS – bukan kereta perisai – yang belanjanya cuma $142.29 ($2.44 untuk setem dan $142.85 untuk insuran bernilai $1 juta) sedangkan berlian 45.52 karat itu nilainya mencecah $200-350 juta!
Berbalik semula kepada cerita, kes kedua pengiriman bayi melalui USPS berlaku di Stratford, Oklahoma. Kali ini, ia melibatkan bayi dua tahun yang dihantar oleh neneknya ke rumah ibu saudaranya di Wellington, Kansas. Bayi ini dipakaikan teg (atau setem) berharga 8 sen di kolar baju, dan menurut laporan akhbar, dia sempat berkongsi makanan tengahari dengan pakcik posmen sebelum tiba dengan selamat (Silvia, 2014).
Memang sepanjang tren aneh ini diamalkan, kesemuanya sampai dengan selamat – hatta dalam penghantaran paling jauh sekalipun, yang melibatkan kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun yang menempuh sejauh 721 batu dari Florida ke Virginia (jarak Perlis ke Johor pun baru 421 batu). Penghantaran ini berlaku setahun selepas la.rangan penghantaran bayi mula dibuat.
Bagaimana pun, la.rangan tersebut hanya dikuatkuasakan sepenuhnya pada lewat 1915, dengan bayi terakhir yang dihantar oleh USPS ialah Maud Smith. Itu pun pada Jun 1920, masih ada dua permohonan untuk mengepos bayi dikemukakan (Teng, 2020). Cuma tentunya, ia ditolak sekali gus menamatkan tren yang tercipta hasil kenakalan (kreativiti, mungkin) manusia memanfaatkan loophole yang ada dalam undang-undang.
RUJUKAN:
Blazenski, Goran. (2018, 27 February). Until 1915, U.S. parents could legally ‘mail’ their children through the Postal Service. The Vintage News.
Litle, Becky. (2020, 21 August). When People Used the Postal Service to Mail Their Children. History.
National Agricultural Library. (n.d). Farm-to-Table: 1914-1920. U.S. Department of Agriculture.
Silvia, Joe. (2014, 16 June). The Curious Cases of Mailing Children in 1913-1914. New Bedford Guide.
Teng, Jhemmylrut. (2020, 19 September). Americans Used to Send Their Babies via the U.S. Postal Service. History of Yesterday.
Weird History. (2021). Why Parents Used to Mail Their Babies.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih