BUKANNYA mudah membina sebuah negara yang aman dan merdeka. Malah walau sudah berdiri teguh sekalipun sentiasa ada sahaja petualang yang ingin menggugat keharmoniannya. Di Sarawak juga apabila kita berbicara konteks keamanannya tidak pernah kurang dengan cerita memerangi petualang komunis yang sentiasa tegar dengan cita-citanya suatu ketika dahulu.
Operasi Ngayau 3 atau Ops Ngayau 3 adalah salah satu daripada cerita pertempuran yang pernah berlaku di Sarawak atau secara lebih peristiwanya berlaku di Binatang (nama sekarang, Bintangor) Sarikei. Sekitar Oktober 1971 menyaksikan satu unit platun telah dikerah ke kawasan Sungai Garan setelah mendapat informasi daripada penduduk di sebuah rumah panjang di sana yang melihat kelibat segerombolan gerila komunis di kawasan mereka.
Unit platun ini dikenali sebagai Kompeni A daripada 1st Battalion Renjer dari Kem Pagar Ruyung, Sibu diketuai oleh Kapten Welther Wong Ak Tedong bersama-sama dengan 16 orang anggota unitnya. Kesemua mereka adalah anak-anak Sarawak yang menjadi sebahagian daripada “Bujang Berani” menyahut seruan ibu pertiwi pada ketika itu.
Usai menerima arahan, kesemua mereka menaiki trak tentera daripada Ibu pejabat Tactical menempuhi perjalanan darat Sarikei-Simanggang dengan melalui kawasan Sungai Kedup. Sampai sahaja ke satu kawasan kebun getah yang dikenali sebagai Skim Meradong, mereka telah diarahkan untuk mula menjejaki komunis di kawasan tersebut. Jadi bermulalah episod platun seramai 16 orang ini menyelusuri denai-denai hutan dengan penuh berhati-hati.
Namun apakan daya walau sudah lebih enam hari di dalam hutan, kelibat komunis tiada yang kelihatan seperti yang dilaporkan sebelumnya. Dengan bekalan makanan yang semakin berkurangan ditambahlagi anggota-anggota sudah mula keletihan menyebabkan akhirnya unit platun ini diarahkan untuk menuju ke satu lokasi di Jalan Pakan, Julau yang terletak di dalam kawasan Sungai Kedup.
Sudah menjadi kebiasaan untuk setiap operasi ketenteraan sudah tentu akan dihantar beberapa orang peninjau yang akan ke lokasi lebih awal. Kali ini Seksyen Komander iaitu Sarjan Joseph Mileng Ak Kilong telah mengarahkan Koperal Dajai Ak Anggie dan Renjer Unggek Ak Anti untuk membuat pemantauan terlebih dahulu. Setelah berjalan agak lama akhirnya sekitar jam 5 petang, mereka sampai ke lokasi yang diarahkan.
Setelah membuat penelitian itulah Koperal Dajai telah mengambil keputusan untuk menempatkan unit platunnya di satu pondok kosong yang mungkin ditinggalkan oleh penghuninya sebelum ini. Pondok itu dirasakan amat sesuai untuk anggota platunnya melepaskan lelah serta tidur semalaman setelah lama di dalam hutan. Walau Koperal Dajai membuat pilihan namun sejak dari awal lagi Renjer Unggek dikatakan tidak bersetuju dengan pilihannya. Alasan Renjer Unggek yang mengatakan nalurinya yang tidak berasa senang dengan keputusan itu tidak didengar oleh Koperal Dajai pada masa itu.
Apabila kesemua unit platun sudah tiba akhirnya Koperal Dajai telah membuat pembahagian tugas untuk anggotanya. Di saat-saat genting seperti ini segala kawalan sentri harus diutamakan demi keselamatan semua. Di samping itu ada juga yang diarahkan untuk menyediakan juadah berbuka puasa ala kadar memandangkan pada masa itu juga adalah bulan Ramadhan di Malaysia. Walaupun hanya tiga anggota beragama Islam yang terlibat iaitu Lans Koperal Berawi bin Jeraee, Renjer Arshad bin Shahrin dan Renjer Simahbut bin Sabiran, namun sudah menjadi kebiasaan bagi mereka akan menjamah makanan bersama-sama walau berbeza agama.
Mungkin kerana kesemua kepenatan setelah hampir seminggu di dalam hutan menyebabkan ramai anggota selepas makan terus dibuai mimpi. Cuma yang di dalam tugas sentri sahaja akan berjaga sepanjang malam sambil menunggu giliran tugasan mereka. Suasana malam yang pekat hanya diselang seli dengan beberapa salakan anjing daripada kawasan penempatan kaum Cina yang berdekatan. Ianya tidak begitu diambil pusing oleh sentri pada ketika itu.
Diketika kedinginan bening subuh iaitu sekitar jam 6 pagi, tiba-tiba unit platun ini dikejutkan dengan bunyi letupan yang membingitkan di kawasan mereka. Terkejut dengan suasana inilah ada antara mereka yang bangun bertempiaran mencari tempat untuk berlindung sambil mengangkat senjata mereka. Selang beberapa minit selepas bunyi letupan maka pondok tempat unit Platun Kompeni A mula dihujani dengan peluru daripada musuh. Dikala inilah mereka amat pasti bahawa mereka telah diserang hendap oleh gerila komunis.
Masih di dalam suasana kegelapan di waktu subuh dengan mentari masih lagi menyembunyi diri disebalik awan, 16 anggota platun terus membalas tembakan daripada kawasan mereka berlindung. Biar putih tulang, jangan putih mata, menyerah kalah tidak sekali, inilah semangat anggota keselamatan kita apabila berhadapan dengan serangan yang tidak diduga.
Disaat bertali arusnya peluru tanpa mata dari kedua-dua pihak, Renjer Arshad sempat menjumpai alat penghubung untuk melaporkan hal yang berlaku ke ibupejabat mereka. Dikatakan usai sahaja komunikasinya dengan pihak ibu pejabat, alat penghubung itu juga ditembak oleh gerila komunis sehingga rosak tidak boleh digunakan. Ini bermakna mereka sudah terputus komunikasi dengan sebarang bantuan. Sandaran adalah sepenuhnya di pihak mereka untuk berjuang berhabis-habisan.
Dengan segala pengalaman yang ada, Sarjan Joseph Mileng ak Kilong dan Koperal Dajai Ak Anggie cuba mengatur strategi untuk menyerang balas yang lebih sempurna ke atas gerila komunis. Dikala itu juga sudah terdengar sayup-sayup arahan daripada gerila komunis yang meminta mereka menyerah diri. Bukan namanya anggota renjer kita jika hendak menyerah sebegitu sahaja. Secara perlahan-lahan mereka mula mengatur barisan seadanya di sekitar pondok walaupun terpaksa merangkak.
Siaga segalanya dengan satu jeritan dari Koperal Dajai iaitu laungan keramat “Agi Idup Agi Ngelaban” kesemua anggota platun membalas dengan lebih jitu ke atas gerila komunis di hadapan mereka. Bom tangan dilontarkan ke atas komunis tanpa henti berserta dengan tembakan peluru. Ini menyebabkan komunis yang amat yakin sebelumnya sudah mula gentar. Asakan bertali arus itu menyebabkan mereka cuba untuk mengundurkan diri.
Melihat kepada tindak balas itulah, Sarjan Joseph Mileng mengarahkan Koperal Dajai dan Renjer Unggek untuk mengejar mana-mana komunis yang cuba melarikan diri pada waktu itu. Malah dia sendiri sudah berada jauh di hadapan mengejar mereka sementara yang lain diarahkan untuk bersiaga di sekitar pondok. Bayangkan hanya tiga anggota yang mengejar kumpulan komunis yang cuba melarikan diri kemudian berpecah kepada tiga kumpulan sememangnya sesuatu yang amat gila untuk dilakukan.
Diceritakan Renjer Unggek sendiri yang bertempur satu lawan dua dengan komunis pada satu lokasi telah tercedera terkena tembakan. Namun tanpa memperdulikan keselamatan dirinya tetap tidak beralah sehingga masih mampu membunuh kedua-dua komunis tersebut. Walau cedera, dikatakan Renjer Unggek tetap mengheret kedua-dua mayat komunis ini sehingga tepi jalanraya utama.
Dan pada ketika inilah beliau sudah didatangi oleh Sarjan Joseph Mileng, Koperal Dajai, Lans Koperal John, Renjer Rimau dan Renjer Balau yang keluar dari arah hutan yang sama. Dikatakan Renjer Unggek sudah bersedia untuk mengangkat parangnya bagi mengadakan upacara Ngayau keatas dua mayat komunis itu jika tidak ditegah oleh Sarjan Joseph Mileng. Kalaulah ini berlaku mungkin sudah ada komunis yang terlerai kepalanya daripada badan seperti adat Ngayau yang sememangnya sudah serasi di dalam penghidupan masyarakat Dayak Borneo suatu waktu dahulu.
Sekitar jam 7 pagi barulah bantuan tiba dengan kekuatan yang lebih besar. Komunis yang melarikan diri dijejaki sehingga sehabis mungkin. Ops Ngayau 3 yang berlaku pada tanggal 27 Oktober 1971 ini menyaksikan lima anggota komunis berjaya dibunuh dengan Renjer Nyambong Ak Bansa terkorban sebagai bunga bangsa kerana terkena tembakan peluru musuh di bahagian kepala.
Tiga anggota unit platun pula tercedera iaitu Renjer Unggek di bahagian pinggang, Lans Koperal Malang di bahagian kaki kiri manakala Renjer Arshad di bahagian mukanya. Sementara itu dikatakan kesemua anggota unit platun ini turut mempunyai masalah pendengaran selama lebih kurang dua minggu lamanya. Ianya impak daripada letupan daripada pihak komunis sewaktu serangan hendap.
Atas keberanian yang tidak terhingga serta khidmat bakti cemerlang sewaktu Ops Ngayau 3 ini, Sarjan Joseph Mileng ak Kilong (anak Iban dari Ketalit, Kapit), Koperal Dajai Ak Anggie (anak Iban dari Rumah Penurin Betong, Saribas, Sri Aman) dan Renjer Unggek Ak Anti (anak Iban dari Rumah Engkang Sungai Paku, Ulu Mujung, Kapit) telah dianugerahkan Pingat Gagah Berani oleh Yang Dipertuan Agung Sultan Abdul Halim Al-Haj pada tanggal 23 Disember 1971.
Agi Idup Agi Ngelaban!
-HB-
#LestWeForget
#KamekSayangSarawakBah
Rujukan:
1. http://renjervalour.blogspot.my/2005/09/pgb-awards-bestowed-upon-sergeant.html
2. http://zulheimymaamor.blogspot.my/2014/01/medal-recipients-of-courage-malaya.html
3. http://www.nas.gov.sg/archivesonline/private_records/record-details/1a25749d-ac7b-11e6-9af5-0050568939ad
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih