April boleh dianggap sebagai bulan bersejarah buat Vietnam. Lebih-lebih lagi kalau kita berbicara tentang kemerdekaannya, yang bertitik tolak daripada kejatuhan Saigon (kini Ho Chi Minh). Peristiwa yang berlaku pada 30 April 1975 itu amat penting kerana ia menuding kepada tiga perkara:

Pertama, tamatnya Perang Vietnam (1 November 1955 – 30 April 1975). Kedua, kekalahan Amerika Syarikat dan Vietnam Selatan. Kemudian yang ketiga, penyatuan serta pembentukan Republik Sosialis Vietnam (pada 2 Julai 1976).

Lebih daripada itu, sebilangan malah menyamakan kejatuhan Saigon di tangan Viet Cong ini dengan kemenangan Taliban di Kabul (Afghanistan) tahun lalu – dalam rangka kedua-duanya mengusir campur tangan asing, yang bagi Saigon, ia adalah Perancis (1858-1940), Jepun (September 1940), dan Amerika Syarikat (1955-1972).

Bahkan sama seperti keadaan di Kabul, operasi menutup kedutaan serta memindahkan diplomat dan rakyat secara tergesa-gesa turut berlaku di Vietnam. Pada waktu itu, AS sampai melancarkan tiga operasi berbeza, yang salah satunya adalah Operasi Angkut Bayi (Operation Babylift).

Operasi itu dilancarkan oleh Presiden Gerald Ford (presiden ke-38) pada 3 April 1975, dengan berbekalkan peruntukan sebanyak $2 juta. Objektif utamanya adalah memindahkan anak-anak yatim di Saigon ke Amerika Syarikat. Ini berikutan keadaan bandar itu yang semakin tidak selamat, kerana semakin dihampiri askar-askar Viet Cong.

Jangan lupa dapatkan buku terbaru terbitan The Patriots, KITAB TAMADUN CINA di webstore kami: https://bit.ly/KTCAyman

Sejak Disember lagi, pasukan komunis sudah menguasai Phuoc Long yang berjarak 150 km di utara Saigon. Ditambah pula dengan pendirian Kongres yang enggan meluluskan dana $722 juta bagi membantu Vietnam Selatan, maka keadaan di negara itu seakan sudah boleh dijangka.

Sememangnya, sejak 1973 lagi AS sudah ‘angkat kaki’ dari Vietnam. Kesemua aset ketenteraannya habis diundurkan. Ini berikutan Perjanjian Keamanan Paris yang ditandatangani pada Januari 1973. Di mana menerusi perjanjian tersebut, AS ‘mengaku kalah’ dan mengubah dasar – dari campur tangan secara langsung di Vietnam kepada sekadar melatih dan membekali askar-askar Vietnam Selatan.

Dasar tersebut bertujuan mengurangkan kasualti AS yang sudah sedia besar; iaitu kematian 58,220 orang tentera dan kerugian sebanyak $168 billion (atau $1 trillion hari ini). Tambahan ketika itu, sentimen anti Perang Vietnam bergema kuat sampai ratusan ribu orang berhimpun menggesa ia dihentikan.

Justeru kerana enggan keadaan menjadi semakin tidak terkawal, maka semua aset tentera pun diundurkan – meninggalkan hanya kira-kira 5,000 orang diplomat, anggota marin, kontraktor, dan pekerja agensi risikan. Ini tidak termasuk anak-anak yatim yang ditinggalkan.

Pemisahan Vietnam pada 1954

Pada asalnya,Operasi Babylift memang disasarkan kepada anak-anak yatim di Saigon. Namun kerana kebimbangan ramai ibu bapa terhadap kekejaman komunis, maka masing-masing turut menitipkan anak sendiri ke dalam operasi itu – sambil berhajat akan dapat bersatu semula suatu hari nanti. Ini membuatkan jumlah bayi dan kanak-kanak yang perlu ‘dilarikan’ dari Vietnam mencecah sekitar 2,500 – 3,000 orang.

Kumpulan pertama diberangkatkan pada 4 April, membabitkan 320 orang (lebih separuh adalah bayi). Mereka diangkut oleh pesawat Air Force C-5A Galaxy yang berlepas dari Pangkalan Udara Tan Son Nhat, Saigon. Operasi dilihat berjalan lancar.

Namun selepas 12 minit membuat penerbangan, pesawat itu mengalami kerosakan. Dua dari empat sistem hidrauliknya gagal berfungsi. Begitu juga aileron di sayap kiri dan kanannya. Pintu kargo turut meletup dan tercabut. Lantas, dekompresi (penurunan tekanan udara dalam kabin) pun berlaku.

Kata Kolonel Regina Aune yang menjaga bayi di ruang kargo, dia boleh lihat Laut China Selatan melalui pintu kargo yang ternganga. Memang tak boleh bayangkan apa jadi pada bayi dan kanak-kanak di situ. Dalam keadaan begitu, juruterbang (Kolonel Dennis Traynor) cuba berpatah balik sebelum pesawatnya terhempas dan berkecai empat. Habis 138 orang terbunuh, termasuk 78 orang bayi dan kanak-kanak.

Bangkai pesawat C-5A (Kredit: Bud Traynor)

Mana-mana yang selamat, segera dipindahkan dan dirawat, sebelum dihantar sekali lagi menaiki pesawat lain. Proses menerbangkan bayi dan kanak-kanak dari Vietnam ke Amerika Syarikat ini berjalan sehingga 26 April. Yakni, sehari sebelum Saigon dikepung oleh 150,000 orang askar Viet Cong.

Cabaran terbesar operasi ini tentulah masa, tenaga, dan ruang yang terhad. Bayangkan, perlu bergegas pindahkan anak-anak dari rumah anak yatim (yang bukan sebuah) ke pesawat-pesawat yang disediakan. Kemudian, ada pula anak-anak yang tidak yatim, tetapi dimasukkan ke rumah anak yatim sebab kemiskinan.

Memang pening kepala habis siapa yang bertugas bab pengurusan. Mahu daftar satu-satu termasuk nama ibu bapa memang tidak sempat. Jadi, main sumbat sahaja lah selagi muat. Atas pesawat pula, perlu muatkan seramai yang boleh dan masa sama, perlu sediakan kondisi sekondusif mungkin. Perjalanan bukannya sejam dua. Penumpang pula semuanya budak kecil. Tahu-tahu sajalah betapa kalutnya mahu menjaga mereka.

Jangan lupa dapatkan buku terbaru terbitan The Patriots, GENESIS II di webstore kami: https://bit.ly/KTCAyman

Mujur, selain tragedi pesawat C-5A, tiada berita buruk diterima sepanjang operasi dijalankan. Semua sampai dengan selamat. Namun, selamat sampai saja. Tidak jamin sihat. Dalam keadaan bersesak sambil kurang bekalan, macam-macam penyakit boleh bertandang. Demam campak, malnutrisi, radang paru-paru, selsema, dehidrasi, dan penyakit kulit adalah antara penyakit yang dilaporkan.

Di Amerika Syarikat, ada tiga pusat pemindahan yang dibuka. Dua di California dan satu di Washington DC. Jadi sebaik sahaja mereka sampai, bayi dan kanak-kanak ini terus dihantar ke sana sebelum proses penyerahan kepada keluarga angkat dilakukan. Mana-mana yang sakit kritikal pula dihantar ke hospital.

Kalau lihat catatan, skala operasi ini agak besar. Dalam sebuah pusat pemindahan sahaja, bekalan yang disediakan merangkumi 7,886 botol susu formula, 10,000 lampin pakai buang, 2,400 putik kapas, 750 kapas bal, dan 1,440 tablet aspirin. Tenaga kerja pula mencecah ribuan sukarelawan yang bertukar-tukar syif 12 jam.

Keadaan di Dewan Harmon, Presidio salah sebuah pusat pemindahan Operasi Babylift (Kredit: David Cupp/Denver Post)

Walaupun operasi ini bertujuan kemanusiaan – yakni menyelamatkan anak-anak kecil Vietnam dari penderitaan pasca-perang – ramai juga yang melemparkan kata-kata kritik. Misalnya akhbar The New York Times yang menukil Dr. Edward Zigler, “Kita telah merampas (hak membesar di) tanah tumpah dari mereka.”

Beberapa akhbar lain pula mempersoal dengan tajuk-tajuk seperti “Babylift or Babysnatch?? Dan “The Orphans: Saved or Lost?” Ini kerana identiti mereka diubah habis sebaik sampai di AS dan diserahkan kepada keluarga angkat, yang rata-rata berasal dari Eropah, Australia, Kanada, dan AS sendiri.

Sampai memustahilkan mereka untuk menjejak semula asal-usul. Hingga hari ini pun, memang ramai yang masih belum bersatu semula dengan keluarga kandung kerana ketiadaan dokumen. Center for Constitutional Rights yang ditubuhkan bagi menggesa dan menyaman kerajaan berkaitan hal ini juga tidak banyak membantu.

Ini sekali gus membawa kepada satu tanda tanya, “Kalau Operasi Babylift adalah usaha AS untuk menyelamatkan kanak-kanak Vietnam dari derita fizikal akibat perang, bagaimana pula dengan usaha AS untuk menyatukan semula mereka dengan keluarga kandung, yang hakikatnya, andai tidak diselesaikan, juga bakal memangsakan mereka kepada satu penderitaan – berbentuk mental.”

Antara keratan akhbar yang menempelak Operasi Babylift sebagai ‘penculikan besar-besaran’ (Kredit: AADL)

RUJUKAN

Martin, Rachel. (2015, 26 April). Remembering The Doomed First Flight of Operation Babylift. NPR.

PBS. (n.d). Operation Babylift (1975).

Voll, C.S. (2020, 4 December). Plannes Full of Babies Fled the Vietnam War. History of Yesterday.

Wright, Andy. (2016, 21 September). After the Vietnam War, America Flew Planes Full of Babies Back to the US. Atlas Obscura.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Leave A Reply