Para penggemar budaya serta makanan Jepun pastinya tahu mengenai onigiri ini. Hidangan yang lazimnya berbentuk segitiga dan mudah untuk dimakan di mana-mana sahaja. Namun, tahukah anda sejarah di sebalik onigiri ini? Artikel ini akan memberi sedikit pengenalan tentang sejarah onigiri, penghasilannya dan bagaimana onigiri mempengaruhi budaya masyarakat Jepun.
Apa itu onigiri?
Onigiri, atau bebola nasi merupakan salah satu daripada makanan tradisional Jepun. Onigiri juga adalah hidangan yang sering dihasilkan di rumah (home food) dan menjadi makanan biasa yang dibuat oleh para ibu di rumah. Hidangan ini boleh diumpamakan seperti sandwich yang menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat Barat.
Onigiri ini adalah bebola nasi berbentuk segitiga atau bulat dan biasanya mengandungi inti di dalamnya, seperti umeboshi (plum Jepun yang dijeruk), ikan salmon atau tuna dan akan dibalut dalam kepingan rumpai laut kering. Masyarakat Jepun dalam semua peringkat umur menggemarinya sejak dahulu lagi, bukan sahaja kerana rasa nasi yang seimbang dengan intinya, tetapi juga kerana makanan ini mudah untuk dibawa ke mana-mana dan disimpan.
Onigiri menjadi antara makanan kegemaran kanak-kanak, juga buat para pekerja serta pelajar yang sibuk dan tidak sempat untuk mengambil makanan berat. Ia menjadi hidangan yang cukup untuk mengenyangkan kerana mempunyai asas nasi.
Onigiri adalah snek yang mudah disediakan, sedap dan berkhasiat dan biasanya dihasilkan dengan tangan. Ia adalah makanan biasa yang disediakan di rumah, dan suatu masa dahulu onigiri ini tidak dijual di mana-mana kedai pun. Namun, dengan arus kemodenan, onigiri ini mula berubah menjadi suatu produk komersil dan dijual di banyak tempat pada hari ini, sehinggalah di jalanan.
Banyak syarikat pengeluar makanan mula bersaing untuk menghasilkan jenis onigiri yang baru bagi menarik perhatian pelanggan. Sedikit demi sedikit ciri tradisional yang dibawa dalam hidangan onigiri ini mula berubah dan variasi moden onigiri mula dikomersilkan.
Sejarah onigiri
Onigiri juga dikenali sebagai omusubi atau nigiri-meshi. Perkataan asal bagi onigiri adalah nigiri, yang bermaksud ‘memegang dengan kuat’ dan awalan O itu digunakan untuk memudahkan sebutannya. Maksud nigiri yang memegang dengan kuat ini merujuk kepada cara penghasilan onigiri itu sendiri, yang mana ia dibuat dengan mengepal atau membentuk nasi dengan kuat sebelum dibalutkan dengan kepingan rumpai laut kering.
Terdapat pelbagai versi yang diceritakan berkaitan dengan sejarah onigiri ini. Salah satu versi menyatakan bahawa pada Era Yayoi (300 tahun sebelum Masehi hingga 300 Masehi), masyarakat telah mula membalut bebola nasi di dalam daun buluh dan membakarnya. Namun, onigiri yang dikenali pada hari ini sebenarnya bermula pada pertengahan Era Heian (794 M – 1185 M), yang mana pada waktu itu, nasi yang sedikit lembik dan melekit dibentuk bulat seperti bebola dan dipanggil tonjiki. Pada waktu itu, bebola nasi ini kebanyakannya menjadi makanan tengah hari utama bagi para askar dan petani yang bekerja di ladang.
Pada akhir Era Kamakura (1185 M – 1333 M), sejenis nasi yang baru, dipanggil uruchimai telah digunakan untuk menghasilkan tonjiki. Penggunaan rumpai laut kering (nori) telah dimulakan pada Era Edo (1603 M – 1868 M), yang mana masyarakat menggunakan nori untuk membalut onigiri agar tangan mereka tidak terkena nasi yang melekit ketika memakan onigiri. Peranan onigiri sebagai makanan yang berkhasiat dan mudah untuk dibawa ke mana-mana sahaja telah menjadikannya semakin terkenal dalam masyarakat.
Pada sekitar tahun 1976, rangkaian kedai serbaneka 7 Eleven menjadi kedai pertama yang menjual onigiri. Pada waktu itu, orang ramai mula menyanjungi budaya Barat dan tiada siapa menyangka bahawa onigiri akan dijual di kedai serbaneka tersebut. Masyarakat lebih berminat untuk membeli produk roti berbanding onigiri. Namun, presiden syarikat tersebut, Toshifumi Suzuki percaya bahawa onigiri boleh menjadi produk yang popular di 7 Eleven.
Jualannya begitu merosot untuk dua tahun yang pertama. Namun, 7 Eleven telah menghasilkan pembungkus plastik istimewa untuk onigiri dan menjadikan rumpai laut yang dibalut tidak terlekat pada bahagian nasi, menjadikan kepingan rumpai laut itu tetap kekal rangup sehingga pembungkusnya dibuka. Proses pembuatannya juga mula dilakukan secara automatik. Onigiri pertama yang dijual di kedai serbaneka ini semuanya dihasilkan dengan tangan, dan menjadikan rasanya berbeza-beza dan kos penghasilannya juga agak mahal.
Namun, dengan penghasilan pembungkus plastik serta proses pembuatan secara automatik telah meningkatkan kualiti rasa, kos dan bekalan onigiri. Pada hari ini, 7 Eleven telah menjual sehingga 1.25 billion onigiri setiap tahun, iaitu sekitar 4 juta pada setiap hari.
Lawson, iaitu satu lagi peneraju dalam industri kedai serbaneka, telah mengambil satu pendekatan lain dalam menghasilkan onigiri berkualiti tinggi, yang dipanggil Onigiriya. Mereka menghasilkan onigiri menggunakan beras, rumpai laut, garam dan lain-lain yang berkualiti tinggi. Mereka menggunakan beras berjenama Koshihikari dari Niigata yang mempunyai kelekitan yang sederhana dan tetap kekal dengan rasa yang sama walaupun telah sejuk.
Ada juga onigiri yang dihasilkan berdasarkan rasa sesetengah kawasan tertentu, seperti onigiri miso dan sardin dari wilayah Aomori. Satu lagi contoh adalah menggunakan bahan ikan amberback dari wilayah Kochi yang dikenali kerana isinya yang lembut dan berkhasiat. Dengan tambahan yuzu, iaitu bahan istimewa dari Kochi, ia lebih menambahkan rasa harmoni pada onigiri itu.
Proses penghasilan onigiri
Asasnya, proses penghasilan onigiri adalah sangat mudah. Pertama sekali adalah untuk memasak nasi. Kemudian, basahkan sedikit tangan dengan air dan letakkan sedikit garam pada tapak tangan. Nasi yang telah masak tadi dikepal bersama garam tadi dan dibentukkan sama ada menjadi bebola atau segitiga mengikut citarasa yang diingini.
Buat satu lubang pada bebola nasi tersebut untuk intinya. Inti bagi onigiri ini kebiasaannya adalah umeboshi, tuna, salmon bakar, ikan kod, rumpai laut, daging bakar atau takana (mustard hijau Jepun). Setelah meletakkan intinya, bentukkan nasi tersebut sekali lagi untuk mengemaskannya. Akhir sekali, balutkan bebola nasi ini ke dalam kepingan rumpai laut kering sebelum dimakan.
Jenis-jenis onigiri
Asas utama bagi onigiri adalah nasi di luar dan inti di dalamnya. Pada masa kini, selain daripada nasi putih, terdapat juga beras-beras lain yang digunakan untuk penghasilan nasi ini seperti beras perang. Selain itu, untuk intinya, bahan umum yang telah digunakan sejak dahulu ialah umeboshi, okaka (ikan bonito kering) dan rumpai laut. Tetapi pada masa kini, intinya semakin bervariasi dengan ikan salmon, daging bakar atau bersama penambahan mayonnaise.
Di samping itu, jenis-jenis onigiri baru yang dikeluarkan pada masa kini semakin unik, seperti kombinasi daripada dua makanan utama Jepun. Antaranya ialah onigiri dengan topping udang tempura yang dipanggil tenmusu serta onigiri yang dibalut dengan hirisan daging yang dipanggil nikumaki onigiri.
Kesimpulan
Onigiri yang mempunyai sejarah ratusan tahun ini kekal menjadi makanan popular di Jepun, bukan hanya kerana ia mudah untuk dibawa ke mana-mana sahaja, malah turut menjadi hidangan berkhasiat dengan asas karbohidrat daripada nasi, protein daripada intinya dan rumpai laut kering yang dibalut padanya.
RUJUKAN:
Ashkenazi, M., & Jacob, J. (2003). Food culture in Japan. Greenwood Press. USA: Greenwood Press.
Budi Mulyadi, Iriyanto Widisuseno, Reny Wiyatasary, Yuliani Rahmah, & Sri Sudarsih. (2018). Pengenalan Onigiri dan Proses Pembuatannya. HARMONI, 2(1), 51–58.
Emi Tazunegi. (2013). Onigiri: Traditional Japanese “Home Food.” Japan SPOTLIGHT, (August), 57–58.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih