Siapa yang tidak mengenali penyanyi tersohor tanah air Datuk Mohamad Nasir bin Mohamad atau yang lebih mesra dengan panggilan M. Nasir. Penyanyi kelahiran 4 Julai 1957 ini telah bergiat lama dalam industri muzik Malaysia sejak tahun 1978 lagi. Penyanyi kelahiran Singapura ini sangat terkenal dengan hasil seninya yang menggamit hati segenap pihak yang mendengar dendangan melodi puisinya.
Beliau yang meminati seni yang bergenre R&B, irama Malaysia dan pop tradisional ini bukan sahaja bergiat aktif dalam bidang muzik sahaja, malahan juga banyak melibatkan diri dalam penggubahan lagu, pelakon, pengarah, penerbit album sehinggalah sebagai seorang pelukis. Antara lagu M. Nasir yang terkenal adalah lagunya berjudul Tanya Sama Itu Hud-Hud yang kekal menjadi pujaan dan kegilaan peminatnya.
Pada rangkap awal lagu ini berbunyi,
“Tujuh puluh tiga pintu
Tujuh puluh tiga jalan
Yang sampai hanya satu jalan”
Bait-bait lirik ini sebenarnya kalau diamati dengan teliti, adalah selari dengan hadis yang disampaikan oleh junjungan mulia Nabi Muhammad SAW yang maksudnya:
“Ketahuilah bahawa orang-orang sebelum kamu daripada Ahli Kitab telah berpecah kepada 72 buah kumpulan dan sesugguhnya, kumpulan ini (Islam) akan berpecah kepada 73 (kumpulan). 72 daripadanya akan masuk ke neraka dan hanya satu daripadanya akan masuk ke dalam syurga, iaitu al-Jamaah.”
(HR. Abu Daud)
Di sini sudah terang lagi bersuluh bahawa penulis ingin menyampaikan betapa kritikalnya keadaan umat Islam zaman sekarang ini. Bahkan ada juga hadis yang mengibaratkan umat Islam sekarang diibaratkan seperti buih-buih di lautan. Mereka berada dalam jumlah yang sangat ramai tetapi malangnya, sangat lemah. Berbalik dengan lirik tadi. Fitnah atau perpecahan umat Islam sebenarnya telah terjadi sedari awal lagi iaitu sejurus selepas kematian Nabi Muhammad SAW dan apabila telah berakhirnya sistem khilafah.
Maka, muncullah pelbagai ideologi dan gerakan yang menggunakan lembayung kesucian agama Allaw SWT untuk dijadikan sebagai modal membenarkan apa-apa yang dibawa kepada umat manusia. Namun, pada akhir bait penulis menekankan bahawa hanya satu sahaja yang akan sampai menuju ke destinasi yang dituju iaitu Ahli Sunnah wal-Jamaah. Jelas sekali bahawa beliau merupakan seorang yang cakna terhadap hukum-hakam agama Allah SWT ini.
Bergerak pula kepada rangkap seterusnya yang berbunyi,
“Beribu-ribu Margasatua
Mencari Raja si Muraq
Yang sampai hanya tiga puluh…tiga puluh…”
Metafora yang diambil dalam bait lirik ini adalah daripada sebuah syair lama Parsi yang berjudul Mantiqut Thair yang ditulis pada abad pertengahan ke-12 M. Syair ini mengisahkan tentang sekelompok margasatua (burung-burung) yang sedang menempuh pelbagai jenis jalan kehidupan dalam pencarian seorang raja. Akhirnya, dalam kelompok yang berjumlah sangat ramai itu, hanya sebilangan kecil (30) sahaja yang berjaya menemukan raja yang dicari. Antara petikan kecil daripada syair tersebut adalah,
Lalu berucap Sang Hud-hud ke hadapan burung yang lain, “Kukenal baik Rajaku. Tetapi sendiri saja tak dapat aku pergi mencari-Nya. Tinggalkan kesenangan kalian, kesombongan kalian dan keingkaran kalian. Kerana setiap seorang daripada kalian yang tidak mementingkan hidupnya terbebas daripada ikatan dirinya sendiri, dia terbebas daripada ikatan baik dan buruk demi yang dicintainya. Bermurah hatilah dengan hidup kalian. Jejakkan kaki kalian di tanah dan melangkahlah ke istana Raja.”
“Kita mempunyai Raja sejati dan Dia tinggal di balik pergunungan Qaf (barisan gunung yang mengelilingi bumi). Nama-Nya Simurgh (dalam Bahasa Parsi bermaksud 30 ekor burunng) dan Dia Raja bagi segala burung. Dia dekat dengan kita, tetapi kita amat jauh dari-Nya. Tempat persemayamannya tak dapat kita capai dan tiada lidah yang dapat mengucapkan namanya.”
“Di wajah-Nya tergantung serratus ribu tabir cahaya dan kegelapan dan dalam kedua-dua dunia itu tak ada yang dapat menyaksikan kerajaan-Nya. Dia Raja yang berdaulat dan bermandikan kesempurnaan.”
Burung-burung ini diuji dengan tujuh jenis tingkatan. Ujian tersebut adalah :
- Tingkatan pertama : Tingkatan keinginan. Di sini, semua burung diminta untuk bertaubat dan meninggalkan kesemua keinginan yang bersifat duniawi.
- Tingkatan kedua : Tingkatan kerinduan. Semua burung diminta untuk menyelami lautan api supaya tubuh mereka terbakar.
- Tingkatan ketiga : Tingkatan makrifat. Semua burung harus memilih jalan sendiri lantaran banyaknya jalan untuk menuju yang satu. Setiap satu jalan disediakan sesuai dengan jiwa masing-masing.
- Tingkatan keempat : Tingkatan kepuasan. Di sini, burung-burung itu diminta untuk meninggalkan nafsu duniawi yang bersarang di hati masing-masing.
- Tingkatan kelima : Tingkatan kesatuan. Semua burung diminta untuk saling bersatu dan tidak berpecah-belah.
- Tingkatan keenam : Tingkatan kekaguman. Sampai sahaja di tingkatan ini, mereka sudah mula kebingungan dan sangat keletihan. Mereka merasakan kekosongan dalam diri mereka kerana segala perasaan dan ilmu telah hilang semuanya. “Aku merasakan curiga atas kecurigaan ku ini. Tapi, aku sendiri tidak pasti atas kecurigaan ku ini. Aku mendambakan, tapi siapa yang kudambakan?”
- Tingkatan ketujuh : Tingkatan ini adalah tingkatan yang terakhir. Tingkatan ini dinamakan tingkatan kefakiran. Segala sifat keakuan telah ditanggalkan dan dipakaikan kepada mereka jubah ketidaksedaran dan mereka hanya meneguk ruh kewujudan.
Sebagai umat Islam yang sangat berpegang teguh dengan paksi ajaran Allah SWT, perkara ini sudah pasti dan tiada wujud keraguan lagi adalah merujuk kepada makhluk dan penciptanya ; Allah SWT. Tiada satu barang pun yang dapat disamakan dengan-Nya. Tiada seorang makhluk pun yang mampu untuk melihat dan mencapai ‘arasy-Nya. Bahkan gunung saja meletus apabila Nabi Musa AS meminta supaya dilihatkan barang sedikit wajah Allah SWT.
Bait ini memberikan ibrah bahawa perjalanan menuju Sang Khaliq bukanlah semudah yang disangka. Bukanlah semudah menulis di atas kertas kerana hakikatnya perjalanan itu pasti penuh dengan ranting tajam, pasir jerlus, kala jengking dan sengatan berbisa lainnya, layaknya perjalanan burung-burung tadi yang ingin menemui Raja Burung, Raja Simurgh. Hanya orang yang benar-benar bulat tekadnya menangkis segala anasir dan godaan jahat akan berjaya menuju Sang Pencipta yang bermandikan kesempurnaan dan kecantikan.
Beralih pula kepada rangkap seterusnya yang berbunyi,
“Oh… Sang Algojo
Oh… Nanti dulu!”
Apabila dinilai dengan pandangan mata kasar, kelihatannya bait ini sangat pendek. Secara literalnya, penulis lirik ini seperti ingin menyampaikan bahawa ada seorang yang sedang meminta ditangguhkan kepadanya atas sesuatu perkara. Algojo ialah seorang manusia yang memiliki tanggungjawab untuk menjatuhkan hukuman mati terhadap seseorang. Kalau dalam Bahasa Indonesia, frasa algojo diambil daripada Bahasa Portugis iaitu algoz.
Mari kita bahaskan dari sudut perspektif Islam. Allah SWT dengan segala pengetahuan dan kebijaksanaan-Nya telah melantik Malaikat Izrail untuk menjalankan tanggungjawab mencabut nyawa makhluk-Nya. Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati. Bahkan Allah SWT berfirman dalam al-Quran mafhumnya,
“Tiap-tiap umat mempunyai batasan waktu. Maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat atau tidak dapat pula memajukannya.”
(al – A’raf : 34)
Malaikat merupakan makhluk Allah SWT yang paling taat dan tidak pernah melakukan dosa kepada-Nya. Jadi, seandainya suruhan Allah SWT itu ditetapkan pada waktu itu juga, maka mereka tidak akan membantah perintah-Nya lantas terus melaksanakan segala suruhan. Justeru, sebagai makhluk yang dijanjikan bahawa kematian itu adalah pasti, dapatkah kita meminta kepada Malaikat Izrail supaya menangguhkan kematian kita? Dapatkah kita katakan seperti dalam lirik di atas kepada Malaikat Izrail kerana pada waktu itu sebenarnya kita baru sedar bahawa setiap masa dalam hidup telah disia-siakan ke jalan kejahilan? Renungkan.
Pada rangkap yang seterusnya, lirik lagunya adalah,
“Lihat dunia dari mata burung
Atau lihat dari dalam tempurung
Yang mana satu engkau pilih?”
Sungguh halus seni yang ditonjolkan oleh penulis lirik ini. Dalam al-Quran sendiri sebenarnya ada menceritakan tentang betapa jujurnya burung Hud-hud kepada Nabi Sulaiman AS. Kisah Hud-hud boleh dibaca dalam al-Quran dan antara pengakuannya yang ada dirakamkan oleh Allah SWT,
Maka tidak lama kemudian (datanglah Hud-hud), lalu ia pun berkata, “Aku telah mengetahui sesuatu yang kamu belum mengetahuinya dan kubawa kepadamu dari negeri Saba’ suatu berita penting yang diyakini.”
(An – Naml : 22)
Lalu penulis memberikan perbandingan dengan pandangan dari talam tempurung. Bukankah peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa janganlah jadi seperti katak di bawah tempurung. Kerana di bawah tempurung itu gelap dan sempit. Suram dan kelam bahkan tidak diketahui pula perkara yang berlaku di dunia luar.
Jadi perbandingan yang ketara di sini adalah, adakah kita ingin memilih memandang seuatu dengan pandangan burung yang meluas (kerana memandang dari atas) atau sekadar berpeluk tubuh tanpa ada sebarang kesedaran? Adakah kita mahu menggunakan akal dengan sewajarnya atau sekadar biar diri dan fikir lena diulit mimpi dalam mencari makna kebenaran supaya tidak terpesong daripada fitrah Islam yang sebenar?
Kemudian, rangkap yang seterusnya berbunyi :
“Dalam kalut ada peraturan
Peraturan cipta kekalutan
Yang mana pula kau berdiri? Di sini…”
Marcapada ini, kesucian dan keutuhan hukum-hakam agama Islam sudah mula dipertikai dan dipersoal. Mereka mula membelakangi ayat-ayat al-Quran, hadis Nabi Muhammad SAW serta hukum-hakam yang ditentukan oleh para alim ulama’ Dek kerana kejahilan melampau dan budaya ikut-ikut ideologi serta pemikiran secara membabi buta, sesetengah pihak zaman kini merasakan bahawa Islam bukanlah solusi kepada permasalahan yang berlaku. Mereka menganggap bahawa garis panduan dalam Islam sudah tidak relevan lagi untuk diasimilasikan dalam kehidupan masyarakat.
Padahal, dalam al-Quran sudah tertulis segala macam solusi dan jalan keluar kepada semua permasalahan yang berlaku pada hari ini. Namun demikian, sesetengah orang merasakan bahawa Islam ini amat sukar dipraktikkan lantas mereka mula mengambil pemikiran liberal atau sebagainya sebagai jalan keluar yang dianggap lebih mudah dan mesra pengguna.
Kekalutan itu sendiri sebenarnya sudahlah lama wujud dan terlalu meluasnya berlaku di atas muka bumi Allah SWT ini. Apabila hukum Allah SWT dianaktirikan, maka segala macam kebobrokan dan masalah akan berlaku. Kerana sesungguhnya manusia itu amat jauh daripada sifat kesempurnaan. Maka, segala macam penyelesaian dan penghakiman manusia itu juga jauh daripada kesempurnaan. Kecuali mereka yang benar-benar mengambil dan mengikuti apa-apa yang disuruh dan dilarang oleh-Nya.
Apabila kita menelusuri sirah Nabi Muhammad SAW, Baginda telah diutuskan dengan membawa sinar harapan kepada masyarakat Arab Jahiliyah yang sentiasa bergelumang dengan kehidupan yang tidak berpedoman. Hadirnya Rasulullah SAW mengubah keadaan mereka daripada buruk menjadi kepada yang lebih baik.
Adapun bagi frasa ‘di sini’, penulis ingin menekankan bahawa umat Islam seharusnya berdiri dengan teguh dan berpegang kepada garis panduan yang ditetapkan oleh Allah SWT tanpa terpengaruh dengan mana-mana ideologi atau pemikiran buruk. Umat Islam seyogianya berpegang kepada al-Quran, sunnah Nabi Muhammad SAW dan ijma’ ulama.
Seterusnya, penulis mengatakan dalam melodi puisinya,
“Berikan ku kesempatan akhir ini
Untuk menyatakan kalimah sebenar
Berikan ku kesempatan akhir ini
Lai lai lai lai lai…”
Orang tua-tua kata, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Jangan sudah terhantuk baru nak terngadah. Jadi, sediakanlah payung sebelum hujan. Masa rayuan, kompromi atau tolak ansur tidak akan diberikan apabila Malaikat Izrail telah datang menjengah. Jadi, sementara waktu masih ada, gunakanlah kesempatan ini sebaik mungkin. Bak kata penyanyi tersohor dari seberang, Ebiet G. Ade, “Mumpung kita masih diberi waktu.”
Kemudian pada rangkap terakhir lagu ini adalah seperti ini,
“Tanya sama itu Hud-hud
Lang mensilang koi mengsikoi
Kerana dia yang terbangkan aku ke mari”
Oleh kerana burung Hud-hud yang mendakwa dirinya membawa kawanan burung lainnya menghadap raja dan mengakui bahawa Raja Simurgh itu wujud, frasa ‘Lang Mensilang koi mengsikoi’ membawa erti ‘Orang yang tak seperti orang, jin yang tak seperti jin’. Jin yang dimaksudkan ialah alam ghaib itu sendiri dan orang pula ialah alam zahir.
Ertinya, roh manusia diterbangkan dari alam roh ke alam dunia lalu memasuki ke dalam jasad manusia sementara menghadapi perjalanan menuju kea lam barzakh. Roh itulah yang perlu disucikan dan dibersihkan daripada segala kekotoran sebelum dipulangkan kepada Sang Pencipta dalam keadaan asal yang suci dan bersih. Dunia ini adalah tempat persinggahan dan kebun menuai hasilnya di akhirat. Jadi, di sinilah manusia diarahkan untuk melakukan amal kebajikan sebanyak mungkin untuk dipersembahkan kepada Allah SWT.
Sebenarnya di balik kesohoran Datuk M. Nasir, ada satu figura yang sebenarnya kurang didendangkan atau Unsung Hero yang menjadi salah satu pemangkin keberhasilan M. Nasir. Lagu ini telah ditulis oleh seseorang yang bernama Rosli Khamis yang lebih dikenali dengan nama Loloq. Loloq inilah yang sudah menulis lirik lagu Tanya Sama Itu Hud-hud. Kita sewajarnya mengaitkan segala perkara yang berlaku dalam kehidupan kita dengan Islam dan hukum-hakam Allah SWT kerana pada akhirnya, kita akan dikembalikan kepada-Nya.
Wallahu Ta’ala A’lam.
Bibliografi :
- Al-Quran terjemah.
- Farid Uddin Attar (penulis), Andrew Harvey (pengenalan), R. P. Masani (penterjemah dan komentar (2001), Conference of The Birds : A Seeker Journey to God, Canada, Weiser Books.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih