Dalam hukum fitrah alam, setiap hidupan harus melalui fasa-fasa kehidupan iaitu dari muda hingga tua, kemudian mencapai kematian. Tidak kira hidupan itu adalah bakteria, fungus, tumbuhan, serangga, atau mamalia, mereka harus melaluinya. Inilah fitrah yang telah Tuhan tentukan sejak hidupan lahir mengikut zat-nya.

Namun, ada satu hidupan yang terang-terang menentang hukum fitrah alam ini. Seolah-olah ia mengelak kematian sehinggalah hari kiamat. Apakah hidupan tersebut?

Hidupan yang hidup abadi adalah sejenis spesis obor-obor bernama Turritopsis dohrnii. Obor-obor ini berbentuk loceng dengan diameter sepanjang 4.5 milimeter. Perutnya dilihat secara jelas dari tubuh halimunan dengan berwarna merah dan berbentuk salib apabila dilihat dari bahagian atas kepala. Ketika muda ia mempunyai 8 sesungut dan apabila mencapai usia matang, obor-obor ini mampu mencapai 80-90 sesungut.

Turritopsis dohrnii ini adalah hidupan bebas dalam komuniti plankton dan mikroorganisma. Diet obor-obor ini adalah pemakan plankton haiwan atau zooplankton. Seperti obor-obor lain, ia mempunyai sesungut berbisa bernama nematocyst bersembunyi dalam sesungutnya yang berfungsi untuk melumpuhkan mangsa.

Haiwan ini juga biasa diburu oleh pemangsa seperti anemone laut (sejenis terumbu karang yang mempunyai sesungut), ikan seperti tuna atau jerung, penyu, dan penguin.
Habitat obor-obor ini pula pertama kali ditemui di Laut Mediterranean pada 1857, kemudian tersebar ke seluruh dunia kerana migrasi besar-besaran yang menggunakan kapal sebagai ‘pengangkutan’.

Kerana kapal, obor-obor ini menetap di bahagian bawah kapal selain dasar laut. Dengan penyebaran ini, Turritopsis dohrnii dikatakan sebagai haiwan invasi yang senyap kerana tubuh kecilnya tidak disedari oleh manusia apabila berlaku invasi haiwan ini.

Kembali kepada kehidupan abadi obor-obor ini, mengapa ia mampu melawan hukum fitrah alam? Terlebih dahulu, kita mengenal dulu kitaran hidup obor-obor secara asas.

Kitaran hidup Turritopsis dorhnii. Kitaran panah merah itulah cara obor-obor ‘mengundurkan usia’nya.

Hidupan individu Turritopsis dohrnii bermula dari pensenyawaan dari kedua-dua obor-obor jantan dan betina. Dari telur yang disenyawa, lahirnya planula. Planula adalah ‘larva obor-obor’ yang mampu berenang dengan sesungut kecil yang mengelilingi tubuhnya.

Kemudian planula ‘bercambah’ menjadi individu baru bernama polip iaitu ‘obor-obor versi tumbuhan’. Polip ‘tumbuh’ di dasar laut yang jarang dilihat oleh manusia namun uniknya versi ini adalah ia mampu melahirkan banyak klon dari hujung cabang polip. Dari polip-lah wujudnya fasa akhir obor-obor iaitu medusa. Medusa inilah rupa obor-obor yang kita kenal sekarang.

Bagi Turritopsis dohrnii, fasa medusa inilah keajaiban bakal berlaku. Apabila medusa mencapai dewasa, ketika diancam oleh pelbagai halangan seperti perubahan suhu laut, cedera, atau mencapai usia tua, ia mampu ‘mengundurkan usia’ sebagai senjata akhir obor-obor ini.

Maksud ‘mengundurkan usia’ ini adalah ia mampu mengecutkan diri dan mampu menukar sel-sel yang ada kepada sel baru seperti menukar sel otot kepada sel sara. Teknik perubahan sel ini dinamakan sebagai ‘transdifferentiation’.

Obor-obor yang mengecut ini kemudian menjadi ketulan kecil yang terkubur dalam dasar laut dan lahir polip baru, melahirkan lagi medusa-medusa baru. Dengan cara ini, Turritopsis dohrnii mampu mengekalkan spesisnya melalui fasa ‘pengunduran usia’ yang luar biasa ini.
Keupayaan obor-obor ini telah mengejutkan pakar biologi dari Swarthmore College, AS iaitu Profesor Scott F. Gilbert yang mengetuai kajian ke atas Turritopsis dohrnii. Dalam 4,000 sampel, seratus-peratus dari keseluruhan sampel akan kembali muda secara semula jadi. Tidak adapun antara sampel yang mati.

Tambahan lagi, keupayaan ‘mengundurkan usia’ obor-obor ini menarik para saintis biologi dan genetik dunia untuk merungkai penyembuhan semula dari kanser yang merebak namun ia masih dalam perbincangan akan relevan penerusan kajian ke atas obor-obor tersebut.

Walaupun Turritopsis dohrnii diiktiraf menjadi obor-obor yang hidup abadi, ia juga bakal mati apabila ia tidak mencapai usia matang dengan menjadi santapan pemangsa atau diserang penyakit. Jadi, fasa medusa matang sajalah ia mampu melakukan teknik ‘pengunduran usia’ ini.

Maka, dalam masa akan datang adakah Turritopsis dohrnii ini bakal menjadi penyelamat manusia dari sebarang kanser yang mampu meragut nyawa, sekaligus memperoleh kehidupan abadi?

RUJUKAN:

Hongbao Ma, Yan Yang (2010). Turritopsis nutricula. PDF:
http://free-journal.umm.ac.id/…/Turritopsis%20nutricula…

Levs, M. L. (5 May 2020). Immortal Jellyfish: Does It Really Live Forever? Treehugger. Retrieved from 26 December 2020. https://www.treehugger.com/immortal-jellyfish-does-it…

Piraino, Stefano; F. Boero; B. Aeschbach; V. Schmid (1996). “Reversing the life cycle: medusae transforming into polyps and cell transdifferentiation in Turritopsis nutricula (Cnidaria, Hydrozoa)”. Biological Bulletin. 190 (3): 302–312.

Rich, Nathaniel (November 28, 2012). “Can a jellyfish unlock the secret of immortality?”. The New York Times Magazine. Retrieved October 22, 2017.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.