Dinasti Qing merupakan dinasti beraja terakhir yang memerintah negara China, sebelum ditewaskan oleh Revolusi Xinhai pada tahun 1911 untuk membentuk Negara Republik China. Dinasti Qing bermula selepas kejayaan Hong Taiji, anakanda Nurhaci menewaskan Tentera Dinasti Ming di wilayah Liaodong pada tahun 1636, 10 tahun selepas kemangkatan Nurhaci.

Dinasti Qing memerintah Negara China sejak tahun 1644 selepas pemangku takhta dinasti Qing, Dorgon menewaskan pemberontak Li Zicheng yang menawan ibukota Ming dan menyebabkan Maharaja Ming yang terakhir membunuh dirinya di istana. Dorgon Berjaya menewaskan Dinasti Shun yang diasaskan oleh Li Zicheng dengan bantuan Wu Sangui yang tidak mahu berkhidmat di bawah pemerintahan Li Zicheng.

Dinasti Qing yang diasaskan oleh Hong Taiji ini memerintah Negara China sejak 1644 hinggalah 1912, selama lebih 270 tahun, walaupun mereka bukanlah pemerintah berbangsa China sebenar (Bangsa Han), mereka adalah puak Aisin Gioro, kaum-kaum Mongol yang berasal daripada lembangan Sungai Tunguska di utara Ulaan Batur, Mongolia. Nurhaci adalah pemula kepada kejayaan hebat Dinasti Qing dalam menguasai seluruh negara China, walaupun baginda terkorban dalam Pertempuran Ningyuan pada tahun 1626, 10 tahun sebelum anaknya menubuhkan Dinasti Qing.

Rajah 1: Potret Nurhaci dengan pakaian kebesarannya

Dalam kedinginan salju yang memutih memenuhi perkarangan kediaman berdinding lumpur dan sekam pada musim sejuk membeku itu, lahirlah seorang bayi lelaki dalam suasana biasa. Musim sejuk pada tahun 1559 itu menyaksikan kelahiran seorang bayi kepada keluarga puak Gioro yang tiada pengaruh, terselindung di sebalik berpuluh-puluh puak Jurchen yang lebih dominan di Tebing Jaringan Sungai Liao dan Heilong, apatah lagi kediaman mereka yang terletak di Pinggir Sungai Suzi (Sungai Suksuhu) itu tidak menjadi tumpuan puak-puak Jurchen yang lain.

Namun, tiada sesiapapun yang akan  menyangka bahawa bayi itu akan menjadi pengasas kepada sebuah ketamadunan, empayar yang keempat terbesar yang pernah dibina dalam sejarah dunia. Berasal daripada bangsa nomad berasaskan perhambaan terhadap ketua puak dalam memburu dan menangkap ikan, mereka bertukar gaya kehidupan kepada menetap secara kekal di tebing Sungai Suzi itu. Di situlah Nurhaci dilahirkan dan dibesarkan.

Sebagai ketua puak Gioro yang juga dikenali sebagai Puak Sungai Suksuhu, bapanya Taksi bergelut untuk mengembalikan kegemilangan puak mereka di Wilayah Jurchen Janzhou ini. Nurhaci dikatakan keturunan daripada Mongke Temur yang dilantik menjadi komander Dinasti Ming di pos kawalan Jianzhou, kira-kira 200 tahun sebelum kelahiran Nurhaci. Selepas kematian Mongke Temur, prestasi keluarga mereka merudum sehinggakan Datuknya Giocangga dan bapanya Taksi tidak terpilih menjadi pegawai Dinasti Ming dalam kalangan puak Jurchen yang lain. Namun, Giocangga tidak berputus asa dalam usaha mengembalikan kegemilangan puaknya. Semasa peperangan antara puak, Giocangga berpihak kepada Wang

Koo, ketua puak yang sangat berpengaruh dalam kelompok Kaum Jurchen Jianzhou. Giocangga berusaha mengahwinkan anaknya, Taksi dengan keturunan Wang Koo, dan akhirnya perkahwinan antara Taksi dengan Xuan, puteri Atai dan cucu Wang Koo berjaya dimeterai. Daripada perkahwinan ini, lahirlah Nurhaci dan adiknya Surhaci. Oleh itu,Nurhaci juga adalah cicit kepada Wan Koo, ketua puak yang sangat berpengaruh.

Namun begitu, diplomasi secara perkahwinan dalam budaya Jurchen tidaklah memainkan peranan yang besar dalam perdamaian. Kesilapan kecil boleh melibatkan pertumpahan darah, walaupun puak-puak ini telah mengahwinkan anak-anak mereka. Wang Koo adalah ketua puak yang sangat hebat serta mahir dalam seni mempertahankan diri. Beliau juga mahir bertutur dalam Bahasa Cina, Mongol dan Jurchen.

Oleh sebab itu, Wang Koo menakluk puak-puak Jurchen yang berhampiran dan menubuhkan sebuah Kota yang lengkap dengan pertahanan di Bukit Gure, Daerah Liaoning. Beliau juga dianugerahkan jawatan rasmi oleh Dinasti Ming. Wang Koo sangat kaya dan membentuk perikatan dengan 9 puak utama Jurchen. Ketiga-tiga pegawai pos kawalan Jianzhou berada di bawah kekuasaan Wang Koo.

Berbeza dengan Nurhaci yang menerima nasib malang. Pada usian 10 tahun, ibunya meninggal dan ibu tirinya tidak menyukai Nurhaci. Oleh itu, pada usia 10 tahun, Nurhaci telah dipaksa untuk bekerja mencari hasil hutan dan menjualkannya di pasar bangsa Jurchen. Namunn begitu, Nurhaci turut diajarkan ilmu mempertahankan diri datuk dan bapanya. Hasilnya, Nurhaci menjadi pemanah yang sangat handal. Mengikut riwayatnya, Nurhaci berjaya membidik lima anak panah ke sasaran dengan kesemuanya tepat, sedangkan penembak tepat yang bertarung dengannya tersasar dua anak panah. Nurhaci membesar dengan kesukaran yang amat sangat, walaupun beliau merupakan cucu kepada dua ketua puak utama Puak Jurchen Jianzhou.

Oleh sebab kekurangan kasih saying, Nurhaci dan adiknya Surhaci sering bermain di rumah moyangnya, Wang Koo. Nurhaci sangat mengidolakan moyangnya itu dengan kehebatan Wang Koo mengurustadbir puak, mengatur strategi dan berkarisma tinggi. Nurhaci juga mengimpikan suatu hari nanti, beliau pula yang akan menjadi ketua utama puak seperti moyangnya. Namun begitu, panas tidak selalunya ke petang. Kekuatan tentera Wang Koo menyebabkan mereka selalu menyerang wilayah Bangsa Cina dan memusnahkan harta benda serta membunuh general-general tentera diraja Ming. Perkara tersebut mengguris hati Maharaja Cina itu.

Pada tahun 1570, Li Chengliang, seorang general yang hebat dan berkemahiran tinggi dalam seni mempertahankan diri dan ilmu peperaangan dilantik menjadi Komander Daerah di Jurchen Jianzhou. Beliau telah bertarung dengan hebatnya dalam pertempuran dengan puak Mongol dan menang dalam banyak peperangan. Sebagai komander daerah yang baharu, Li Chengliang berhasrat untuk memerintah wilayah Jurchen dengan kuku besi. Justeru itu, pada Tahun 1574, Li Chengliang telah menyerang kubu Wang Koo di Bukit Gure dalam usaha melemahkan pengaruh Jurchen.

Datuk Nurhaci, Giocangga melihat peluang untuk meningkatkan kembali prestij keluarganya telah menyatakan kesetiaan kepada Li Chengliang dan bersama-sama bapa Nurhaci, Taksi berpihak kepada Li Chengliang, memberikan maklumat dan memimpin tentera Li Chengliang ke Bukit Gure. Dalam pertempuran di Bukit Gure, lebih 1,000 orang terbunuh dan Tentera Ming berjaya menawan Bukit Gure. Wang Koo berjaya meloloskan diri, namun ditawan dalam pertempuran lain, sebelum dibawa ke ibukota Ming untuk dihukum bunuh. Nurhaci yang berada di kediaman moyangnya ketika itu ditawan oleh Li Chengliang.

Pada usia 15 tahun ketika itu, Nurhaci diserap ke dalam tentera Li Chengliang. Dalam perkhidmatannya itu, Nurhaci telah mempelajari banyak seni peperangan dan beliau berjaya merapatkan hubungan dengan Li Chengliang. Hubungan yang baik inilah yang melonjakkan Nurhaci ke peringkat yang lebih tinggi lagi. 3 tahun kemudian, Nurhaci meninggalkan tentera dan pulang ke kampung halamannya di tebing Sungai Suzi.

Perbuatannya itu menjadikan ia pelarian tentera yang sangat dikehendaki oleh kerajaan. Nurhaci terpaksa bergerak pada waktu malam dan tidak menggunakan jalan utama semasa perjalanannya. Semasa melewati Yehe, beliau berjumpa dengan ketua puak Yehe dan diberikan kuda serta pakaian yang bersesuaian. Nurhaci jua ditawarkan perkahwinan dengan seorang anak kecilnya yang bernama Monggo. Namun, Nurhaci perlu menunggu anak tersebut besar terlebih dahulu.

Setibanya Nurhaci di kampung halamannya, Nurhaci yang berusia 18 tahun ketika itu dikahwinkan dengan seorang gadis jelita bernama Tunggiya dan mereka tinggal berasingan daripada keluarga Taksi. Ketika ini, Nurhaci hanya menerima sedikit sahaja sumber kewangan sebagai pewaris puak. Nurhaci berpindah ke kampung Parami yang terletak di sebalik bukit di pinggir Sungai Suzi, kira-kira 5km dari perkampungan asalnya.

Di sini, Nurhaci kembali melakukan pekerjaan lamanya mencari hasil hutan dan ginseng untuk menyara keluarganya. Menetap di tempat yang terpencil menyebabkan Nurhaci bertambah cekap dan personaliti kepimpinannya semakin berkembang. Ayahnya menawarkan harta yang lebih kerana rasa bangga dengan Nurhaci, namun beliau menolak. Di sebalik ketenangan aliran Sungai Suzi itu, hati Nurhaci sering bergelodak. Puak-puak Jurchen Jianzhou masih sering berperang sesama sendiri demi merebutkan makanan dan kawasan. Nurhaci sering mundar-mandir di sekitar pergunungan setiap kali berlakunya peperangan antara puak dan beliau mempunyai keazaman untuk menamatkan peperangan yang merugikan puak-puak Jurchen itu sendiri.

7 Tahun selepas kematian Wang Koo, anaknya Atai masih lagi mengawal Kota Bukit Gure untuk menentang tentera Ming. Pada tahun 1583, Li Chengliang sekali lagi menyerang Kubu Bukit Gure dengan bantuan Ketua puak Jurchen yang bernama Nikan Wailan. Ayah dan Datuk Nurhaci masih lagi membantu tentera Li dalam peperangan ini. Setelah beberapa hari, tentera Ming masih lagi tidak dapat menembusi kekebalan kubu Bukit Gure itu.

Oleh sebab Giocangga dan Taksi mempunyai pertalian dengan Atai, mereka dihantar untuk memohon Atai menyerah, namun Atai tidak bersetuju dan menahan kedua-dua mereka di Bukit Gure. Tidak lama kemudian, Tentera Ming berjaya menewaskan kekebalan Kubu Bukit Gure dan menyembelih semua yang berlindung dalam kubu tersebut sehingga menyebabkan Giocangga dan Taksi turut terbunuh. Nurhaci mendapat perkhabaran pembunuhan ahli keluarganya itu dengan perasaan marah yang membuak-buak kerana rasa dikhianati oleh Kerajaan Ming.

Sebagai anak yang sulung, Nurhaci mewarisi jawatan sebagai ketua puak menggantikan bapanya. Selepas mewarisi jawatan tersebut, Nurhaci dengan marahnya membuat bantahan kepada Kerajaan Ming di atas kematian ayah dan datuknya yang dibunuh oleh tentera Ming sendiri, walhal mereka berkhidmat kepada Ming. Kerajaan Ming menebus kesilapan mereka dengan menganugerahkan Nurhaci 20 kertas pengiktiran kerajaan kepada Nurhaci, 30 kuda dan jawatan sebagai Kapitan Jianzhou.

Dengan kematian kedua-dua orang yang disayanginya itu, hanya Nurhaci sahajalah yang mampu mengembalikan kegemilangan nama puak mereka. Walaupun secara rasminya Nurhaci telah menjadi kapitan Jianzhou, beliau sebenarnya tidak mempunyai kuasa penuh dalam mengawal semua kaum Jurchen Jianzhou. Puak-puak Jurchen masih lagi berperang sesama sendiri. Di Jurchen Jianzhou, terdapat tiga puak utama iaitu Puak Sungai Suksuhu (puaknya), Puak Sungai Hun dan Puak Zechen. Setiap puak pula terbahagi kepada banyak puak-puak kecil yang saling berbunuhan demi merebut kuasa, wilayah dan makanan.

Nurhaci memikirkan strategi untuk menguasai Jianzhou dengan sebenar-benarnya sebagai seorang pemimpin ulung. Akhirnya, beliau mendapat idea untuk menghapuskan dahulu pesaing utama iaitu Nikan Wailan. Nikan Wailan bukanlah lelaki yang terhormat dalam puak Jurchen, tetapi disebabkan dia disenangi oleh Kerajaan Ming dan membuat sumpah setia kepada Maharaja Ming, maka prestijnya bertambah dalam kalangan puak Jurchen yang lain. Nurhaci menuduh Nikan Wailan sebagai pembunuh bapa dan datuknya.

Beliau menggesa Tentera Ming membantunya menewaskan Nikan Wailan atas tuduhan tersebut. Namun begitu, pegawai kerajaan Ming menolak permintaan Nurhaci dan mengugut untuk melantik pula Nikan Wailan sebagai Kapitan Jianzhou. Peristiwa ini menyebabkan prestasi Nikan Wailan bertambah dan ramai ahli puak yang memihak kepada Nikan Wailan termasuklah keluarganya sendiri.

Situasi yang tidak memihak kepada Nurhaci ini tidak menggentarkannya. Dengan hanya 13 pakaian zirah yang diwarisinya dan kira-kira 30 orang sahaja yang setia kepada Nurhaci, beliau mengatur gerak untuk menguasai Jianzhou. Mengambil kesempatan di atas peperangan antara puak, Nurhaci Berjaya mendapatkan sokongan hampir 100 orang pejuang Jurchen. Pada tahun 1584, ketika usianya baru menginjak ke 25 tahun, Nurhaci mengetuai tenteranya menyerang Nikan Wailan di Desa Tulun. Nurhaci berjaya menewaskan Tulun, namun Nikan Wailan berjaya meloloskan diri ke Erhun.

Dua tahun kemudian, Nurhaci menawan Kota Joogiya selepas mereka menggali lubang pada ais di dinding kota untuk dijadikan tangga oleh tentera Nurhaci. 6 bulan kemudian, kempennya diteruskan dengan menyerang 3 perkampungan di bukit Mardun, tetapi gagal. Beliau mengetuai angkatan perangnya memanjat bukit Mardun pada waktu malam dan akhirnya mereka berjaya menawan Mardun. Keperwiraan Nurhaci dalam mengepalai setiap serangan menyebabkan dia dihormati oleh tenteranya dan kebijaksanaannya menarik ramai kaum Jurchen untuk berkhidmat di bawahnya.

Pada tahun 1587, apabila angkatan tenteranya semakin membesar, sekali lagi Nurhaci menewaskan  Nikan Wailan di Erhun dan Nikan Wailan melarikan diri ke Kawasan Li Chengliang. Tidak lama kenudian, Nurhaci meminta Li Chengliang menyerahkan Nikan Wailan kepadanya. Li Chengliang memberikan informasi kepada Nurhaci kedudukan Nikan Wailan dan dia dipenggal di tempat tersebut. Dengan kematian Nikan Wailan, Nurhaci menjadi sasaran pembunuh termasuklah ahli puaknya sendiri. Namun Nurhaci yang licik dan hebat dalam ilmu mempertahankan diri itu tidak terkalahkan. Nurhaci juga mendapat sokongan daripada Li Chengliang dan kuasanya bertambah kuat dan wilayahnya bertambah besar setelah disokong oleh Li Chengliang. Istana Ming pada masa ini pula mengalami krisis apabila Maharaja Wanli memalukan makam Zhang Juzheng, bekas Setiausaha Agung yang meninggal dua tahun sebelumnya dan maharaja turut membubarkan polisi yang yang dibuat oleh Zheng Juzheng dan menyebabkan pergolakan dalam kerajaan Ming. Oleh sebab Dinasti Ming yang semakin merudum, mereka tidak terlalu menghiraukan urusan di utara China menyebabkan perluasan kuasa Nurhaci tidak dihiraukan seperti di zaman Wan Koo. Tambahan pula, kerajaan Ming menaruh harapan bahawa Nurhaci boleh memimpin penduduk Jianzhou untuk tunduk kepada mereka. Kerajaan Ming menganugerahkan 800 tahil perak dan 15 gulungan kain setiap tahun kepadanya sebagai pembesar rasmi Ming di Jianzhou.

Rajah 2: Kawasan Perluasan Kuasa Nurhaci

Nurhaci berjaya menundukkan berpuluh-puluh puak Jurchen Jianzhou, tetapi masih tidak berjaya menyatukan seluruh puak Jurchen Jianzhou. Pada tahun 1587, Nurhaci membina Kota Fe Ala dan menyatukan kesemua puak Jurchen Jianzhou di Sungai Suksuhu dan Sungai Hun. Kota Fe Ala juga terletak di kaki gunung yang dikelilingi oleh jurang di tiga sisinya. Kedudukan Kota Fe Ala yang strategik membolehkan pertahanannya semakin kukuh. Dengan diameter lebih 10, kota Fe Ala menjadi ibukota Nurhaci yang sangat penting. Di Kota itu, Nurhaci berkahwin dengan Monggo, yang akan melahirkan Hong Taiji, pemerintah selepas Nurhaci mangkat.

Rajah 3: Kota Fe Ala

Nurhaci sedar bahawa Kerajaan Ming akan menyekat puak Jurchen yang terlalu berkuasa. Oleh itu, dia berpura-pura sangat menghormati pegawai-pegawai dinasti Ming terutamanya Li Chengliang, majikan lamanya. Beliau memberikan banyak kekayaan kepada Li Chengliang dan memberikan anak saudaranya sebagai gundik kepada anak Li Chengliang. Nurhaci juga dianugerahkan jawatan tertinggi dalam kerajaan Ming di Jianzhou sebagai Pembantu Pesuruhjaya ketenteraan Daerah Jianzhou.

Pada Tahun 1592, Tentera Jepun melalui Toyotomi Hideyoshi menghantar 150,000 tenteranya menyerang dan menduduki Korea. Nurhaci mengambil peluang untuk menunjukkan kesetiaannya dengan mencadangkan tenteranya menentang Jepun yang menyerang Korea. Namun begitu, Korea menolak cadangan tersebut kerana bimbang dengan sifat gasar orang-orang Jurchen. Ming tidak meluluskan permohonan Nurhaci untuk membantu melawan Jepun. Namun begitu, Nurhaci berjaya mendapatkan kepercayaan yang lebih daripada Kerajaan Ming.

Serangan Jepun berjaya dipatahkan oleh tentera Ming. Pada Tahun 1597, Jepun sekali lagi menyerang Korea. Tentera Ming yang mempunyai senjata api yang banyak di Liaodong dikerahkan ke Korea. Dalam peperangan tersebut, tentera Jepun berjaya dikalahkan, namun Dinasti Ming yang sibuk dengan peperangan dan kerugian banyak harta-benda tidak sempat memerhatikan situasi di Jianzhou. Nurhaci yang mendapat pengiktirafan dan kepercayaan daripada Dinasti Ming mula meninjau-ninjau untuk menyerang Jurchen Haixi.  Jurchen Haixi ialah bangsa Jurchen yang mendiami sepannjang Sungai Haixi (Sungai Songhua). Mereka terbahagi kepada 4 puak utama iaitu Yehe, Ula, Hada dan Hoifa. Mereka dikenali sebagai 4 Puak Hulun. Peningkatan kuasa Nurhaci menyebabkan semua puak Haixi rasa terancam, terutamanya Puak Yehe, puak yang paling kuat dalam semua puak Jurchen Haixi.

Bimbang dengan kuasa Nurhaci, perkahwinan digunakan sebagai diplomasi tetapi ia tidak memadamkan keinginan Nurhaci dalam pelebaran kuasa. Menyedari akan ancaman tersebut, keempat-empat puak tersebut disertai dengan lima puak Corchin Mongol bertekad menyerang Nurhaci atas alas an Nurhaci tidak mahu memberikan sedikit wilayahnya kepada abang iparnya, Buzhai iaitu penguasa Yehe.

Pada tahun 1593, seramai kira-kira 30,000 tentera gabungan berarak ke Fe Ala untuk menyerang Nurhaci. Nurhaci yang mempunyai 10,000 tentera sahaja tidak gentar menghadapi ancaman tersebut. Beliau mengarahkan tenteranya serang dahulu tentera gabungan dengan membuang pakaian zirah yang berat-berat menyebabkan tenteranya dapat bergerak lebih laju dan semangat juang mereka meningkat. Akhirnya, pertempuran berlaku di Bukit Gure dan ia menyaksikan bagaimana Buzhai termasuk dalam perangkap dan terbunuh di Bukit Gure. Kematian ketua puak Yehe itu menyebabkan moral tentera gabungan merudum dan serangan demi serangan tentera Nurhaci menyebabkan tentera gabungan mengalami kekalahan. Kejayaan mengalahkan tentera gabungan 9 puak tersebut meningkatkan lagi prestij Nurhaci.

Selepas kejayaan tersebut, Nurhaci menyerang dan menakluk Puak Juseri di Gunung Changbai sebelum musim sejuk pada tahun 1593. Semasa musim sejuk, Nurhaci menghadap Maharaja di Beijing dan dengan senyap-senyap dia mengarahkan tenteranya menakluk pula puak Neyen di pinggir sungai Yalu. Dengan itu, semua puak Jurchen Jianzhou telah berada di bawah taklukan Nurhaci. Kempen yang dijalankan selama 10 tahun itu telahpun memberikan hasil yang gemilang.

Rajah 4: Jurchen yang telah disatukan di bawah kuasa Nurhaci

Pada tahun 1599, Nurhaci menyuruh pembesarnya mencipta sistem tulisan Jurchen yang mengadaptasikan tulisan Mongol. Dengan adanya sistem tulisan ini, urusan pentadbiran di Fe Ala semakin tersusun dan puak-puak Jurchen semakin terasimilasi untuk mengikuti sistem kehidupan masyarakat bertamadun. Pada awal kurun ke-17, Tokugawa Ieyasu menjadi shogun dan merubah hubungan dengan kerajaan Joseon (Korea) dan menyebabkan kerajaan Joseon di bawah Raja Gwanghaegun bertambah kuat. Joseon menghantar tenteranya ke utara Sungai Tumen dan menghancurkan puak Jurchen Holjaon di sana. Namun begitu, nasib bangsa Jurchen terletak di bahu Nurhaci dengan berkembangnya wilayah pemerintahan beliau setelah berjaya menyerap Hada (1601) dan Hoifa (1607) menerusi berbagai kempen yang dilancarkannya. Nurhaci juga bermain dengan diplomasi dengan mengahwinkan 9 puterinya dengan putera Mongol, terutamanya dari Korchin dan Kharachin.

Perikatan ini menjadikan Nurhaci sebagai Ketua Puak yang paling agung di wilayah Jurchen. Pada tahun 1607, delegasi dari 5 Khalka (Negara Mongol) mengiktiraf Nurhaci sebagai Khan dengan gelaran Kundulun Khan. Nurhaci membuat reformasi ketenteraan dengan mengadaptasikan sistem ketenteraan Mongol zaman Genghiz Khan iaitu sistem panji. Beliau menukarkan unit-unit kecil mengikut puak (10 – 12 orang) kepada kompani yang lebih besar (niru), setiap kompeni membentuk batalion (jalan) yang membentuk 4 tentera panji (gusa) dengan 4 warna iaitu kuning, putih, biru dan merah.

Dengan pembentukan ketenteraan yang tersusun dan berdisiplin ini, Nurhaci berjaya meluaskan kuasanya di seluruh kawasan Jurchen ini. Ketenteraan Nurhaci pula dibiayai oleh hasil bumi yang sangat bernilai iaitu ginseng. Pada zaman tersebut, ginseng yang ditemui di Pergunungan Changbai sangat tinggi nilainya. Dengan kekayaan hasil giseng ini, Nurhaci berjaya meningkatkan ekonominya dan dapat membiayai setiap kempen penaklukannya.

Pada tahun 1603, Nurhaci kembali semula ke kampung kelahirannya di pinggir Sungai Suzi dan membina kota baharu yang lebih kukuh dengan dinding yang lebih tebal. Beliau menamakan kota tersebut sebagai Kota Hetu Ala dan pentadbirannya bertambah kemas di kota baharu tersebut.

Rajah 5: Kota Hetu Ala dalam balutan salji

Penaklukan Hoifa membuka jalan ke Negara Hulun yang lain. Namun begitu, Nurhaci tidak terus menyerang Yehe, Negara Hulun yang paling kuat. Beliau meneruskan kempen ke Ilan Hala dan Ula bermula dari tahun 1607 dan berjaya menyerap Negara Ula pada tahun 1613 melalui pelbagai peristiwa dan sebab yang ditimbulkan oleh mereka. Nurhaci menyerang Kota Yehe pada tahun yang sama, tetapi Yehe meminta pertolongan Dinasti Ming dan gencatan senjata dimeterai. Dengan berkembangnya wilayah Nurhaci, beliau turut menggandakan tentera panjinya kepada 8 panji pada tahun 1615.

Pada Tahun 1612, Nurhaci membunuh adiknya Surhaci kerana bimbang dengan peningkatan pengaruh adiknya itu. Pengaruh adiknya berjaya disekat. Tidak lama kemudian, Nurhaci mengahwini Puteri Kerajaan Borgijit, salah satu waris Genghiz Khan dan beliau menamakan bangsanya sebagai Aisin-gioro (Aisin bermaksud emas). Dengan perkahwinan tersebut, Nurhaci memperoleh legitimasi sebagai Khan, tetapi ia menangguhkan pertabalannya sebagai raja sehingga tahun 1615.

Pada tahun 1615, Nurhaci mengisytiharkan dirinya sebagai Khan Dinasti Amaga Aisin Gurun atau Dinasti Jin (Emas) Baharu dengan gelaran Geren Gurun-be Ujire Genggiyen Han (Khan yang Bijaksana, Keuntungan Semua Negara). Dinasti inilah yang menguasai seluruh Negara China dengan sistem yang dicipta oleh Nurhaci. Cita-cita besarnya itu terpapar jelas di Kota Hetu Ala, Kota yang dibina dan didiami oleh pelbagai kaum termasuklah Kaum Han dan Mongol. Nurhaci telah mula berani membuat konfrontasi dengan kerajaan Ming. Dengan menggunakan peristiwa pembunuhan ayah dan datuknya dan rungutan terhadap Kerajaan Ming yang berat sebelah kepadanya berbanding Negara Yehe yang dikenali sebagai 7 Aduan Rasmi, baginda mula menyerang Kota Fushun yang dikelilingi oleh Tembok Liaodong pada tahun 1618.

Dalam serangan ini, Nurhaci berjaya menawan Kota Fushun dan Kota Qinghe setelah Jeneral Li Yongfang menyerahkan kota tersebut dan mengahwini cucu Nurhaci. Nurhaci dan tenteranya menjarah kedua-dua kota tersebut dan membunuh ramai penduduk kota-kota tersebut. Selain itu, di Qinghe, NUrhaci mengarahkan telinga tentera-tentera dipotong dan dihantarkan ke istana Ming. Peristiwa ini menyebabkan kerajaan Ming murka. Mereka mengumpulkan tentera dari seluruh pelosok negara untuk menyerang Nurhaci di Hetu Ala.

Pada tahun 1619, Tentera Ming seramai lebih 88,000 orang dari Fujian, Zhejiang, Sichuan, Shandong, Shanxi dan Gansu berarak ke Hetu Ala, bersama-sama dengan 10,000 tentera Yehe dan 13,000 tentera Joseon. Seramai 130,000 tentera Ming telah bertempur dengan lebih kurang 60,000 tentera Nurhaci di Sarhu. Dalam peperangan ini dan kehebatan pemanah dan tentera berkuda Dinasti Jin, Tentera Nurhaci telah mendapat kemenangan yang sangat gemilang dan berjaya merampas Kubu pertahanan yang strategik di Kaiyuan dan Tieling. Nurhaci meneruskan kempennya untuk menawan Liaodong, namun perubahan strategi di Tembok Besar Liaodong menggusarkannya. Lalu, Nurhaci merubah arah dan menyerang serta menakluk Yehe, satu-satunya Negara Hulun yang masih mandiri. Akhirnya, Yehe berjaya ditakluki oleh Nurhaci.

Pada tahun 1620, Maharaja Wanli mangkat. Pewarisnya, Maharaja Taichang juga mangkat sebulan kemudian. Maharaja Tianqi (Xizong) menaiki takhta dan berlakulah konflik di antara pembesar-pembesar Ming. Mengambil peluang daripada perbalahan di istana Ming, Nurhaci berjaya menawan Liaoyang, Shenyang dan kubu Jinzhou pada tahun 1621 dalam beberapa siri pertempuran yang menunjukkan kehebatan strategi perang Nurhaci yang tiada tolok bandingnya. Setelah menang, Nurhaci memindahkan ibukotanya dari Hetu Ala ke Liaoyang. Dengan tertawannya Kota Liaoyang, Nurhaci membuat tuntutan ketuanan Dinasti Jin Baharu ke seluruh kawasan tersebut dan menghantar surat kepada 70 buah kota di selatannya.

Puak yang dahulunya hidup secara nomad akhirnya berjaya menakluk kawasan yang luas di Liaoyang dengan bersatunya bangsa mereka di bawah kekuasaan Nurhaci. Selepas kejayaan menakluk Liaoyang, hanya Liaoxi sahajalah wilayah yang memisahkan antara Nurhaci dengan Shanhai-Pass, kawasan terakhir Tembok Besar China sebelum ke ibukota Beijing. Kota yang terpenting di Liaoxi ialah Guangning. Seluruh istana Ming menjadi huru-hara. Kerajaan Ming menghantar pakar strategi perang ke Guangning untuk mempertahankannya namun, Nurhaci berjaya juga menakluk Guangning pada tahun 1622. Dengan jatuhnya Guangning, Liaoxi pun berjaya ditakluki oleh Nurhaci. Seluruh Liaodong kini berada di bawah penguasaan Nurhaci dan Wilayah Kerajaan Jin Baharu semakin luas.

Wilayah yang besar yang ditakluk serta-merta menimbulkan masalah kepada Nurhaci. Walaupun gencatan senjata telah dimeterai sejurus selepas kejatuhan Guangning, Nurhaci terpaksa menghadapi pemberontakan Han yang tidak berpuas hati didiskriminasi, dijarah ladang dan ternakan dan dipaksa mengikuti kebudayaan Jurchen. Penduduk Han membuat beberapa siri pemberontakan dan pembunuhan tentera panji Nurhaci melalui racun. Jalan terakhir untuk mengawal pemberontakan ialah melalui pembunuhan besar-besaran bangsa Han yang memberontak atau berpotensi memberontak di Shenyang dan Liaoyang.Kota-kota tersebut bermandikan darah semula dan ramai yang mati menyebabkan populasi di Kota-kota penting di Timur Laut China berkurangan secara drastik.

Pada tahun 1625, setelah 4 tahun menduduki Liaoyang, Nurhaci memindahkan ibukotanya ke Mukden (Shenyang), yang terletak ke utara daripada ibukota Lioayang. Beliau membina istananya di Mukden dan istana ini menjadi destinasi terakhir kempen Nurhaci. Pada Tahun 1626, setelah gencatan senjata berlalu, Nurhaci ingin menakluk Ningyuan, kubu terakhir ke Shanhai Pass. Dalam peperangan tersebut, Jeneral Ming yang bernama Yuan Chonghuan, dengan menggunakan meriam merah portugis yang hebat, berhasil mengalahkan tentera Nurhaci daripada menakluk Ningyuan. Nurhaci terselamat dan berundur. Seterusnya, tentera Ming menerusi Jeneral Mao Wenlong pula menyerang Anshan menyebabkan Nurhaci terpaksan pulang ke ibukota Mukden.

Pada musim panas 1626, Nurhaci akhirnya mangkat disebabkan oleh racun di Qinghe. Seorang jeneral yang hebat, panglima perang yang sentiasa berada di barisan hadapan dan tidak terkalahkan sebelum ini, akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir disebabkan racun. Baginda mangkat pada usia 68 tahun di Fulin dan makamnya dibina di sana.

Kisah keperwiraan Nurhaci dan sistem yang diasaskannya dalam ketenteraan dan pentadbiran diteruskan oleh anaknya, Hong Taiji yang menubuhkan Dinasti Qing dan legasinya berterusan selepas Dinasti Qing berjaya memerintah seluruh Negara China dari Beijing. Sistem Tentera Panji yang tersusun itu menyebabkan Qing berjaya membina empayar yang keempat terbesar di dunia selama lebih 250 tahun.

Rujukan:

  1. Li Narangoa and Robert Cribb (2014), Historical atlas of northeast Asia, 1590–2010 : Korea, Manchuria, Mongolia, Eastern Siberia, Columbia University Press, New York.
  2. Ai Jing (2015), A History Of The Great Wall Of China, World Scientific
  3. Richard J. Smith (2015), The Qing Dynasty and Traditional Chinese Culture, Rowman & Littlefield.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Nornizam Jamal merupakan seorang guru di sebuah sekolah menengah yang mempunyai minat dalam menulis. Penulisan beliau lebih cenderung kepada Sejarah Melayu, Marcapada Dunia, Isu-isu pendidikan dan Sains

Comments are closed.