Mobile World Congress (MWC) 2018 baru sahaja melabuhkan tirainya di Barcelona minggu lepas. Banyak syarikat-syarikat pengeluar telefon pintar melancarkan produk-produk terbaru mereka seperti Samsung dengan Galaxy S9, Asus dengan Zenfone 5, Vivo dengan telefon pintar berkonsep mereka iaitu Vivo Apex dan Sony dengan Xperia Z2. Tetapi, dalam banyak-banyak pelancaran, satu syarikat mengejutkan saya.
Nokia yang melancarkan banyak produk mereka ketika MWC 2018 dipuji oleh ramai pengkritik dan pihak media kerana melancarkan produk-produk yang berkualiti dan menepati citarasa pengguna. Situasi ini agak mengejutkan kerana ramai menyangka yang Nokia sudah terkubur sejak terjual kepada Microsoft beberapa tahun yang lalu. Jadi bagaimanakah Nokia yang sudah terkubur itu boleh bangkit kembali?
Sejarah secara ringkas
Saya rasa ramai dah antara kita yang kenal apa itu Nokia. Yang mungkin tidak kenal hanyalah mereka yang lahir pada tahun 2000 dan ke atas. Tapi biarlah saya ceritakan serba sedikit tentang sejarah Nokia secara ringkas. Nokia merupakan empayar perniagaan yang menjadi kebangaan bagi rakyat Finland. Telah wujud sejak tahun tahun 1865 lagi, pada asalnya ia diasaskan sebagai syarikat yang bertumpu pada pembalakan, getah dan industri-industri berat. Tahukah anda Nokia mempunyai jenama tayar sendiri? Begitulah pelbagainya bidang dan sektor yang diceburi oleh Nokia dari tahun 1865 hinggalah ke 1990-an.
Pada tahun 1977, apabila tampuk kepimpinan syarikat diambil oleh Karl Kairamo, Nokia mula mengambil alih dan membeli banyak syarikat-syarikat elektronik. Antaranya syarikat-syarikat pengeluar televisyen seperti Salora, dan Oceanic yang menjadikan Nokia sebagai pengeluar televisyen ke-3 terbesar di Eropah. Tidak kurang juga Nokia banyak mengambil alih syarikat-syarikat seperti Luxor AB (syarikat pembuat komputer), Ericson’s Information System dan juga Mobira (sebuah syarikat pembuat telefon bimbit). Pengambilalihan Mobira merupakan langkah pertama Nokia dalam menceburi industri telefon bimbit.
Pada tahun 1990, Simo Vourilehto, CEO baru Nokia mula mengatur balik rangka bentuk syarikatnya. Beliau ingin Nokia fokus pada perniagaan yang membawa pulangan balik dan membuang bahagian yang tidak membawa keuntungan. Bahagian-bahagian seperti tayar dan juga pembuatan komputer dijual kepada syarikat lain sebagai satu langkah pengstrukturan. Proses pengstrukturan yang dibawa oleh Simo itu disalahertikan oleh pemerhati ekonomi dan juga pelabur yang menyangka Nokia sedang mengalami kerugian. Ini menyebabkan saham Nokia jatuh merudum seiring dengan kemelesetan ekonomi Finland pada awal 1990-an. Simo Vourilehto selepas itu digantikan oleh Jorma Ollila.
Jorma Ollila melihat yang walaupun kebanyakan sektor dalam Nokia kerugian ketika kemelesetan ekonomi, sektor telefon bimbit ketika itu sedang berkembang pesat. Jorma membuat keputusan supaya Nokia terus fokus pada sektor telekomunikasi dan membuang aset-aset yang tidak membawa keuntungan. Sejak tahun 1980-an lagi, Nokia banyak membantu membangunkan standard rangkaian GSM (singkata untuk Global System for Mobile Telecommunications) yang kita gunapakai sekarang.
Pada 1 Julai 1991, Perdana Menteri Finland membuat panggilan pertama menggunakan rangkaian GSM yang dibangunkan bersama oleh Nokia. Kejayaan itu membolehkan Nokia melancarkan telefon bimbit pertama yang menggunakan rangkaian GSM, Nokia 1011. Ini menjadikan Nokia lebih maju kedepan dalam sektor telekomunikasi dan membolehkan Nokia melancarkan produk demi produk dan mengatasi dominasi Motorola apabila lebih 100 juta unit telefon bimbit mereka terjual.
Selebihnya, semua daripada kita tahu, banyak produk-produk yang dilancarkan oleh Nokia yang cukup dekat dengan kita. Antaranya Nokia 3310 (yang paling popular), Nokia 1100 (telefon bimbit paling laris terjual dalam sejarah, masih tidak dapat diatasi oleh Apple mahupun Android), Nokia N-Gage dan banyak lagi (Nokia daunlah, sabunlah, karipaplah macam-macam). Semua produk-produk Nokia ini dikenali di serata dunia dan menyebabkan Nokia mendominasi pasaran telefon bimbit dengan lama tanpa sebarang persaingan yang kuat.
Ketinggalan Bas
Pada bulan Julai 2007, Apple mula melancarkan Iphone yang menjadi perintis kepada telefon pintar. Pada tahun 2008, telefon pintar T-Mobile G1 yang merupakan telefon pintar pertama menggunakan platform Android dilancarkan. Nokia pada ketika itu masih lagi selesa dengan Symbian yang masih lagi mendominasi pasaran dengan peratusan pada 37%. Namun begitu, ramai pengguna mendapati yang platform Symbian tidak mesra pengguna jika dibandingkan denga iOS dan Android. Nokia yang selesa berada di tangga pertama itu tidak sedar akan ancaman yang dibawa oleh iOS dan Android sehinggalah pada tahun 2010 apabila segalanya sudah terlambat.
Tahun 2010 menyaksikan yang dominasi Nokia telah berakhir. Pasaran telefon bimbit ketika itu dikuasai oleh Samsung dan kebanyakan telefon Android. Peratusan penguasaan Nokia jatuh merudum dalam masa setahun sahaja dari 34.7% ke 30%. Ini amat membimbangkan Nokia yang ketika itu sedang membangunkan platform baru MeeGO bersama Intel bagi menggantikan platform Symbian yang sudah lapuk dan tidak mesra pengguna. Pada bulan September 2010, CEO Nokia ketika itu, Olli-Pekka Kallasvuo dipecat dan digantikan oleh Stephen Elop dari Microsoft.
Stephen Elop yang merupakan bekas pekerja Microsoft pada awal 2011 mengeluarkan satu memo kepada pekerja Nokia. Memo yang panjang dengan 1300 patah perkataan itu merumuskan masalah yang sedang dihadapi Nokia. Elop menyatakan yang beliau kecewa dengan platform Symbian dan juga MeeGO yang sedang dibangunkan itu.
Padanya, Nokia masih lagi tidak dapat menawarkan platform yang mesra pengguna yang setanding dengan iOS mahupun Android. Elop menyarankan yang Nokia sepatutnya berdiri pada platform yang sudah pun membuktikan kemampuannya bukan membuat platform baru yang belum pasti lagi kemampuannya. Pada tarikh yang sama memo itu dikeluarkan, Nokia mengumumkan kerjasama dengan Microsoft bagi membangunkan Windows Phone.
Kerjasama dengan Windows Phone pada mulanya tampak memberikan hasil. Platform Windows Phone dengan antaramuka yang unik dan berbeza berbanding Android dan iOS menarik minat ramai pengguna yang inginkan kelainan. Ditambah pula dengan telefon buatan Nokia yang berkualiti tinggi setaraf malah lebih hebat lagi pada pandangan saya dari iPhone dan juga Samsung. Saya sendiri merupakan peminat tegar Windows Phone dan setia menggunakannya sehinggalah tahun lepas. Namun begitu, walaupun berdiri di atas jenama Windows, Windows Phone adalah platform yang tidak mesra pada para pengaturcara.
Platfrom yang unik dan hebat macam mana sekalipun tidak bermakna jika tiadanya koleksi app yang amat diperlukan pengguna. Ramai pengaturcara tidak berminat untuk membangunkan app untuk Windows Phone. Ini menjadikan ramai pengguna meninggalkan platform Windows Phone. Bayangklanlah, app-app yang penting seperti Facebook dan Instagram pun kurang stabil di platform Windows Phone. Ini menyebabkan kerugian pada Nokia, apabila telefon pintarnya kurang mendapat sambutan.
Nokia Terkubur?
Disebabkan jualan yang merosot, dan kerugian yang dialami Nokia, menyebabkan Nokia menjual divisyen telefon bimbitnya kepada Microsoft pada tahun 2013. Ini selaras dengan hasrat mantan CEO Microsoft, Steve Ballmer, yang mahu melihat Microsoft menjadi syarikat yang lebih banyak menghasilkan perkakasan berbanding hanya perisian seperti sebelum ini. Kesemua divisyen telefon bimbit Nokia dijual kepada Microsoft dan dinamakan sebagai Microsoft Mobile.
Nokia juga mendatangani perjanjian dengan Microsoft yang melarangnya untuk menjual telefon bimbit berjenama Nokia sehinggalah penghujung tahun 2016. Ini petanda berakhirnya era telefon bimbit berjenama Nokia. Microsoft terus melancarkan telefon bimbit dengan bantuan divisyen Microsoft Mobile dan ianya dijenamakan sebagi Microsoft Lumia.
Tetapi penjualan divisyen telefon bimbit Nokia tidak bermakna yang Nokia sudahpun terkubur. Bahagian telekomunikasi Nokia masih lagi berdiri teguh dan membantu membangunkan dan memperbaiki rangkaian-rangkaian yang kita nikmati sekarang termasuklah 3G, 4G ,4G LTE dan yang terbaharu 5G.
Microsoft yang nampak suam-suam kuku dengan penjualan telefon pintarnya terpaksa menjual keseluruhan divisyen Microsoft Mobile kepada HMD Global. HMD Global sebenarnya adalah sebuah syarikat yang dibentuk oleh bekas eksekutif Nokia. HMD Global kemudiannya membuat perjanjian di akhir tahun 2016 dengan Nokia untuk menghasilkan telefon pintar jenama Nokia untuk pasaran. Pada awal Januari 2017, HMD Global melancarkan telefon pintar jenama Nokia pertama mereka Nokia 6.
Bangkit Semula?
Pada MWC 2017, Nokia melancarkan satu siri telefon pintar mereka dari Nokia 3, Nokia 5 dan juga Nokia 6. Nokia juga melancarkan semula telefon bimbit dikenali ramai iaitu Nokia 3310 yang diberikan nafas baharu selaras dengan era digital. Nokia 8 yang juga dilancarkan diberi banyak pengiktirafan terutamanya dari Android Authority yang meletakkannya sebagai antara telefon pintar yang terbaik bagi tahun 2017.
Dan pada MWC 2018 kali ini, Nokia pula melancarkan Nokia 8 Sirocco yang mendapat banyak pujian dari pengkritik dan juga telefon pisang Nokia (Nokia 8110) yang pernah dipopularkan dalam The Matrix. Pujian dan pengiktirafan yang diberikan kepada Nokia membuatkan ramai beranggapan yang Nokia sudah kembali di landasan yang betul. Tapi adakah ini bermakna yang Nokia sudah bangkit kembali? Biarlah masa dan sambutan pengguna yang menentukan. Apa-apapun saya ucapkan tahniah kepada Nokia atas comeback yang tidak dijangkakan ini.
Rujukan:
Davenport, Corbin (Mar,2017),”Nokia’s Comeback Explained: Why the Historic Phone Company suddenly making Android Phones” ,Android Police.’ https://www.androidpolice.com/2017/03/01/nokias-comeback-explained-historic-phone-company-suddenly-making-android-phones/
Ziegler, Chris (2011) “Nokia CEO Stephen Elop rallies troops in brutally honest ‘burning platform’ memo? (update: it’s real!). Endgadget. https://www.engadget.com/2011/02/08/nokia-ceo-stephen-elop-rallies-troops-in-brutally-honest-burnin/
Global market share held by mobile phone vendors from 1st quarter 2010 to 1st quarter 2014. Statista https://www.statista.com/statistics/272758/global-market-share-held-by-mobile-phone-vendors-by-quarter/
Sinicki, Adam (2017), “Hands-on with the Nokia 8,Android Authority. https://www.androidauthority.com/nokia-8-review-793852/
Pierce, David (2013), “Microsoft buying Nokia’s phone business in a $7.2 billion bid for its mobile future”. The Verge. https://www.theverge.com/2013/9/2/4688530/microsoft-buys-nokias-devices-and-services-unit-unites-windows-phone
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih