Amerika Syarikat sering digambarkan sebagai negara yang kukuh dengan prinsip demokrasi dan keluhuran undang-undang. Tapi sekitar tahun 1970-an, kestabilan negara itu bergegar gara-gara satu skandal besar: Skandal Watergate.
Kisah ini bermula pada tahun 1972, ketika Pilihan Raya Presiden AS sedang berlangsung. Presiden ketika itu, Richard Nixon, dari Parti Republikan, bertanding untuk penggal kedua. Tapi menjelang kempen, sekumpulan individu ditangkap ketika cuba memasang alat intip di ibu pejabat Parti Demokrat di kompleks Watergate, Washington D.C.
Pada mulanya, kes ini nampak kecil. Tapi siasatan akhbar The Washington Post membuka segala rahsia kotor tentang kejadian itu. Satu demi satu bukti keluar menunjukkan bahawa orang-orang terdekat Nixon sebenarnya terlibat dalam operasi itu. Lebih teruk, Rumah Putih sendiri cuba menutup kes itu.
Nixon menafikan sekeras-kerasnya. Tapi tekanan semakin memuncak apabila Kongres memulakan siasatan rasmi. Paling dramatik, rakaman pita perbualan Nixon dalam Oval Office dibocorkan dan membuktikan bahawa beliau tahu lebih awal tentang skandal itu dan cuba melindungi pesalah.
Krisis ini sampai ke kemuncak apabila Kongres mula bincang pemecatan Nixon (impeachment). Sokongan terhadap Nixon pun merosot, bukan hanya dari Demokrat, tapi juga dari partinya sendiri. Seluruh negara terkejut. Pentadbiran terganggu, rakyat hilang kepercayaan dan imej AS di mata dunia tercalar teruk.
Akhirnya, sebelum sempat dipecat secara rasmi, Nixon meletak jawatan pada Ogos 1974 dan menjadikan diri beliau sebagai satu-satunya presiden dalam sejarah Amerika yang berundur kerana skandal politik.
Skandal Watergate jadi peringatan: walaupun sistem nampak kuat, bila pemimpin salah guna kuasa, seluruh negara boleh tergelincir dari landasan. Dalam demokrasi, kuasa bukan terletak pada seorang, tapi pada sistem yang harus diawasi, meskipun ia datang dari pejabat paling tinggi dalam negara.




No comments yet