Bagi tentera Nazi Jerman, jika diberi pilihan tempat perkhidmatan, mereka lebih rela berada di Teater Barat atau bersama Afrika Korp yang diketuai Field Marshall Erwin Rommel berbanding Teater Timur. Teater perang itu amat menakutkan mereka bukan saja kerana keadaan cuaca yang sejuk dan bentuk geografinya yang kurang dikenali tetapi juga kesungguhan ‘tentera tani Soviet’ (istilah mengejek Hitler terhadap tentera Soviet) melawan asakan mereka. Salah satu daripada ancaman ini ialah serangan berani rejimen tentera udara Soviet yang dikenali sebagai Night Witches.

Bagi kepimpinan Soviet yang diketuai Josef Stalin, kemungkinan menggunakan juruterbang pesawat pengebom wanita dianggap sesuatu yang mustahil. Tetapi dengan asakan tentera Wehrmacht yang berterusan mengancam Soviet melalui Operasi Barbarossa yang dilancarkan pada musim panas 1941, kemungkinan itu kembali ke benak pemikiran mereka.

Pada musim luruh tahun tersebut, tentera Wehrmacht semakin menghampiri Moscow, Leningrad (kini St. Petersburg) dikepung dan dibom oleh unit artileri Nazi Jerman dan tentera Soviet terus bergelut walaupun menggunakan taktik seperti anjing pengebom dan melepaskan kereta kebal T-31 ke medan perang. Dan ini membawa kepada penubuhan Rejimen Pengebom Malam 588.

Idea di sebalik rejimen ini datangnya dari seorang wanita yang turut diberi gelaran Amelia Earheart Soviet, Marina Raskova. Gelaran itu diberi bukan saja kerana Raskova berkhidmat sebagai jurupandu dalam Tentera Udara Soviet tetapi juga turut meniru jejak langkah Earheart dengan memegang pelbagai rekod penerbangan jarak jauh.

Semasa Operasi Barbarossa berlangsung, bukan sekali beliau menerima surat dari golongan Hawa dari seluruh negara yang mahu menyertai usaha perang Soviet dan tidak mahu terikat dengan peranan sebagai anggota bantuan. Selepas melihat tanah air mereka diceroboh tentera Nazi Jerman, orang tersayang mereka dibunuh dan tempat tinggal mereka dijarah, inilah peluang untuk mereka membalas dendam.

Justeru, Raskova kemudiannya menghantar permintaan kepada Stalin untuk meluluskan penubuhan rejimen itu dengan semua anggotanya adalah wanita. Permintaan tersebut ditunaikan pada 8 Oktober 1941 dengan menyaksikan tiga unit tentera udara wanita dibentuk. Sebelum ini, wanita membantu memindahkan pesawat dan peluru sebelum diserahkan kepada krew penerbangan lelaki.

Tetapi dengan penubuhan Rejimen Pengebom Malam 588 ini, mereka bukan sekadar menerbangkan pesawat dan menggugurkan bom tetapi juga terlibat dalam pertempuran udara. Ini menjadikan Kesatuan Soviet sebagai negara pertama di dunia yang membenarkan penglibatan wanita dalam pertempuran udara.

Untuk memenuhi tiga unit udara rejimen, 1,200 orang dipilih daripada 2,000 pemohon. Kebanyakan yang terpilih merupakan pelajar yang berusia antara 17 hingga 26 tahun. Wanita-wanita yang terpilih ini dipindahkan ke Engels, sebuah bandar kecil di utara Stalingrad (kini Volgograd) bagi memulakan latihan di Sekolah Penerbangan Engels.

Mereka perlu menjalani latihan penerbangan intensif dalam tempoh beberapa bulan berbanding beberapa tahun mengikut tempoh pendidikan normal. Setiap wanita ini perlu menjalani latihan bukan saja sebagai juruterbang tetapi juga sebagai jurupandu, krew penyelenggaraan dan krew darat.

Selain perlu menjalani latihan intensif, mereka juga perlu berhadapan dengan sikap skeptik kepimpinan tentera dan sesetengah anggota tentera udara yang tidak senang dengan kemunculan mereka. Walaupun Raskova sudah melatih mereka sebaik mungkin, juruterbang dan krew wanita ini masih tidak terlepas dari gangguan seksual, keadaan yang mencabar dan suasana malam yang panjang.

Di samping itu, mereka juga diberi layanan berat sebelah dengan diberi sumber sedikit berbanding tentera udara lelaki. Mereka diberi uniform lelaki yang kadangkala terlalu besar dan terpaksa diubahsuai bagi disesuaikan dengan bentuk tubuh mereka.

Rejimen ini juga turut diberi pesawat-pesawat lama Polikarpov Po-2 yang selalunya digunakan sebagai pesawat latihan. Pesawat ringan dengan mempunyai kapasiti dua tempat duduk dan kokpit terbuka ini tidak sesuai digunakan di medan perang dan dianggap keranda terbang berikutan ia diperbuat daripada kayu dan ditutup dengan kanvas.

Dan memandangkan kebanyakan operasi mereka dilakukan pada waktu malam, juruterbang terpaksa berhadapan dengan suhu sejuk melampau, angin dan luka beku. Dan jika cuba menggerakkan pesawat ini semasa musim sejuk, sebarang cubaan menolak keluar pesawat tanpa memakai sarung tangan akan mengakibatkan kulit melekat pada pesawat.

Disebabkan statusnya sebagai pesawat ringan dan dana yang terhad, rejimen ini turut tidak mendapat kelebihan lain yang diperoleh oleh juruterbang lelaki seperti payung terjun, radar, senjata api dan radio. Sebaliknya, mereka perlu bergantung kepada peralatan asas seperti lampu suluh, jam randik, kompas dan peta.

Tetapi itu juga membantu mereka kerana pesawat ini  lebih perlahan daripada pesawat Luftwaffe (tentera udara Nazi Jerman) sekaligus memudahkan mereka lebih pantas mengendalikannya sekaligus sukar menjadi sasaran pesawat atau unit anti-pesawat musuh. Namun itu juga mengundang masalah lain iaitu keperluan untuk menjunam bila ditembak pihak musuh dan bila pesawat terkena peluru penyurih, ia boleh mengakibatkan pesawat-pesawat ini terbakar cepat.

Bagi memastikan serangan mereka ini benar-benar memberi kesan terhadap jentera perang Wehrmacht, lebih 40 krew digerakkan setiap malam memandangkan pesawat Polikarpov Po-2 hanya boleh membawa dua bom pada satu-satu masa. Setiap krew menggerakkan misi antara lapan hingga 18 misi pada satu-satu masa.

Dengan berat bom yang berat, itu memaksa mereka terbang rendah dan menjadi sasaran mudah sama ada unit Luftwaffe atau unit anti-pesawat di bawah. Bagi mengatasi masalah itu, mereka bergerak secara berkumpulan dengan pesawat pertama digunakan untuk menarik perhatian musuh. Pesawat kedua akan melepaskan suar bagi membolehkan pesawat ketiga melihat sasaran dan menjatuhkan bom di tempat sasaran.

Serangan tersebut dibuat dengan mematikan enjin dan meluncurkan pesawat dalam gelap sebelum bom digugurkan. Jika ditanya mana-mana tentera Wehrmacht, sudah pasti mereka menganggap pesawat-pesawat ini seperti ahli sihir yang muncul entah dari mana. Dari situlah, terma Nachthexen (Night Witches) diperkenalkan.

Terdapat 12 perkara yang perlu diikuti oleh Night Witches tetapi perkara paling utama yang patut diketahui mereka ialah merasa bangga sebagai wanita. Walaupun kepenatan memburu sasaran bom pada waktu malam, itu tidak menghalang mereka melakukan rutin biasa sebagai juruterbang termasuk mengecat dan membaiki pesawat mereka. Dan ada masanya, mereka turut menggunakan pensel yang digunakan semasa memandu arah sebagai celak.

Misi terakhir Night Witches berlaku pada 4 Mei 1945 apabila mereka terbang 60 kilometer dari Berlin. Beberapa hari selepas itu, Nazi Jerman menyerah diri dan Perang Dunia Kedua (WWII) berakhir di tanah Eropah. Pada akhir perang, mereka telah menjalankan 30,000 misi penerbangan dan berjaya menggugurkan 23,000 bom ke atas jentera perang Nazi Jerman.

Rejimen itu turut menyaksikan 30 juruterbangnya terbunuh termasuk Raskova yang gugur pada 4 Januari 1943. Beliau diberi upacara pemakaman negara pertama semasa WWII dan abunya ditanam di Kremlin. Rejimen tersebut tidak dibubarkan tetapi ditukar namanya kepada Rejimen Udara Pengebom Malam Pengawal Taman Ke-46 dan terus berbakti kepada Motherland.

Kisah mereka mungkin dilupakan kerana tiada penyertaan semasa Hari Kejayaan di Moscow tetapi kisah mereka diabadikan dalam novel sejarah terbaru Kate Quinn, The Huntress. The Huntress dibuat berdasarkan temubual dengan veteran-veteran rejimen yang kemudiannya diterbitkan dalam buku A Dance With Death: Soviet Airwomen in World War II yang dikarang oleh Anne Noggle.

SUMBER

1. Holland, Brynn. (2019). Meet the Night Witches, the Daring Female Pilots Who Bombed Nazis By Night. History. https://www.history.com/news/meet-the-night-witches-the-daring-female-pilots-who-bombed-nazis-by-night

2. Grundhauser, Eric. (2015). The Little-Known Story of the Night Witches, an All-Female Force in WWII. Vanity Fair. https://www.vanityfair.com/culture/2015/06/night-witches-wwii-female-pilots

3. S. Rosenwald, Michael. (2019). Fierce, feared and female: The WWII pilots known as the ‘Night Witches’. The Washington Post. https://www.washingtonpost.com/history/2019/03/01/fierce-feared-female-wwii-pilots-known-night-witches/?noredirect=on


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.