Jika anda penyokong Liverpool atau pemerhati biasa yang meminati bola sepak, anda pasti tertarik dengan gaya permainan menarik yang ditampilkan Liverpool musim ini. Pasukan yang diberi jolokan The Reds ini menghiburkan penyokong Liga Perdana Inggeris musim ini dengan menekan pihak lawan, serangan balas pantas dan kemampuan Fab Four (sebelum Philippe Coutinho berpindah ke Barcelona)/Fab Three (Roberto Firmino, Mohamed Salah dan Saido Mane). Tetapi tahukah anda, pasukan ini mempunyai persamaan dengan versi The Entertainers yang dikendalikan oleh legenda Liverpool merangkap pengurus Newcastle United musim 1995-1996, Kevin Keegan?
Seperti Liverpool hari ini, Newcastle United musim 1995-1996 merupakan pasukan paling menghiburkan pada musim tersebut. Pasukan itu dibarisi oleh beberapa pemain paling berbakat dalam dekad tersebut. Dengan sokongan kewangan yang diberikan oleh pemilik kelab ketika itu, Sir John Halls merealisasikan harapan Keegan untuk mendapatkan pemain-pemain diperlukan untuk menguatkan The Magpies. Antara pemain yang dibeli ialah penyerang Queens Park Rangers (QPR), Les Ferdinand, (6 juta paun sterling), perancang Paris Saint-Germain (PSG), David Ginola (2.5 juta paun sterling) dan penyerang Parma dari Colombia, Faustino Asprilla (6.7 juta paun sterling).
Menurut bekas pemain bek kiri Newcastle musim tersebut, John Beresford, Keegan percaya Magpies boleh mencabar dominasi Manchester United pada musim tersebut dengan gaya permainan menarik. Buktinya, beliau banyak menggunakan formasi menyerang 4-4-2 yang disokong oleh dua pemain sayap. Ini disokong pula dengan mantera Keegan yang diterapkan pada pemainnya bahawa selagi mereka berpeluang mencabar kejuaraan liga, segalanya tidak mustahil. Ini diceritakan sendiri oleh bekas pemain tengah Rob Lee yang menyifatkan mereka tidak mahu berpuas hati dengan kelayakan ke Piala UEFA (versi lama Liga Europa) tetapi mahu menang Liga Perdana Inggeris berdasarkan pelaburan dan kemasukan pemain baru dalam pasukan.
Dan seperti yang apa mereka janjikan pada awal musim tersebut, Newcastle menunjukkan belang mereka dengan mengalahkan Coventry City 3-0 hasil jaringan Lee, penalti Peter Beardsley dan Ferdinand. Ramai menyangka ini cuma permainan biasa musim tersebut tetapi ia sebenarnya petanda kepada kemunculan pasukan paling menghiburkan pada musim tersebut. Dan jika ada peminat menyangka cabaran Newcastle tidak akan bertahan selama beberapa minggu, bukti seterusnya ialah Wimbledon F.C. Dalam perlawanan yang berakhir dengan kemenangan besar 6-1 kepada Magpies, The Dons cuba menahan asakan bertubi-tubi The Entertainers tetapi penentangan mereka berakhir dengan gol pertama yang dijaringkan pemain pertahanan, Steve Howey.
Perlawanan ini diingati atas dua sebab. Pertama, apabila Ferdinand menjaringkan gol dalam perlawanan tersebut, beliau sebenarnya sudah menjaringkan gol tujuh perlawanan berturut-turut, menyamai rekod Newcastle pasca-perang. Kedua, perlawanan ini juga turut menyaksikan orang besi The Dons, Vinnie Jones turun sebagai penjaga gol gantian bagi menggantikan rakan sepasukan, Paul Heald yang dibuang padang gara-gara mengasari Ferdinand. Ferdinand menceritakan selepas Jones menjaga gawang, beliau banyak menafikan percubaan Newcastle sehinggakan apabila penyokong pada bahagian Gallowgate End bersorak, Jones jadi seperti watak pelakon Rambo, Sylvester Stallone dalam filem Escape to Victory! Tetapi itu tidak menghalang Newcastle menambah jaringan dengan Ferdinand mencatatkan hatrik dalam perlawanan tersebut.
Untuk majoriti musim tersebut, Newcastle mengungguli carta liga dengan Manchester United mengekori dari belakang. Buktinya, menjelang Krismas 1995, Magpies mendahului Red Devils dengan kelebihan 10 mata. Walaupun kalah 2-1 dengan mereka di Old Trafford pada 27 Disember, Magpies melebarkan jurang kelebihan sebanyak 17 mata pada Januari 1996, meletakkan mereka pada kedudukan terbaik untuk menjuarai liga. Tetapi di sinilah bermulanya perang psikologi antara Keegan dengan pengurus legenda, Sir Alex Ferguson. Saya yakin jika ada pernah melihat imbas semula Liga Perdana Inggeris, antara imej yang tak dapat dilupakan ialah imej temubual Keegan yang naik angin selepas ditanya berkenaan cabaran liga Newcastle.
Versi penuh temubual Keegan: https://www.youtube.com/watch?v=_Yenzdq5g6o
Manchester United terus mengekori rapat dengan menang perlawanan dengan margin 1-0. Dan bagi menambah perisa perebutan kejuaraan liga, kehadiran semula Eric Cantona kembali mengukuhkan serangan United. Cantona yang sebelum itu digantung selama lapan bulan dan didenda 10,000 paun sterling atas kesalahan menyerang penyokong Crystal Palace membawa United menang 10 perlawanan berturut-turut mengatasi Magpies dengan kelebihan jaringan buat kali pertama musim tersebut. Ini disusuli pula dengan kegagalan Newcastle menang perlawanan penting termasuk kalah dengan Manchester City, Liverpool dan West Ham serta gagal mengubah keputusan seri pada menang.
Untuk perlawanan terakhir musim tersebut, Magpies perlu mengalahkan Tottenham Hotspur sambil mengharapkan ihsan jiran setempat, Middlesbrough mengalahkan Manchester United untuk membawa kejuaraan liga kembali ke Tyneside yang kali terakhir dimenangi pada 1927. Tetapi hasrat mereka berkecai apabila dipaksa seri 1-1 di St. James Park dengan Jason Dozzell menjahanamkan impian mereka. Ini disusuli dengan kemenangan 3-0 Red Devils ke atas Teeside di Stadium Riverside menyebabkan Manchester United menang Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan empat mata.
Bagi Newcastle United, pencapaian musim tersebut merupakan pencapaian terbaik mereka musim tersebut. Siapa sangka beberapa musim sebelumnya, mereka berhadapan dengan ancaman penyingkiran dari liga tetapi di bawah Keegan, mereka menjadi pencabar kejuaraan liga. Namun langit tidak selalunya cerah. Walaupun berjaya membeli Alan Shearer dengan rekod perpindahan Britain ketika itu berjumlah 15 juta paun sterling dan pada satu ketika menerajui liga pada musim 1996-1997, Keegan meletak jawatan pada 8 Januari 1997 dan digantikan oleh pengurus legenda Liverpool, Kenny Dalglish.
Liverpool musim ini dilihat mempunyai aura The Entertainers tidak lama dahulu. Walaupun kecenderungan mereka melepaskan gol-gol mudah sehingga kadang-kadang membuatkan penyokong dan bos mereka, Jurgen Klopp jadi gila, tetapi itu yang menjadikan mereka pasukan paling menghiburkan untuk liga musim ini. Namun jika The Reds benar-benar mahu menamatkan kemarau kejuaraan liga yang kali terakhir dimenangi pada tahun 1989 dan mencabar pasukan-pasukan lain seperti Manchester City, United dan Tottenham, mereka perlu memastikan mereka tidak mengulangi kesilapan The Entertainers. Jika tidak, maka bersedialah mendengar ulangan temubual Keegan yang dianggap ikonik itu oleh Klopp. Tetapi bagi penyokong Liverpool, ramai percaya beliau tidak akan ulangi kesilapan Keegan, kan?
SUMBER
Massarella, Louis, Edwards, Richard, Worswick, Carl dan Flanagan, Chris. (2016). Four Four Two. Howay the entertainers: reliving Newcastle’s 1995-1996 title challenge, by the player. https://www.fourfourtwo.com/my/features/howay-entertainers-reliving-newcastles-199596-title-challenge-players?page=0%2C5
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih