Penularan COVID-19 buat aku tak boleh nak fokus isu geopolitik dan hubungan antarabangsa (IR). Tapi dalam keadaan sekarang, COVID-19 lah satu-satunya isu yang penting bagi dunia.

Even ISIS pun berhenti operasi dan “stay at home”, suruh pengikutnya jangan pergi ke Eropah untuk elak virus. Gila. Malu lah sikit dengan ISIS kalau korang masih degil buat-buat tak sedar tentang bahaya virus ni.

COVID-19 adalah wabak pertama dalam sejarah manusia yang betul-betul bersifat global. Pandemik sebelum ni macam Spanish Flu (1918-1919), Asian Flu (1957-1958), Hong Kong Flu (1968-1970) dan H1N1 (2009-2010) tak kena kat semua negara. Tapi setakat ni, 160 daripada 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations) ada kes COVID-19.

Daripada 160 negara ni, Malaysia berada di tangga ke-18 negara yang paling banyak kes. So jangan ingat keadaan Malaysia tak serius dan masih bersikap sambil lewa.

Sekarang cuma tinggal 33 negara yang masih bebas COVID-19. Negara-negara ni kebanyakannya nama pun orang tak pernah dengar: (1) Korea Utara, (2) Laos, (3) Myanmar, (4) Tajikistan, (5) Turkmenistan, (6) Syria, (7) Yemen, (8) Libya, (9) Mali, (10) Guinea-Bissau, (11) Sierra Leone, (12) Sao Tome & Principe, (13) Botswana, (14) Lesotho, (15) Comoros, (16) Mozambique, (17) Malawi, (18) Burundi, (19) South Sudan, (20) Belize, (21) Saint Kitts & Nevis, (22) Dominica, (23) Grenada, (24) Solomon Islands, (25) Vanuatu, (26) Palau, (27) Micronesia, (28) Marshall Islands, (29) Nauru, (30) Kiribati, (31) Tuvalu, (32) Samoa dan (33) Tonga.

Negara-negara ni adalah antara negara termiskin dan terpencil di dunia. Myanmar dan Laos adalah 2 negara termiskin di Asia Tenggara (ASEAN) dan juga dikategorikan sebagai negara paling kurang membangun (least-developed countries/LDC) oleh PBB.

Negara-negara macam Solomon Islands, Vanuatu, Palau, Micronesia, Marshall Islands, Nauru, Kiribati, Tuvalu, Samoa dan Tonga pula adalah negara Lautan Pasifik yang jarang orang nak pergi. Sebab tu orang Palau hari-hari makan kelawar pun tak kena virus sebab tak ada contact dengan pembawa virus dari negara asing.

Dan agak menakjubkan, Syria, Libya dan Yemen masih belum melaporkan kes COVID-19, especially Libya yang begitu dekat dengan Itali. Ni kira satu rahmat bagi negara diorang. Tak boleh bayangkan kalau COVID-19 mula merebak di negara diorang sebab infrastruktur kritikal diorang seperti hospital dan jalan raya dah kebanyakannya musnah dalam perang saudara yang dah berlangsung bertahun-tahun.

Punca sebenar negara-negara ni belum dijangkiti COVID-19 ialah diorang belum integrate ke dalam sistem ekonomi global (belum capai globalisasi). Tak banyak perdagangan antarabangsa, tak banyak pelaburan, tak ada pembangunan. Sebab tu diorang lebih miskin.

Nak tahu sesebuah negara dah capai globalisasi ke tak, tengok ada tak McD dan Starbucks kat negara tu. Daripada 33 negara ini, 31 tak ada McD (kecuali Libya dan Samoa) dan kesemuanya tak ada Starbucks. Ajaib kan.

Tapi jangan twist pula kata McD dan Starbucks tu pembawa penyakit. Cuma, negara yang ada McD dan Starbucks ni negara yang ada pelaburan asing, ada pelancong, ada expat. COVID-19 ialah pandemik yang tersebar melalui manusia ke manusia. Jadi negara-negara yang kurang terdedah kepada manusia (warga asing) akan lebih selamat.

Globalisasi menjadi punca kemakmuran dunia, tapi juga menjadi asbab COVID-19 dapat merebak dengan pantas. SARS tahun 2002-2003 pun disebabkan oleh coronavirus dan bermula di China, tapi kesan dia tak seteruk COVID-19. Sebab waktu itu China baru nak up, belum betul-betul integrate ke dalam sistem ekonomi global.

Tapi dengan kebangkitan China pada 10 tahun yang lepas, China muncul sebagai negara yang paling banyak keluarkan pelancong dan menerima pengunjung untuk urusan bisnes. Apabila berlaku penularan virus di Hubei dan Zhejiang yang serba terhubung, virus turut dibawa balik ke negara-negara masing-masing terutamanya Eropah (Itali dan Perancis).

Kat Eropah pula ada Schengen Area di mana warganegara Kesatuan Eropah (EU) bebas untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat tanpa perlu ada pasport, lagilah senang virus tersebar dari satu negara EU ke satu negara EU, dan dari negara EU ke seluruh pelusuk dunia.

Manakala negara-negara Eropah bukan anggota EU adalah negara-negara Eropah terakhir melaporkan kes dan paling sedikit kes: Serbia, Montenegro, Bosnia, Albania, Kosovo, North Macedonia, Belarus, Ukraine, Moldova dan Rusia. Diorang boleh tutup sempadan lebih awal tanpa fikir Schengen tak Schengen.

Kalau COVID-19 mula-mula bukan muncul kat China tapi kat Congo atau Rwanda, keadaan tak akan jadi macam hari ni, cuma akan jadi macam Ebola yang tertumpu kat Afrika sahaja. Sebab tu jangan bergembira sangat bila China ditimpa musibah hari tu. Dalam dunia globalisasi, setiap satu negara adalah seperti satu tubuh. Salah satu anggota badan sakit, semua anggota badannya juga merasa.

Malah disebabkan China ialah ekonomi ke-2 besar dunia, kemerosotan aktiviti ekonomi di China juga menyebabkan kejatuhan harga minyak sedunia. Kini satu dunia bakal berdepan dengan kegawatan ekonomi.

Jadi ramai sarjana IR jangka selepas COVID-19 reda nanti, dunia akan mula semak balik idea “sempadan terbuka” “visa free” yang selama ni dianggap sebagai dasar yang bagus. Keselamatan sempadan akan diutamakan berbanding kebebasan berdagang. Era globalisasi yang bermula sejak tahun 1989 bakal tamat dan diganti dengan dunia yang lebih tertutup.

Kalau jadi macam tu, aku kena ubah tajuk buku aku dari “Dunia Tanpa Tembok” kepada “Dunia Dengan Tembok”.


*Jualan Dunia Tanpa Tembok III masih dibuka. Sementara duduk di rumah, korang dipersilakan untuk membuat pra-tempah buku secara online (https://www.billplz.com/dtt3 atau https://www.thepatriots.store/store/books/dunia-tanpa-tembok-3) atau Whatsapp (http://wasap.my/60195812791). Buku sampai selepas habis tempoh Perintah Kawalan Pergerakan nanti insya Allah. Cepat sebelum stok habis.

**Nombor-nombor kat peta tu label bagi negara-negara yang aku sebut, ikut turutan. Sementara duduk rumah bolehlah belajar geografi.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Pegawai Tadbir Dan Diplomatik, graduan dalam bidang Hubungan Antarabangsa Dan Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

Comments are closed.