Gemuk. Apalah nasib orang gemuk zaman sekarang. Sudahlah menjadi stigma dalam kalangan masyarakat, alih-alih tengok ada negara siap mengenakan cukai khas terhadap mereka.
Elok tengah bekerja tiba-tiba kena panggil bos. Panggil disangka kena maki hamun. Rupa-rupanya bos minta pekerja lain ukur pinggang. Sesiapa yang lebih 33.5 inci (85 sentimeter) secara automatik akan didaftar masuk dalam senarai institusi percukaian.
Sebelum cerita habis tentang negara mana yang buat kerja ini, kita kena faham dulu kenapa orang jadi gemuk. Jangan sewenang-wenangnya tuduh orang gemuk kuat makan bagai.
Dan jangan juga sesekali fikir kegemukan adalah kerana genetik. Ada banyak sebab kenapa rakyat di dunia ini semakin gemuk. Macam sekarang 50.1 peratus rakyat Malaysia diisytihar gemuk (overweight). 19.7 peratus pula sudah masuk dalam kancah obesiti. Sangat ramai – takkan selamba kita cakap mereka kuat makan?
Sebenarnya tidak. Struktur sosial Malaysia ada masalah besar. Faktor harga menjadi punca kegemukan di Malaysia. Makanan sihat masih lagi berada di luar “kemampuan asas” B40, yang bergantung pada nasi, ayam dan telur untuk teruskan hidup.
Rakyat Malaysia pula seolah-olah tiada masa untuk bersenam, kerana terlalu sibuk bekerja (kalau tidak bekerja, tiada duit). Sesiapa yang kaji obesiti melalui Teori Hierarki Keinginan (Abraham Maslow) akan faham betul-betul kenapa Malaysia ada masalah kegemukan.
Malah ada kajian membuktikan yang cahaya buatan (macam lampu skrin) boleh jadi punca kegemukan (Turek, et al., 2005).
Kembali Ke Topik
Cukai kegemukan adalah sebuah sistem hampir sama seperti cukai gula. Kerajaan Malaysia semasa zaman pentadbiran Dr. Mahathir melaksanakan cukai gula untuk memaksa pemain industri kurangkan gula.
Logik juga – pemain industri buat untung jual makanan dan minuman bergula. Alih-alih tengok kerajaan kena tanggung kos rawatan (Faiz, et al., 2021).
Tetapi perbezaannya sangat ketara: air bergula diminum atas pilihan; berat badan berlambungan dirangkai dengan segala faktor utama dan sampingan. Apa-apa pun, negara yang melaksanakan cukai gemuk tetap meneruskan rancangan bermula tahun 2008.
Dan negara tersebut adalah Jepun.
Kerajaan Jepun melaksanakan Peraturan Metabo (pasal ukur pinggang) sebagai langkah untuk tengok siapa patut jalani kelas kurus.
Sasaran kerajaan dimulakan dengan syarikat terlebih dahulu. Syarikat besar boleh kena deηdα AS$19 juta pun. Kemudian kerajaan pusat akan bising pada kerajaan wilayah dan pihak berkuasa tempatan pula
Itu yang semua pakat gelabah habis. Kerana kerajaan pusat sanggup buat apa sahaja untuk selesaikan krisis kegemukan: populasi gemuk kena turun -25 peratus dalam masa tujuh tahun (Onishi, 2008).
Gila Memang Gila Tetapi Berkesan Pula
Cakaplah apa pun. Kerajaan Jepun boleh tahan gila juga. Orang gemuk tidak kena cukai secara langsung. Tetapi apabila syarikat kena tanggung beban, majikan dan penyelia akan bising gila-gila pada orang gemuk. Jadi ada unsur malu di sini.
Dan semua orang tahulah orang Jepun takkan buat main bab mαrυαh (Nakamura, 2009). Hubungan sesama pekerja mudah berantakan jika masalah kegemukan berterusan… sampai boleh ada bayang-bayang kena pecat.
Jadi suka atau tidak, pekerja kena bersusah payah juga untuk turunkan berat. Seorang wanita bernama Miki Yabe makan sup sayur dan berlari 30 minit sehari selama seminggu untuk turun 2.9 kilogram.
Buat kerja saat terakhir, memang kena kerja keras sikitlah. Tetapi Miki Yabe selamat, kerana ukur lilit pinggangnya berada dibawah “garisan merah”.
Kalau fikir balik, Peraturan Metabo boleh kata sesuai kerana rakyat Jepun secara tradisinya makan ikan, sayur dan sup. Bukan senang untuk dapatkan karbohidrat halus (refined carbs) di sana. Jadi mungkin inilah sebab kenapa Peraturan Metabo berkesan di sana.
Kalau suruh satu dunia amalkan, silap-silap boleh terbalik kerajaan setiap pilihan raya.
RUJUKAN:
Faiz, M., et al. (2021). Online News Coverage of the Sugar-Sweetened Beverages Tax in Malaysia: Content Analysis. JMIR Public Health Surveill. 7 (8): e24523.
Nakamura, D. (2009, November 10). Fat in Japan? You’re breaking the law. The World.
Onishi, N. (2008, Jun 13). Japan, Seeking Trim Waists, Measures Millions. The New York Times.
Turek, F., et al. (2005). Obesity and metabolic syndrome in circadian Clock mutant mice. Science. 308 (5724): 1043-1045.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih