Baru-baru ini, Donnie Yen mengumumkan bahawa ‘Ip Man 4’ akan mula difilemkan pada tahun 2018. Ingatkan lepas isteri Ip Man meninggal dunia cerita ‘Ip Man’ ni dah berakhir, rupanya ada sambungan lagi. Nilai komersil ‘Ip Man’ bakal menjadikan ia sebagai francais seperti ‘X-Men’.

Untuk memahami pandangan dunia (‘worldview’) sesebuah masyarakat atau negara, kita boleh memerhati budaya popularnya, seperti filem. ‘Ip Man’ adalah filem yang dihasilkan oleh penerbit pro-Beijing dan dibintangi oleh pelakon yang pro-Beijing, sasaran penontonnya juga rakyat China di bawah kawalan Beijing. Jadi, ada banyak kenyataan politik dan mesej tersembunyi dalam ‘Ip Man’ yang dapat membantu kita memahami psikologi masyarakat China, yang telah mempengaruhi tindak-tanduk China dalam politik antarabangsa.

Titik jualan (‘selling point’) filem ‘Ip Man’ bukanlah kungfu ‘Wing Chun’. Anda mungkin tidak dapat membezakan Wing Chun daripada jenis-jenis kungfu yang lain, tetapi anda mesti ingat babak Ip Man membelasah 10 ahli Karate serentak. Titik jualan filem ini ialah ‘orang yang dibelasah oleh Ip Man’. Dari situ kita boleh mentafsir mesej yang hendak disampaikan oleh penerbit filem.

Kemuncak cerita ‘Ip Man 1’ (2008) ialah babak pertarungan di antara Ip Man dan jeneral Jepun bernama Miura. Sebelum Ip Man naik ke pentas, ada monolog dalaman Ip Man yang mengatakan ‘beza antara orang China dan orang Jepun ialah orang China tidak sesekali menggunakan kekerasan untuk menindas orang lain.’ Ayat ini bertujuan untuk menonjolkan keunggulan moral (‘moral superiority’) China berbanding Jepun.

Selepas Ip Man menewaskan Miura, Ip Man tidak membunuh Miura yang pernah membunuh kawan baiknya. Ip Man menggengam tumbukan supaya tidak mencederakan Miura, dan membiarkan Miura jatuh dengan sendiri dalam malu kekalahan (‘humiliation in defeat’). Babak simbolik ini juga adalah untuk menampilkan ketinggian moral Ip Man yang mewakili moral tamadun China. Tindakan Ip Man seolah-olah telah menghidupkan prinsip Konfusianisme bernama ‘yide baoyuan’ (以德报怨) iaitu ‘membalas kejahatan dengan kebaikan’.

Cerita ‘Ip Man 2’ (2010) beralih ke Hong Kong semasa 1950-an. Gambaran tentang Hong Kong pada ketika itu ialah sebuah jajahan British di mana orang Cina hanya warga kelas kedua, yang dieksploitasi oleh polis Mat Saleh korup seperti Superintendent Wallace. Kali ini Ip Man melawan peninju British bernama Taylor Milos atau ‘Twister’, seorang Mat Saleh bongkak yang menghina maruah orang Cina lebih melampau berbanding orang Jepun dalam ‘Ip Man 1’. Jeneral Miura sekurang-kurangnya mempunyai sedikit hormat terhadap kungfu Cina, sementara Twister merendah-rendahkan dan mempersenda budaya Cina, dari kungfu hingga ke amalan membakar colok.

Ip Man berada di ambang kekalahan setelah menerima sedas tumbukan Twister yang kuat, namun Ip Man mampu membangun semula kerana dalam otaknya terlintas kata-kata Master Hung yang berbunyi ‘jangan membiarkan kwai lou (鬼佬 atau ‘hantu’ – merujuk kepada Mat Saleh) memandang rendah terhadap kami!’ Sekali lagi, Ip Man menunjukkan keunggulan moral dengan tidak membunuh lawannya, walaupun Twister pernah membunuh Master Hung. Perlawanan antara Ip Man dan Twister digambarkan sebagai perlawanan antara budaya Timur dan Barat, dan Timur telah mengatasi Barat pada akhir perlawanan.

Dalam ‘Ip Man 3’ (2016), pengarah filem (Wilson Yip) mendapat lebih banyak autonomi dari penerbit (Raymond Wong), jadi Yip cuba melebihkan unsur-unsur artistik berbanding komersil. Babak Ip Man berkungfu telah dikurangkan, digantikan dengan cerita Ip Man menemani isterinya yang menghidap kanser. Perlawanan akhir dalam cerita pula adalah antara 2 orang Cina. Ini menyebabkan ramai menyatakan perasaan kecewa terhadap ‘Ip Man 3’. Dalamnya tiada watak statik wira (‘hero’) dan penjahat (‘villain’) yang dapat dimuatkan ke dalam kerangka pemikiran penonton China. Dan paling penting sekali, tiada watak ‘orang asing jahat’ yang memenuhi imaginasi penonton. Watak Mike Tyson adalah ketua kongsi gelap, bukan wakil kuasa asing, malah Ip Man pun tidak mampu mengalahkan Tyson.

Jepun dan British diberi watak jahat dalam ‘Ip Man 1’ dan ‘Ip Man 2’ kerana mereka mempunyai tempat khas dalam memori sejarah orang China. Dalam memori orang China, zaman bergelora China pada era moden selalu dikaitkan dengan pencerobohan British pada tahun 1839-1842 yang mencetuskan Perang Candu, dan kemudian pencerobohan Jepun pada tahun 1937-1945. Perang Candu menyebabkan China kehilangan Hong Kong, manakala kekejaman Jepun terhadap orang China masih tidak dapat dilupakan oleh generasi tua mahupun muda China.

Memori terhadap British dan Jepun ini telah dimanfaatkan dengan baik oleh pihak penguasa. Sejak tahun 1990, kerajaan China telah menggunakan pendidikan sejarah sebagai alat untuk mendamaikan sentimen pro-demokrasi. Mereka memperkenalkan konsep Abad Penghinaan (百年国耻 / ‘Century of Humiliation’) yang menyifatkan pencerobohan British pada tahun 1839 sebagai titik permulaan bangsa China ‘dihina’ dan ‘dibuli’ oleh kuasa asing, dan penghinaan itu ditamatkan pada tahun 1949 dengan kemunculan komunis (CCP) sebagai peneraju ‘China Baru’. Menurut naratif ini, hanya CCP sahaja yang mampu melindungi China daripada penghinaan dan pembulian ‘hantu asing’ (鬼子 atau ‘guizi’). Dan hanya sistem satu parti di bawah CCP, bukannya demokrasi, akan membimbing China ke arah ‘kebangkitan semula’ (‘Great Rejuvenation’).

Inilah nasionalisme yang cuba disuapkan oleh CCP kepada rakyat. Untuk menjayakan nasionalisme ini, orang China memerlukan ‘punching bag’ seperti Jepun. Kemunculan Shinzo Abe (yang sangat menepati imej ‘imperialis Jepun’ dalam imaginasi orang China) boleh dikatakan hadiah terbaik buat penguasa CCP. Tuntutan bertindih antara China dan Jepun ke atas Pulau Diaoyutai atau Senkaku selain mempunyai nilai strategik, ia juga mempunyai nilai simbolik. China tidak akan sesekali berkompromi dalam isu yang melibatkan Jepun, kalau tidak, ia akan kelihatan lemah dan naratif ‘hanya CCP yang mampu menyelamat dan melindung China’ tidak lagi berkesan. Saban kali berlaku krisis seperti krisis THAAD, CCP juga memanipulasi perasaan ketidakselamatan (‘insecurity’) rakyat China dengan menggambarkan semua konflik antarabangsa sebagai konspirasi ‘hantu asing’.

Nasionalisme seperti ini ada sisi positif dan negatifnya. Yang positifnya, ia mendorong rakyat untuk memajukan negara dan bangsa supaya dapat mengatasi musuh bayangan (Jepun dan Barat), sama seperti perasaan ‘han’ bangsa Korea. Yang negatifnya, ia memanjangkan permusuhan yang tidak perlu (‘unnecessary’). Yang ironinya, muzik tema ‘Ip Man’ adalah gubahan komposer Jepun bernama Kenji Kawai.

‘Hantu’ jenis apakah yang akan dibelasah Master Ip dalam ‘Ip Man 4’?

Bacaan lanjut:

Zheng Wang. (2014). Never Forget National Humiliation: Historical Memory in Chinese Politics and Foreign Relations


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Pegawai Tadbir Dan Diplomatik, graduan dalam bidang Hubungan Antarabangsa Dan Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

Leave A Reply