Impian manusia meneroka angkasa lepas akhirnya tercapai menerusi pendaratan misi Apollo 11 di bulan pada 20 Julai 1969. Sejak itu, manusia mula berangan-angan membina koloni petempatan di bulan sebagai langkah permulaan ke arah koloni di angkasa lepas. Dan berdasarkan pengumuman Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), impian tersebut semakin hampir menjadi kenyataan.
Baru-baru ini, NASA mendedahkan penemuan air di bulan dan terdapat pelbagai set perangkap air yang boleh menampungnya dengan stabil. Ini menunjukkan air boleh diedarkan ke seluruh permukaan bulan dan tidak terperangkap di bahagian gelap dan sejuk bulan.
Penemuan ini dianggap satu penemuan besar dalam membantu misi penerokaan ke angkasa lepas dan lebih banyak pemahaman tentang permukaan bulan. Tetapi ia menimbulkan persoalan baru bagaimana ia boleh ada di situ atau bertahan dalam persekitaran mencabar di bulan.
Satu teori yang menjelaskan kemunculan air ialah pembentukan ‘manik-manik kaca’ yang terhasil apabila meteorit-meteorit mikro jatuh ke bulan dan mencairkan sebahagian permukaan bulan, sama ada membentuk air atau menangkapnya dalam bentuk manik-manik.
NASA bagaimanapun menegaskan penemuan air ini bersifat terhad dan hanya mewakili 1% daripada jumlah air yang ditemui di Gurun Sahara. Begitupun, fakta ini membatalkan mitos air tidak ada di bulan dan hanya terdapat di bahagian gelap bulan sahaja. Ini juga menjadi bukti kukuh bahawa proses hidrasi berlaku di bulan.
Pengarah Divisyen Astrofizik, Direktorat Misi Ibu Pejabat NASA di Washington, Paul Hertz berkata, “Kami mempunyai petunjuk bahawa H20 – air yang kita ketahui – mungkin wujud pada permukaan bahagian bulan yang disinari cahaya matahari. Sekarang kita tahu ia ada. Penemuan ini mencabar pemahaman kami terhadap permukaan bulan dan menimbulkan persoalan tentang sumber relevan untuk penerokaan angkasa lepas.”
NASA berharap dapat kembali ke bulan pada tahun 2024 dan mencipta sejarah dengan menghantar angkasawan wanita pertama ke bulan. Menerusi penemuan ini, mereka berharap dapat membina koloni tetap di bulan.
Air amat kritikal untuk penerokaan di angkasa lepas bukan saja sebagai bahan minuman dan bahan api tetapi juga menukarnya sebagai bekalan oksigen. Tetapi ia amat berat untuk dibawa ke angkasa lepas dengan roket. Penemuan ini boleh menyebabkan nilai penerokaan angkasa lepas menjadi lebih berpatutan dan lebih mudah.
Dan ramai saintis berpandangan simpanan air di bulan sebenarnya jauh lebih banyak berdasarkan satu fenomena bulan iaitu perangkap beku. Perangkap beku ialah wilayah permukaan bulan yang dilitupi oleh kegelapan, kadang-kadang tidak disinari cahaya matahari selama berbilion tahun.
Profesor Paul Hayne dari University of Colorado Boulder berkata, “Jika anda membayangkan berdiri pada permukaan bulan berhampiran salah satu kutubnya, anda boleh melihat bayang-bayang di merata tempat. Kebanyakan bayang-bayang kecil ini penuh dengan ais.”
Berdasarkan data Lunar Reconnaissance Orbiter milik NASA, bulan mempunyai keluasan permukaan bayang-bayang kekal seluas 15,000 batu per segi dalam pelbagai bentuk dan saiz. Tambah para saintis, terdapat tadahan air yang berupaya menyimpan air melalui ais.
Ini disokong oleh pemerhatian yang dibuat penyelidik-penyelidik NASA yang memerhati melalui teleskop udara Balai Cerap Stratosfera untuk Astronomi Inframerah (SOFIA) yang memerhati bulan pada jarak enam mikrometer. Lebih menarik, penemuan ini dibuat semasa mereka cuma menjalankan ujian pemerhatian. Hasil kejayaan ini akan mendorong mereka membuat lebih banyak pemerhatian pada masa akan datang.
Tetapi mereka memberi amaran satu-satunya cara membuktikan tempat ini boleh menampung air atau ais ialah dengan mengambil sampel kawasan-kawasan berkenaan di sana. Pada masa sama, mereka amat optimistik dan berharap misi-misi penerokaan bulan dapat menjawab persoalan tentang kewujudan air di bulan.
RUJUKAN:
Griffin, Andrew. (2020). NASA ANNOUNCES THAT MOON DEFINITELY HAS WATER IN MAJOR BREAKTHROUGH THAT COULD ALLOW TRAVEL INTO DEEP SPACE. The Independent. https://www.independent.co.uk/life-style/gadgets-and-tech/nasa-moon-announcement-today-news-water-lunar-surface-wet-b1346311.html
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih