Kita tertanya-tanya apa benda paling laju yang kita ketahui. Ada yang kata The Flash, ada kata Superman. Dan jika ditolak jawapan-jawapan yang bersifat fantasi, sama ada roket atau kapal terbang. Siapa sangka bintang mampu bergerak tanpa orbit dengan kelajuan melebihi dua juta km sejam!
Ada yang menganggap ini rekaan semata-mata. Tetapi itulah yang berlaku apabila sesebuah bintang itu mati dan mengalami letupan supernova. Tidak kira sama ada ia bertukar menjadi lubang hitam atau bintang neutron, teras yang runtuh akan bergerak pada kelajuan luar biasa macam lari tak cukup tanah versi alam semesta.
Peristiwa ini disaksikan oleh Teleskop Sinar-X Chandra milik NASA membabitkan sejenis bintang neutron ‘berdenyut’ yang dikenali sebagai pulsar. Berdasarkan imej yang direkodkan, bintang neutron itu ‘membelah’ dirinya pada kelajuan 612 km sesaat – lebih tepat, dua juta km sejam!
Dengan rekod tersebut, bintang neutron yang diberi nama G292.0+1.8 memecahkan rekod objek paling laju di alam semesta yang sebelum ini dipegang oleh sebuah bintang yang mengelilingi Sgr A*, sebuah lubang hitam besar yang terletak di tengah-tengahnya. Pada titik yang paling pantas di orbitnya, ia boleh mencapai kelajuan 24,000 km sesaat.
Apa yang lebih menakjubkan, imej ini hanya boleh ditangkap dengan teleskop khas seperti Chandra. Peristiwa ini diketahui pengkaji astronomi dengan mengkaji imej G292.0+1.8 yang diambil Chandra pada 2006 dan 2016. Ini termasuk mengukur lebarnya sejauh 15 batu. Dari situ, posisi pulsar ini disemak dalam tempoh 10 tahun termasuk kelajuan pergerakannya dari bahagian tengah ke bahagian kiri pulsar berkenaan.
Dengan kelajuan luar biasa sama, ia juga memberi petunjuk tentang usia sebenar G292.0+1.8 semasa ia meletup. Saintis percaya letupan supernova pulsar itu berlaku kira-kira 2,000 tahun lalu dan bukan 3,000 tahun seperti direkodkan sebelum ini.
Dengan usianya yang lebih muda, tidak mustahil tamadun-tamadun terdahulu termasuk China, Maya dan Rom merekodkan peristiwa supernova G292.0+1.8 semasa mencerap bintang. Tetapi itu mungkin sukar dibuktikan tanpa sebarang bukti bertulis.
Ini kerana letupan supernova G292.0+1.8 terletak di bawah ufuk mana-mana tamadun di hemisfera utara sekaligus menyukarkan sebarang usaha merekod peristiwa berkenaan. Sementara jika ada yang berjaya melihat peristiwa itu di sebelah selatan, tiada sebarang bukti pencerapan bintang dibuat dalam tempoh yang dinyatakan.
Sekejap. Macam mana ya ia mampu bergerak laju mengalahkan The Flash? Pengkaji astronomi percaya ia didorong oleh dua kemungkinan: sama ada neutrino atau serpihan daripada letupan supernova ditolak keluar secara tak simetri. Sekiranya bahan yang ditolak bergerak mengikut arah yang dimahukannya, pulsar pula akan bergerak pada arah berlawanan. Ini disebabkan oleh satu prinsip fizik yang dikenali sebagai keabadian momentum (conservation of momentum).
Tenaga yang diberi kepada pulsar akibat letupan supernova itu amat tinggi. Bayangkan jisim 500,000 kali ganda lebih besar daripada bumi. Kemudian dari segi kelajuan, ia 20 kali ganda lebih laju daripada kelajuan bumi mengelilingi matahari. Dengan kekuatan tenaga sebegitu rupa, ia membuatkan mana-mana objek termasuk manusia seperti siput babi yang ditinggalkan jauh di belakang kereta Formula Satu (F1). Dan ini menunjukkan rekod kelajuan dua juta km yang dipegang G292.0+1.8 boleh dipecahkan sekali lagi.
Di sebalik rasa kagum dengan peristiwa ini, ia juga secara tidak langsung menginsafkan kita betapa pantasnya kiamat – tidak mustahil melebihi dua juta km apabila tiba masanya. Apabila perkara yang dijanjikan Tuhan itu berlaku, tiada siapa yang dapat lari daripada takdir yang ditentukan Ilahi.
Nota kaki
pulsar – punca sinaran ‘berdenyut’ yang berasal daripada bintang neutron.
bintang neutron – jasad bintang andaian di mana keseluruhannya terdiri daripada neutron
neutrino – zarah neutral berjisim sifar dan berspin 1/2. Terhasil daripada tindak balas nuklear seperti pereputan zarah beta yang banyak berlaku dalam bintang-bintang termasuk matahari.
keabadian momentum – prinsip di mana dalam satu sistem, beberapa jisim mengenakan daya antara satu sama lain. Apabila itu berlaku, jumlah vektor sistem itu sentiasa tetap.
supernova – bintang yang menjadi sangat terang disebabkan letupan yang mengakibatkan isi sesebuah bintang itu terkeluar.
RUJUKAN
Starr, M. (2022, 17 Jun). At 1.4 Million Mph, Astronomers Detected One of The Fastest Cosmic Objects of Its Kind. ScienceAlert.
Pusat Sinar-X Chandra. (2022, 23 Jun). Pulsar Discovered Blazing Through the Milky Way at Over a Million Mile per Hour. SciTech Daily.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih