Konsep ‘sediakan payung sebelum hujan’ ini boleh kata satu golden rule yang harus dipegangi semua. Supaya kalau ada apa-apa luar jangka terjadi, kita ada pelan B dan boleh pantas beradaptasi.

Lagipun, dunia memang sentiasa ke hadapan dan memerlukan kita – untuk membina payung-payung yang bakal meneduhinya dari hujan-hujan kebinasaan. Misalnya mutakhir ini, Konferens Aeroangkasa IEEE baru sahaja membentangkan satu projek yang digelar sebagai ‘projek Bahtera Nuh di bulan’.

Bila kata ‘Bahtera Nuh’, ia bukanlah menuding kepada perpindahan massa ke bulan atau membina bahtera yang kebal malapetaka. Tetapi ia lebih kepada satu projek back-up. Macam, kita back-up dokumen penting ke simpanan awan.

Cuma bezanya, ‘data’ yang disimpan ini adalah sampel sperma, telur, dan benih dari 6.7 juta spesis hidupan di bumi. Semua ini supaya andai bumi hancur dan segala hidupan melebur, ‘butang reset’ boleh ditekan – sekali gus memulakan semula ketamadunan.

Model ‘bahtera’ yang dirancang (Kredit: The Sun)

Sekali dengar, projek ini memang macam angan-angan mat jenin. Merepek dan mengarut. Lebih-lebih lagi kalau yang mendengar jenis tak percaya pun pada kesahihan misi pendaratan di bulan. Sampai habis semua pun hendak diteorikonspirasikan.

Sedangkan kalau diikutkan, projek begini sekadar berusaha memaknai prinsip ‘belajar dari sejarah’. Sebab sepanjang sejarah, bukan sekali manusia dihadapkan dengan peristiwa yang disangka sebagai kiamat.

Antaranya seperti letusan Gunung Berapi Besar (supervolcano) Toba pada 75,000 tahun lampau, yang sampai mengakibatkan bumi menyejuk 1,000 tahun. Begitu juga hempasan komet di Amerika Utara pada 12,850 tahun lalu. Masa itu, banyak megafauna Pleistocene di sana pupus.

Justeru dalam pembentangannya, Jekan Thanga dari makmal SpaceTREx (University of Arizona) menyenaraikan beberapa bencana yang berpotensi meranapkan biodiversiti di bumi. Antaranya perang nuklear, hentaman asteroid, pandemik global, perubahan cuaca (kenaikan paras laut atau kemarau global), dan ribut solar berskala besar.

Semua ini mendorong beliau dan pasukan untuk mengusulkan projek ‘Bahtera Nuh di Bulan’. Projek ini bukanlah untuk mencabar Tuhan dan menafikan kiamat. Tetapi mahu mengimbangi fatalisme dan optimisme. Yakni, berikhtiar sehabis baik dalam kapasiti seorang manusia… dan seorang ‘khalifah’ (atau guardian bak kata Thanga) yang perlu melindungi hidupan-hidupan di bumi.

Sebetulnya, memang begitu pun saranan yang diberikan; “Kalau besok kiamat dan dalam tangan ada biji benih, tanam.” Sebab, bukan hasil yang dilihat. Tetapi usaha dan proses. Betapa dalam rangka mencapai matlamat ‘menyimpan sampel 6.7 juta spesis di bulan’, barangkali ada puluhan teknologi lain dapat dibangunkan. Dan teknologi-teknologi ini pula dapat dimanfaatkan oleh marhaen dalam kehidupan seharian. Siapa tahu?

Lagipun, idea penyimpanan begini bukanlah idea baru. Ia sudah dilaksanakan sejak 2008 lagi. Iaitu menerusi Slavbard Global Seed Vault di Norway, yang setakat ini menyimpan lebih sejuta sampel benih tumbuhan dari seluruh dunia.

Svalbard Global Seed Vault (Kredit: New Scientist)

Cuma seperti yang Thanga sebut, menyimpan sampel di bumi ini masih berisiko. Sebab bila-bila masa sahaja ia boleh musnah andai berlaku kenaikan paras laut atau hentaman asteroid. Justeru, idea sama diutarakan tetapi diusulkan supaya dibuat di bulan.

Bulan menjadi pilihan paling sesuai atas beberapa faktor. Pertama, ia hanya berjarak 3-4 hari perjalanan dari bumi. Kedua, ia lebih stabil berbanding sekadar membina ‘bahtera’ di ruang orbit bumi. Ketiga, ia memenuhi kriteria ‘suasana amat sejuk dan terasing tanpa mudah diganggu’. Dan keempat dan paling penting, ia memiliki ‘rangkaian bawah tanah’ yang amat sesuai dijadikan lokasi penempatan bahtera.

Rangkaian bawah tanah ini merujuk kepada tiub-tiub lava yang terbentuk di bulan sejak berbillion tahun lampau. Setakat 2013, saintis mendapati bulan memiliki kira-kira 200 tiub lava yang sekali gus menyediakan ruang cukup besar di bawah permukaannya. Sampai dahulu pernah dicadangkan supaya bina saja ‘bandar bulan’ di situ.

Namun dalam konteks projek ini, Thanga dan pasukannya mencadangkan supaya menghantar dahulu robot khas bagi membuat pemetaan digital (digital mapping). Ini untuk menentukan kawasan mana bakal dipilih dan dijadikan pangkalan. Setelah itu, barulah fasa pembinaan dapat dimulakan.

Antara tiub lava di bulan (Kredit: Space Exchange)

Menurut perancangan, ‘bahtera’ ini bakal terdiri daripada dua bahagian utama; fasiliti bawah tanah dan fasiliti di permukaan bulan. Fasiliti bawah tanah tentulah berfungsi sebagai tempat penyimpanan. Sementara fasiliti di permukaan pula menempatkan stesen komunikasi dan panel-panel solar sebagai penjana tenaga. Kedua-dua fasiliti ini kemudian dihubungkan melalui lif.

Kata Thanga, cabaran utama adalah logistik, kos, dan teknologi. Bayangkan, setiap spesis memerlukan 50 sampel. Darab dengan 6.7 juta spesis, bermaksud ada 335 juta sampel perlu diangkut. Pengangkutnya pula mestilah pakai roket dan roket ini pula bukan dilancarkan sebuah-dua.

Ikut anggaran, sehingga 250 buah roket diperlukan untuk mengangkut kesemua 335 juta sampel tersebut. Itu belum kira angkut bahan binaan lagi. Ini sekali gus menjadikan saiz logistiknya enam kali ganda lebih besar berbanding semasa Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dibina, di mana ia memerlukan 40 buah roket sahaja. Kos pembinaannya pula sekitar $150 billion.

The Patriots berada di PBAKL 2022 bermula 3 June sehingga 12 June. Jumpa di sana!

Selain kos dan logistik, teknologi juga menjadi penghalang utama. Khususnya dalam soal pengurusan dan penyimpanan sampel pada suhu sangat rendah, iaitu sekitar minus 180-196°C. Suhu sebegitu memang di luar ketahanan manusia. Justeru, robot khas perlu dibangunkan terlebih dahulu – bersama segala ciri yang membolehkannya berfungsi pada kadar optimum.

Kalau ikut anggaran, segala teknologi yang diperlukan bakal tersedia menjelang 30 tahun akan datang. Masa itu, bolehlah kita berkira-kira mahu menyumbangkan benih atau tidak dalam projek ini. Cuma… takkan mahu sumbang benih saja. Kalau kita boleh lahirkan Dr. Nur Adlyka yang terlibat dalam penemuan dan penerbitan gambar pertama lohong hitam, dalam hal ini, tidak mustahil untuk kita lahirkan pakar serupa.

RUJUKAN

Baker, Harry. (2021, 14 March). Scientists want to store DNA of 6.7 million species on the moon, just in case. Live Science

Edwards, Charlotte. (2021, 15 March). Noah’s Ark on the Moon will preserve 6.7 million species in case Earth is destroyed – will need 250 rocket trips to build. The Sun.

Lewis, Sophie. (2021, 12 March). Scientists want to send 335 million seed, sperm and egg samples to the moon to create a lunar Noah’s Ark. CBS News.

Tapalaga, Andrei. (2021, 5 November). Scientists Plan to Build a 21st Century Noah’s Ark on the Moon. History of Yesterday.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Leave A Reply