Sepertimana sejarah penyatuan dinasti-dinasti China oleh Maharaja Qinshihuang, penyatuan klan-klan Jepun oleh tiga panglima iaitu Nobunaga, Hideyoshi, Tokugawa dan penyatuan suku-suku Mongol oleh Genghis Khan, tanah subur yang melangkaui tebing sungai Nil juga tidak terlepas dalam episod penyatuan tersebut.

Dalam sejarah berdirinya empayar yang pernah diperintah oleh pelbagai dinasti yang merangkumi bangsa Qibti, Hyksos, Yahudi, Yunani dan Rom ini, Mesir purba dahulu secara amnya didirikan oleh seorang raja yang berasal dari tanah itu sendiri, iaitu Narmer: Raja Ikan Keli.

Tablet Narmer: Rekod Catatan “King Of The South”.

Rekod pertama kali manusia mendiami Mesir bermula di daerah Nabta Playa (barat Abu Simbel). Sekitar 7,000 SM, peradaban manusia mula membaca arah pergerakan bintang dan buruj-buruj di langit. Seterusnya pada 5,000 SM, penempatan manusia yang ditemui di sekitar kawasan Gurun Utara (nama sekarang al-Badari). Masyarakat di kawasan ini mula bercucuk tanam, membakar roti daripada gandum, membru bir daripada barli, menternak haiwan, menangkap ikan di Laut Merah dan belayar.

Rekod ini menunjukkan pada rentang waktu tersebut masyarakat Mesir mula melakukan hubungan ekonomi dua hala bersama masyarakat Sumeria dari jalur Laut Merah dan Semenanjung Arab. Jauh sebelum penyatuan Mesir, tamadun manusia perlahan-lahan mencapai sebuah peradaban yang tidak rasmi. Hanya sekitar setelah 4 millenium setelah itu, barulah Mesir menjadi sebuah negara rasmi pertama di dunia. Dalam pembelajaran bahagian era Pra-Dinasti Mesir, masyarakat Mesir melalui lima fasa utama sebelum memasuki fasa empayar iaitu:

1. Pra-nomes.
2. Proto-nomes.
3. Nome Pre-states.
4. The Upper Egyptian Proto-state.
5. All-Egyptian Early state.
6. Egyptian Empire.

Baik, sampai situ sahaja penerangan kelahiran peradaban manusia di Mesir…

Sebelum berlakunya penyatuan Mesir purba, pemerintahan di tanah Mesir terbahagi kepada dua bahagian iaitu kerajaan di Mesir Hulu (Upper Egypt) dan kerajaan di Mesir Hilir (Lower Egypt). Dalam pembelajaran sejarah Mesir purba, period dinasti-dinasti di Mesir dibahagikan kepada tiga era, yang dikenali sebagai Kerajaan (Kingdom), iaitu:

1. The Old Kingdom (Kerajaan Lama): Era di mana berlakunya peristiwa yang akan dibahaskan nanti. Pada tempoh waktu ini, Mesir mula disatukan dan dibangunkan. Piramid mula dibina dan seni kebudayaan masyarakat Mesir disebarkan sehinggakan dewa-dewi Mesir dipinjam oleh bangsa Yunani untuk melahirkan Olympian Ogdoad mereka.

2. The Middle Kingdom (Kerajaan Pertengahan): Era dimana penyatuan Mesir kali kedua oleh Firaun Ahmose I setelah mengalahkan bangsa asing Hyksos dari ibukota Memphis. Era ini menunjukkan kegagahan dan peranan keluarga diraja Ahmose berperang menuntut kembali takhta sungai Nil lalu mengembalikan Mesir purba dibawah pemerintahan darah murni bangsawan Firaun.

3. The New Kingdom (Kerajaan Baharu): Era dimana empayar Mesir purba mencapai tahap kegemilangan dibidang agama, politik, ekonomi, penaklukan, seni budaya dan ilmu pengetahuan. Piramid-piramid dan kuil-kuil direnovasi dan ditambah bilangannya. Lahirnya para firaun yang terkenal seperti Ramesses II, Tutankhamun dan Akhenaten. Era dimana bermulanya titik sebuah peradaban yang bakal hancur selama-lamanya dibawah pasukan tentera Yunani pimpinan Raja Alexander the Great.

Kemunculan nama Narmer pertama kali ditemui pada sebuah tablet tanah liat pada tahun 1897 di kuil Hierakonpolis di Aswan, Mesir. Tablet tanah liat yang diyakini sebagai rekod pertama catatan berunsur politik dalam tulisan bergambar Hieroglif, menyampaikan mesej mengenai seorang pemimpin yang menyarung mahkota Hedjet mengalahkan seorang raja dari selatan. Tablet tanah liat ini masih dipamerkan di Muzium Kairo, Mesir (gambar tablet seperti di atas).

Nama Narmer diterjemahkan daripada tulisan Hieroglif yang membawa maksud ‘ikan keli’. Ya Raja Ikan Keli.

Mengikut kajian sejarawan, kedua buah sisi permukaan tablet ini dipahat oleh orang yang berbeza dan mempunyai dua sisi permukaan yang mana sisi pertama mempamerkan sebuah lukisan bergambar iaitu seorang raja menyarung mahkota Hedjet dan ditangan raja tersebut memegang senjata dan sebelah tangannya yang lain memegang kepala seorang raja yang diyakini pemimpin dari selatan. Dalam ukiran tersebut, terdapat seekor burung helang yang melambangkan Dewa Horus. Lambang ini membawa maksud keberkataan kemenangan Raja Narmer oleh Dewa Horus dan kehinaan kepada Raja Mesir Hilir.

Di sisi permukaan kedua, disampaikan maksud mengenai peristiwa tersebut iaitu bagaimana Narmer berjaya mengalahkan raja dari selatan dan menyatukan Mesir. Ukiran lembu atau kerbau yang digunakan oleh Raja Narmer dalam mengempur benteng pertahanan kota Mesir Hilir. Di atas tablet tersebut, terdapat ukiran kepala lembu yang diyakini sebagai Dewi Hathor.

Dengan penemuan bukti bernilai ini, para sejarawan telah menemui jawapan pendiri Mesir yang melahirkan para firaun yang mana empayar ini bakal dicatatkan di dalam kisah sejarah di dalam al-Quran melalui kisah Nabi Yusuf a.s bersama Malikul Misr dan Nabi Musa a.s bersama Firaun Terlaknat, Ramesses II.

Menes Atau Narmer: Dua Sosok Berbeza Dalam Sejarah Mesir Purba

Melalui pelbagai rekod dan penemuan di sekitar tapak arkeologi, lukisan di dinding piramid dan catatan lainnya, sejawaran mempunyai pelbagai pandangan dan teori mengenai status Raja Narmer. Berikut merupakan teori-teori yang dikemukakan:

1. Pendapat pertama: Raja Ka merupakan pemerintah di Mesir Hulu. Musuh utama Raja Ka adalah Raja Weha (Scorpion II) dari kerajaan Mesir Hilir. Kedua orang sosok raja ini bermusuhan antara satu sama lain. Setelah Raja Ka mangkat, Narmer menaiki takhta dan menjadi Raja Mesir Hulu yang baharu. Raja Narmer melancarkan perang dan berjaya mengambil alih kerajaan Mesir Hilir lalu menyatukan seluruh tanah Mesir.

2. Raja Ka, Raja Weha dan Raja Narmer merupakan raja-raja yang menguasai Mesir sebelum tempoh penyatuan pada tahun 3000 SM. Setelah Raja Narmer mempunyai kekuatan yang cukup, baginda berjaya menghancurkan kedua belah blok pasukan dan menyatukan Mesir dibawah satu pentabdiran berpusat.

3. Sosok Raja Weha (Scorpion II) merupakan nama lain bagi Raja Narmer dan Raja Ka merupakan musuh utamanya yang berpusat di Mesir Hilir. 

Sebelum Mesir disatukan, dunia Mesir menghadapi era Pra-Dinasti Mesir Awal (Early Pre-dynastic Period) yang dimana pada era ini, Mesir dipimpin oleh raja-raja yang masih memakai nama gelaran mengunakan simbol haiwan dan sebagainya. Secara amnya, Raja Ka dikenali sebagai seorang raja yang mempimpin Mesir Hulu berpusat di kota Hierakonpolis (berdekatan tapak kota kuno Abydos) dan menyerahkan takhtanya kepada Raja Narmer.

Teka-teki Raja Narmer bukan berhenti di situ sahaja, bahkan sejarawan masih mempunyai dua pandangan berbeza mengenai nama Menes yang dikenali sebagai raja pertama Mesir dan Narmer sebagai penyatu Mesir. Kedua buah nama yang berbeza dengan gelaran masing-masing. Sejarawan mengemukakan dua teori seputar masalah ini, iaitu:

1. Raja Narmer mempunyai nama lain iaitu Menes. 

Nama Menes pertama kali dipetik daripada catatan Manetho bertajuk ‘Chronology of Manetho’ yang mengungkapkan Menes sebagai raja pertama Mesir.

2. Menes merupakan nama lain bagi Raja Hor-Aha (anak) pewaris takhta Raja Narmer.

Kedua-dua teori ini saling berkaitan antara satu sama lain, berikutan Raja Narmer merupakan penyatu empayar Mesir dan Raja Hor-Aha menyandang nama raja Mesir (Hulu dan Hilir) buat pertama kali. 

Tetapi pada sekitar tahun 1985 sehingga 1991, ahli arkeologi menemui bukti kukuh yang mampu memecahkan teka-teki penyatu Mesir melalui penemuan sebuah mohor yang menyatakan Narmer sebagai raja pertama dalam senarai tersebut.

Penemuan mohor di tapak kota kuno Abydos, berdekatan makam raja Den dan raja Qa’a, menunjukkan dalam senarai lapan orang raja terawal empayar Mesir, Narmer menduduki tempat pertama. Raja Den dan Raja Qaqa merupakan antara dua orang senarai daripada lapan orang raja Dinasti Pertama (2950 SM – 2575 SM).

Daripada kumpulan dan penemuan sumber primer tersebut seiring dengan terjemahan daripada tulisan Hieroglif, dapat dipastikan Raja Narmer atau Menes merupakan raja pertama Mesir dan penyatu Mesir.

Penyatuan Dua Buah Mahkota Mesir

Ketika dua buah kerajaan terbesar yang mewakili dua kawasan menjadi penguasa tunggal, mereka masing-masing merebutkan wilayah jajahan dan kuasa. Pertempuran dan konflik politik antara kedua buah belah pihak tidak dapat dibendung lagi akhirnya pecah sekitar tahun 3150 SM, apabila Raja Narmer beserta angkatan pasukan Mesir Hulu mengepung dan menakluk Mesir Hilir.

Sebab lain tujuan Raja Narmer ingin mengambil Mesir Hilir adalah kerana kawasan tersebut mempunyai tanah-tanah tanaman gandum, barli dan lain-lain yang mampu menampung bekalan makanan rakyat Mesir Hulu yang semakin bertambah dan sebagai bahan eksport ke negeri lain. Sejak dahulu lagi, kota-kota di Mesir Hilir dikenali sebagai daerah yang kaya dengan hasil tanaman walaupun kota-kota mereka tidak se-urban kota-kota di Mesir Hulu.

Dengan jatuhnya kerajaan Mesir Hilir, maka Raja Narmer mendapat kekuasaan penuh di kedua buah kota. Raja Narmer mengasaskan empayar Mesir dan ibukota pertamanya, Men-Nefer atau dalam bahasa Yunani, ianya dikenali sebagai kota Memphis. Kota Memphis menjadi ibukota pada era Dinasti Pertama sehingga Dinasti Ke-17 dibawah pentadbiran Hyksos sebelum dipindah ke kota Thebes pada masa pemerintahan Firaun Ahmose I. 

Setelah menjatuhkan Raja Mesir Hulu (namanya tiada dalam catatan rekod lama), Raja Narmer mengabungkan mahkota Hedjet miliknya ke dalam mahkota Deshret milik Mesir Hilir lalu menjadi nama Mahkota Ganda Pschent. Dengan penggabungan dua buah simbol kuasa ini, menandakan batu aras kepada empayar Mesir untuk menjadi penguasa tunggal di situ.

Setelah menyusun pentadbiran baharunya, Raja Narmer menjalinkan hubungan diplomatiknya melalui perkahwinan dengan Permaisuri Neithhotep dari Naqada. Raja Narmer pada waktu ini tidak tertarik untuk mengembangkan sayap pemerintahannya ke daratan Mesopotamia yang pada waktu itu didiami oleh bangsa Sumeria. Raja Narmer hanya tertarik menguasai empayar Kanaan yang kaya-raya (yang meliputi negara moden Syria, Lebanon, Palestin dan Jordan) dan daerah masyarakat Nubia.

Walaupun sibuk mengembangkan kuasa jajahan dan membina kota-kota maju, Raja Narmer tidak terlupa dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang penyembah dewa-dewi yang setia. Baginda membina kuil-kuil dan merenovasi kuil Horus di Hierakonpolis (kuil ini sudah lama dibina sebelum Raja Narmer dilahirkan). Lambang-lambang keagamaan dimuliakannnya seperti lambang Djed dan Ankh.

Legasi kehebatan dan kemajuan yang dibawa oleh Raja Narmer diteruskan oleh penerusnya, iaitu para raja Dinasti Pertama sehinggalah ke pembinaan piramid pertama di dunia, piramid bertangga Djoser oleh Firaun Djoser pemimpin Dinasti Ketiga (2650 SM – 2575 SM).

Walaupun catatan rekod tentang Raja Narmer hanya sedikit sahaja, tetapi perjuangan dan perubahan yang dibawanya mampu membawa empayar Mesir bertahan selama 3,000 tahun lamanya di atas muka bumi ini.

Artikel berkaitan:

1. Senarai Nama-Nama Firaun: https://thepatriots.asia/senarai-nama-firaun-yang-memerintah-mesir-purba/

2. Jenis-Jenis Piramid Mesir: https://thepatriots.asia/piramid-piramid-di-mesir-purba/

3. Simbol Kehidupan Ankh: https://thepatriots.sevenmaker.com/ankh-simbol-kehidupan/

4. Nabi Yusuf a.s dan Malikul Misr: https://thepatriots.asia/nabi-yusuf-firaun-akhenaten-al-malikul-misr-dan-al-aziz/

5. Firaun Ramesess II: https://thepatriots.asia/ramses-ii-firaun-teragung-sejarah-mesir/

6. Penyatuan Jepun: https://thepatriots.asia/oda-nobunaga-bapa-penyatuan-seluruh-jepun/

7. Penyatuan Mongol: https://thepatriots.asia/genghis-khan-pengasas-kepada-empayar-daratan-terbesar-dalam-sejarah/

8. Penyatuan China: https://thepatriots.asia/tentera-terracotta-pengawal-abadi-makam-qin-shi-huang/

Sumber rujukan: 

1. The History of Ancient Egypt oleh Profesor Bob Brier.

2. A Brief History of Egypt oleh Arthur Goldschmidt Jr.

3. Anciet Records of Egypt (Volume I) oleh James Henry Breasted Ph.D.

4. Before the Pyramids: The Origins of Egyptian Civilization disunting oleh Emily Teeter.

5. Ancient History Encyclopedia: Narmer oleh Joshua J.Mark.



Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

'Creative. Celibate. Crybaby.'

Comments are closed.