Ditengah-tengah kesusahan rakyat Kedah pada zaman penjajahan Siam terselit kisah seorang pemerintah wanita yang berwibawa bernama Nakhoda Dewi.

Beliau mewarisi hak memerintah mukim Kampung Temelan di dalam daerah Setul daripada waris-waris lelakinya yang terkorban dalam peperangan sebelumnya. Sebagai seorang wanita, pihak Inggeris yang sempat menemui beliau pada tahun 1838 mendapati peranannya, dan penghormatan yang diberikan oleh lebih kurang seratus bumbung keluarga kepada beliau adalah amat jarang untuk dijumpai di mana-mana belahan Hindia Timur pada waktu itu.

Inggeris menemui perkampungan beliau di perairan muara Sungai Setul setelah berlayar sekira-kira dua puluh batu daripada kawasan Pulau Ketam di Kuala Perlis. Pada ketika itu mereka keputusan bekalan air dalam operasi mengawal perairan Langkawi dan Kuala Kedah. Memudiki muara Setul mereka melihat orang-orang Melayu mengintai-intai dari sebalik pokok bakau bersedia dengan senapang mereka namun setibanya di Temelan mereka disambut baik tanpa sebarang serangan. Kru Numero Tiga selamat mendarat dan langsung dibawa ke kediaman Nakhoda Dewi.

“Ratu Dewi”

Gelar Inggeris kepada sosok wanita tersebut.

Gelar “Nakhoda” pula adalah disebabkan beliau memiliki banyak perahu yang berfungsi untuk mengangkut balik masyarakat Temelan yang mengungsi buat beberapa lama di luar negeri ketika serangan pada tahun sebelumnya.

Masyarakat setempat mematuhi segala arahan beliau yang autoritatif walaupun beliau dikatakan masih muda belia dalam lingkungan tiga puluhan umur dan cantik manis. Hitung mereka wanita ini tidak lebih daripada tiga puluh lima. Budi dan hemah yang tinggi ditunjukkan apabila beliau menghulurkan bantuan dan menerima kedatangan pelayar Inggeris yang memerlukan bantuan makanan dan air bersih, tambahan pula kemarau melanda sudah hampir dua bulan. Orang Melayu Temelan sanggup mengorbankan hasil bekalan mereka untuk meraikan tetamu, perigi-perigi diperintahkan untuk digali lebih dalam dan kelapa dipetik.

Dengan keizinannya juga segala produk-produk setempat diperdagangkan seperti buah-buahan, ayam, kambing dan hasil-hasil lainnya meraih penghormatan yang tinggi dari pihak pengunjung.

Beberapa hari berikutnya Siam berjaya menawan kembali Kuala Kedah daripada Tunku Muhammad Taib dan sekali lagi Inggeris ke Temelan untuk memperbaharui bekalan mereka sekaligus memaklumkan perihal kejayaan Siam dan ancaman yang bakal menyusul keatas Temelan.

Apabila diceritakan bahawa angkatan Siam mula menghampiri penempatan Melayu tersebut, Nakhoda Dewi mula merancang untuk berhijrah keluar daripada penempatan itu.

Nakhoda Dewi dalam pada itu meminta izin daripada pegawai Inggeris yang menemuinya untuk membawa rakyatnya berhijrah ke Pulau Pinang. Pegawai tersebut mencadangkan agar beliau kekal dahulu menetap namun keesokan harinya tiba berita yang menggerunkan apabila pelarian dari hulu Sungai Setul dalam keadaan huru-hara turun ke muara menceritakan segala kemusnahan dan kekejaman tentera Siam yang memusnahkan bandar Mambang Negara.

Suasana menjadi kelam kabut dan Nakhoda Dewi mula menangis sepanjang hari terkenangkan bencana sama yang telah menimpa keluarganya bahkan ada yang menjadi korban.

Hidup sebatang kara sedemikian ibarat sudah jatuh ditimpa tangga namun Nakhoda Dewi harus cekal menghadapi semua ini demi menggalas amanah yang dititipkan. Beliau membuka kisah bagaimana beberapa puluh tahun dahulu serangan Siam yang teruknya lebih lima puluh kali ganda telah memusnahkan negerinya. Namun setelah peristiwa itu beliau tetap kembali ke Temelan dengan harapan untuk hidup dan menetap di tempat kelahirannya. Dengan pecahnya peperangan yang baru ini maka musnahlah hajatnya. Segala kebajikan penduduk tempatan kini menjadi tanggungjawabnya terutamanya dalam keadaan kacau bilau dimana pentadbiran awam menjadi lompong manakala Tuanku Sultan Maulana dan datuk-datuk pemerintah yang lain terpaksa berundur ke kawasan pedalaman untuk meneruskan jihad secara gerila termasuk ahli keluarga laki-lakinya.

Mahu tidak mahu Inggeris akhirnya membenarkan Nakhoda Dewi dan rakyatnya untuk berlepas menaiki perahu ke Pulau Pinang dan kapal layar Inggeris bernama Numero Tiga juga meninggalkan Temelan untuk mengelak sebarang konflik tidak diingini.

Sesudah itu tiada siapa yang mengetahui perihal ehwal Nakhoda Dewi kerana apabila Inggeris datang kembali ke Kampung Temelan setelah beberapa hari kemudian mereka terkejut mendapati ia diselubungi api yang besar. Dalam masa 15 minit segala rumah berdinding mengkuang dan berbumbung nipah itu musnah sama sekali termasuk segala tanaman kelapa yang dihadiahkan Nakhoda Dewi beserta segala hasil mangga dan kerbau kambingnya kepada Inggeris. Sebelumnya kawasan sawah padi Temelan sudah dirosakkan oleh penjahat-penjahat tidak dikenali. Pada hari itu Temelan hanya tinggal tiang-tiang rumah ibarat padang jarak padang tekukur.

Inggeris percaya yang penghulu wanita itu masih selamat dan berdasarkan kesan kebakaran jerami padi yang biasanya dilonggok di bawah setiap rumah orang Melayu di situ, Nakhoda Dewi setelah berlayar berkemungkinan telah mengarahkan rakyatnya untuk melakukan teknik bumi hangus untuk mengelakkan pasukan Siam mengeksploitasi sumber yang ada di kampung mereka sebagai bekalan untuk kelengkapan ketenteraan.

Laluan yang munasabah bagi Nakhoda Dewi dengan rakyatnya adalah dengan berhijrah melalui jalan air ke Langkawi atau perairan yang lebih ke selatan seperti Merbok atau Pulau Pinang.

Anekdot Nakhoda Dewi wanita berwatak pemimpin ini hanyalah secebis daripada kisah kaum wanita yang mempunyai peranan masing-masing dalam lipatan sejarah Kedah baik positif mahupun negatif. Wanita selaku golongan yang paling terjejas akibat perang yang berlanjutan selama lebih kurang empat puluh tahun itu seharusnya bangkit berganding bahu mendokong suami dan bapa-bapa mereka disamping mendukung anak-anak generasi masa hadapan untuk meneruskan perjuangan dan sketsa kehidupan.

Masyarakat Melayu keturunan Kedah hari ini bahkan yang di segenap negeri yang pernah melalui konflik getir tersebut harus bermuhasabah bahawa kewujudan mereka pada hari ini adalah berkat bersusah payah ibu-ibu mereka terdahulu.

Gambar sekadar hiasan. 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Nabil Nadri atau nama penanya Tuan Merbok merupakan pencinta sejarah, arkeologi dan budaya. Penulisannya yang banyak datang dalam bentuk artikel atau posting ringkas menyentuh pelbagai subjek menarik terutamanya berkaitan Alam Melayu dan Dunia Islam. Pencarian nasab dan salasilah diri menjadi obsesi yang mewarnai aktiviti beliau kebelakangan ini disamping usaha beliau menjejak ratusan artifak Batu Aceh yang terdapat di Tanah Melayu. Nabil Nadri merupakan graduan Sarjana Muda dari Jabatan Sejarah dan Ketamadunan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (2014-2016) dan kini sedang dalam peringkat melanjutkan pengajian Sarjana dalam bidang Sejarah di universiti yang sama

Comments are closed.