Setiap tahun pada 15 Mei, rakyat Palestin akan memperingati satu peristiwa hitam dalam sejarah yang digelar sebagai Nakba yang bermaksud malapetaka dalam bahasa Arab.
Tapi, apa sebenarnya Nakba ni? Kenapa ia begitu penting dalam sejarah Palestin dan dunia Islam?
[Asal-Usul Nakba: Malapetaka Yang Dirancang]
Pada 14 Mei 1948, Israel secara rasmi mengisytiharkan kemerdekaan. Namun, di sebalik ‘kelahiran’ negara ini, terdapat kisah tragis yang jarang diceritakan dalam buku-buku sejarah pro-Barat.
Nakba merujuk kepada peristiwa pengusiran besar-besaran lebih 750,000 rakyat Palestin dari tanah air mereka sendiri oleh kumpulan Zionis.
Kampung-kampung dimusnahkan, penduduk dihalau dan ribuan orang terbunuh dalam serangan kejam oleh Zionis seperti Haganah, Irgun dan Stern Gang.
Nakba bukanlah satu peristiwa spontan. Ia adalah satu pelan yang telah lama dirancang oleh pergerakan Zionis sejak abad ke-19.
Theodor Herzl, pengasas Zionisme moden percaya bahawa Yahudi memerlukan sebuah negara sendiri, dan Palestin telah dipilih sebagai lokasi atas dasar sejarah keagamaan mereka.
Pergerakan ini mendapat sokongan kuat daripada kuasa-kuasa Barat terutamanya Britain yang menjanjikan tanah Palestin kepada Zionis melalui Deklarasi Balfour pada tahun 1917 walaupun tanah itu bukan milik mereka untuk diberikan!
Sebelum 1948, Palestin berada di bawah mandat British sejak kejatuhan Empayar Uthmaniyah. Dalam tempoh itu, kerajaan British membenarkan imigrasi besar-besaran Yahudi ke Palestin menyebabkan ketegangan dengan penduduk Arab tempatan.
Pada tahun 1947, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengemukakan Pelan Pembahagian Palestin (UN Resolution 181) yang memberikan 55% daripada tanah Palestin kepada Zionis, walaupun mereka hanya memiliki 7% sebelum itu.
Ini mencetuskan kemarahan rakyat Palestin dan masyarakat Arab, menyebabkan perang saudara antara kumpulan Zionis dan rakyat Palestin.
[Pembersihan Etnik dan Kemusnahan]
Dari 1947 hingga 1949, lebih 530 bandar dan kampung Palestin telah dimusnahkan dan lebih 15,000 rakyat Palestin terbunuh dalam pelbagai pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Zionis.
Salah satu insiden paling terkenal ialah Pembunuhan Deir Yassin pada 9 April 1948, di mana lebih 100 lelaki, wanita dan kanak-kanak Palestin dibunuh dengan kejam.
Selain itu, Israel juga didakwa menggunakan taktik perang biologi dengan meracuni sumber air di beberapa kampung Palestin.
Serangan ini adalah sebahagian daripada strategi Zionis untuk memastikan penduduk Palestin tidak dapat kembali ke tanah asal mereka.
Kesan Nakba bukan hanya dalam bentuk kehilangan tanah, tetapi juga penghancuran budaya, identiti dan sejarah Palestin. Nama-nama kampung dan bandar Palestin diubah kepada nama Yahudi bagi memadamkan jejak asal rakyat Palestin.
Pada waktu yang sama, orang Yahudi Eropah yang terselamat daripada Holocaust telah berhijrah beramai-ramai ke Palestin dengan bantuan Britain dan Amerika Syarikat.
Ini meningkatkan lagi ketegangan antara penduduk asal Palestin dan pendatang Zionis. Sementara dunia bersimpati dengan nasib pelarian Yahudi, penderitaan rakyat Palestin diabaikan.
[Bukan Sekadar 1948: Nakba Masih Berterusan]
Ramai yang menganggap Nakba hanya berlaku pada tahun 1948, tetapi hakikatnya, ia masih berlaku sehingga ke hari ini!
Walaupun Israel telah ditubuhkan, mereka terus menindas dan mengusir rakyat Palestin. Pada tahun 1967, dalam Perang Enam Hari, Israel menawan Tebing Barat, Gaza, dan Baitulmaqdis Timur. Ramai lagi rakyat Palestin dihalau dari tanah mereka.
Di Tebing Barat, rejim Zionis terus membina penempatan haram Yahudi, merampas tanah Palestin, dan meruntuhkan rumah-rumah mereka.
Di Gaza, sekatan ekonomi dan serangan ketenteraan menyebabkan penduduk hidup dalam keadaan serba kekurangan.
Pelarian Palestin yang kini mencecah lebih 7 juta orang masih dinafikan hak untuk pulang ke tanah air mereka sendiri.Dalam era moden, dasar-dasar Israel terus menyekat hak-hak rakyat Palestin, termasuk merampas rumah-rumah mereka di Baitulmaqdis, menafikan hak kewarganegaraan kepada pelarian Palestin dan menekan mereka melalui dasar diskriminasi yang ketat.
Dalam undang-undang Israel sendiri, terdapat lebih 50 undang-undang yang mendiskriminasi rakyat Palestin, termasuk Nakba Law yang mengharamkan sebarang peringatan rasmi tentang Nakba.
Kenapa Dunia Perlu Faham Tentang Nakba?]
Nakba adalah sejarah ketidakadilan global. Israel sering digambarkan sebagai sebuah negara kecil yang ‘dikepung’ oleh negara Arab yang besar, tetapi fakta sebenarnya ialah Zionis dengan bantuan Barat telah merampas tanah Palestin secara sistematik.
Hari ini, dunia semakin sedar tentang penindasan yang berlaku. Walaupun banyak kerajaan masih menyokong Israel, kesedaran rakyat biasa semakin meningkat.
Di peringkat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah dua kali mengadakan peringatan rasmi bagi memperingati Nakba, menunjukkan pengiktirafan terhadap penderitaan rakyat Palestin.
Terkini, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump turut mencetuskan kontroversi dengan kenyataannya yang menggesa Jordan dan Mesir menerima rakyat Palestin dari Gaza.
Trump menegaskan bahawa beliau berharap rakyat Palestin “tidak akan kembali” ke tanah mereka, sekali gus menghidupkan semula kebimbangan tentang kemungkinan Nakba 2.0.
Kenyataan ini selari dengan tindakan pelbagai pihak Zionis yang sejak dahulu lagi ingin memastikan penghapusan identiti Palestin.
Malah, Trump turut menegaskan bahawa setiap rakyat Palestin harus meninggalkan tanah mereka, satu pendirian yang menunjukkan ancaman besar kepada hak right of return rakyat Palestin.
Selagi rakyat Palestin terus ditindas, selagi mereka terus diusir dari tanah air mereka sendiri, selagi Masjid Al-Aqsa terus dicemari, selagi itu juga Nakba belum berakhir.
___
Untuk korang yang nak tahu sejarah lengkap Palestin dari seawal kisah Bumi Anbiya’ hingga ke konflik Tufan Al-Aqsa, dapatkan sekarang buku PALESTIN: DARI SUNGAI KE SEGARA sementara stok masih ada!
Buku ni dah hampir 5000 cetakan tak sampai sebulan!
https://s.shopee.com.my/60BgpX7SwG
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih