Sepanjang menonton tarian naga yang dipersembahkan setiap kali perayaan Tahun Baru Cina, pastinya kita sentiasa mempercayai bahawa penari di balik pakaian dan kostum naga di sebaliknya pastilah seorang Cina. Benar, ada penglibatan dari mereka yang bukan berketurunan Cina, tetapi ia hanyalah segelintir sahaja dan tidak melibatkan ahli bukan Cina yang ramai.

Siapa sangka dalam banyak kisah-kisah mengenai Melayu Batu Pahat, Johor, ia pernah menyimpan sejarah penubuhan kumpulan Tarian Naga oleh Melayu Batu Pahat, sesuatu yang kita dengari agak janggal untuk kita sama-sama menggambarkannya?

Namun ia adalah satu kisah unik dalam lipatan sejarah masyarakat Melayu Batu Pahat sendiri yang pastinya tidak diketahui ramai.

Sejarah Kumpulan Tarian Naga Melayu Batu Pahat ini digerakkan oleh Datuk Bentara Luar Mohd. Salleh Bin Perang (1841-1915) ketika beliau membangunkan Batu Pahat.

Selepas bertugas di Muar sekitar 1884, Datuk Bentara Luar kemudiannya ditugaskan menjaga keamanan di Batu Pahat bermula pada 1893. Di Muar, beliau memulakan kerjaya sebagai Kerani Temenggung Ibrahim, manakala di Batu Pahat, tanggungjawab beliau yang dititah Temenggung Ibrahim pada masa itu adalah sebagai Pesuruhjaya Polis Johor yang menjaga urustadbir keselamatan negeri juga bertanggungjawab mengawal selia pentadbiran Pasukan-pasukan Pengaman (Polis) Johor ketika itu.

Datuk Bentara Luar memulakan kerjayanya dengan tanggungjawab yang cukup berat. Beliau acapkali diuji dengan konflik-konflik tempatan melibatkan hal-hal persempadanan tanah pertanian bagi tanaman lada hitam dan gambir antara kaum Cina di Johor. Perselisihan ini banyak berlaku semasa beliau bertugas di Batu Pahat.

Petani-petani Cina ini asalnya datang dari Tanah Besar China aekitar 1830an dari keturunan Tiew Chew. Mereka datang ke Johor untuk satu kehidupan baharu dan membuka penempatan, apa yang kita pernah belajar sebagai ‘Kangkar’ yang diketuai oleh seorang ‘Kangchu’ di dalam buku-buku sejarah sekolah dahulu. Konflik dan salah faham antara kangchu, melibatkan beberapa kangkar misalnya adalah antara isu yang perlu ditangani oleh Datuk Bentara Luar bagi memastikan keamanan dan keharmonian masyarakat Cina tersebut. Ia tambah merumitkan apabila konflik tersebut turut tidak disenangi masyarakat Melayu sendiri yang asalnya telah berada di situ sejak sekian lama.

Kekerapan berurusan dengan petani-petani Cina di Johor ini menyebabkan beliau mengambil inisiatif mempelajari adat resam, budaya, bahasa malah mengambil cakna keperluan urusan harian kaum Cina di Johor. Datuk Bentara Luar mahu mendalami bagaimana masyarakat Cina hidup dan bagaimana keharmonian bermasyarakat bersama kaum-kaum lain di Batu Pahat dapat terus dikekalkan.

Hubungan baik beliau dengan seorang senseh Cina di Johor iaitu Chai Ah Seng menjadikan beliau seorang yang akhirnya fasih berbahasa Cina, arif tentang budaya dan latarbelakang masyarakat Cina Johor, malah turut cekap bermain alat muzik dan pancaragam Cina ketika itu.

Hasil kesungguhan beliau mendalami cara hidup, adat resam dan kefasihan berbahasa Cina menjadikan beliau terpilih sebagai Menteri Pengiring kepada delegasi Johor ke China pada 1885. Beliau pernah juga dijemput untuk merasmikan Bangunan Dewan Perniagaan Cina Penggaram pada 1905 dan menyampaikan ucapam penuh di dalam bahasa Cina.

Sepanjang kerjayanya sebagai anggota kerajaan awam Johor, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Tanah dan Ukur, Ahli Jemaah Kehakiman dan Rayuan, Pesuruhjaya Kerajaan di Muar dan merupakan individu yang berperanan membangunkan Batu Pahat sekitar 1893-1910.

Datuk Bentara Luar dipercayai adalah tokoh yang memperkenalkan Tarian Naga untuk dipersembahkan oleh orang Melayu Batu Pahat bermula sejak penghujung abad ke-19 lagi.

Sekembalinya ke Batu Pahat dari lawatan ke Tanah Besar China, beliau dipercayai telah mengambil inisiatif menggerakkan satu kumpulan Tarian Naga yang dianggotai oleh orang Melayu semata-mata.

Segalanya bermula semasa Pesta Seni Budaya pada tahun 1899 sempena Sambutan Keputeraan Sultan Johor. Ketika itu, pesta tersebut disertai banyak kumpulan kebudayaan, muzik dan seni persembahan pelbagai kaum di Bandar Penggaram. Seperti pesta-pesta lain yang diadakan, orang Melayu hanya mempersembahkan Ghazal, Joget, Mak Yong dam Barongan. Kaum Cina pula sekadar mempersembahkan Wayang Cina semata-mata.

Namun pada malamnya, sekumpulan anak muda Melayu Batu Pahat mempersembahkan Tarian Naga yang tidak pernah disaksikan oleh penduduk Pekan Penggaram dan seluruh Batu Pahat sebelum ini. Sejak itu, Tarian Naga yang dipersembahkan oleh pemuda Melayu Batu Pahat menjadi persembahan yang ditunggu-tunggu setiap kali pesta sama diadakan.

Perarakan Tarian Naga oleh Melayu Batu Pahat mengelilingi pekan Penggaram sejak malam itu sehingga tamat. Kumpulan yang sama kemudiannya turut memeriahkan keraian masyarakat sekitar Batu Pahat baik dalam majlis kerajaan atau keramaian seperti majlis perkahwinan Melayu.

Kumpulan Tarian Naga dengan penari-penari Melayu itu pernah digambarkan seperti berikut;

“Orang-orang tua Melayu yang masih hidup lagi hingga sekarang ini dapat membayangkan bagaimana peri riang dan gembiranya pada zaman itu manakala diadakan perarakan naga di dalam satu2 majlis perkahwinan di bandar ini. Masih terdengar2 lagi bunyi gendang dan bereng-bereng yang dipalu sepanjang perarakan itu. Masih terpandang lagi bercherachak ‘Bunga Manggar’ yang berderet-deret di muka perarakan yang diangkat oleh anak2 dengan begitu bangga; begitu juga tidak dapat dilupakan bagaimana megahnya pemain2 naga yang berpakaian serba lengkap chara China, mengalunalunkan badan naga dalam perarakan itu, lebih-lebih lagi bagi mereka yang terpilih memegang peranan penting memegang kepala naga dan memainkan geliganya;”

“Tiada siapa dapat menyangkal bahawa Tarian Naga itu adalah seni milik budaya orang China, tetapi anihnya di Batu Pahat sejarah tidak dapat menafikan bahawa Tarian Naga itu hanya dimainkan oleh orang2 Melayu sahaja, malah itulah aktiviti seni kumpulan orang Melayu”

Ada tulisan turut mengulas lanjut akan persembahan Tarian Naga ini pada setiap sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor di Batu Pahat;

“Perarakan Tarian Naga ini menjadi begitu popular di Batu Pahat masa itu tiap kali sambutan Hari Yang Maha Mulia Sultan Johor tiap2 tahun ‘perarakan Naga’ tiada ketinggalan. Begitulah bila diadakan sebarang hari kebesaran nagapun keluarlah berarak.”

Ketika persembahan di majlis perkahwinan, Tarian Naga oleh Melayu Batu Pahat ini turut disempurnakan juga dengan permainan muzik menggunakan peralatan muzik Cina digabungkan dengan permainan alatan muzik Melayu seperti rebana dan kompang;

“Gedung Cheng, Gedung Cheng, Gedung Cheng suara gendang dan bereng yang disambut pula dengan bunyi rebana dan kompang, mengarak ‘Raja Sehari’ naik ke jinjang pelamin.”

Ini menunjukkan bagaiman Melayu Batu Pahat ketika itu telah mengadaptasi dan menyesuaikan kebudayaan Cina yang dipersembahkan di dalam bentuk Tarian Naga ke dalam budaya Melayu, begitu akrab dan rapat sekali hingga menyerikan majlis khusus untuk Melayu semata-mata iaitu upacara perkahwinan misalnya.

Ukiran kepala naganya dikatakan menerapkan kehalusan seni pertukangan dan ukiran oleh Pak Gembor, seorang Melayu Batu Pahat yang terkenal dengan hasil kerja tangannya.

Keharmonian dan keghairahan yang dibawa oleh Tarian Naga tersebut begitu disenangi masyarakat Melayu Batu Pahat sehingga pernah dicatatkan bahawa salah seorang ketua kumpulan tersebut ialah Tengku Mohd Noh, seorang tokoh agama yang terkenal, disegani dan amat dihormati oleh semua penduduk Batu Pahat ketika itu.

Namun, selepas 60 tahun Tarian Naga ini dimainkan oleh pemuda Melayu Batu Pahat, lengkap dengan pakaian, Kumpulan Tarian Naga oleh anak Melayu Batu Pahat ini telah berhenti dari membuat persembahan dan dibubarkan atas sebab yang tidak dapat dikenalpasti.

‘Naga Melayu’ telah berhenti menari pada tahun 1955, dibubarkan kumpulannya sebaik sahaja selepas mereka bergambar seperti di bawah buat kali terakhir pada tahun 1955. Ia kini hanya kekal sebagai satu lipatan sejarah Melayu di Batu Pahat. Apa yang terjadi kepada pakaian dan kostum, ukiran kepala naga dan geliga serta alat-alat muzik kumpulan itu tidaklah diketahui sehingga kini.

Namun apa yang penting adalah ia menunjukkan betapa akrab dan mesranya orang Melayu, khususnya di Batu Pahat ketika itu dalam menghidupkan, memberi nyawa dan nafas baru kepada seni Tarian Naga yang selama ini kita tahu hanya didominasi kaum Cina semata-mata.

Melayu memang terkenal dengan sifatnya untuk menonjolkan sifat kasih sayang, toleransi dan kelembutannya menyerap dan menerima budaya yang secara hakikinya milik mutlak bangsa yang berbeza.

Di dalam semangat meraikan sambutan Tahun Baru Cina kali ini, marilah kita sama-sama menghargai kisah sejarah Tarian Naga oleh Melayu Batu Pahat ini sebagai tanda aras kita untuk sama-sama menghormati budaya, agama dan cara hidup masyarakat berbilang kaum di Malayaia. Keharmonian seumpamanya yang ditonjolkan adalah tanggungjawab kita bersama demi memastikan kesinambungan kita sama-sama bernegara di atas tanah bernama Malaysia.

Semoga ia akan terus terpelihara dan aman sentosa sampai bila-bila.

Selamat berhujung minggu yang panjang. Selamat Menyambut Tahun Baru Cina, Gong Xi Fa Chai!

RUJUKAN:

1. Tarian Naga oleh Orang-Orang Melayu Batu Pahat: Sesuatu Yang Unik Dalam Sejarah Malaysia, M.A. Pawazi Basri, Universiti Malaya, JEBAT (1971/72)
2. ‎Batu Pahat Selepas 10 Tahun Merdeka (1968)
3. ‎Datuk Bentara Luar: Peranannya Dalam Sejarah Johor Moden (1971/71)
4. ‎Sejarah Rengkas Batu Pahat 1880-1917, Latehan Ilmiah, Sejarah Universiti Malaya (1971)

GAMBAR:

Diambil dari M.A. Pawazi Basri. Ia adalah kali terakhir Tarian Naga oleh Melayu Batu Pahat dipersembahkan. Pada gambar asal, di belakang cetakan gambar tersebut ditulis “Pada 19-9-1955 kerana menyambut Hari Jadi Sultan Johor bersamaan 2 Safar 1375 dihadapan Kelab Y.M.A. (Young Men’s Association) Jalan Ismail, Batu Pahat, Johor”, milik Ismail Kayat, disimpan kini di Arkib Negara.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pensyarah yang minatnya pada sejarah dan warisan Melayu. Membaca kerana hobi dan menulis kembali untuk terus berkongsi.

Comments are closed.