Pada tahun 1947, Ray Douglas Bradbury (lahir 1920), seorang penulis skrin dan cerita pendek masyhur dari Amerika Syarikat, melawat bandar Guanajuato, Mexico bersama seorang rakannya yang bernama Grant Beach. Dalam kunjungannya itu, beliau sempat singgah di sebuah ruangan yang meninggalkannya dengan satu pengalaman ngeri.
Dalam bahagian pengenalan kepada The Stories of Ray Bradbury, beliau meluahkan bagaimana seramnya tempat yang dikunjungi itu, “Pengalaman tersebut sangat melukakan dan menakutkan saya. Ketika melalui detik-detik itu, saya berasa tidak sabar untuk keluar dari Mexico (dan pulang ke rumah). Saya alami mimpi ngeri tentang kematian, dan (di dalam mimpi itu juga) tubuh saya berada di sebuah dewan mayat. Besarnya ketakutan yang saya alami itu hinggakan saya perlu menulis The Next in Line untuk menenteramkan diri.”
Lokasi yang dikunjungi oleh Ray Douglas Bradbury itu tidak lain dan tidak bukan adalah ruang bawah tanah tempat penyimpanan mumia (ossuary) yang pada tahun 1968 atau 1967, dibuka secara rasmi sebagai Muzium Mumia Guanajuato.
Muzium yang terletak di bandar tengah-tengah Mexico ini menempatkan koleksi mumia yang terbentuk secara semula jadi yang paling banyak di dunia, iaitu sebanyak 108 atau 111 mumia pernah disimpan di tempat penyimpanan tersebut. Sejarah di sebalik mumia-mumia Guanajuato ini boleh dijejak kembali pada tahun 1833, tahun di mana bandar itu diserang wabak taun.
Berikutan wabak yang tersebar luas berkenaan, jumlah tanah perkuburan ditambah dari semasa ke semasa bagi menampung jasad korban yang semakin menimbun. Antara lokasi tanah perkuburan tambahan adalah San Cayetano dan Canada de Marfil. Keadaan sebegini berlanjutan sehingga 30 tahun lamanya, membuatkan tanah-tanah perkuburan di bandar Guanajuato penuh dan tidak lagi mampu untuk memuatkan jasad-jasad korban taun yang lain.
Lantaran itu, pihak penguasa menggubal satu polisi yang boleh dianggap sebagai satu penindasan terhadap penduduk tempatan. Apakah polisi tersebut? Polisi tersebut berupa cukai kubur yang jumlah biayanya adalah sebanyak 170 peso bagi bayaran penuh, ataupun 50 peso setahun bagi tempoh tiga tahun (mula dikutip dari tahun 1865 hingga 1958).
Bagi keluarga yang mempunyai ahli keluarga yang sudah pun meninggal dunia dan dikuburkan di salah sebuah tanah perkuburan di bandar Guanajuato, mereka dikehendaki membayar cukai kubur tersebut. Sekiranya cukai gagal dibayar, pihak berkuasa akan bertindak menggali dan menceroboh mayat ahli keluarga tersebut.
Walaupun begitu, kebanyakan penduduk tempatan memilih untuk tidak membayar cukai, sama ada atas faktor pilihan peribadi mahupun kerana tidak berkemampuan. Akibatnya, kira-kira 90% kubur diceroboh dan mayatnya dikeluarkan dari tanah perkuburan.
Kubur pertama yang diceroboh adalah milik seorang doktor Perancis yang bernama Remigio Leroy. Oleh kerana doktor Remigio merupakan warga asing yang meninggal dunia semasa mengunjungi bandar Guanajuato (meninggal dunia di perantauan), maka ahli keluarganya tidak tahu-menahu tentang cukai kubur. Justeru, kuburnya menjadi yang pertama digali iaitu pada tanggal 9 Jun 1865 Masehi.
Apa yang berlaku selanjutnya memberi kejutan yang bukan kepalang kepada pekerja-pekerja yang melakukan kerja-kerja penggalian. Cangkul dihayun, tanah digali dan dinaikkan. Cangkul dihayun dan terus dihayun, perlahan-lahan mendedahkan apa yang tertanam di sebalik tanah kering di bumi Guanajuato itu. Tidak semena-mena, mereka menemukan sekujur mayat, milik Dr. Remigio Leroy yang berada dalam keadaan terpelihara – tidak reput! Puluhan mayat lain yang turut dibongkar juga berada dalam keadaan sedemikian.
Kesemua mayat, atau kini lebih sesuai disebut sebagai mumia, terpelihara kondisinya secara semula jadi berikutan faktor tanah dan juga cuaca. Penemuan mumia-mumia ini menimbulkan satu lagi permasalahan baharu buat pihak penguasa bandar Guanajuato – di mana mereka mahu tempatkan puluhan atau mungkin seratus mumia ini?
Lantas, mumia-mumia itu pun diletakkan di sebuah ruang penyimpanan bawah tanah (ossuary). Ia terus dijaga dan dipelihara oleh pekerja-pekerja tanah perkuburan, supaya seandainya terdapat mana-mana keluarga yang membuat pembayaran cukai kubur untuk menuntut mayat ahli keluarga mereka, maka mayat atau mumia berkenaan akan dikebumikan semula di tanah perkuburan.
Berita tentang kewujudan ‘gudang mumia’ ini dengan pantas tersebar dalam kalangan penduduk tempatan dan bahkan orang dari jauh, hinggakan ramai yang tertarik untuk berkunjung ke tempat penyimpanan mumia berkenaan. Keadaan sebegini dilihat oleh para penjaga tempat berkenaan sebagai sebuah peluang untuk menjana pendapatan tambahan, lantas mereka pun mula mengenakan bayaran kepada orang ramai yang mahu memasuki tempat penyimpanan mumia itu.
Kira-kira pada tahun 1968, iaitu 10 tahun selepas polisi cukai kubur dilupus, lokasi berkenaan secara rasmi dibuka sebagai sebuah muzium, dikenali sebagai Museo de las Momias, atau Muzium Mumia. Sejak itulah, bandar Guanajuato semakin masyhur dan menggamit kunjungan para pelancong dari pelbagai tempat.
12 tahun kemudian iaitu pada tahun 1970, kepopulariti Muzium Mumia Guanajuato meningkat naik lagi apabila sebuah filem seram Mexico yang bertajuk Santo Versus the Mummies of Guanajuato ditayangkan. Filem ini mengisahkan tentang seorang ahli gusti yang bernama Santo berlawan dengan mumia-mumia Guanajuato yang dihidupkan semula secara magis. Menerusi budaya pop sebegitu, bandar Guanajuato pun menerima tempias apabila pelancong semakin berbondong-bondong untuk menyaksikan sendiri bagaimana rupa mumia-mumia sebenar.
Kebanyakan nama-nama mumia di muzium tersebut tidak lagi diketahui kecuali beberapa yang terkemuka. Antaranya seperti Dr. Remigio yang dikenali menerusi jambang pendek yang tebal. Begitu juga dengan Ignacia Aguilar, mumia wanita yang menyimpan sebuah kisah tragis di sebalik kematiannya. Beliau dikatakan menghidap suatu penyakit aneh yang membuatkan jantungnya berhenti untuk beberapa ketika.
Dalam salah sebuah kejadian, jantungnya berhenti lebih dari sehari. Hal ini membuatkan keluarganya menganggap beliau telah pun meninggal dunia, lantas mereka pun mengebumikannya. Ketika pihak penguasa membongkar kuburnya, jasadnya ditemui dalam keadaan menghadap ke bawah, dengan postur menggigit lengan dan mulutnya pula dipenuhi dengan darah – menggambarkan betapa deritanya beliau menemui ajal akibat ditanam hidup-hidup.
Selain daripada dua mumia yang boleh kita kenali namanya ini, terdapat juga mumia yang dianggap sebagai mumia paling kecil di dunia. Mumia ini milik seorang bayi yang meninggal dunia ketika dilahirkan, justeru mumianya dipamerkan bersama dengan ibunya yang terkorban semasa cuba melahirkannya. Kebanyakan mumia di Muzium Mumia Guanajuato, yang kini sejumlah 59 mumia dipamerkan, hadir bersama pakaian yang dikenakan oleh mereka semasa mereka dikebumikan.
Walaupun pada mulanya mumia-mumia ini dilayan sebagai satu sumber pendapatan (menerusi cukai dan bayaran masuk ke ruang penyimpanan), merentas masa, ianya disikapi dengan lebih baik. Misalnya pada tahun-tahun awal ia mula dipamerkan kepada umum, mumia-mumia berkenaan hanya disandarkan sahaja pada dinding.
Namun beberapa tempoh kemudian, pihak muzium mula menggunakan bekas kaca untuk menyimpan dan mempamerkan mumia-mumia tersebut dengan lebih kemas dan terpelihara. Beberapa orang saintis juga menjalankan kajian ke atas beberapa mumia di muzium berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai latar belakang mereka.
RUJUKAN
David Goran. (13
Ogos 2016). The Mummies of Guanajuato, Mexico have a sad history that dates
back to a cholera outbreak in 1833. The Vintage News.
https://www.thevintagenews.com/2016/08/13/the-mummies-of-guanajuato-mexico-have-a-sad-history-that-dates-back-to-a-cholera-outbreak-in-1833/
Gabe Paoletti.
(6 Oktober 2017). See The Screaming Guanajuato Mummies Whose Face Remain Frozen
in Terror. All That Interesting.
https://allthatsinteresting.com/guanajuato-mummies
Reuben Westmaas.
(31 Mac 2017). There are 111 “Naturally Formed” Mummies in Guanajuato.
Curiosity.
https://curiosity.com/topics/there-are-111-naturally-formed-mummies-in-guanajuato-curiosity/
Wu Mingren. (4
Jun 2016). Evicted from a Cemetry and into a Museum: The Multitude of Mummies
of Guanajuato. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/evicted-cemetery-and-museum-multitude-mummies-guanajuato-006025
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih