Umumnya, kita menganggap muzik itu hanya sekadar halwa telinga semata-mata. Tak kiralah siapa artis pilihan anda atau jenis muzik pilihan anda sama ada Aiman Tino, Faizal Tahir, rock atau jazz, pada kita ia hanya sekadar hiburan. Tetapi siapa sangka muzik sebenarnya mempunyai potensi sebagai alat merawat penyakit. Dan ini dibuktikan dengan kisah seorang ilmuan Islam bernama Al-Kindi dan kajian-kajian perubatan yang menyusul selepas itu. Di sini juga, saya akan dedahkan antara beberapa kelebihan terapi muzik.

Pada suatu ketika semasa era Khalifah Al-Ma’mun, wujud diskusi Al-Kindi dengan seorang ahli fiqah yang mempertikai teori dan ilmu muzik yang dibawa beliau. Pada ahli fiqah tersebut, teori dan ilmu tersebut merupakan satu pembaziran. Namun Al-Kindi membalas balik dengan menyatakan muzik banyak manfaat tersendiri seperti merawat penyakit, membakar semangat manusia dan memberi kesan kepada binatang dan manusia. Namun jawapan tersebut langsung tidak memuaskan hati ahli fiqah tersebut.

Figure 1: Alam juga mempunyai bunyi dan irama tersendiri yang mampu menenangkan jiwa manusia dan haiwan seperti bunyi air mengalir di sungai.

Bahkan, ahli fiqah tersebut menyelar beliau kerana tidak menghuraikan muzik Aristotle dalam buku puisinya dan Plato dalam karyanya, Republik. Lantas, Al-Kindi membidas kembali bidasan ahli fiqah tersebut dengan menyatakan suara manusia juga sebenarnya muzik. Begitu juga dengan bunyi-bunyian di persekitaran seperti daun pokok ditiup angin atau air mengalir di sungai. Bagi beliau, seorang pemuzik merangkap ahli falsafah mengetahui setiap perkara berkenaan alunan suara, melodi dan rentak lagu. Dan begitu juga seorang doktor perubatan merangkap ahli falsafah mengetahui apa jenis rawatan dan ubat bersesuaian bagi merawat pesakitnya.

Figure 2: Al-Kindi individu pertama merawat pesakit menggunakan muzik. Kredit: http://totallyhistory.com/al-kindi/

Al-Kindi kemudian membuka kisah seorang pesakitnya yang juga anak kepada jirannya. Jirannya ialah seorang ahli perniagaan yang semakin tua dan melihat anaknya itu sebagai orang yang dapat meneruskan perniagaannya. Namun, anaknya itu ditimpa penyakit lumpuh di mana antara simptomnya ialah tidak sedarkan diri dan tidak tahu peredaran masa siang atau malam. Ramai doktor cuba mengubati pemuda tersebut tetapi semua rawatan yang diberi tidak menjadi. Tambah menggusarkan si ayah ialah si anak saja tahu rahsia dalam perniagaannya seperti bilangan stok barang dan senarai pemiutang. Pada mulanya, si ayah tidak mahu meminta bantuan Al-Kindi kerana dia melayan jirannya seperti sampah. Namun melihat keadaan si anak yang makin kritikal, si ayah mengetepikan egonya dan meminta bantuan cendekiawan terkenal itu.

Sebaik sampai di rumah jirannya itu, Al-Kindi segera membuat diagnosis pada pemuda tersebut dan mendapati keadaannya semakin parah. Lalu beliau meminta izin memanggil beberapa orang anak muridnya yang boleh bermain alat muzik untuk membantu dalam sesi rawatannya. Apabila keempat-empat anak muridnya itu sampai, mereka mengambil tempat masing-masing dan mula memainkan alat muzik yang dibawa. Perlahan-lahan, suasana dalam rumah bertukar aman dan nyaman dan mempengaruhi semua yang ada pada ketika itu termasuk si pemuda. Dan dengan izin Allah s.w.t, anak jiran tersebut bangun seolah-olah seperti terjaga daripada mimpi. Ketika itu, beliau memeriksa nadi dan aliran darah si anak, melihat keadaannya kembali normal. Si pemuda memandang hadirin sekeliling yang tergamam akan apa yang berlaku di hadapan mereka. Si anak kemudian memandang kumpulan pemuzik dan ibu bapanya lalu tersenyum. Si ibu yang merasa gembira mahu bercakap dengan anaknya tetapi Al-Kindi memberi isyarat untuk si ibu diam terlebih dahulu.

Al-Kindi kemudian bertanya, “Duhai anak yang budiman, mohon jelaskan urusan perniagaan ayahmu iaitu berkenaan urusan jual beli dilakukan. Tanpamu, sukar bagi ayahmu menguruskan perniagaannya sebaik mungkin.” Orang ramai tergamam mendengar soalan beliau. Sementara itu, pelajar-pelajar beliau terus memetik gambus dengan perlahan. Dengan suara yang perlahan dan fikiran yang waras, si anak menceritakan semua perkara berkenaan urusan perniagaannya di mana semua maklumat disalin Al-Kindi pada sehelai kertas. Si anak tersenyum memandang ibu bapanya dan mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana mengubatinya. Kemudian, si anak memuji muzik pelajar-pelajar Al-Kindi dan meminta mereka meneruskan petikan gambus tersebut, tanda bahawa si anak akan kembali menemui Penciptanya.

Kisah ini tersebar luas ke seluruh ceruk empayar Islam Abbasiyyah pada ketika itu dan menjadi inspirasi kepada cendekiawan pada abad-abad seterusnya dalam soal perubatan. William Shakespeare dan W.H Auden mencadangkan muzik sebagai alat mengubati jiwa yang lara atau menyelamatkan individu bermasalah. Muzik juga digunakan oleh hospital-hospital untuk sebagai salah satu daripada rejim penyembuhan bagi veteran kedua-dua Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. Hospital Sultan Bayezid II di Edirne, Turki menggunakan muzik untuk membantu merawat pesakit mental. Hospital ini ialah hospital pertama di dunia yang menggunakan kaedah muzik untuk merawat penyakit mental.

Bagi Dr Wendy Magee, seorang pakar terapi muzik di Institut Pemulihan dan Pelegaan Otak London percaya terapi muzik yang diperkenalkan Al-Kindi seharusnya digunakan bersama perubatan konvesional dalam merawat pelbagai jenis penyakit dari autisme sehinggalah kecederaan dalam kemalangan. Menurut beliau, “Muzik ialah vitamin mega untuk otak dan memulakan semuanya. Dengan mendengar muzik, bermain alat muzik atau hanya sekadar menyanyi boleh membantu pesakit mengatasi kesakitan fizikal, emosi, mental dan masalah komunikasi. Muzik boleh mengakses banyak bahagian dalam otak dan membina semula laluan neural yang rosak. Ia boleh memberi kesan yang besar.”

Antara penemuan yang dibuat berdasarkan terapi muzik ialah:

a) Para saintis dari Universiti Helsinki mendakwa penghidap strok yang mendengar muzik pop, klasik, jazz dan rakyat beberapa jam sehari mempunyai memori lisan lebih baik, lebih gembira dan dan lebih fokus. Berdasarkan kajian mereka, penghidap strok yang mendengar muzik memperbaiki memori lisan mereka sebanyak 60% berbanding 29% bagi yang tidak mendengar muzik.

b) Terapi muzik bukan saja membantu kanak-kanak yang trauma di zon-zon konflik tetapi juga membantu penghidap autisme dari segi komunikasi dan tingkah laku. Menurut Prof Nigel Osborne dari Universiti Edinburgh menyifatkan terapi muzik seharusnya menjadi sebahagian daripada pendekatan aliran utama dalam soal penjagaan kesihatan. Menurut beliau, terapi ini adalah murah, punya akses yang mudah dan tidak memberi sebarang kesan sampingan. “Semua tahu muzik itu mampu menggegarkan jiwa tetapi tiada siapa tahu kenapa. Kejayaan cemerlang dalam bidang sains neuro membenarkan kami memahami lebih mendalam hubungan muzik dengan minda dan tubuh badan manusia. Ianya amat penting kerana dengan ini, kami menunjukkan asas saintifik yang kukuh untuk membuktikan apa yang kita selama ini tahu.”

c) Satu kajian oleh American Journal of Advanced Nursing pada tahun 2003 menyatakan pesakit yang mengalami kesakitan kronik dapat mengurangkan peratusan kesakitan tersebut sebanyak 21% bila mendengar muzik klasik yang menenangkan. Bagi yang mengalami masalah kemurungan, mendengar muzik klasik yang menenangkan dapat membantu mereka sebanyak 25% lebih baik.

d) Laporan Arts Council pada 2006 mendedahkan penghidap artritis reumatoid yang mendengar muzik mereka secara harian selama 20 minit menceritakan ia membantu mengurangkan kesakitan yang dialami.

e) Menyanyi membantu memperbaiki kualiti hidup penghidap dementia progresif.

Antara kesan terapi muzik yang boleh dilihat:

i. Mengubah mood seseorang terutama dalam keadaan stres. Muzik membantu mengubah perasaan pendengar menjadi gembira selepas mengalami peristiwa-peristiwa yang menyedihkan dalam kehidupan mereka. Biasanya, individu-individu yang mengalami stres ialah warga emas, kanak-kanak kelainan upaya dan orang yang mempunyai masalah ketagihan.

ii. Muzik turut membantu memperbaiki memori seseorang terutama pesakit dementia. Muzik mampu membangkitkan memori silam dalam otak, berinteraksi dengan bahagian otak berkenaan memori dan memberi rangsangan pada bahagian tersebut untuk kembali mengingati perkara-perkara terdahulu. Ini sekaligus membantu mereka memperbaiki keupayaan mengingat.

iii. Muzik turut membantu mengurangkan masalah kemurungan dan kerisauan. Ini kerana bila kita bermain alat muzik, ia membantu kita fokus, sekaligus membantu kita melupakan kerisauan yang dihadapi dan merasai pengalaman baru. Ini membantu mereka mengekspresi diri mereka dengan lebih baik, sekaligus meningkatkan rasa hormat pada diri, melihat diri mereka sebagai unik dan melihat dunia dari sisi yang lebih positif.

iv. Muzik turut memperbaiki kemahiran komunikasi. Melalui terapi muzik, individu yang mengalami kesukaran bercakap belajar bercakap melalui terapi ini. Di sini, mereka perlu menyanyi. Mengapa perlu menyanyi? Ini kerana menyanyi memerlukan kita menyebut setiap perkataan dengan lancar dan pada masa-masa tertentu, sekaligus kemahiran ini boleh digunakan dalam kehidupan seharian.

v. Muzik turut memperbaiki kemahiran sosial individu terutama individu yang mengalami masalah kemurungan. Ini kerana bila sesi terapi muzik dilakukan secara berkumpulan, ia membangkitkan emosi yang tidak pernah didedahkan dan menyedarkan mereka bahawa dunia sebenarnya berbeza jika dibandingkan dengan persepsi mereka. Selain itu, sesi ini turut menggalakkan pesakit mengenali antara satu sama lain dan berkongsi pengalaman hidup masing-masing.

vi. Muzik turut memperbaiki pergerakan dan kordinasi tubuh manusia. Bagi individu kelainan upaya atau hilang kawalan mobiliti mereka, terapi muzik membantu merangsang otot mereka dan membantu bahagian otak berkenaan pergerakan dan kordinasi untuk mengawal semula pergerakan mereka. Ini dicapai dengan penggunaan muzik berirama rancak.

vii. Muzik membantu mengurangkan ketakutan. Bila kita mendengar muzik, ia sebenarnya membawa kita mengharungi satu perjalanan yang boleh mengubah mentaliti kita dan pandangan alam kita pada sesuatu perkara.

viii. Muzik meningkatkan kekuatan imuniti badan dengan meningkatkan bilangan immunoglobulin A dan sel pembunuh semulajadi. Mendengar muzik turut membantu mengurangkan penghasilan hormon stres iaitu kortisol. Stres sebenarnya boleh melemahkan sistem imuniti badan manusia.

Muzik sememangnya menakjubkan dan potensi ia sebagai sebahagian daripada kaedah rawatan sebenarnya tidak terbatas. Namun, pelbagai kajian lagi perlu dijalankan sebelum membuktikan bahawa muzik hanyalah sekadar pengalih perhatian dari segi psikologi. Tetapi sekiranya ia berjaya dibuktikan, maka laluan yang dimulakan oleh Al-Kindi sebenarnya bisa menjadi penawar kepada manusia untuk menjadi lebih baik dari segi fizikal, mental dan emosi.

SUMBER:

1. Fayyad, Sulayman. (2002). Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Al-Kindi: Tokoh Muzik Arab.

2. Ghazal, Rym. (2009). The National. Tapping music’s healing power. https://www.thenational.ae/uae/science/tapping-music-s-healing-powers-1.488749

3. Daily Express. (2008). Tuning into the healing power of sweet music. http://www.express.co.uk/finance/retirement/39965/Tuning-into-the-healing-power-of-sweet-music

4. Consumer Health Digest. 10 Amazing Benefits of Music Therapy. https://www.consumerhealthdigest.com/brain-health/10-amazing-benefits-of-music-therapy.html


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply