Apabila saya nak membuat sebarang kajian berkenaan dengan politik, saya akan ingat satu perkara, iaitu politik ini ialah tassaraful imamu ala ra’iyyah manuutun bil maslahah. Satu kaedah fiqh yang bermakna, “Setiap ketua itu perilakunya berdasarkan maslahat rakyatnya”. Setiap pemimpin, dia mesti fikir akan kemaslahatan rakyatnya. Dari situ dia menyusun strategi dan taktik untuk bertindak. Tetapi asasnya, maslahat rakyat. Itu konsepnya, ya.

Baik, sekarang saya nak bercerita pula tentang Mustafa Kemal Ataturk, pengasas kepada negara Republik Turki yang mengamalkan ideologi sekular. Sekular apa? Sekularkan agama dengan kehidupan awam. Agama itu hanya diamal secara peribadi, bukan di ruangan umum atau awam. Ada yang mengatakan beliau sebagai penyelamat, ada pula yang mengatakan beliau pengkhianat khilafah Islam.

Menurut kajian saya yang tak seberapa, saya melihatkan dua-dua ada benarnya. Beliau pernah menyelamat, dan beliau juga pernah mengkhianat. Mari saya kita telusuri terlebih dahulu, fasal kronologi kehidupan Mustafa Kamal Ataturk.

Beliau lahir pada tahun 1881 di Salonika. Ayahnya pernah bekerja sebagai kerani kerajaan. Selepas itu, berhenti kerja. Berniaga pula, gagal dua kali. Disebabkan stres, ayahnya banyak meminum arak. Punca daripada banyak meminum arak itu, ayahnya mendapat penyakit turboculosis iaitu satu penyakit batuk kering yang menyebabkan beliau mati selepas itu. Beliau mati ketika Kamal berumur 7 tahun, kecil lagi.

Kontradik pula dengan emak Kamal, iaitu Zubeyde yang buta huruf tetapi warak. Zubeyde seorang yang tegas mengikut syariat. Beliau seorang pemakai purdah. Beliau nak sangat yang Kamal ini ketika dah besar nanti menjadi seorang ulama. Tetapi lain pula yang jadinya. Kenapa?

Sebab Kamal seorang yang nakal. Banyak melawan guru. Beliau tiada ramai kawan. Suka bermain seorang diri. Sampai satu masa, ada guru yang sangat geram dengan perangai Kamal yang sangat nakal dan suka melawan ini, guru tersebut memukul Kamal. Selepas kena pukul, Kamal yang memang dikenali sebagai seorang yang kuat melawan pun melarikan diri dari sekolah dan tidak mahu langsung untuk kembali.

Zubeyde memohon anaknya itu untuk kembali. Namun, ayah saudaranya mencadangkan kepada Zubeyde untuk menghantar Kamal pergi ke sekolah tentera di Salonika. Zubeyda tak berapa setuju dengan cadangan itu. Tapi, Kamal suka. Kamal pergi untuk menduduki ujian kemasukan sekolah tentera itu. Sekolah tentera itu mendapat subsidi daripada kerajaan.

Untungnya, Kamal lulus ujian tersebut. Nak tak nak, disebabkan anaknya suka dan perform, Zubeyde pun biarkan Kamal untuk terus bersekolah di sana. Sampailah beliau lulus dengan kepujian pada tahun 1905 dengan pangkat kapten.

Ketika di sekolah itu, Kamal memang ada karisma dan pengaruh yang luas kerana kehebatannya. Dia memang bagus dalam subjek matematik dan subjek ketenteraan. Itu membuatkan ramai orang admire dengan kepandaiannya itu.

Lepas itu, Kamal menyertai gerakan nasionalistik yang dikenali sebagai Vatan atau dalam bahasa Inggerisnya, ‘Fatherland’. Gerakan ini dakwa diri mereka sebagai pembawa revolusi. Mereka juga menentang kepimpinan Sultan Abdul Hamid II kerana baginda menindas idea-idea liberal yang katanya melemahkan pemerintahan Islam. Vatan juga mengatakan yang Islamlah yang bertanggungjawab ke atas semua kemunduran yang dihadapi di Turki. Mereka menyerang Syariah. Mereka jadikan Sufi mistik sebagai bahan ejekan.

Vatan berikrar yang mereka akan menghapuskan institusi kesultanan dan menggantikannya dengan kerajaan gaya Barat., dengan parlimen. Hapuskan juga institusi ulama. Mengharamkan pemakaian purdah dan tudung. Mereka juga nak wujudkan persamaan mutlak antara lelaki dan perempuan. Ketika ikrar ini diadakan, Kamal dah jadi ketua Vatan.

Pada tahun 1908, sebelum pengusiran Sultan Abdul Hamid II, Kamal ambil peluang untuk meperluaskan pengaruhnya. The Committee of Union and Progress mengajak Kamal untuk sekali dalam usaha mengjatuhkan Sultan Abdul Hamid II dari takhta.

Kamal selalu bertengkar dengan kerajaan sedia ada ketika itu, seperti Perdana Menteri, Prince Said Halim Pasha dan Menteri Peperangan, Anwar Pasha. Beliau banyak merancang kudeta secara senyap-senyap dengan banyak pihak.

Tanggal 3 Mac 1924, Kamal mengusulkan Rang Undang-Undang untuk menghapuskan kesultanan. Tanpa dibicarakan panjang lebar, RUU itu lulus. Ketika itu, Sultan Abdul Majid memegang takhta. Baginda dan keluarga baginda diasingkan di Switzerland selepas diturunkan takhta. Berjayalah Kamal dengan usaha yang diidam-idamkan selama ini. Jadilah beliau sebagai diktator mutlak negara Turki. 

Beliau tidak percayakan Tuhan sepertimana yang dikhabarkan di dalam karya Armstrong iaitu The Grey Wolf. Beliau lancarkan semua janji-janji yang beliau lampirkan setelah memegang takhta presiden negara Republik Turki yang sekular. Sekular yang diamalkan ketika pemerintahan beliau, ialah sekular radikal. Pakai tudung tak boleh, azan dalam bahasa Turki, dan bahkan perkataan Allah itu diganti dengan perkataan Tanri.

Saya saja tinggalkan sebab kenapa semua ini berlaku dengan mudah. Anda mesti tertanya-tanya, kenapa senang sangat Kamal ini menyebarkan pengaruhnya dan memperkenalkan idea sekularisme? Kenapa orang Turki terima dengan mudah? Apakah sekular dapat selamatkan negara Turki?

Jawabnya, tak selamatkan pun. Turki terselamat daripada sikap autoritarian agama yang melampau, itu sahaja. Itu juga boleh diselamatkan dengan menggunakan alternatif lain, seperti cara pemikiran Muktazilah, atau Islam rasionalisme (al-ra’yu). Tapi, kenapa sekular? Kenapa liberal?

Sebab, bukan Mustafa Kamal Ataturk yang mula memperkenalkan idea-idea ini. Sebenarnya, Turki sudah pun didedahkan dengan liberalisme dan sekularisme seawal tahun 1839. Kerajaan Uthmaniyyah ketika itu melancarkan program tanzimat iaitu program pembaharuan undang-undang dan pentadbiran yang lebih moden. Jadi, mereka pun terdedah dengan pemikiran liberalisme dan sekularisme. Mereka mengambil manfaat daripada gaya Barat.

Ketika itu, Sultan Abdul Hamid luluskan usul untuk adakan parlimen dan juga wujudkan perlembagaan yang dijadikan asas kepada undang-undang. Gaya perlembagaan yang diamalkan itu mengambil contoh daripada Prussia dan Belgium. Uthmaniyyah mengamalkan konsep dualisme, iaitu parlimen berperlembagaan, namun iktiraf juga Islam sebagai agama rasmi. Tetapi selepas itu, Sultan Abdul Hamid menggantung parlimen sebab ia sudah menjadi platform untuk mengkritik dasar-dasar yang diperkenalkan oleh baginda.

Ramai yang tuntut untuk dikembalikan parlimen dan meminta baginda untuk menurun takhta kerana telah gagal melaksanakan peranannya. Baginda pun turun takhta. Selepas itu, kerajaan diambil alih oleh Turki Muda. Mereka telah memperluaskan peranan parlimen dan memperkecilkan peranan Sultan. Mereka mencipta undang-undang sivil dan menjadikan Jerman sebagai rujukan utama.

Begitulah ceritanya. Kerajaan Uthmaniyyah memang sudah diperkenalkan dengan idea-idea begini, jadi tak mustahillah lahir orang-orang seperti Kamal Ataturk, gerakan Vatan dan semua penyokong idea-idea liberalisme.

Tapi, tak semestinya Kamal Ataturk disayangi sepanjang zaman. Pada  tahun 1950, rejim beliau digulingkan oleh Parti Demokrat. Kerajaan dari parti ini lebih mesra Islam, tetapi sisa-sisa polisi Kamal Ataturk itu masih diamalkan. Sehinggalah Parti AKP yang beraliran konservatif ingin membenarkan Islam diamalkan di ruangan umum. Namun mereka didenda oleh Mahkamah Perlembagaan pada tahun 1989.

Jadi, beginilah betapa kompleksnya sejarah sekularisme di Turki. Memang masih ada mereka yang pro-Islam tetapi mereka disinonimkan dengan petani. Mereka selalu dicop berfikir mundur. Pensyarah-pensyarah yang pro-Islam juga dipecat ketika pemerintahan Kamal Ataturk.

Yang perlunya bagaimana? Yang perlunya ialah perjuangan seperti Bediuzzaman Said Nursi, iaitu ulama yang ingin memperjuangkan Islam atas landasan kebebasan. Dakwa beliau, dulu ada pendidikan Islam tanpa sains dan ada pendidikan sains tanpa Islam. Jadi, eloklah kalau diwujudkan satu madrasah moden untuk mengharmonikan ilmu pengajian Islam dan sains supaya umat Islam menjadi lebih maju, dan berdaya saing. Bukan dengan liberalisme.

Tetapi, disebabkan kerajaan Uthamiyyah pun sudah lemah secara eksternal mahupun internal. Berlaku pula pergaduhan antara Abdul Aziz Bin Abdul Rahman Al-Saudi dan Syarif Hussein Bin Ali Al-Hashimi untuk menakluki Hijaz secara sendirian, keluar dari wilayah Uthmaniyyah. British telah mengkhianati perjanjiannya dengan Syarif Hussein yang menyebabkan keluarga Al-Saudi ini yang berjaya menakluk Hijaz.

Kesimpulan yang saya nak tarik ialah saya cenderung untuk mengatakan Mustafa Kamal Ataturk sebagai pengkhianat agama tetapi bukan pengkhianat keinginan rakyat secara keseluruhan. Rakyat memang inginkan sekularisme. Jadi, apa yang beliau buat itu, betul dari sudut keinginan rakyat. Tapi, bukan dari sudut perintah Tuhan. Dari landscape agama, beliau salah untuk lakukan begitu.

Islam itu ada kebebasan, tapi ia diikat dengan syariat Islam yang mudah. Islam itu banyak interpretasi, maka lihatlah yang relevan dengan demografi kita. Bukan menolak Islam itu sendiri. Mustafa Kamal Ataturk menyalahkan Sultan sehinggakan menyalahkan Islam itu sendiri. Sultan itu seorang manusia yang tak lepas dari buat silap. Jadi kesalahan Sultan itu bukanlah mewakili Islam. Itu salah baginda sebagai seorang manusia biasa.

Liberalisme dan sekularisme, bukan jawapan kepada krisis politik.

RUJUKAN:

Abaday, A. (2019, November 10). Getting to know real Mustafa Kemal. Retrieved from Ahval: https://ahvalnews.com/mustafa-kemal-ataturk/getting-know-real-mustafa-kemal

Akyol, M. (2011). Islam tanpa keekstreman: Berhujah untuk kebebasan . Kuala Lumpue: Islamic Renaissance Front.

Ibrahim, M. K., & Nor, M. R. (2018). Sekularisasi dalam perundangan Turki dan kesannya terhadap masyarakat . Jurnal Akademi Pengajian Islam Universiti Malaysia, 153-170.

Juferi, E. (2005, October 4). Mustafa Kemal Ataturk Exposed As An Enemy Of Islam. Retrieved from Bismika Allahuma: https://www.bismikaallahuma.org/history/mustafa-kemal-ataturk/#footnote_2_62

Wong, A. R. (2018). Dunia Tanpa Tembok. Ampang: The Patriots.

Artikel oleh Sadiq Salihoddin untuk The Patriots. 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.