Ketika melakukan pengembaraan di rantau Delta Mekong, Vietnam, saya berasa agak terkejut kerana mendapati komuniti Muslim di sana hidup di sebuah kampung yang terpencil, berhampiran sempadan Kemboja di Tebing Sungai Mekong.

Menaiki sebuah perahu kecil untuk tiba ke sana, kumpulan saya secara seorang demi seorang menuruni jambatan kayu sempit yang separa-rosak untuk sampai ke kampung berkenaan. Kemudian, kumpulan kami disambut oleh kanak-kanak tidak berkasut yang mahu menjual snek kepada kami. Mereka malah mengikuti kami sehingga kami masuk ke dalam kampung.

Di sana, kami melihat sekumpulan lelaki yang berpakaian ‘Batik Lungi’, sepasang baju panjang yang berikat pinggang dan mengenakan penutup kepala berwarna putih. Mereka yang duduk berhampiran kami ini sedang berbualkan tentang sesuatu perkara dengan seorang lelaki tua yang berjubah dan berserban putih.

Rumah-rumah di kampung ini dibina pada ketinggian 2 hingga 3 meter untuk menghindari dimasuki air banjir dari Sungai Mekong. Di bahagian bawah rumah berhampiran gerbang kampung pula dipamerkan kain-kain tenun, sambil wanita-wanita berhijab tempatan pula menunjukkan teknik-teknik menenun kain Cham yang mempunyai corak-corak tradisional yang unik.

Dari kurun ke-2 hingga kurun ke-17 Masehi, wilayah selatan Vietnam merupakan sebahagian daripada Kerajaan Cham (Champa) yang berketurunan Melayu-Polinesia. Kekayaan Kerajaan ini umumnya mengalir dari perdagangan maritim dank ayu cendana. Perdagangan sebegini mungkin merupakan faktor penting yang membawa kepada kemasukan Islam di wilayah tersebut pada kurun ke-11 Masehi.

Raja Cham secara rasmi memeluk agama Islam pada kurun ke-17 dan menyebarkan ajaran Islam kepada seluruh rakyatnya di selatan. Kemudian, dinasti Viet menakluk kerajaan tersebut pada kurun yang sama. Serangan dan kekalahan ini mungkin menjadi sebab mengapa ajaran Islam tidak sampai ke kaum Cham yang mendiami kawasan-kawasan yang lebih jauh ke dalam, di mana pada hari ini penduduk di sana kebanyakannya menganut agama Hindu dan Buddha. 

Setelah berlakunya serangan Viet di selatan ini, kaum Muslim-Cham melarikan diri ke Kemboja dan berlabuh di sebuah tempat yang dikenali sebagai ‘Kampung Cham’, atau Terengganu di Malaysia. Sebahagian daripada mereka pula ada yang kekal menetap di petempatan berhampiran Sungai Mekong di Vietnam.

Dari gerbang masuk yang terletak berhampiran tebing sungai, pemandu pelancong membawa kami menaiki jeti yang disambung dengan papan-papan kayu yang menghubungkan banyak rumah. Setiap kali papan kayu ini dipijak, ia akan menghasilkan bunyi. Setiap kali melintasi sebuah pintu rumah pula, kami pasti akan melihat kaum wanita atau kanak-kanak mengintai keluar untuk menjenguk kami, orang-orang asing yang mengunjungi kampung mereka.


Kampung-kampung di kawasan ini terdiri dari kira-kira 300 hingga 400 orang penduduk. Kebanyakan lelaki di kampung ini bekerja sebagai nelayan. Ada juga yang bekerja di tempat-tempat penternakan ikan di Sungai Mekong. Kaum wanita mereka pula kebanyakannya bekerja sesama komuniti mereka sendiri dalam menghasilkan kain-kain tradisional Cham. Ada pula yang menjadi penjual di pasar-pasar tempatan.Seperti kebanyakan kaum minoriti di Vietnam, komuniti Muslim-Cham mengalami tekanan ekonomi dan sosial. 

Sekiranya mereka menyertai kerja-kerja yang terdapat dalam komuniti umum, lazimnya mereka ditawarkan pekerjaan yang bergaji rendah. Kaum wanita pula umumnya terpaksa membuka hijab jika mahu mengelak dari didiskriminasi atau disisih oleh kaum majoriti. Keadaan sebegini benar-benar merupakan satu cabaran buat mereka dalam mengekalkan kepercayaan yang dianuti.

Kemudian, kumpulan kami memasuki jalan utama yang telah bertar. Betul-betul di sebarang jalan, berdiri sebuah masjid yang kelihatannya baru sahaja diperbaharui. Di sebelahnya pula terdapat sebuah madrasah, di mana kedua-dua bangunan ini berdiri dengan megah memantulkan cahaya mentari di waktu pagi.

Komuniti Muslim-Cham banyak bergantung kepada bantuan luar dalam usaha menyelenggara dan membaik pulih masjid mereka. Kebanyakan sumbangan diperoleh dari Malaysia dan Indonesia. Di sana juga ramai daripada mereka yang mendapatkan pelajaran dan ijazah. Menyalin dan mengedarkan al-Qur’an dan buku-buku agama secara tidak rasmi diharamkan di Vietnam, justeru dari semasa ke semasa, keadaan ini mengakibatkan berlakunya percampuran antara ritual Buddha dan ajaran Islam.

Populasi Muslim di Vietnam dianggarkan seramai 65 000 orang, di mana majoritinya adalah komuniti Muslim-Cham. Kumpulan kedua terbesar adalah etnik Vietnam yang memeluk Islam. Walaupun Islam berkembang secara bertahap tetapi pasti di negara itu, Muslim-Cham tetap merasakan adanya kerenggangan hubungan dengan etnik Vietnam – suatu permusuhan di antara bekas kaum pemerintah (Cham) dan kaum penakluk (Viet) yang masih tersisa dalam darah daging mereka.

ARTIKEL INI IALAH TERJEMAHAN DARIPADA ARTIKEL:

Simone Doenvang. (Oktober 2018). Only Few Know of the Cham Muslims – Vietnam’s Isolated Islamic Community. Mvslim. https://mvslim.com/isolated-muslim-communities-know-cham-muslims-vietnam-simone-donvang/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.