Sembilan Dewi Muse di dalam mitologi Yunani disifatkan sebagai puteri kepada Zeus dan Mnemosyne (Memori). Masyarakat Yunani dan Rom purba memuja mereka sebagai dewi pengurnia ilham, idea, dan inspirasi kepada individu-individu yang terlibat dalam penghasilan karya kreatif seperti puisi, muzik, dan lukisan.

Mitos utama berkaitan Sembilan Dewi Muse tercantum di dalam karya Hesiod yang berjudul Theogony. Dalam karya tersebut, Hesiod mengisahkan kelahiran Muse sebagaimana berikut, “Sembilan malam suntuk Zeus bersemenda bersama Mnemosyne, jauh daripada manusia. Tatkala waktunya tiba; yakni setelah bulan bergulir dan musim berganti, si dewi Memori pun melahirkan sembilan puteri – kesemuanya berkongsi hati berkongsi rasa, bergirang gembira dalam nyanyi dan tari.”

IKLAN: PBAKL ONLINE sedang berlangsung di Shopee The Patriots. Dapatkan judul kami pada harga serendah RM20. Klik: shp.ee/efz9vb5

Jika diimbau kembali, penisbahan Mnemosyne sebagai ibu kepada dewi-dewi Muse seperti yang didakwa oleh Hesiod sememangnya agak sesuai. Hal ini kerana Mnemosyne merupakan puteri Ouranos dan Gaia yang bertanggungjawab ke atas memori atau kotak ingatan.

Secara khusus, Mnemosyne dikaitkan dengan daya hafalan yang diperlukan oleh masyarakat Yunani dalam memelihara mitos dan sejarah mereka sebelum terbentuknya sistem tulisan. Oleh kerana itu, perkaitan antara Mnemosyne dan dewi-dewi Muse dilihat agak relevan.  Tambahan, Mnemosyne turut disifatkan sebagai pencipta bahasa, perkataan, dan melindungi peredaran zaman.

Selain versi Hesiod, mitos Dewi-Dewi Muse juga tampil dalam beberapa versi lain. Diodorus Siculus (sejarahwan Yunani) misalnya menyifatkan mereka sebagai puteri Ouranos dan Gaia. Homer di dalam Odyssey pula menyebutkan Muse sebagai zuriat Zeus, tanpa membuat apa-apa penisbahan dengan Mnemosyne.

Perbezaan versi ini bukan sekadar melibatkan kelahirannya, tetapi juga angka bilangannya. Nama Muse umumnya mewakili sembilan dewi. Namun menurut Pausanias (ahli geografi Yunani), jumlah mereka pada asalnya cuma tiga – iaitu Melete (Meditasi), Mneme (Memori), dan Aoede (Lagu). Kultus pemujaan mereka dimulakan oleh gergasi Otus dan Ephialtes, namun diubah oleh Pierus of Emathia yang membuat penambahan bilangan dan penukaran nama sebagaimana yang kita kenali hari ini.

Dewi-dewi Muse kononnya menetap di Gunung Olympus dan tempat kegemaran mereka ialah Gunung Helicon. Menurut sejarahwan, bapa Hesiod berasal dari bandar Aeolian, Asia Kecil. Beliau kemudian berpindah ke Ascra, sebuah kampung yang bertempat di sisi timur Gunung Helicon. Di sinilah Hesiod dilahirkan dan dibesarkan, justeru tidak hairan jika beliau mendakwa Gunung Helicon sebagai persinggahan dewi-dewi Muse.

Sembilan dewi Muse

Menurut Hesiod, nama kesembilan-sembilan dewi Muse berserta peranan dan simbol peribadi mereka adalah seperti berikut:

  • Clio: Muse sejarah dan dijuluki sebagai ‘Pemberita’. Clio sering dikaitkan dengan buku, lembaran kertas, dan clarion sejenis trumpet).
  • Euterpe: Muse puisi, not muzik, dan lirik lagu. Ia digelar sebagai ‘Yang Menyenangkan’ dan kebiasaannya dikaitkan dengan aulos (sejenis alat muzik Yunani yang seakan-akan seruling).
  • Thaleia: Muse komedi dan puisi rakyat. Julukannya ialah ‘Yang Ceria’ manakala simbol peribadinya ialah topeng muka dan tongkat penggembala.
  • Melpomene: Muse tragedi dan dijuluki sebagai ‘Yang Menyanyi’. Simbol peribadinya juga berbentuk topeng muka, cuma bezanya ia beriak sedih. Simbol lain ialah pedang dan cothurnus (sejenis kasut but).
  • Terpsichore: Muse tarian dan digelari sebagai ‘Yang Menari’. Terpsichore sering dikaitkan dengan kecapi.
  • Erato: Muse puisi cinta. Gelarannya ialah ‘Yang Mengasihi’ dan ia sinonim dengan cithara, sejenis alat muzik bertali.
  • Polyhymnia: Muse gita puji dan digelari ‘Pemilik Kata Pujian’. Polyhymnia selalunya digambarkan bertutup kepala dan bersifat pemalu.
  • Urania: Muse astronomi (yang dianggap sebagai ranting falsafah alamiah). Gelarannya ialah ‘Yang Mulia’. Urania kerap disinonimkan dengan glob, kompas, dan jubah yang dipenuhi motif bintang.
  • Calliope: Muse puisi epik dan digelari sebagai ‘Pemilik Suara Indah’. Simbol peribadinya ialah tablet tulisan dan pena stylus. Calliope juga kerap digambarkan memegang naskhah Illiad dan Odyssey karangan Homer. Umumnya, Calliope dianggap sebagai ketua segala dewi-dewi Muse.

Walaupun disinonimkan dengan segala keayuan, dewi-dewi Muse turut disifatkan sebagai pantang dicabar. Dalam karya Ovid yang berjudul Metapmorphoses, diceritakan bahawa Pierus si raja Macedon mempunyai sembilan orang puteri yang dikenali secara kelompok sebagai Pierides.

Sebaik mencapai usia dewasa, mereka mengembara ke seluruh tanah Yunani dan berkunjung ke rumah dewi-dewi Muse untuk membuat perhitungan. Perhitungan ini memperta.ruhkan kedudukan dan tempat tinggal masing-masing – jika te.was, dewi-dewi Muse perlu meninggalkan Gunung Helikon dan Aganippe Hyantea, sementara Peirides pula perlu keluar daripada Emathia dan pergunungan Paeonia.

Cabaran tersebut diterima. Nimfa dipilih sebagai hakim. Acara lantas bermula. Pierides menghantar wakil yang menyanyikan kisah Gigantomachy (pertem.puran antara dewa-dewi Olympia dan Gigantes) yang penuh disulami kata-kata provo.kasi. Calliope yang mewakili Muse pula mendendangkan kisah pencu.likan Persephone dengan bernadakan melankoli.

Usai perhitungan, nimfa memutuskan dewi-dewi Muse sebagai pemenang. Alah sabung, menang sorak. Pierides yang tidak dapat menerima keka.lahan lantas melemparkan kata-kata ke.sat – tajam bak onak. Kesabaran Muse teruji. Mereka lantas menyum.pah Pierides menjadi burung murai, sesuai dengan kebecokan mereka.

Dewi-dewi Muse menyumpah Pierides menjadi burung murai

Dewi-dewi Muse umumnya disifatkan sebagai perawan. Namun, ada beberapa mitos yang menamakan mereka sebagai ibu kepada beberapa orang perwira legenda. Antaranya termasuklah Orpheus, pemuzik dan pemuisi legenda Yunani yang didakwa sebagai puteri Calliope.

Pada hari ini, dewi-dewi Muse tidak lagi dipuja. Cuma, namanya masih dihidupkan sebagai perkataan bahasa Inggeris yang bermaksud ‘sumber inspirasi’ dan biasanya digunakan bagi merujuk mana-mana wanita yang wujudnya mengilhami sesebuah karya.

IKLAN: Kami melancarkan POLITIK UNTUK PEMULA pada harga diskaun di PBAKL Online. 100 pembeli terawal dapat sign penulis. Link beli: https://shp.ee/rjhp7xi

Ruang lingkup kesenian yang dipayungi oleh muse juga lebih meluas berbanding pada zaman dahulu; kini ia mencakupi seluruh bahan kesenian, kesusasteraan, dan pengetahuan. Perlambangan ini diabadikan menerusi penggunaan perkataan muzium (museum) yang diambil daripada perkataan mouseion dalam bahasa Yunani, yang bermaksud ‘kuil Muse’.

TERJEMAHAN
Wu Mingren. (6 April 2020). The Nine Daughters of Zeus and Memory, Goddesses of the Arts. Ancient Origins.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.