Ini ialah Ibrahim bin Hakim Long Fakir. Lahir pada 1780, beliau bekerja sebagai seorang penulis, penterjemah dan penyalin karya-karya Melayu. Meskipun berasal dari keluarga yang kaya, dengan bapanya sendiri merupakan pedagang dari Selatan India, kecintaan beliau kepada karya-karya Melayu menjadikan beliau mengabdikan diri demi tugasnya.

Beliau bekerja dengan Stamford Raffles sejak 1806, turut menulis dan merekod catatan harian majikannya dalam siri penjelajahan Stamford Raffles sejak mula Raffles tiba di Pulau Pinang sekitar 1805. Abangnya Ahmad bin Hakim Long Fakir pula bekerja dengan seorang Inggeris bernama Robert Scott, untuk tujuan yang sama.

Dr. John Leyden, mentor kepada Raffles mencadangkan supaya Raffles mengumpulkan sejumlah penulis-penulis Melayu yang berkelayakan untuk menulis dan menyalin semula hikayat-hikayat, bahan penulisan dan karya-karya Melayu untuk dijadikan salinan bagi dibawa pulang ke England.

Dr Leyden memang mengagumi pengkisahan dalam karya-karya Melayu secara umum. Nilai pengajaran dan ilmu yang disampaikan di dalam hikayat-hikayat Melayu sentiasa di hati beliau sebagai seorang akademia. Ini ialah Leyden yang kita kenali kerana susunannya untuk Sejarah Melayu.

Atas nasihat Dr Leyden tersebut, pada 1806 Raffles telah menggaji sehingga 6 orang penulis untuk bekerja dengannya bagi tujuan tersebut, dengan salah seorangnya ialah Ibrahim.

Pada 1810, Ibrahim mengikut majikannya berkelana di Kolkata. Dalam satu majlis anjuran kerajaan British di sana, Ibrahim dipertemukan oleh Raffles dan Dr John Leyden dengan Maria Graham, juga seorang penulis dan juga pengembara. Dalam catatannya yang bertajuk Journal of a Residence in India’ yang ditulis pada tahun 1812, Maria atau digelar juga sebagai Lady Callcott ada menulis;

“Di dalam kumpulan pengembara yang memiliki pelbagai watak dan peranan ini, terdapat seorang munshi Melayu seperti yang diperkenalkan oleh Dr Leyden.”

Maria kemudiannya mengabadikan pertemuan mereka dengan satu lukisan potret Ibrahim.

Di dalam potret ini diberi keterangan bahawa Ibrahim ketika itu berusia 30 tahun, digambarkan sedang duduk bersila dan memakai destar, berbusana lengkap juga bersarung, semuanya diperbuat kain dari kain jenis pelikat India. Beliau padanya juga mengenakan pending buat sisipan keris, sambil beliau memegang bekas tembakau yang diperbuat dari perak.

Beberapa karya disalin Ibrahim telah ditemui tersimpan rapi di India Office Library milik Leyden pada 1824. Karya-karyanya adalah seperti berikut; Hikayat Parang Puting, Hikayat Mesa Tandraman, Hikayat Isma Yatim, Syair Silambari, dan satu karya yang didatangkan bersama syair ini iaitu Syair Surat Kirim Kepada Perempuan.

Untuk rekod, abangnya Ahmad pula ada menulis Hikayat Perintah Negeri Benggala semasa berkelana di negeri itu bersama majikannya juga pada 1810.

Adalah dipercayai, sebenarnya masih terdapat banyak lagi manuskrip dan karya penulis dan perawi-perawi, munshi-munshi Melayu yang mengabdikan diri menulis semula hikayat-hikayat Melayu yang penuh pengkisahan tentang cara hidup, urus tadbir dan keagungan Melayu yang tersimpan rapi di British Library.

Banyak lagi manuskrip- hikayat dan catatan pengembara Melayu terdahulu berada dalam simpanan British Library, meronta-ronta meminta digali dan dikaji oleh anak-anak Melayu sendiri. Semuanya belum dirungkai dan didigitalkan supaya dapat dikongsi semua.

Tarikan eksotik karya-karya Melayu dan hikayat-hikayat yang menjadi naratif sosial Melayu suatu ketika dahulu pastinya sangat mengasyikan para intelektual dan akademia Barat, sehingga mereka sanggup menggaji dari kalangan Melayu sendiri untuk membantu mereka mengumpulkan semua karya-karya bersejarah ini.

Dalam segenap dosa penjajahan dan penjarahan kuasa-kuasa besar eropah suatu ketika dahulu ke atas tanah Nusantara dan bumi Melayu ini, biarpun perit dan pahit untuk diakui, tindakan mereka mengabadikan cerita-cerita hikayat dan dokumen-dokumen bertulis Melayu sejak sekian lama semasa selama mereka bertapak di Tanah Melayu adalah sesuatu yang tidak dapat kita nafikan. Dengan keupayaan dan kepakaran mereka menyimpan dan mengumpul (sekalipun mungkin merampas dan menjarah) di perpustakaan dan arkib-arkib mereka, ia membenarkan kita untuk terus mengkaji dan menatap tinggalan bangsa kita yang terdahulu.

Sedih berbaur marah, tidak dapat menyamai betapa syukurnya semua ini masih ada yang terselamat dan dijaga dengan baik selayaknya walaupun pada tangan orang lain.

Sememangnya, ini adalah cabaran yang ironi sekali. Sejak sekian lama bangsa asing mengagumi pengkisahan Melayu dalam himpunan hikayat, kisah-kisah cinta serta syair dan gurindam selokanya, sambil melagukan ‘panggilan’ buat kita yang masih belum cukup mendalami dan menghargai tinggalan terdahulu, yang merupakan sebahagian dari diri kita sendiri.

Jadi, apa yang kita tunggu lagi?


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pensyarah yang minatnya pada sejarah dan warisan Melayu. Membaca kerana hobi dan menulis kembali untuk terus berkongsi.

Comments are closed.