Bagi peminat Tamadun Mesir Purba, antara dokumentari yang diikuti sudah pasti Lost Treasure of Egypt terbitan National Geographic. Dan siapa sangka, mumia baru Saqqara yang ditemui di 2019 yang menjadi subjek dokumentari itu menyimpan rahsia pemumiaan 1,000 tahun lebih awal daripada apa yang diketahui pengkaji arkeologi. Jika ia dapat disokong dengan penemuan lain, ia bakal mengubah sejarah pemumiaan Mesir Purba!
Beli buku terbaru kami di https://bit.ly/pratempahktmktr
Mumia yang menarik perhatian pengkaji Mesir Purba ialah mumia seorang individu berstatus bangsawan bernama Khuwy. Khuwy dikatakan ma.ti semasa era pemerintahan Firaun Djedkare Isesi. Isesi merupakan raja terakhir Dinasti Kelima Kerajaan Lama yang memerintah selama 150 tahun (dari awal abad ke-25 hingga pertengahan abad ke-24 SM).
Lukisan pada makam Khuwy. Sumber: Ian Glatt/National Geographic/Windfall Films
Tetapi proses pemumiaan Khuwy yang menarik perhatian pengkaji Mesir Purba. Ini kerana mengikut pentarikhan karbon makamnya, ia dibuat sekitar 2700 hingga 2200 SM. Namun begitu, sebaik melihat mumia yang terkandung di dalamnya, ramai menyangka mumia tersebut lebih muda berikutan kain linen yang lebih berkualiti dan penggunaan resin terbaik.
Tetapi analisis memperlihatkan bahawa teknik pemumiaan yang digunakan sama dengan tempoh Khuwy dimakamkan. Profesor Salima Ikram memberitahu sebelum ini, teknik pemumiaan era Kerajaan Lama bersifat mudah – tidak mengeluarkan otak dan hanya mengeluarkan organ dalaman. Ini kerana tumpuan lebih diberi kepada memelihara bahagian luaran mumia.
Mumia Khuwy
Proses pengawetan pada ketika itu ialah dengan memandikan ma.ya.t dengan resin yang diambil daripada pokok. Setelah itu, barulah ma.ya.t dibalut dengan balutan kain linen berkualiti. Tetapi menurut Prof Ikram, teknik hanya diperkenalkan semasa era Dinasti Ke-21 Mesir Purba yang memerintah lebih sealaf selepas pemakaman Khuwy. Rakan sejawat beliau Dr Mohamed Megahed percaya cerita ini bakal mengubah apa yang kita ketahui tentang sejarah Mesir Purba termasuk teknik pemumiaan.
Penemuan menakjubkan ini bakal menjadi sebahagian daripada paparan Lost Treasure of Egypt yang bakal disiarkan di National Geographic tidak lama lagi. Ia akan dipaparkan menerusi episod keempat berjudul Rise of the Mummies.
RUJUKAN
Alberge, Dalya. (2021, 24 Oktober). Mummy’s older than we thought: new find could rewrite history. The Guardian.
Sahir. (2021, 26 Oktober). New Research Rewrites History of Egyptian Mummification Process!. Ancient-Origins.
Sumber gambar: Ian Glatt/National Geographic/Windfall Films




No comments yet