Setiap manusia yang dilahirkn di dunia ini kebiasannya dibezakan jantinanya mengikut stereotaip binari yang biasa iaitu samada perempuan atau lelaki.Namun terdapat juga berberapa keadaan luar biasa apabila seseorang itu dilahirkan sebagai khunsa.
Sebelum kita bercerita lanjut tentang khunsa, adalah lebih elok kita bercerita tentang golongan yang menyerupai khunsa namun tidak diiktiraf oleh syarak. Golongan ini disebut sebagai Mukhannats atau dalam Bahasa Melayu kita lebih mudah disebut sebagai pondan atau bapuk. Definisi mukhannats adalah seperti yang terkandung di dalam Majmu’ Syarh Al-Muhazzab seperti berikut:
والمخنث بكسر النون وفتحها والكسر أفصح والفتح أشهر وهو لذى خلقه كخلق النساء في حركاته وهيأته وكلامه ونحو ذلك وتارة يكون خلقة له فلا يأثم به وتارة بتصنعه فهو مأئوم مذموم ملعون
Dan perkataan ‘Mukhannats’ (pondan/bapuk) itu dibaca dengan dikasrahkan (ditandakan dengan baris bawah) atau difathahkan (ditandakan dengan baris atas) pada huruf nun, dan yang lebih fasih dikasrahkan,iaitu dibaca sebagai ‘Mukhanits’ (مُخَنِّث), manakala difathahkan iaitu dibaca dengan ‘mukhannats’ (مُخَنَّث) lebih masyhur,perkataan ini bermaksud seseorang orang lelaki yang memiliki tingkah laku seperti tingkah laku seorang perempuan baik pada gerak-gerinya, sikapnya, cara tutur bicaranya dan sebagainya. Mukhannats terkadang merupakan asli dijadikan oleh Allah Ta’ala baginya (dilahirkan sedemikian,bersifat lembut dan tidak dibuat-buat), maka dia tidak berdosa.
Sementara itu, Mausu’ah Al-Fiqhiyyah memperincikan lagi golongan Mukhannats kepada dua kelompok:
Mereka yang sejak dari lahir memiliki perwatakan seperti perempuan samada ciri fizikal, wajah atau suara yang mirip wanita dan tidak dapat diubah lagi penampilannya tetapi dia tidak memaksakan dirinya untuk berpenampilan seperti perempuan, maka mereka ini tidak dianggap berdosa.
Mereka yang pada awalnya tidak memiliki perwatakan perempuan baik dari segi fizikal, wajah mahupun suara tetapi meniru-meniru dan menampilkan perwatakan mirip wanita serta berpenampilan seperti wanita. Perbuatan ini jelas haram hukumnya serta berdosa.
Berberapa dalil larangan perbuatan menyerupai lawan jantina:
(1)
Dari Ibnu Abbas RA, ia berkata, “Rasulullah ﷺ mel4knat orang lelaki yang menyerupai wanita dan (mel4knat) para wanita yang menyerupai lelaki.” (HR. Bukhari)
(2)
Dari Ibnu Abbas RA dari Nabi ﷺ, bahawasanya baginda mel4knat wanita yang menyerupai lelaki dan lelaki yang menyerupai wanita. (HR. Abu Dawud )
(3)
Dari Abu Hurairah RA, ia berkata, “Rasulullah ﷺ mel4knat orang lelaki yang berpakaian wanita, dan (mel4knat) wanita yang memakai pakaian lelaki.” (HR. Abu Dawud)
(4)
Dari Ibnu Abbas RA, ia berkata: Rasulullah ﷺ mel4knat para lelaki yang bergaya seperti wanita dan para wanita yang bergaya seperti lelaki. Dan baginda bersabda, “Keluarkanlah mereka dari rumah-rumah kamu.” (HR. Bukhari )
(5)
Daripada Abu Hurairah Radliyallaahu’anhu bahawa dibawa kepada Nabi ﷺ seorang lelaki yang berlagak seperti wanita, dia memberi warna dengan hinna’ (quitec) pada (kuku2) kedua tangan dan kakinya. Maka Rasulullah ﷺ bertanya: “Kenapa orang ini?” Ada sahabat yang menjawab, “Ya Rasulullah! Orang lelaki itu berlagak seperti wanita.”
Lalu diperintahkan (oleh Rasulullah) supaya orang tersebut diasingkan ke Naqi’ (suatu tempat yang jauh di daerah pendalaman Muzainah, jarak dua malam perjalanan dari Madinah), lalu ditanyakan kepada baginda, “Ya Rasulullah! Apakah tidak kita bvnuh saja orang itu?” Baginda menjawab, “Sesungguhnya aku dilarang membvnuh orang-orang yang solat.”
(Diriwayatkan Abu Dawud )
Khunsa pula merupakan suatu keadaan dimana seseorang individu mengalami kecacatan genetik yang mengakibatkan organ seksualnya tidak berkembang sebagaimana kebiasaan sama ada sempurna membentuk zakar ataupun faraj.
Berdasarkan rajah di atas, pada minggu ke 6 kehamilan, organ seksual janin akan mula terbentuk dan pada minggu ke 10 kebiasaannya barulah organ seksual ini akan membezakan identity seseorang samada lelaki atau wanita.Tetapi tidak bagi khunsa,yang mana organ seksual mereka tidak berkembang secara normal sehingga terkadang kedua-dua organ seksual terhasil sempurna atau secara sebahagian sahaja.
Dalam Islam, khunsa dibahagikan kepada 2 kategori:
Khunsa Wadhih: Khunsa wadhih bermaskud keadaan seseorang khunsa itu jelas kecenderungan gender dan seksualitinya meskipun ia memiliki dua organ seksual,maka diharuskan untuk menghapuskan salah satu organ seksualnya yang berlebihan dia meilih serta kekal dengan satu jantina sahaja.
Khunsa Musykil : Iaitu keadaan seseorang khunsa yang tidak menunjukkan sebarang ciri kecenderungan kepada mana-mana dari salah satu jantina seperti keadaan khunsa wadhih
Jumhur fuqaha menyebutkan bahawa kaedah mengenal pasti seseorang khunsa musykil sama ada cenderung menjadi seorang lelaki atau wanita adalah dengan melihat keadaan seseorang bayi itu apabila membuang air kecil, alat kelamin yang mana yang berfungsi. Sekiranya dia membuang air kecil melalui zakar, maka ia dianggap lelaki dan begitulah sebaliknya.
Sekiranya perbezaan ini tidak dapat dilihat jelas ketika umur seseorang individu khunsa ini masih bayi atau masih kecil, para fuqaha’ menggariskan ciri kecenderungan jantinanya berdasarkan alamat akil baligh. Sekiranya dia didatangi haid maka ternyata ia adalah wanita, namun seandainya ia mengalami mimpi basah serta mulai tumbuh bulu pada wajah maka ia adalah lelaki. Dengan perkembangan teknologi perubatan hari ini, ujian genetik boleh dilakukan bagi mengenalpasti jantina sebenar seseorang khunsa musykil.
Secara umumnya seorang lelaki yang memiliki kelamin lelaki yang sempurna (boleh berfungsi), dan kromosomnya 46 XY maka dia memang sah LELAKI.
Demikian juga jika seorang wanita mempunyai kelamin wanita yang sempurna dan berfungsi, serta kiraan kromosomnya 46 XX maka dia dia memang sah WANITA.
Namun jika masih tidak dapat ditentukan jantinanya maka seseorang khunsa musykil tidak perlu menghapus salah satu organ seksualnya dan boleh dibiarkan kekal dengan keadaan asalnya.
Beberapa kes Kecelaruan Perkembangan Seksual (Development of Sexual Disorders – DSD) yang mengakibatkan seseorang dilahirkan sebagai khunsa samada khunsa wadih atau khunsa musykil, antaranya:
1) Congenital Adrenal Hyperplasia (CAH)
– Secara ringkasnya tubuh mereka bermasalah dalam menghasilkan hormon dan cenderung menghasilkan hormon Androgen secara berlebihan meskipun memiliki kelamin wanita atau kelamin bagi kedua-dua jantina. Justeru tubuhnya lebih mirip lelaki berbanding wanita.
2) Androgen Insensitivity Sydrome
– Samada kes tubuhnya tidak sensitif langsung ( Complete Androgen Insensitivity Syndrome – CAIS) atau sebahagian sahaja (Partial Androgen Insensitivity Syndromes – PAIS)
Kebiasaannya mereka dilahirkan dalam keadaan memiliki kelamin lelaki yang tidak lengkap atau memiliki kedua kelamin dan mempunyai tubuh badan seperti wanita.
3) Swyer Syndrome (46 XY Gonadal Dysgenesis)
– Secara genetik, mereka memiliki kromosom XY yang bermaksud mereka lelaki tetapi mereka dilahirkan tanpa mempunyai kelamin lelaki.
4) Klinefelter Syndrome ( 47 XXY)
– Mereka ini dilahirkan dengan kelamin lelaki namun memiliki satu kromosom lebih yang mengakibatkan mereka terkadang memiliki payudara secara alami (gynecomastia) meskipun bertubuh lelaki.
5) Turner Syndrome ( 45 X)
– Mereka dilahirkan dengan kelamin wanita tetapi kekurangan satu kromosom yang mengakibatkan tubuh mereka tidak kelihatan seperti wanita sepenuhnya
Dan banyak lagi tanpa mampu diperincikan dengan lebih mendalam kerana penulis bukan berkeahlian penuh dalam bidang ini.
Antara indidvidu khunsa musykil yang yang terkenal ialah supermodel Hanne Gaby Odiele. Beliau mengalami keadaan kesihatan yang dinamakan Complete Androgen Insensitivity Syndrome (CAIS) yang mengakibatkan alat kelaminnya tidak berbentuk seperti alat kelamin seorang lelaki yang sepatutnya kerana tubuhnya yang tidak mampu menghasilkan hormon androgen yang diperlukan dalam pertumbuhan normal seorang lelaki.
Berkenaan dengan hukum pembedahan penstrukturan semula jantina bagi kedua-dua golongan Khunsa dan Mukhannats,ia telah ditetapkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MJFK) Kali Ke-4 yang bersidang pada 13-14 April 1982 seperti yang berikut:
i) Pertukaran jantina dari lelaki kepada perempuan atau sebaliknya melalui pembedahan adalah haram.
ii) Seseorang yang dilahirkan lelaki, hukumnya tetap lelaki walaupun ia berjaya ditukarkan jantinanya melalui pembedahan.
iii) Seseorang yang dilahirkan perempuan, hukumnya tetap perempuan walaupun ia berjaya ditukarkan jantinanya melalui pembedahan.
iv) Seseorang yang dilahirkan khunsa musykil iaitu manusia yang dilahirkan mempunyai dua alat kemaluan lelaki dan perempuan, diharuskan pembedahan bagi mengekalkan salah satu alat jantina yang benar-benar berfungsi dapat digunakan mengikut keadaan yang sesuai.
Justeru dalam urusan hal ehwal ibadah seperti menutup aurat, solat,berihram untuk haji ataupun umrah bagi seseorang mukhannats adalah tetap sepertimana keadaan asal kejadiannya sebagai seorang lelaki, walaubagaimanapun sekiranya dia telah melakukan pembedahan seperti memasang implant bagi tujuan membesarkan payudara, maka bahagian dadanya perlu dibalut dengan bengkung yang tidak berjahit (ketika ihram) supaya terhindar dari fitnah.
Manakala bagi seorang khunsa musykil pula seandainya mereka memilih untuk mengekalkan identii mereka tanpa memilih kecenderungan jantina samada lelaki atau wanita, maka ada berberapa perincian hukum:
- Dalam ehwal aurat dan solat: auratnya adalah seperti aurat seorang wanita,tidak sah menjadi imam kepada lelaki namun harus untuk menjadi imam bagi wanita.
- Dalam ehwal persaksian: persaksian seorang khunsa musykil adalah sama seperti seorang wanita yang mesti dikuatkan dengan dua orang saksi lelaki
- Dalam ehwal umrah dan haji: Seorang khunsa musykil mestilah berihram sepertimana seorang wanita.
- Dalam ehwal pernikahan: Seorang khunsa musykil tidak diperbolehkan berkahwin sehingga dapat ditentukan dengan jelas identity jantinanya.
Harapan penulis agar kita benar-benar dapat memahami dan membezakan berkenaan seorang mukhannats atau khunsa sehingga tidak ada individu yang sewenang-wenangnya menunggang nama khunsa bagi menutup perbuatan penyamaran jantina.
Perbuatan penyamaran jantina yang dilakukan oleh seseorang mukhannats sangat keji dan mencabuli hak-hak asasi golongan wanita terutama sekali apabila mereka dibiarkan berleluasa dan bebas keluar masuk ke ruangan yang dikhususkan untuk wanita.
Semoga golongan mukhannats diberi petunjuk dan hidayah agar meninggalkan perbuatan terkutuk mereka dan tidak sewenang-wenangnya melakukan perbuatan yang mempersenda hukum-hakam agama dan kententeraman awam,khusunya golongan wanita.
RUJUKAN:
Majmu’ Syarh Al-Muhazzab
Mausu’ah Al-Fiqhiyyah Al Kuwaitiyyah
Pelaksanaan Haji Dan Umrah Bagi Golongan Khuntha Dan Mukhannath- Jurnal Fiqh, No. 12 (2015) 79-9, Universiti Malaya, https://fiqh.um.edu.my
Disorders Of Sex Development, https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5866176/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih