Sebagai bekas pelajar MRSM, tergerak hati untuk menjawab satu artikel dangkal yang diterbitkan oleh portal Free Malaysia Today.
Point 1: “Ibu bapa dan ahli keluarga murid yang belajar di sekolah berasrama kerajaan bereputasi mempersoalkan apa yang dilihat seperti terlalu mementingkan ritual-ritual agama yang mengganggu pelajaran.”
Jawab: Jika benar dakwaan ini, ianya hanyalah pandangan peribadi segelintir ibu bapa yang mungkin jahil atau memang tidak berpegang teguh pada ajaran agama. Memang pihak sekolah mementingkan amalan keagamaan agar rohani para pelajar terbentuk. Pihak sekolah mahu melahirkan modal insan yang seimbang dari aspek akademik, kokurikulum, kepimpinan dan keperibadian.
Point 2: “Ramai mendapati amalan ritual dan aktiviti keagamaan mencapai suatu tahap yang memberi kesan kepada prestasi akademik.”
Jawab: Bukan ramai, bahkan sepakat ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah bahawa amalan soleh memang memberi kesan dalam kehidupan manusia. Ini juga termasuk dalam salah satu usaha dari sudut batin untuk meningkatkan prestasi akademi selain usaha zahir seperti pergi ke kelas, prep, kelas tambahan dan sebagainya.
Point 3: “Kegiatan-kegiatan itu memakan terlalu banyak masa dan tenaga pelajar sehingga mereka jadi letih dan lesu di kelas atau masa mengulangkaji pelajaran.”
Jawab: Kebanyakkan aktiviti-aktiviti ini hanya dilakukan ketika antara waktu Maghrib dan Isya serta hujung minggu. Daripada para pelajar membuang masa di asrama, lebih baik diisi dengan program sebegini. Aktiviti seperti membaca Yasin dan al-Ma’thurat bukanlah banyak sangat memakan masa dan tenaga. Lemah sungguh jiwa seseorang itu kalau benda sebegini pun tak mampu lakukan. Adakah orang lemah begini yang nak diharapkan menjadi pemimpin suatu hari nanti?
Point 4: “Seingat kami tidak pernah anak ke sekolah tahfiz atau sekolah pondok,” kata Amir, bapa seorang pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia tahun lepas di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Johor.”
Jawab: Entah betul atau tidak wujud pakcik Amir ini. Setakat petik nama Amir, MRSM Johor tanpa penjelasan terperinci, semua orang boleh reka. Setakat nak suruh hafal surah-surah pilihan, takkan lah terus dilabel Tahfiz dan Pondok. Tahfiz itu hafal keseluruhan 30 juzuk. Pondok pula mengaji matan-matan kitab Turath seperti Akidah, Fiqh, Tasawwuf, Tafsir, Hadis, Nahu, Mantiq dan sebagainya.
Point 5: “Ibu bapa murid-murid ini memberitahu FMT keadaannya lebih-lebih lagi bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Tingkatan 3 dan 5. Mereka berkata pelajar diminta menghadiri sesi wajib solat berjemaah, serta ritual tidak wajib seperti solat tahajud, solat hajat, dan tazkirah, di mana mereka perlu bangun seawal 3 pagi.”
Jawab: Takkan lah nak suruh solat Subuh pun merungut? Benda memang wajib buat selaku seorang Muslim. Dan ibadat sunat seperti tahajud, solat hajat dan tazkirah itu sememangnya tidak wajib. Kalau taknak lakukan, tidak mengapa. Maka dimana isunya?
Point 6: “Aduan kepada pengetua sia-sia: ibu bapa diberitahu ritual-ritual itu untuk mendapatkan “keberkatan” dan memastikan pelajar dapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, sekaligus menaikkan kedudukan dan nama sekolah, kata Amir kepada FMT.”
Jawab: Aduan itu sia-sia kerana yang alergik dengan aktiviti keagamaan ini hanya sebilangan kecil sahaja. Majoriti ibu bapa yang hantar anak mereka ke sekolah MRSM dan SBP memang gembira untuk melihat anak mereka dekat dengan agama. Dan sememangnya amalan soleh membawa keberkatan (Tabaruk). Takkanlah tidak beriman kepada perkara ghaib. Amalan membaca al-Quran, membaca zikir sememangnya dianjur dalam al-Quran dan Sunnah kerana ada kenaikan padanya (barakah).
Point 7: “Masalahnya kedudukan sekolah tak akan naik sebab kamu nak bertanding siapa lebih Islamik, bukan siapa lebih cerdik,” tambahnya.”
Jawab: Sepanjang di MRSM, sememangnya para pelajar berlumba-lumba mengejar rekod akademik yang baik. Setiap MRSM ingin menduduki tempat teratas seperti MRSM Taiping, Tun Ghafar Baba, Pengkalan Chepa, Langkawi dan sebagainya. Bahkan, MRSM seringkali memintas kedudukan sekolah SBP dalam ranking SPM Malaysia. Kadangkala pula, SBP mendahului MRSM dalam ranking. Perlumbaan akademik tetap sahaja berlaku. Dan para pelajar tak pernah rasa untuk berlumba tentang institusi mana lebih Islamik. Amal Islamik itu bukan untuk dilumbakan, tetapi untuk menjadi pegangan diri sendiri.
Point 8: ”Aduan sama tentang bau keagamaan dan pelambangannya di sekolah-sekolah kerajaan bukan berasrama juga semakin meningkat, di sebalik perdebatan terbuka yang berterusan mengenai polarisasi dalam sistem pendidikan. Ramai penganalisis dan pakar bimbang sekolah-sekolah kebangsaan tidak lagi berbilang kaum; pada masa sama terdapat seruan menyeru kerajaan berusaha ke arah sekolah satu aliran bagi memupuk perpaduan.”
Jawab: Sememangnya agama Islam merupakan agama Persekutuan menurut Perlembagaan Malaysia. Jadi apa masalahnya sekolah kerajaan mahu terapkan nilai Islami dalam diri pelajar Muslim? Jika tidak suka, masuk sahaja ke sekolah swasta. Tidak perlu mengemis kemudahan yang diberikan pada sekolah kerajaan. Waktu isi borang nak masuk MRSM SBP bukan main mengaku Melayu Islam.
Point 9: Seorang ibu pula bercakap mengenai pengalaman luar biasa anak perempuannya dengan obsesi terhadap kuasa ghaib di sekolahnya. Wanita itu memberitahu FMT anak perempuannya itu diminta hadir ke sesi mengusir makhluk halus kerana dia tidak dapat menyertai kelas bacaan Al-Quran kerana menghadiri kelas tambahan Biologi. Anak saya dituduh malas mengaji dan didakwa ada gangguan jin sehingga diruqyah ustaz tersebut. Ini sangat melampau,” katanya yang tidak mahu dinamakan. Dia berkata guru berkenaan tetap mahu anak perempuannya menyertai kelas bacaan Al-Quran, walaupun selepas guru biologi minta pelajar itu diberi pengecualian. “Akhirnya, anak saya gugurkan subjek tersebut ketika menduduki SPM tahun lepas,” katanya.”
Jawab: Satu lagi watak misteri ditimbulkan selain pakcik Amir tadi. Jika benar nak buat aduan, kena lah nyatakan nama pelajar dan nama ibu bapa agar tindakan dapat diambil sekiranya benar perkara sebegini berlaku. Jika benar ia berlaku, maka itu adalah kesalahan peribadi ustaz tersebut dan ambil lah tindakan padanya. Namun, cerita sebegini agak janggal kerana setiap aktiviti yang dilakukan di sekolah sudah pasti dipantau oleh pihak pentadbiran sekolah. Kuasa guru-guru di kelas formal lebih besar berbanding guru-guru bagi aktiviti sampingan. Maka cerita di atas adalah tidak logik.
Point 10: “Amir juga sedar tentang kelas bacaan Al-Quran itu, atau Talaqqi, mengatakan ia dikenakan bayaran yuran sekolah tambahan sebanyak RM200. FMT difahamkan oleh ibu bapa bahawa kelas Talaqqi selepas waktu sekolah sudah jadi wajib dihadiri bagi pelajar Tingkatan 1 hingga 4. “Kalau tak pergi, kena denda. Kalau ambil ujian, tak lulus, kena denda juga, kemudian kena ambil ujian sekali lagi,” katanya, dan menambah pelajar yang tidak hadir ke kelas itu atau gagal ujian akan diminta menghafal ayat Al-Quran.”
Jawab: Isu-isu yuran ini selalunya ada dibentangkan dalam mesyuarat Muafakat (PIBG MRSM). Segala aktiviti seperti Program Gerak Gemilang dan sebagainya telah dibincang dengan para guru dan ibu bapa. Jika benarlah ada paksaan seumpama ini, boleh kemukakan dalam mesyuarat tersebut.
Point 11: Haiqal terkejut apabila anak saudaranya beritahu tentang “peraturan tidak masuk akal” di sekolahnya, seperti perlu memakai seluar panjang bawah kain baju kurung sekolah; pakai kemeja T labuh ketika bersukan dan sarung tangan. Haiqal diberitahu ini bagi mengelakkan pelajar lelaki melihat susuk tubuh pelajar perempuan. “Kami tiada peraturan seperti ini dahulu, tetapi masih berjaya menjaga diri sendiri dan berpakaian dengan baik ke sekolah,” katanya, yang anak saudaranya belajar di sebuah sekolah MRSM di Perak.”
Jawab: Timbul nama pakcik Haiqal pula. Kali ini tentang anak saudara. Jawapannya sama dengan perkara 10. Boleh dibawa ke mesyuarat Muafakat. Namun, cerita diatas amatlah kurang logik. Kerana selalunya, masalah yang timbul di MRSM SBP adalah tentang pakaian yang ketat bukan sebaliknya.
Point 12 : “Amir berkata pelajar diajar mempersoalkan banyak amalan tradisi orang Melayu Islam, mengatakan ia bid’ah. “Mereka mula mempersoalkan amalan agama di rumah mengatakan amalan ibadat mereka tiada asas dan bersifat bid’ah,” katanya. “Inikah yang para pentadbir sekolah katakan ‘keberkatan’?”
Jawab: Ini adalah kontradiksi. Mungkin penulis yang mencipta kisah-kisah rekaan di atas tidak memahami firqah-firqah pemikiran Islam. Selalunya yang suka membidaahkan amalan tradisi ini adalah dari golongan Wahabi. Namun, ajaran Wahabi tidaklah diajarkan di Malaysia melalui silibus rasmi pendidikan negara melainkan sedikit. Jika ada, sudah pasti ianya adalah dari sumber rujukan luar yang dibawa masuk ke institusi pengajian oleh individu-individu tertentu di sekolah secara tidak rasmi.
Walaubagaimanapun, jika benar para pelajar suka membidaah amalan soleh dengan erti kata lain sudah teroengaruh dengan doktrin Wahabi, maka sudah tentu amalan seperti bacaan Yasin dan Ma’thurat ditentang oleh para pelajar. Sebaliknya, yang menentang perkara ini adalah pihak ibu bapa seperti pakcik Amir, pakcik Haiqal dan makcik yang tidak mahu dikenali itu. Maka, siapa sebenarnya yang sedang membidaahkan “ritual” keagamaan disini?
KESIMPULAN
Artikel yang diterbitkan oleh portal FMT amatlah dangkal dan tidak bertanggungjawab serta tiada profesionalisma. Artikel tersebut hanyalah setaraf dakwaan kosong tanpa nilai. Budaya yang diterapkan dalam MRSM dan SBP bukanlah sebuah bidaah atau ritual berlebihan. Sebaliknya, ia hanya mutabaah amal sebagai seorang Muslim yang sentiasa cuba membaiki diri.
Amalan-amalan di MRSM dan SBP tidaklah seberat amalan yang dilakukan oleh para wali umpama Ashabul Kahfi, Syeikh Abdul Qadir Jailani, Imam al-Ghazali atau Imam-Imam Mazhab yang solat sunat mereka ratusan rakaat, puasa mereka selang sehari, hafalan hadis ratusan ribu dan sebagainya.
Artikel jawapan balas ini ditulis setelah seorang (bekas?) pelajar MRSM yang menyampaikan mesej pada penulis di https://instagram.com/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih