Moscow Kremlin, atau panggilan pendeknya, Kremlin, merupakan kompleks berkubu yang dibina pada kurun ke-14 Masehi dan berperanan sebagai pusat pentadbiran dan keagamaan Russia.

Di samping menempatkan banyak bangunan gereja dan katedral, Kremlin juga dijadikan sebagai kediaman Patriarch (juga disebut Metropolitan) Moscow, ketua Gereja Ortodoks Russia. Ia boleh dikatakan sebagai salah sebuah monumen paling ikonik di bandar tersebut. Pada hari ini, Kremlin tersohor sebagai lokasi mesti dikunjungi bagi sesiapa yang menziarahi ibu negara Russia.

KREMLIN SEBAGAI KUBU PERTAHANAN

Pada asalnya, perkataan ‘kremlin’ digunakan bagi merujuk mana-mana citadel atau kubu yang terdapat di Russia. Bagaimanapun pada hari ini, Kremlin merupakan nama khas bagi merujuk kremlin yang berdiri di Moscow. Asal-usul (etimologi) perkataan tersebut masih diperdebatkan, dan diandaikan ia berasal sama ada dari bahasa Tatar, Yunani, ataupun Russia itu sendiri.

Kremlin terletak betul-betul di tengah bandar Moscow. Di bahagian selatannya, mengalir Sungai Moskva. Di bahagian timurnya pula berdiri megah Katedral Saint Basil dan Dataran Merah. Sementara itu, pemandangan di bahagian baratnya dihalwa oleh Taman-Taman Alexander.

Kurun demi kurun menyaksikan banyak binaan didirikan (dan juga dimus-nahkan) di Kremlin. Antaranya seperti istana, gereja, dan bangunan-bangunan megah. Sebagai sebuah citadel, tidak hairan bagi Kremlin untuk dikelilingi tembok dan menara-menara pertahanan.

Walaupun hayat Kremlin bermula pada kurun ke-14 Masehi, sejarahnya merentang ke masa yang jauh lebih tua. Sebutan terawal tentang kota tersebut boleh dijumpai dalam Hikayat-Hikayat Russia. Dalam catatan tersebut, diceritakan bahawa pada tanggal 4 April 1147, Yury Vladimirovich Dolgoruky si Putera Suzdal mengadakan jamuan di bandar Moscow bagi meraikan rakan sekutunya, Putera Novgorod-Seversky.

Pemandangan di Bukit Borovitsky yang menempatkan Kremlin

Sembilan tahun kemudian (1156 M), Dolgoruky membangunkan binaan berkubu pertama di bandar tersebut, tepatnya di Bukit Borovitsky yang diapit oleh Sungai Moskva dan Sungai Neglinnaya. Ia merangkumi tembok tanah yang dipuncaki tembok kayu dan rumah-rumah bata, berdiri sebagai pendahulu kompleks Kremlin yang kita kenali pada hari ini. Bagaimanapun, kubu yang dibangunkan oleh Dolgoruky itu tidaklah disebut sebagai kremlin. Akan tetapi, ia dikenali sebagai grad (petempatan berkubu).

Semasa Rus menjadi mangsa amu-kan pasukan Monggol pimpinan Batu Khan yang berpanjangan dari tahun 1236 hingga 1240 Masehi, bandar Moscow dija-rah dan dibumihanguskan. Ia sekali lagi menerima pe-taka serupa dari Monggol pada tahun 1293. Tiga tahun kemudian, grad tersebut diperkukuh dengan pagar kayu dan juga tembok tanah yang baru.

Kompleks tersebut mula dipanggil sebagai kremlin pada tahun 1331 M dan sekitar masa itu jugalah bangunan-bangunan batu terawal Kremlin (yang berdiri sehingga kini) didirikan. Pengubahsuaian ini dilakukan bersesuaian dengan perubahan besar yang berlaku dalam sejarah Moscow, di mana lima tahun sebelumnya, bandar tersebut buat pertama kali didiami oleh ketua agama Kristian di Russia, yang ketika itu ialah Saint Peter.

KREMLIN SEBAGAI PUSAT KEAGAMAAN

Sebelum kehadiran Peter di Moscow, pusat Gereja Ortodoks Russia bertempat di Kiev. Sebaik sahaja beliau menyandang kedudukan ketua agama Kristian di Russia, Peter memindahkan kediamannya dari Kiev ke Vladimir, dan kemudian ke Moscow atas permintaan Grand Duke of Moscow ketika itu yang bernama Ivan Kalita.

Sepertimana yang dijangka, perpindahan Peter ke Moscow secara langsung mengubah bandar tersebut menjadi pusat keagamaan Russia. Perubahan sedemikian diabadikan menerusi pembinaan gereja dan untuk tujuan itu, Ivan pun membangunkan Cathedral of the Archangle yang didedikasikan kepada Michael (malaikat Mikail bagi kita penganut agama Islam). Dalam katedral inilah kemudiannya disemadikan jasad pemerintah-pemerintah Moscow, bermula dari Ivan Kalita hinggalah Ivan V.

Cathedral of the Assumption, salah sebuah katedral yang terdapat di Kremlin

Di samping itu, atas cadangan Peter, Cathedral of the Assumption turut didirikan. Katedral ini seterusnya dijadikan sebagai gereja utama Moscow dan tempat di mana tsar-tsar Russia dimahkotakan.

Kedua-dua katedral tersebut dipercayai dibangunkan di tapak gereja lama. Cuma malangnya, struktur asalnya yang berusia dari kurun ke-14 Masehi tidak dapat berdiri dan diwarisi sehingga ke hari ini.

MEMPERKUKUH PERTAHANAN KREMLIN

Pada tempoh 1366 hingga 1368 Masehi, tembok kayu oak pada kompleks Kremlin digantikan dengan tembok batu kapur. Projek pengubahsuaian tersebut dijalankan oleh Dmitri II (Dmitri Donskoi), Grand Prince of Moscow, dalam cubaannya mencabar kekuasaan Monggol. Selain memperkukuhkan benteng pertahanan Kremlin, Dmitri turut memperkuat kedudukannya dengan menundukkan raja-raja Russia yang lain.

Bagi menghindarkan kon-flik awal dengan Monggol, Dmitri mengambil pendekatan berbaik-baik dan meneruskan pembayaran ufti tahunan kepada mereka. Namun sebaik sahaja Monggol dihadapkan dengan perge-lutan dalaman, Dmitri langsung sahaja mere-but kesempatan dan melakukan penen-tangan. Pembayaran ufti dihentikan dan raja-raja Russia lain digalang untuk turut serta bersamanya.

Pada tahun 1389 Masehi, Dmitri mene-waskan Mamai si pemerintah Orda Putih (terletak di bahagian barat Orda Emas) dalam Pertem-puran Kulikovo yang berlangsung di Sungai Don (justeru meraihkannya nama timangan Donskoi). Bagaimanapun, kemenangan tersebut tidak dapat dinikmati lama kerana dua tahun kemudian, Tokhtamysh yang menggu-lingkan Mamai dan menyatukan Orda Emas bertindak mena-wan Moscow dan meram-pas harta-bendanya. Keadaan ini memaksa Dmitri tunduk akur terhadap Tokhtamysh dan membayar ufti tahunan kepadanya.


Tokhtamysh di hadapan benteng Kremlin sebelum beliau menak-luknya

Mujur buat Dmitri, kesatuan Orda Emas di tangan Tokhtamysh tidak berlangsung lama. Menjelang penghujung kurun ke-14, Orda Emas berpecah menjadi khanate-khanate kecil yang secara perlahan-lah hilang dari peta dunia. Di saat Monggol mengalami perpecahan, raja-raja Russia disatukan oleh Ivan III (Ivan Agung), cicit Dmitri II. Beliau bukan sahaja menyandang gelaran Grand Prince of Moscow, akan tetapi turut memperkenalkan satu gelaran lain, iaitu Grand Prince of Rus, bagi tujuan memperagakan kekuasaannya ke atas seluruh Russia.

Gelaran baru tersebut dimasyhurkan menerusi pembinaan semula Kremlin dan bagi melaksanakan tujuan itu, Ivan menjemput masuk jurutera-jurutera mahir dari Itali yang sedang mengalami Renaissance. Antaranya seperti Pietro Antonio Solari dan Marco Ruffo. Pada zaman pemerintahan Ivan ini jugalah tembok dan menara batu Kremlin dibangunkan (pada asalnya berjumlah 18 buah menara, dan kemudian ditambah menjadi 20 buah pada kurun ke-17). Kurun demi kurun menyaksikan tembok-tembok tersebut run-tuh, ro-sak, dan kemudian dibaiki. Apapun, sebahagian binaan dari kurun ke-15 masih berdiri sehingga hari ini.

Dataran Merah, Moscow

PEMBINAAN BARU PADA ZAMAN IVAN AGUNG

Di samping tembok dan menara, Ivan turut membina sejumlah bangunan di Kremlin. Antaranya termasuklah tiga buah katedral, iaitu Cathedral of the Assumption (pembinaan semula, dilakukan pada 1475-1479), Cathedral of Annunciation (siap pada 1489), dan Cathedral of the Archangel (pembinaan semula, dilakukan pada 1505-1508).

Tidak ketinggalan juga antara yang turut dibina ialah Gereja Penanggalan Jubah yang berfungsi sebagai kediaman buat Metropolitan (atau Patriarch) Moscow sehingga kurun ke-17, Dewan Facet yang berperanan sebagai dewan penghadapan, dan Menara Loceng Ivan Agung.

Walaupun menara loceng tersebut didirikan pada 1505-1508, ia hanya mencapai ketinggian seperti hari ini pada beberapa tahun kemudian. Penambahan ini dilakukan oleh Boris Godunov, yang turut bertanggungjawab memperindahkannya dengan kubah bersepuh di bahagian puncak menara. Dengan ketinggian 265.7 kaki (81 meter), Menara Loceng Ivan Agung berdiri sebagai bangunan tertinggi di Moscow.

Kubah pada Menara Loceng di Kremlin

KREMLIN PADA KURUN-KURUN TERKINI

Selepas pembinaan semula Kremlin selesai dijalankan, pihak pemerintah berusaha mengasingkan citadel dengan kawasan lain. Di samping larangan membina bangunan di kawasan berhampiran Kremlin, mereka turut menggali parit selebar 30 meter di sekeliling citadel bagi memisahkannya dari pekan Kitay-Gorod.

Bangunan-bangunan baru di dalam Kremlin juga terus ditambah oleh pemerintah-pemerintah Moscow yang berikutnya. Misalnya pada kurun ke-17 selepas dinasti Romanov menduduki kuasa, Gerbang Armorial, Istana Terem, dan Istana Hiburan dibina. Pada hari ini, Gerbang Armorial tidak lagi wujud. Istana Terem pula dijadikan sebagai kediaman tsar-tsar sementara Istana Hiburan diperuntukkan buat Ilya Miloslavsky, mertua kepada Alexei si tsar kedua Dinasti Romanov.

Pemandangan  parit yang digali di sekeliling Kremlin

Alexei mempunyai seorang putera bernama Peter (Peter Agung) yang membesar sebagai pemerintah tunggal Russia pada tahun 1696. Nama Peter tersohor menerusi modenisasi yang dilakukan terhadap Russia dan antara pencapaian besar yang dikecapinya adalah pembinaan pelabuhan di Laut Baltik. Pelabuhan ini membolehkan Russia mengadakan hubungan perdagangan dengan Dunia Barat.

Seiring perubahan tersebut, pada tahun 1703 semasa kelangsungan Pe-rang Besar Utara 1700-1721, bandar St. Petersburg didirikan. Mulanya, ia hanya wujud sebagai kubu pertahanan di kawasan paya Pulau Zayachy, terletak berhampiran mulut Sungai Neva. Namun menjelang 1713, istana Peter dipindahkan ke sana. Dua kurun berikutnya, St. Petersburg dijadikan sebagai ibu negara Russia menggantikan Moscow dan Moscow hanya kembali menyandang status tersebut pada tahun 1917 sewaktu Dinasti Bolshevik berkuasa.

Pemindahan ibu negara ini memberi kesan langsung kepada kemaslahatan Kremlin. Ia sedikit-sebanyak dikesampingkan, namun signifikasinya secara simbolik terus berkekalan memandangkan Kremlin masih dijadikan tempat pemahkotaan maharaja-maharaja Russia. Projek-projek pembinaan juga terus dilaksanakan di Kremlin dari semasa ke semasa.

Bangunan Senat Kremlin


Misalnya, Senat Kremlin dibangunkan sewaktu pemerintahan Catherine Agung. Begitu juga dengan Istana Besar Kremlin yang didirikan pada kurun ke-19, sewaktu pemerintahan Nicholas I. Bagaimanapun, zaman tersebut turut  menyaksikan beberapa buah bangunan lama dimus-nahkan dan digantikan dengan bangunan-bangunan  baru.

Contohnya, Istana Besar Kremlin itu sendiri dibangunkan setelah istana dan Gereja Saint John  the Precursor yang terletak berhampiran  diro-bohkan. Kremlin juga pernah mengalami kero-sakan teruk sewaktu Perancis berundur dari Moscow.

Sejurus berlakunya Revo-lusi Russia pada tahun 1917, institusi monarki dibubarkan. Empayar Russia dile-nyapkan dan digantikan dengan Soviet Russia. Setahun kemudian, pentadbiran Soviet mengembalikan ibu negara ke Moscow sekali gus menyuntik nafas baru kepada Kremlin. Sepanjang berada di bawah pentadbiran Soviet, terdapat beberapa buah bangunan baharu yang dibina di Kremlin.

Lenin menjadikan Senat Kremlin sebagai kediamannya dan bilik peribadi beliau dipelihara rapi sehingga menjadi muzium. Stalin yang menggantikannya juga mempunyai kamar peribadi di Kremlin. Ketika itu, banyak simbol pemerintahan lama digantikan dengan simbol Soviet : simbol helang pada menara ditukar dengan simbol bintang. Nama Kremlin kian sinonim dengan Soviet Union sehinggalah rejim itu tumbang pada tahun 1991.

Muzium  Kremlin,  Moscow

Namun, Kremlin terus berdiri teguh sebagai pusat pentadbiran negara Russia dan ikon pelancongannya. Sebahagian bangunannya bahkan diubah menjadi muzium. Antaranya, Gudang Sen-jata Kremlin pada hari ini menempatkan banyak artifak dari dalam mahupun luar negara, termasuklah Mahkota Diraja Russia, singgahsana Ivan the Terrible yang diperbuat daripada gading, dan kelengkapan pe-rang  dari Parsi.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.