Jikalau anda merupakan peminat falsafah, politik ataupun hal-hal yang sewaktu dengannya, pasti anda akan mengenali susuk tubuh yang dikenali sebagai Montesquieu. Nama penuh dan panjangnya ialah Charles-Louis de Secondat, baron de La Brède et de Montesquieu, seorang yang lahir dari keluarga bangsawan Perancis yang terkenal. Beliau merupakan tokoh falsafah dan pemikir agung yang lahir ketika Zaman Pencerahan Eropah (abad ke-18) di Eropah yang pada ketika itu juga dikenali sebagai Abad Falsafah.
Montesquieu bukan sahaja seorang ahli falsafah, malah beliau juga seorang peguam dan pernah berkhidmat sebagai seorang pegawai tertinggi dalam struktur Parlimen Perancis. Idea dan pandangan beliau telah banyak mempengaruhi hampir kesemua sistem perlembagaan di dunia pada hari ini, termasuklah negara kita.
Oleh sebab itu, Montesquieu boleh dianggap sebagai antara manusia paling berpengaruh dalam sejarah ketamadunan manusia. Malahan, jika ramai mengatakan Isaac Newton telah menemukan hukum alam fizikal, ahli-ahli falsafah Barat pula mendakwa Montesquieu telah menemui hukum alam intelektual.
Pada tulisan kali ini, penulis ingin membicarakan satu daripada puluhan idea yang telah dipelopori Montesquieu yang masih bertahan sehingga ke hari ini. Malah, ideanya itu menjadi praktis hampir kesemua negara berdaulat, seperti mana yang penulis sebutkan pada awalnya.
Trias Politica
Antara sumbangan terbesar Montesquieu dalam sistem politik kenegaraan adalah doktrin pengasingan kuasa atau juga dikenali sebagai Trias Politica (politik tiga serangkai). Beliau membahagikan sistem pemerintahan bagi sesebuah negara kepada tiga bidang utama iaitu legislatif (badan penggubal undang-undang), eksekutif (badan pentadbiran kerajaan) dan kehakiman (badan penegak udang-undang). Idea beliau dapat dilihat melalui magnum opus nya yang bertajuk The Spirit of Law.
Bagi Montesquieu, ketiga-tiga bidang tersebut harus bebas antara satu sama lain tanpa adanya campur tangan antara entiti tersebut. Tambah beliau, ini bagi memastikan setiap daripada cabang tersebut dapat beroperasi dengan bebas tanpa ada rasa takut terhadap kuasa pemerintahan yang lain. Idea yang dikemukakan oleh Montesquieu pada ketika itu dianggap sangat radikal kerana ia telah melibatkan rombakan berskala besar terhadap sistem feudal yang didominasi monarki Perancis sejak sekian lama.
Secara umumnya, perkara yang mendasari pemikiran Montesquieu bertitik tolak daripada peristiwa-peristiwa penting yang berlaku semasa hayatnya. Peristiwa yang paling signifikan ialah penubuhan sistem raja berpelembagaan di England yang bertitik tolak dari sebuah revolusi rakyat. Pada masa yang sama, Perancis pada masa itu masih melaksanakan pemerintahan berperwakilan di mana golongan monarki dan aristokrat masih menguasai kerajaaan.
Montesquieu pada awal-awal kariernya mempunyai pandangan yang spektikal terhadap feudalisme yang berakar dalam Perancis. Beliau mula-mula mendapat perhatian umum apabila kritikan pedasnya terhadap institusi diraja yang diterjemahkan melalui karyanya bertajuk Persian Letters.
Dalam perkara lain, beliau juga dianggap orang sesat oleh pihak gereja Katolik kerana banyak mengkritik agama Kristian dan mendakwa agama hanya memainkan peranan yang kecil dalam pelaksanaan undang-undang dan pemerintahan. Pada satu tahap, karya-karya beliau diharamkan oleh kerajaan atas nasihat gereja.
Pengaruh Montesquieu
Tidak dinafikan bahawa idealisme yang dibawa oleh Montesquieu telah memberikan perubahan yang signifikan terhadap sistem politik dunia secara holistik. Melalui doktrin pengasingan kuasanya, tertubuhnya negara republik pertama di dunia iaitu Amerika Syarikat berserta perlembagaan negara tersebut yang mempraktikkan nilai-nilai liberalisme yang diperjuangkan Montesquieu.
AS merupakan sebuah model lengkap yang menterjemahkan doktrin pengasingan kuasa secara total. Namun, antara masalah yang sehingga kini sukar untuk ditangani adalah fenomena deadlock yang dihadapi oleh sesebuah negara republik.
Itulah yang dihadapi oleh AS apabila Trump (Parti Republikan) yang mengetuai Pejabat Presiden (eksekutif) gagal mencapai kata sepakat dengan Dewan Senat (legislatif) yang majoritinya dikuasai Parti Demokrat. Keadaan ini mengundang fenomena di mana kerajaan seolah-olah tidak berfungsi kerana banyak daripada dasar dan polisi harus mendapat persetujuan bersama.
Di Malaysia, kita masih mengaplikasikan Trias Politica namun tidak secara absolute. Hal ini jelas dapat dilihat di mana parti yang meraih majoriti di Parlimen akan menguasai kerajaan. Ini menunjukkan tiadanya pengasingan kuasa antara dua badan tersebut (legislatif dengan eksekutif) dan hanya terpakai pada sistem kehakiman negara sahaja.
Kedua-dua situasi yang berlaku di AS dan Malaysia mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Namun yang pasti, Montesquieu telah meletakkan prinsip dan asas yang kukuh bagi mewujudkan sistem pemerintahan yang adil, telus dan bebas dari korupsi dan penyelewengan.
Montesquieu juga merupakan seorang ahli teologi agama yang sering membandingkan Kristian dan Islam. Mengikut pendapatnya, jika agama diterjemahkan dalam bentuk pemerintahan, maka Republik sesuai untuk Kristian Protestan, Kristian Katolik sesuai untuk monarki dan Islam sesuai untuk pemerintahan diktator dan despotik. Montesquieu juga meyakini bahawa dalam sesebuah pemerintahan terdapat dua jenis kuasa; daulat dan pentadbiran.
Pertama, kuasa daulat bertindak sebagai simbol sesebuah negara yang umumnya diwakili oleh golongan diraja. Kuasa daulat ini berfungsi sebagai tali pengikat dan simbol penyatuan rakyat. Kedua, kuasa pentadbiran yang dipecahkan oleh tiga badan utama; legislatif, eksekutif dan kehakiman. Oleh kerana itu, beliau menganggap sistem raja berpelembagaan yang dilaksanakan di England merupakan model yang terbaik pernah diwujudkan.
RUJUKAN:
Saari Sungib (2011). Islam, Demokrasi dan Hak Asasi Manusia. Kemilau Publika.
Encyclopedia britanicca. https://www.britannica.com/biography/Montesquieu/Major-works
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih