Dalam sejarah, mereka dipandang dengan gambaran yang buruk dan menerima konotasi negatif dari sarjana serta masyarakat umum.
Namun para pemerintah Empayar Mongol dan para pewaris Genghis Khan masih mampu menarik perhatian dan minat pelbagai bangsa dari seluruh dunia.
Impak yang mereka tinggalkan kepada dunia hari ini turut membuktikan mereka menikmati hubungan yang membina dan umumnya hubungan itu agak positif dengan sebahagian besar dunia Islam.
Selepas Turki, bangsa Mongol turut membina hubungan yang sinonim dengan Iran, bahkan masyarakat Iran mengalu-alukan kedatangan Hulagu Khan dan tentera Mongol untuk menduduki wilayah barat pada tahun 1254, sejak itulah mereka secara aktif bekerjasama dalam penubuhan negara Ilkhaniyah.
Negara Iran sudah tak wujud lagi setelah dimusnahkan semasa pencerobohan kuasa Arab terhadap wilayah tersebut pada abad ke-7, Iran Besar menjadi pecahan negeri-negeri yang sentiasa saling berperang seperti Azerbaijan, Khorasan, Fars, Iraq al-Arab, Iraq al-Ajam, Sistan, dan Jabal, dan beberapa negeri lain.
Setelah Hulagu menyeberangi Oxus pada sekitar tahun 1254, dia telah menghidupkan kembali idea, budaya, kesenian dan gagasan Iran. Jadi, Mongol Ilkhaniyah pada dasarnya telah menjadi asas kepada sistem yang akan melahirkan negara Iran moden hari ini.
Dari tahun 1220 hingga 1254, Iran berada di dalam situasi anarki, kemudian secara berperingkat mereka mula meneruskan kelangsungan di bawah kawalan longgar noyan-noyan (panglima gabenor) tentera Mongol yang diamanahkan untuk mengawal wilayah barat.
Negara-negara kota Iran ini adalah sebahagian dari wilayah pinggiran Empayar Mongol. Ketika itu rakyat perlu membayar cukai tetapi mereka tak dapat menikmati sebarang kelebihan atau keuntungan yang seharusnya dikecapi hasil dari cukai yang dipungut.
Maka, satu delegasi khas dihantar dari Qazvin untuk menghadiri kurultai yang melangsungkan upacara pertabalan Mongke Khan.
Kunjungan ini dimanfaatkan untuk menyampaikan hasrat masyarakat Iran, mereka memohon khagan Mongol mengirimkan seorang putera berketurunan Genghis dijadikan pemerintah Iran secara langsung bagi menggantikan noyan-noyan sekaligus meninggalkan sistem percukaian yang membebankan.
Ini bermaksud, delegasi tersebut mahu Iran diserap sebagai sebahagian dari wilayah Empayar Mongol secara langsung, agar Iran boleh menerima manfaat dari kesan pertembungan bersama komuniti global dan pasaran global.
Genghis Khan mempelopori sejarah pertembungan besar globalisasi yang pertama di dunia, dan Iran ingin menjadi sebahagian dari pertembungan itu.
Ilkhaniyah boleh dianggap sebagai kelahiran semula ketamadunan Parsi dan menjadikan rumpun-rumpun bangsa Iran sekali lagi bangkit sebagai pemain kuasa politik yang utama di rantau tersebut.
Walau bagaimanapun, kuasa tertinggi dan kelas pemerintah yang akan kekal berkuasa tetap akan terus diungguli oleh keturunan Mongol, ini menjadikan struktur pentadbiran Iran adalah berbilang etnik, dan negaranya adalah berbilang budaya.
Pada tahun 1295, ketika Ilkhan ketujuh, Ghazan Khan menaiki takhta dan mengisytiharkan dirinya memeluk agama Islam, tindakan itu menjadi penanda aras yang mendorong penyatuan orang-orang Turki dan Tajik, steppe dan kota mukim, Iran dan Turan, budaya Parsi, Cina dan Turki, dan penobatan raja untuk semua orang Iran.
Sama ada Ghazan benar-benar memeluk Islam dengan ikhlas mahu pun ia hanya sekadar langkah politik, perisytiharannya untuk menjadi raja Iran yang sah bermakna, dia bersedia memikul tanggungjawab untuk memberikan khidmat kepada seluruh rakyat tanpa mengambil kira perbezaan etnik.
Dan era pemerintahannya disambut sebagai permulaan zaman keemasan Iran, kebangkitan kembali sejarah, budaya dan kesenian Parsi. Ia juga akan menjadi titik kemuncak akhir hubungannya dengan Dinasti Yuan di timur.
Dengan itu, Iran telah menjadi satu-satunya wilayah jajahan yang tidak pernah ditinggalkan oleh orang Mongol, mereka terus kekal berkembang di sana melalui proses asimilasi.
Antara faktor-faktor yang menyebabkan pendudukan Mongol di Iran agak dialu-alukan adalah kerana orang Mongol lah yang telah menghidupkan kembali kebudayaan dan kesenian Parsi yang hampir pupus selepas pencerobohan Arab.
Negeri Ilkhaniyah berkembang melalui tiga tempoh. Tempoh pertama dari tahun 1258 hingga 1282 menyaksikan Iran mula menikmati kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi, dan perkembangan budaya yang disokong oleh rasa bebas dari belenggu ekstremis agama.
Sebelum itu Iran dikuasai oleh para agamawan yang autokratik, kekhalifahan ketika itu dianggap terlalu menekan rakyat atas nama agama.
Belenggu ini tidaklah membuat orang Iran membenci Islam, tetapi mereka tidak suka dikawal secara peribadi.
Oleh itu, sistem yang autokratik dihapuskan dengan kebangkitan sekolah-sekolah falsafah tasawwuf. Para guru agama dan ulama-ulama Sufi yang lebih toleransi muncul di seluruh wilayah.
Pada tahun 1282, pemerintahan Ahmad Teguder menyaksikan timbulnya perselisihan pendapat dan kelemahan yang ketara muncul di kalangan bangsawan elit.
Pihak tentera tidak menyokong cara dan pendekatan Ahmad yang hanya memikirkan kepentingan sepihak serta tidak ada pendirian yang jelas tentang hubungan dengan Kesultanan Mamluk Mesir.
Ahmad Teguder semakin menjadi kontroversi berikutan penyingkiran kuasa ibunya, dan hubungan intimnya dengan seorang pengikut Qalandariyah yang penipu, Hasan Mengli.
Walaupun pendahulunya, Arghun Khan telah meninggalkan sebuah negara yang kukuh, garis perseteruan antara golongan tradisionalis dan elit kosmopolitan berketurunan Genghis dan Parsi-Mongol berlanjutan.
Walaupun kemelesetan ekonomi mula timbul sebagai satu ancaman besar bagi Ilkhaniyah akibat tindakan Dinasti Yuan yang memperkenalkan sistem wang kertas, rampasan kuasa yang dilakukan oleh Ghazan Khan pada tahun 1295 berjaya menyelamatkan Ilkhaniyah dari malapetaka.
Ketidakstabilan fasa kedua pada tahun 1282–1295, memberi laluan kepada era yang disebut sebagai Zaman Keemasan setelah Ghazan memeluk Islam dan diisytiharkan sebagai Ilkhan, raja bagi semua orang Iran sama ada Turki atau Tajik, Muslim atau bukan Muslim.
Secara teknikalnya, negeri Ilkhaniyah tidak pernah mengalami fasa kemerosotan. Abu Sa’id, ilkhan terakhir Ilkhaniyah telah mangkat tanpa meninggalkan pewaris takhta, dan kemangkatannya menyaksikan kejatuhan rejim setelah Iran terheret ke lembah kekacauan.
Ghazan layak menerima kredit walaupun peranannnya hanya merampas takhta. Dengan hanya satu rampasan kuasa dari sisi kekacauan politik, ekonomi, dan sosial, mahkota keturunan Hulagu telah diletakkan di atas kepala seorang raja yang kuat.
Arghun jatuh kerana pandangan politiknya yang sempit gagal mengekang budaya nepotisme Sa’d al-Dawlah, tetapi tiga orang ilkhan seterusnya iaitu Ahmad, Gaykhatu, dan Baidu tidak memenuhi syarat, tak ada kelayakan, dan tak memiliki ciri-ciri yang diperlukan untuk menjadi raja.
Ghazan menyahut cabaran dan nekad mengisytiharkan dirinya sebagai pemerintah Iran dan raja kepada semua rakyat tanpa mengira perbezaan kaum. Dia menduduki tampuk pemerintahan ketika ekonomi Ilkhaniyah sedang berada dalam keadaan yang sedang dilanda muflis.
Tidak ada banyak peruntukan yang ada dalam kantung perbendaharaan kerana pada tahun itu (1295), hanya dalam tempoh lapan bulan sahaja, tiga orang raja telah bertukar ganti, dan dua ekspedisi ketenteraan yang besar di penjuru empayar itu telah memakan ‘bayaran deposit’ terlebih dahulu.
Bagi menampung ‘deposit’ kempen ketenteraan ini, pungutan cukai secara besar-besaran telah dilancarkan dan cukai mavashi telah diambil pada kadar 20% di kebanyakan daerah percukaian, terutamanya di Fars.
Dekad-dekad terakhir pemerintahan Ilkhaniyah sering diraikan sebagai Zaman Keemasan, dan semua kredit telah diberikan kepada hasil dari penghijrahan Ghazan kepada agama Islam.
Ini kerana, hanya dengan memeluk Islam sahaja barulah Ghazan boleh menyatukan seluruh Iran sebagai seorang sultan Muslim.
Sebilangan besar penyokongnya menggambarkan dia telah meninggalkan budaya warisan para leluhur Mongolnya, dan memeluk Islam ketika itu turut dianggap sebagai memeluk adat dan kepercayaan umat Islam Parsi.
Pengkritik Ghazan menyimpulkan pengislamannya itu hanyalah sekadar taktik politik untuk mengekalkan kuasa, amal ibadat serta kepercayaannya adalah munafik.
Mereka menganggap Ghazan menggunakan Islam untuk melakukan tipu muslihat bagi menjerat Noyan Nowruz, yang kemudian akan dibunuh.
Kedua-dua pandangan terhadap Ghazan ini gagal mengungkap sebarang hakikat sebenar di sebalik takhta yang diduduki dan perkembangan era pemerintahan Ghazan serta apakah kepentingannya dalam fasa terakhir Ilkhaniyah ini.
Ghazan Khan mengisytiharkan dirinya sebagai sultan Ilkhaniyah, raja negara Iran yang bersatu, raja bangsa Tajik dan Turki, raja kesemua rakyat sama ada Muslim, Buddha, Kristian, atau Tengri.
Ghazan amat memahami betapa pentingnya keperluan untuk menamatkan konflik yang hampir menghancurkan perpaduan dan merosakkan kestabilan negara dalam masa sesegera yang mungkin.
Ilkhaniyah telah mengembalikan era kegemilangan sejarah imperialisme Iran dan membantu menjamin masa depan dan keselamatan bagi kelas pemerintah yang berketurunan Mongol di Iran.
Ghazan menyedari, tanpa identiti kebangsaan yang sama dan tanpa cita-cita nasional, krisis Iran yang sedang bertukar menjadi negara anarki yang bermula pada era pemerintahan Ahmad dan mencapai kemuncak yang kacau-bilau ketika kuasa Gaykhatu runtuh, pasti akan menjadi kenyataan.
Rashid al-Din dalam catatannya menyebut, ucapan, pemikiran, hasrat, dan pembaharuan Ghazan melahirkan kembali sebuah sistem imperial Shahanshah Parsi yang memimpin Iran ke era baru.
Ghazan adalah seorang raja yang menduduki takhta milik bangsa Iran, memakai mahkota kuasa Islam, dan menyarung pedang Genghis Khan. Gelaran kebesaran Ghazan sahaja sudah cukup mencerminkan bangsanya :
Padishah Alamiah, Shahanshah Bumi dan Waktu, Raja Yang Berdaulat Di Atas Semua Raja-raja Iran dan Turan, Bayangan Rahmat Tuhan yang Berlimpah, Lambang Keislaman dan Keimanan yang Terzahir, Jamshid, Penegak Keadilan, Pelaksana Adat Dan Hukum Pemerintahan Dunia, Panji Kedaulatan Tertinggi, Penghampar Permaidani Keadilan, Lautan Pengasih Yang Meluap, Raja Di Segala Alam Raja-raja, Pewaris Genghis, Bayangan Tuhan, Pembela Agama Allah Hingga Berakhirnya Usia Dan Masa Bumi.
Bersempena penerimaannya kepada agama Islam, Ghazan menukar (menambah?) nama pertamanya dengan nama Mahmud. Pada waktu ini, ajaran dan cara hidup Islam mula menjadi popular di setiap wilayah-wilayah Mongol.
Ghazan menunjukkan toleransi tinggi terhadap pelbagai agama yang mendorong budaya Mongol kuno yang asli untuk berkembang dan beradaptasi dengan kaum Syiah, menghormati kepercayaan rakyatnya yang bervariasi dari Georgia dan Armenia.
Ketika Ghazan mengetahui ada beberapa sami Buddha berpura-pura masuk Islam kerana takut kuil-kuil mereka dimusnahkan seperti sebelumnya, dia mengizinkan sesiapa yang ingin kembali ke Tibet, Kashmir atau India di mana mereka boleh mengamalkan kepercayaan dengan bebas dan hidup bersama Buddha yang lain.
Beliau juga meletakkan kerajaan Ilkhaniyah pada kedudukan yang lebih kukuh dengan memperbaharui sistem fiskal, melaburkan sumber yang lebih besar dalam pertanian, memulakan sistem mata wang baharu, dan mengurangkan cukai.
Ghazan meninggalkan cara hidup nomad dan membina ibu kota tetap di Tabriz yang dibangunkan pembinaan istana, masjid, madrasah Sufi, makam besar untuk dirinya dan rumah mandi serta karavanseray untuk pedagang pengembara jadikan persinggahan.
Tabriz berkembang pesat dan menjadi pusat perdagangan antarabangsa dan pusat kebudayaan yang penting.
Rang undang-undang Mongol yang bernama ‘Yassa’ tetap wujud dan para dukun-dukun Mongol tetap berpengaruh secara politik di sepanjang pemerintahan Ghazan dan adiknya serta penggantinya Oljeitu, tetapi tradisi Mongol kuno akhirnya merosot setelah kematian Oljeitu.
Pergolakan beragama di Ilkhaniyah semasa pemerintahan Ghazan dimulakan dengan provokasi hasutan oleh Nawruz. Ghazan menyelesaikan isu ini dengan mengeluarkan perintah mengecualikan orang Kristian dari membayar jizyah dan menubuhkan semula Patriark Kristian Mar Yaballaha III pada tahun 1296.
Di bawah pengawasan Rashid al-Din, asas ideologi Ilkhaniyah beralih daripada imej unggul keturunan Genghis Khan ke arah peranan ilkhan-ilkhan sebagai raja pelindung agama Islam. Namun, hubungan diplomatik dan pertukaran budaya dan ekonomi dengan Dinasti Yuan di China terus erat.
Pada awal abad ke-14, pembaharuan hubungan mesra di antara para pemimpin empat kekhanan Mongol telah membuka laluan yang selamat untuk para kabilah pedagang dan pengembara merentasi Jalan Sutera.
Walaupun Ilkhaniyah menjadi negeri Islam, ia tidak mengasingkan saudara serumpun Mongol yang lain, tetapi ia juga tidak pernah menamatkan permusuhan Ilkhaniyah dengan Kesultanan Mamluk.
Rashid al-Din menyucikan imej Ghazan dengan teliti sebagai pemerintah, membentuk ideologi kedaulatan baharu yang menggambarkan Ghazan sebagai seorang Muslim yang warak, seorang ahli falsafah-raja Parsi, dan kelahiran semula Alexander the Great.
Ghazan tidak lagi menyebut dirinya sebagai Ilkhan, gelaran yang melambangkan status subordinasi kepada Dinasti Yuan di China. Dia sebaliknya memakai gelaran diraja Turki dan Parsi, iaitu Sultan dan Shah.
Rashid al-Din mengetuai para penulis diraja di istana dalam usaha menyusun karya Jami’ al-tawarikh, sejarah yang memuliakan raja-raja Mongol sebagai penerus kesinambungan legasi raja Parsi dan khalifah Abbasiyah. Karya itu dianggap sebagai “sejarah dunia yang pertama”.
Para ilkhan menjadi penaung seni dan penulisan. Rashid al-Din menyebut,
“Syukurlah kerana pada zaman yang aman ini, seluruh pelusuk bumi berada di bawah pemerintahan kami dan keluarga Genghis Khan yang terkenal, ahli falsafah, ahli astronomi, cendekiawan, dan ahli sejarah semua agama dan negara— Khitan dan Manchu, India dan Kashmir, Tibet, Uighur, dan bangsa-bangsa Turki, Arab, dan Frank dan yang lain—berkumpul beramai-ramai di kuasa kami yang berdaulat.”
Ilkhaniyah turut membantu membuka jalan kepada kebangkitan dinasti Safawiyah, dan akhirnya menjadi negara Iran moden.
Penaklukan Hulagu juga telah membawa pengaruh China ke dalam Iran. Di bawah Ilkhaniyah juga sejarawan Iran beralih daripada menulis dalam bahasa Arab untuk menulis dalam bahasa Parsi.
Lukisan, manuskrip, sutera, hiasan, seni bina, hasil logam, dan seramik semuanya mencerminkan kesan idea dan motif estetik baharu, dengan menonjolkan pengaruh China.
Penerbitan kitab-kitab al-Quran edisi prolifik yang mewah, hiasan masjid, kuil dan makam juga membuktikan pengaruh besar seni keagamaan yang dipromosikan oleh Ilkhan-ilkhan Muslim.
Walau bagaimanapun, pembaharuan yang dimulakan Ghazan gagal memastikan kestabilan jangka panjang untuk Ilkhaniyah.
Cubaan pembentukan semula Ilkhaniyah sebagai kuasa monarki berdasarkan tradisi kekhalifahan Islam mendapat tentangan kuat di kalangan pemimpin Mongol yang sudah selesa dengan sistem kesukuan merdeka dan kedaulatan bersama.
Pemerintahan anak saudara Ghazan, Abu Said telah dilanda konflik kesukuan yang melemahkan kepimpinan Ilkhaniyah dan mengorbankan nyawa Rashid al-Din.
Selepas Abu Said mangkat tanpa ada pewaris sah pada tahun 1335, kuasa Ilkhaniyah semakin runtuh hingga berpecah menjadi kuasa-kuasa kesukuan.
Gelaran Ilkhan pernah muncul semula di kalangan suku nomad Qashqai di Iran Selatan pada abad ke-19. Jan Mohammad Khan mula menggunakannya dari tahun 1818-19 dan diteruskan oleh semua pemimpin Qashqai kemudiannya.
Ilkhan terakhir ialah Nasir Khan, yang dibuang negeri pada tahun 1954 kerana sokongannya terhadap Mossadeq. Apabila dia kembali semasa Revolusi Islam pada tahun 1979, dia gagal mendapatkan semula jawatan lamanya dan meninggal dunia pada tahun 1984 sebagai Ilkhan terakhir suku Qashqai.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih