Seorang pendeta Taoisme China, Chang Chun, dikatakan pernah memetik Genghis Khan sebagai berkata :

“Syurga semakin bosan dengan kesombongan dan kemewahan yang berlebihan di China. Aku berasal dari kaum liar yang datang dari utara, aku memakai pakaian yang sama dan makan makanan yang sama dengan penggembala kerbau dan penggembala kuda. Kami melaksanakan k0rban dengan cara yang sama dan kami berkongsi kekayaan yang sama. Aku memandang negara sebagai anak yang baru lahir dan aku menjaga tenteraku seolah-olah mereka itu saudara aku.”

Artikel kali ini akan lebih menyentuh tentang sisi kebijaksanaan, ketelitian serta keadilan Genghis Khan dalam mentadbir sebuah empayar yang berbilang bangsa dan agama, ini kerana pada pendapat penulis, kebangkitan Mongol pada awalnya memang disandarkan pada gerakan ketenteraan yang melakukan pembvnuhan kej4m sebagai jalan kemenangan yang mudah.

Namun, selepas mereka berjaya menaklvk dan menyatukan seluruh wilayah di bawah Empayar Mongol, para pemerintah Mongol secara tidak langsung boleh berubah menjadi pemerintah yang adil, bijaksana serta bermurah hati. Ini terbukti semasa zaman Pax Monglolica di mana ekonomi Empayar Mongol berkembang pesat berkat keamanan yang dikecapi demi menjaga kepentingan perdagangan dan hubungan diplomatik.

Selain dari penunggang kuda, Empayar Mongol juga melatih burung untuk menghantar surat

Situasi ini juga menyebabkan munculnya idea sistem ortoo/yam yang diasaskan Genghis Khan bagi mempermudahkan penyebaran maklumat, urusan surat menyurat, yang secara tidak langsung mendorong kepada penubuhan stesen kiriman pos sekaligus menjamin keselamatan para pengembara terutamanya para diplomat dan pedagang asing.

Di seluruh dunia, pelbagai bangsa pasti akan membuat klaim dalam konteks sejarah masing-masing demi menaikkan darjat ras bangsa mereka di mata dunia. Sebagai contoh, orang Rom terkenal kerana keunggulan teknologi kejuruteraan mereka, ini terbukti kerana beberapa sistem jalanraya, saluran air dan monumen dari zaman mereka masih bertahan hingga ke hari ini.

Sistem Ortoo/Yam

Sebagai bangsa nomad yang bertebaran di setiap sudut dunia, Mongol yang juga bangsa penunggang kuda yang luar biasa telah membangunkan sistem kiriman pos terawal yang membolehkan komunikasi jarak jauh diterima dan dibalas dengan cepat. Tetapi bagaimana ia dibangunkan?

Pengasas dan Khan Agung pertama Empayar Mongol, iaitu Genghis Khan memerintahkan pembentukan sistem pengiriman pesanan secara pos yang dikenali sebagai sistem Ortoo atau Yam pada sekitar tahun 1200.

Ia kerana Genghis Khan memerlukan kaedah yang lebih pantas untuk berhubung dengan orang-orang penting di seluruh empayarnya, yang menjadi empayar terestrial terbesar dalam sejarah. Oleh itu, sistem pengeposan surat yang masih diamalkan hari ini dianggap sebagai berasal dari sistem ortoo atau yam yang dicipta Mongol ini.

Empayar Mongol merangkumi tanah seluas 12 juta batu persegi. Genghis Khan mengarahkan stesen-stesen pengiriman pos didirikan yang masing-masing berjarak kira-kira 20 hingga 30 batu bagi setiap satu stesen.

Difahamkan, semasa kemuncak akhir zaman pemerintahan Kublai Khan di Dinasti Yuan, terdapat sebanyak 1400 stesen pos untuk wilayah di sekitar China sahaja. Sistem ortoo juga turut melibatkan keperluan sebanyak 50,000 ekor kuda, 6700 keldai, 1400 lembu, 6,000 sampan, dan 400 kereta kuda. Bagaimana pula dengan struktur sistem di stesen ortoo?

Ilustrasi era Dinasti Yuan tentang seorang pembawa pesanan

Setiap stesen ortoo mempunyai sebuah bangunan utama yang besar dengan beberapa bangunan yang lebih kecil dan kandang untuk kuda dan haiwan lain. Para ‘runner’ atau pembawa pesan dan utusan yang mengembara dari jauh untuk mengirim pesanan boleh berhenti untuk berehat, mendapatkan makanan dan menginap seketika di stesen ortoo.

Konsep yang sama telah dimulakan sebelum itu oleh orang-orang Parsi dan Turki Seljuk melalui sistem karavanserai namun ia lebih sinonim sebagai pusat hentian bebas bagi para pengembara dan pedagang, sistem pos yang sistematik hanya bermula setelah kebangkitan Mongol, mungkin juga Genghis Khan mendapat inspiriasi untuk mencipta sistem ortoo daripada sistem karavanserai ini.

Seorang pembawa pesan yang berhenti rehat di stesen ortoo tidak semestinya perlu meneruskan perjalanan untuk menyampaikan mesej penting tersebut kepada penerimanya, kebiasaannya, pesanan tersebut akan dilepaskan di bawah tanggungjawab pembawa pesan yang lain pula secara berganti-ganti sehinggalah pesanan itu tiba kepada penerimanya.

Namun, bagi sebuah pesanan yang agak sulit, pengirim kebiasaannya hanya akan menggunakan khidmat seorang saja pembawa pesan atas faktor kepercayaan, maka dalam situasi ini, pembawa pesanan penting tersebut hanya akan berhenti berehat dan dia akan menggantikan bekalan perjalanan yang baru dan kuda yang baru sebelum dia meneruskan perjalanannya.

Pasport Empayar Mongol

Sistem ortoo atau yam ini membolehkan para utusan untuk mengembara sejauh 120 hingga 190 batu dalam sehari. Berikutan kepentingannya kepada Empayar Mongol, sistem ini diselaraskan dibawah Kod Yassa atau Kod Undang-undang Mongol. Melalui Kod Yassa, ia memberikan para utusan dan pengendali stesen kiriman pelbagai jenis hak dan keistimewaan.

Para diplomat dan pegawai kerajaan lain yang melakukan perjalanan atas urusan rasmi membawa syiling khas atau medal yang dinamakan sebagai paiza, di mana ia memberikan mereka jaminan keselamatan selama melakukan perjalanan atau persinggahan dalam empayar. Syiling ini boleh diumpamakan sebagai ‘pasport’ khas untuk warga asing.

Inilah rupa ‘pasport’ zaman Mongol yang dikenali sebagai paiza

Penyebaran maklumat yang pesat ini memungkinkan Empayar Mongol untuk meneruskan pengembangan pesat mereka serta memastikan pihak tentera yang sering berjauhan beratus-ratus batu saling mengetahui pergerakan masing-masing.

Pembawa pesanan yang memiliki paiza juga berhak untuk mendapatkan layanan perkhidmatan secara percuma dari pengendali stesen ortoo. Pedagang juga adakalanya menggunakan sistem ini, tetapi mereka terpaksa membayar untuk menikmati perkhidmatan yang disediakan di stesen-stesen ortoo.

Sistem ortoo juga telah membuatkan Marco Polo yang telah mengembara di sepanjang Jalan Sutera selama hampir 25 tahun itu merasa kagum sebagaimana yang digambarkan melalui catatan memoirnya.

Namun, apa yang berlaku kepada sistem ini? Empayar Mongol mula berpecah belah di pertengahan abad ke-13, memandangkan cucu cicit keturunan Genghis Khan mula berper4ng merebut takhta. Empayar Mongol akhirnya dibahagikan kepada empat kekhanan melalui Dinasti Yuan (China) di Timur, Kekhanan Chagatai di wilayah Asia tengah, Ilkhanat di sebahagian lagi Asia Tengah hingga ke barat daya, dan Golden Horde di barat laut.

Sekurang-kurangnya hanya Golden Horde sahaja yang terus menggunakan sistem ortoo. Kebanyakan wilayah peninggalan Batu Khan itu kemudian jatuh ke tangan Empayar Rusia pada awal abad ke-16, dan tidak lama kemudian Rusia juga turut memanfaatkan sistem ortoo, yang mereka gunakan untuk komunikasi kerajaan dan kiriman surat. Pegawai yang dikenali dengan gelaran “Yamskoy Prikaz” mengendalikan stesen ortoo, dan mereka melantik jurulatih yang dipanggil “Yamshchik.”

Sistem dan konsep pony express yang pendek umur di Amerika Syarikat telah diilhamkan penubuhannya melalui sistem ortoo. Ia menjadi pengirim surat dan pesanan di seluruh bahagian barat Amerika Syarikat. Lama kelamaan, sistem ini mula dilupakan dunia apabila ia akhirnya digantikan oleh teknologi yang baru muncul iaitu sistem telegraf.

Kekebalan Diplomatik

Empayar Mongol amat bergantung kepada perdagangan dan pertukaran hubungan diplomatik untuk mengukuhkan empayarnya. Justeru, pegawai Empayar Mongol akan menganugerahkan syiling paiza sebagai bukti atau wakil autoriti kepada para diplomat asing untuk menunjukkan status hubungan mereka.

Paiza berfungsi seperti pasport diplomatik, yang membolehkan para diplomat, wakil atau utusan kerajaan sekutu melakukan perjalanan dengan selamat di seluruh bahagian Empayar Mongol dan menerima penginapan, makanan serta pengangkutan secara percuma di sepanjang jalan. Orang Mongol menghantar dan menerima misi diplomatik dari seluruh dunia yang diketahui mereka.

Dalam perjalanan, diplomat kebiasaannya akan turut membawa bersama rombongan besar kabilah pedagang, tukang-tukang dari berbagai jenis kemahiran dan pengembara biasa, dengan cara menumpang rombongan sebegini, pedagang juga akhirnya dapat melakukan perjalanan dengan selamat.

Perdagangan adalah sangat penting bagi Empayar Mongol kerana orang Mongol tidak banyak menghasilkan inovasi sendiri namun mereka memiliki kelebihan dalam memastikan keselamatan diplomat dari kerajaan sekutunya sentiasa terjamin. Ketika Karakhorum, ibukota Mongol sedang dimajukan, para tukang, jurutera dan pengrajin dari setiap jenis kemahiran adalah amat diperlukan, jadi individu-individu yang berbakat akan dibawa berpindah ke Mongolia.

Rangkaian stesen pos yang disempurnakan membantu mengekalkan pemerintahan Mongol di China.

Di bawah kawalan Empayar Mongol, Jalan Sutera mampu beroperasi dengan bebas lagi selamat, lalu mempermudahkan budaya pertukaran idea dan produk perdagangan yang subur dari China ke Barat dan sebaliknya.

Memang benar, pertukaran budaya dan perdagangan telah pun berlaku lebih awal melalui sepanjang Jalan Sutera yang semenjak awal 200 SM lagi, ketika Empayar Rom dari Eropah menerima produk seperti tembikar dan sutera dari Dinasti Han di China.

Namun, sebelum bermulanya era Mongol, perdagangan seperti itu hanya berlaku melalui perantara atau orang tengah yang masing-masing akan mengirim wakil dan utusan masing-masing menempuh jalan singkat di Jalan Sutera pada satu masa. Dengan kata lain, walaupun produk masing-masing telah melintasi benua Eurasia, namun kebanyakan masyarakatnya tidak pernah bergaul.

Hanya beberapa abad kemudian, semasa era Empayar Mongol, konsep perdagangan bebas dan kekebalan diplomatik mencetuskan jalinan hubungan langsung buat kali pertama di antara masyarakat yang tinggal di titik penghujung wilayah Eurasia. Contohnya, John of Plano Carpini, utusan kepausan yang dikirim oleh Innocent IV untuk melakukan hubungan langsung dengan orang Mongol, mengulas tentang kepantasan dan keselamatan perjalanan yang luar biasa di tanah Mongol.

Oleh kerana Mongol mempermudahkan perjalanan dan perdagangan serta lebih cenderung untuk mengekalkan dan memulihara budaya tempatan, banyak masyarakat yang hidup di bawah taklvkan Mongol sebenarnya menerima beberapa faedah dan keuntungan dari pemerintahan Empayar Mongol.

Mongol tidak meninggalkan warisan budaya mereka walaupun menaklvk hampir seluruh dunia

Oleh itu, pentadbiran Mongol jarang sekali menghadapi kesukaran untuk merekrut dan melantik penjawat awam dari kalangan warga tempatan yang ditaklvk mereka. Ini sangat memudahkan pentadbiran (dan percukaian) bangsa Mongol yang menaklvki hampir seluruh benua.

Toleransi Budaya Dan Agama

Genghis Khan pada dasarnya amat menghargai kedamaian dan ketenteraman bagi mempromosikan perdagangan dan percukaian dan memperkukuhkan ekonomi setiap rakyat di bawah pemerintahan Mongol. Undang-undang dan amalan yang dibentuknya lebih bersifat pragmatik dan tidak pernah mendesak rakyat menerima ideologi Mongol.

Orang Mongol mempunyai agama mereka sendiri iaitu berdasarkan kepercayaan Tengrisme sebelum kebanyakan dari bangsa Mongol sendiri memeluk agama Islam, Kristian dan Buddha.

Genghis Khan adalah penganut kepercayaan Tengrisme dan dia menganggap kejayaannya itu adalah kehendak Tuhan. Pada masa yang sama, di padang rumput Mongolia yang luas telah menyaksikan banyak amalan keagamaan diterima dari masa ke semasa.

Begitu juga dengan budaya, bangsa Mongol bukan sejenis bangsa yang akan meninggalkan pengaruh budaya mahupun bahasa mereka di tanah asing yang mereka taklvk, sebaliknya, mereka sering menyerap dan beradaptasi dengan budaya tempatan seperti China dan Parsi.

Oleh itu, tidak hairanlah jika Genghis Khan mengambil pendekatan yang agak pragmatik terhadap isu agama dan budaya serta memberikan kebebasan kepada rakyatnya untuk mengamalkan kepercayaan agama masing-masing.

Keturunannya juga turut menegakkan prinsip ini. Möngke Khan, cucu Genghis Khan, dikatakan pernah mengucapkan ayat ini, “Sebagaimana Tuhan telah memberikan jari yang berbeza pada setiap tangan, begitulah juga Tuhan telah memberikan haluan yang berbeza kepada setiap manusia.”

Sekeping surat rasmi Empayar Mongol yang menggunakan ditulis menggunakan aksara Uighur

Para pemerintah Empayar Mongol gemar menganjurkan dan mengikuti forum pendapat dan perdebatan yang bersemangat di antara ilmuwan pelbagai agama. Dari segi komunikasi, Empayar Mongol mengangkat aksara Uighur sebagai aksara untuk sistem penulisan rasmi Mongol.

Walaupun kita sering melihat toleransi beragama sebagai perkembangan kontemporari pada saat ini, ia sebenarnya telah lama dilaksanakan oleh kaum nomad di padang rumput Eurasia serta diteruskan oleh Empayar Uthmaniyah lebih dari 700 tahun yang lalu.

Manakala, begitulah juga toleransi dalam konteks struktur pemerintahan, kedudukan kekuasaan dan pihak berkuasa dalam pasukan tentera Khan Besar dianugerahkan berbagai kedudukan berdasarkan kemampuan yang terbukti dan mereka yang mendapat keistimewaan tidak perlu memiliki d4rah keturunan bangsawan.

Salah satu prinsip yang dipegang oleh Genghis Khan menyatakan, “Sesiapa yang mampu memerintah sepuluh orang dalam formasi tempvr akan mampu memerintah seribu atau sepuluh ribu orang dalam formasi tempvr, dan dia selayaknya memerintah sebegitu rupa.”

Satu lagi budaya semi-demokratik yang diamalkan Mongol di bawah Genghis Khan adalah sistem perkongsian yang mengatur pembahagian harta rampasan per4ng. Dua faktor utama yang mendorong kebangkitan kuasa Genghis Khan yang belum pernah terjadi sebelumnya adalah sifat kemurahan hati terhadap rakyatnya dan kebijaksanaannya dalam mengelak dari sebarang jerat dalaman imperialis kerajaannya sendiri dengan menerapkan sistem kapitalis selepas menaklvk secara kej4m.

RUJUKAN:

Weatherford, Jack. (2003). Genghis Khan and the Making of the Modern World. New York: Crown Publishers, 2003.

Rassabi, Morris. (2005). Modern Mongolia: From Khans to Commissars to Capitalists. Berkeley: University of California Press.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Comments are closed.