Beliau adalah anak jati Perlis, yang dilahirkan di Kampung Alor Lanchang, Jejawi pada tahun 1961. Siapa menyangka, anak kampung yang membesar dikelilingi sawah padi ini akhirnya bergelar konduktor muzik yang dikelilingi para pemuzik handalan dalam orkestra!
Bakatnya dalam bidang muzik sebenarnya diwarisi daripada bapanya sendiri, iaitu Ismail Arifin. Bapanya ketika masih muda ialah pemain biola, dan ketika Mokhzani berusia lapan tahun, bapanya telah membeli piano untuk dirinya belajar. Mokhzani pula diminta untuk belajar bermain biola.
Namun, setelah beberapa bulan, Mokhzani tidak mahu lagi bermain biola kerana tidak kena dengan jiwanya. Beliau mula bermain piano. Menariknya, apabila bermain piano, dia boleh memainkan sebarang melodi yang didengarinya. Hanya dengan memori mendengar lagu, beliau telah memainkan pelbagai muzik, daripada joget dan zapin kepada repertoir Latin, rhumba, mambo dan cha-cha.
Apabila memasuki Maktab Latihan Perguruan Pakar pada tahun 1980, beliau sedar bahawa beliau tidak boleh berkembang maju jika tidak dapat membaca nota muzik dan hanya sekadar tahu bermain piano sahaja.
Jadi, sewaktu bekerja sebagai guru muzik sehingga 1986, beliau telah menghadiri kursus bermain piano secara profesional dan kelas membaca nota muzik. Tahun 1987, Mokhzani telah menerima biasiswa MARA untuk belajar di Berklee College of Music, Boston.
Di sinilah permulaan beliau belajar piano jazz daripada beberapa guru terbaik dunia seperti Prof. Ray Santisi (yang mengajar Keith Jarrett dan Diana Krall), Prof. Bob Winter dan Prof. Laszlo Gardony. Beliau turut belajar susunan orkestra di bawah Prof Bob Freeman, yang menghasilkan album Wynton Marsalis.
Beliau pulang ke Malaysia pada 1990, dan melakukan persembahan di hotel selama beberapa bulan. Dan akhirnya, pada 1991, beliau telah dijemput menjadi pemain piano Orkestra RTM.
Pengalaman bersama Orkestra RTM telah membuka peluangnya untuk membuat persembahan di Konsert Senada Seirama di Indonesia pada tahun 1993 dan Festival Jazz Antarabangsa Bangkok pada tahun 1996. Menjelang tahun 1998, pada usia 36 tahun, Mokhzani telah dilantik sebagai pengarah muzik termuda Orkestra RTM.
Pencapaian beliau bersama Orkestra RTM bukan sahaja sebagai pengarah muzik, malah sebagai komposer kepada lagu-lagu tema. Beliau telah mencipta lagu tema untuk Hari Kebangsaan sejak 1994 hingga ke Cemerlang Gemilang Terbilang dan tema 1Malaysia, lagu-lagu korporat dan jingle.
Beliau telah mengendalikan 76 keping orkestra untuk Simfoni Putrajaya. Malah, beliau menjadi pengasas MJAZZ Trio dan penjenamaan baru Orkestra Jazz RTM. Beliau juga menulis lagu untuk artis-artis terkenal seperti Jamal Abdillah, Saleem, Azharina, Adibah Noor dan Mawi.
Selain itu, Mokhzani juga mencipta skor muzik untuk filem Embun dan memenangi Anugerah Skor Muzik Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-16. Pada tahun 2011, beliau telah dilantik sebagai konduktor Orkestra Filharmonik Malaysia yang berprestij untuk konsert jazz trumpeter Chris Botti.
Datuk Mokhzani mahu sesiapa sahaja yang berminat dalam bidang muzik untuk meneruskannya dan terus belajar serta menimba pengalaman sebanyak yang boleh. Bagi dirinya, seseorang perlu serba boleh dalam muzik dan sentiasa peka dengan trend terkini.




No comments yet