Penulisan pada minggu lepas lebih menumpukan kepada usaha untuk memberikan keadilan kepada pentadbiran dan pengurusan FELDA dibawah Tan Sri Shahrir Samad yang mereka telah lebih awal memulakan usaha untuk memulihkankan FELDA. Motto Tan Sri Shahrir Samad ketika itu adalah FELDA #BalikAsal dan #MuafakatKembali berjaya meraih keyakinan warga peneroka dan menarik lebih dari 90% peneroka FELDA untuk kembali bersama FELDA.

Maka kali ini kita lebih memfokus kepada perincian Kertas Putih Kearah Kelestarian FELDA iaitu Model FELDA Baharu. Diharapkan artikel kali ini sedikit sebanyak boleh merancakkan perdebatan diantara rakyat dan sekaligus memantau pelaksanaan kerajaan agar institusi penting Bumiputera ini terus kekal milik Bumiputera serta tidak dipecah-pecahkan seperti yang berlaku pada Tabung Haji.

Felda Memajak Tanah Peneroka

Antara komponen penting Kertas Putih FELDA yang dibentangkan pada 10 April 2019 tempoh hari adalah cadangan untuk FELDA untuk memajak semua tanah-tanah peneroka FELDA yang berkeluasan hampir 450,000 hektar. Pengerusi FELDA, Tan Sri Megat Zaharuddin juga mengesahkan di satu temuramah oleh akhbar arus perdana bahawa FELDA akan memajak semua tanah-tanah peneroka di dalam model baharu ini dan ianya semua akan diuruskan sepertimana ladang-ladang estet komersil diuruskan. Kita boleh lihat United Plantation, Sime Darby dan Kuala Lumpur Kepong (KLK).

Tetapi perlu dingatkan tanah-tanah ladang peneroka kebanyakkan kontur tanahnya tidak seperti ladang-ladang estet swasta yang kebanyakkannya adalah yang terbaik dari segi kontur tanah dan amalan perladangan. Tanah-Tanah mereka rata dan landau, lalu memudahkan pokok-pokok kelapa sawit dijaga dan dituai dengan kos yang minima. Malah penggunaan angkut rel boleh dilaksanakan kerana keadaan tanah yang rata dan landai. Tanah-tanah peneroka pula beralun dan ada sebahagiannya berbukit sekaligus memberikan cabaran kos bagi FELDA dan peneroka.

Sebelum kita pergi lebih jauh, haruslah kita memahami mengapakah FELDA dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi merasakan model ini adalah yang terbaik untuk FELDA dan peneroka-penerokanya kini dan masa akan datang.

Sewaktu di segmen Bicara Rakyat terbitan TV3, Timbalan Menteri YB Dr, Mohd Radzi Mohd Jidin berkata diantara penyebab mengapakah kewangan FELDA lemah adalah disebabkan kos pengeluaran sawit yang tinggi. Beliau berkata yang diperlukan oleh pengurusan FELDA adalah ‘economic of scale’ kerana menguruskan ladang-ladang sawit secara berpoket akan meningkatkan kos pengurusan seperti racun, baja, tuaian dan pembersihan. Dengan mencapai kos yang optimum, barulah keuntungan pengeluaran lebih tinggi dapat dicapai oleh FELDA dan kemudiannya diagihkan kepada peneroka.

Antara cabaran utama FELDA adalah untuk mengubah pemikiran peneroka-peneroka dari ‘Tuan Tanah’ kepada ‘pekerja’ kembali. Sewaktu awal penubuhan FELDA, peneroka-peneroka bergerak umpama pekerja dengan amalan seperti Block Roll-Call dari sebagainya. Oleh kerana hak milik tanah yang diberikan oleh kerajaan-kerajaan Negeri ketika itu masih dipegang oleh FELDA, maka FELDA boleh berbuat sedemikian. Kini selepas pusingan pertama tanaman sudah lengkap dan banyak ladang telah masuk pusingan kedua tanam semula, ramai peneroka berkehendakkan pemilikan tanah yang dijanjikan. Oleh yang demikian, sehingga hari ini, boleh dikatakan hampir 85% telah menerima hak milik tanah mereka. Bolehkah FELDA mendapatkan kesemua tanah yang dikehendaki bagi model ini?

Akta Tanah (Penempatan Berkelompok) 1960

FELDA juga terpaksa menghadapi Sekatan-Sekatan Kepentingan yang ada pada Akta Tanah (Penempatan Berkelompok) 1960 atau GSA 1960 yang jelas tidak membenarkan tanah-tanah GSA ini dipecah-pecah, dipajak mahupun dijual. Malah, GSA ini juga mengandungi syarat-syarat tanaman apa yang boleh ditanam dan dimajukan di atas tanah peneroka, Adakah ini bermakna Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan tergamak meminda GSA 1960, walhal akta ini lah antara hasil kebijaksanaan Tun Razak dan rakan-rakan untuk memastikan tanah-tanah ini kekal diwariskan dari peneroka kepada anak cucu daripada ia terlepas kerana dijual kepada pihak luar.

Kesan Kewangan kepada Felda dan Peneroka

Seimbas apabila kita melihat gambar rajah model baharu ini, peneroka akan mendapat pendapatan dari 4 sumber iaitu bayaran gaji, bayaran dividen koperasi, bayaran sewaan dan peratusan keuntungan.

Selama ini pun kebanyakkan kerja-kerja ladang yang diuruskan FELDA dan Felda Technoplan Sdn Bhd (FTP) menggunakan khidmat-khidmat pembekal dan pekerja koperasi peneroka di tanah rancangan. Namun tidak semua koperasi-koperasi ini dapat memberikan hasil kerja yang sama tarafnya, walaupun panduan dan arahan boleh dikeluarkan oleh FELDA melalui Good Agriculture Practise (GAP). Selain itu, adakah peneroka-peneroka ingin bekerja untuk koperasi peneroka? Kebanyakkannya mereka telah berumur dan tidak mampu lagi turun ke ladang. Bagaimanakah mereka ingin beroleh gaji?

Sekiranya FELDA ingin memajak tanah-tanah peneroka untuk jangka masa panjang (hanya apabila dibenarkan GSA 1960) sebagai contoh 25 tahun, FELDA terpaksa menyediakan tunai yang mencukupi untuk memastikan bayaran sewa pajakan dibayar secara tetap dan tepat pada waktunya berdasarkan Perjanjian Pajakan. FELDA cukup yakin apabila tanah-tanah peneroka. Ini baru ketetapan mengenai disiplin pembayaran, belum lagi dibincangkan pun dengan para peneroka mengenai berapakah harga yang bakal ditawarkan oleh FELDA bagi pajakan ini.

FELDA harus menetapkan bayaran sewa bulanan pajakan tanah itu dengan harga yang munasabah walaupun ada aliran pendapatan dari peratusan keuntungan hasil ladang. Sekiranya FELDA menetapkan bayaran sewa bulanan pada keadaan harga minyak sawit dunia terkini, mungkin ianya ditetapkan cukup pada kadar melepasi garis gaji minima RM1,100. Bagaimana jika harga minyak sawit global meningkat ke paras tinggi dan stabil, adakah peneroka kena terima RM1,100 sebulan dan peratusan keuntungan yang belum ditetapkan.

Jangan lupa Perjanjian Pajakan Tanah (Land Lease Agreement) (LLA) diantara FELDA dan FGV Holdings selama 99 tahun itu juga hanya memberikan 15% keuntungan hasil dari 300,000 hektar tanah tanah berkenaan kepada FELDA. Apakah peneroka sanggup melepaskan hak mereka untuk menerima 100% hasil dari tanah-tanah mereka yang mereka nikmati kini?

Selain itu, FELDA harus ingat bahawa cadangan pajakan ini juga bakal meningkatkan liabiliti terkumpul yang kini mencecah RM12 billion. Mana-mana piawaian perakaunan sudah merekodkan pajakan ini sebagai liabiliti di dalam akaun FELDA. Sebagai contoh, pada akaun FGV Holdings, nilai liabiliti LLA mereka adalah sekitar RM4.067 billion. Sudah pasti nilai liabiliti pajakan tanah-tanah peneroka di dalam akaun FELDA juga tidak kurang dari jumlah ini. Jangan pula kita dengar nanti YB Menteri dan Timbalan beliau bersungguh menjual naratif jumlah asset keseluruhan FELDA masih tinggi iaitu RM25 billion dan FELDA masih mampu menyerap nilai liabiliti pajakan tanah peneroka ini.

FELDA harus berterus terang mengenai model ini dan kesannya kepada FELDA juga. Gambar rajah di atas boleh digunakan untuk meyakinkan peneroka, tetapi FELDA yang akan menerima kesan jangka panjangnya. FELDA perlu ada kekuatan kewangan yang kukuh terutamanya aliran tunai yang sihat jika mahu meneruskan rancangan pajakan tanah peneroka ini.

Rumusan Dan Penutup

Pokoknya, sekiranya harga minyak sawit mentah berada di tahap tinggi dan stabil seperti sebelum 9 Mei 2018, cadangan seperti pajakan tanah peneroka ini tidak akan timbul kerana peneroka akan menikmati pendapatan bulanan secara purata RM3,000 sebulan. Kita tidak boleh menyalahkan apa yang sedang dilakukan oleh Kesatuan Eropah (EU) kepada kelapa sawit sebagai penyebab utama harga minyak sawit mentah dunia jatuh. Bagi pengeksport minyak sawit di Malaysia, pasaran utama eksport adalah India, China dan Pakistan.

Bukan berniat untuk mengkritik dasar dan polisi kerajaan sekarang, tetapi kita tidak boleh nafikan beberapa keputusan domestik menyebabkan negara-negara pengimport terbesar minyak sawit ini beralih ke Indonesia bagi mendapatkan bekalan minyak sawit mereka walaupun minyak sawit oleh pengeluar Malaysia mempunyai lebih banyak persijilan RSPO dan MSPO. Apabila kerajaan merujuk kembali hubungan baik dengan negara-negara ini, barulah permintaan terhadap minyak sawit kita dipulihkan dengan beberapa syarat seperti saiz eksport yang dibenarkan.

Berkenaan dengan cadangan pajakan ini, FELDA harus juga menyedari akan cabaran-cabaran yang dinyatakan atau bakal berbangkit nanti. Ingatlah bahawa peneroka-peneroka FELDA kini adalah tuan-tuan tanah. Sudah lama mereka berbakti pada tanah-tanah mereka dan mereka amat menghargai 10 ekar dan suku ekar yang mereka terima. Disinilah mereka membina keluarga dan mencipta legasi bagi anak-anak cucu mereka. Kebanyakkan dari mereka adalah orang Bumiputera Melayu dan FELDA harus mengambil kira soal melindungi asset orang-orang Melayu agar ianya tidak hilang pada masa hadapan di tangan orang luar.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Azwan Omar adalah seorang yang berpengalaman 'rojak' dari Kejuruteraan Elektrik, Kewangan Korporat, Perakaunan, Polisi Awam, Hubungan Antarabangsa dan 'Seni Makanan'. Azwan Omar juga seorang pencinta buku, penggila komik, manga dan manhwa. Rajin menonton filem secara solo dan jika melayan internet, dia akan terlupa masa kerana seronok. Maka jangan jadi macam Azwan Omar. Jadi lebih baik dari Azwan Omar

Comments are closed.