Perjalanan masa dan mesin masa menjadi topik fiksyen sains yang hangat, malah banyak filem genre Sci-Fi berkonsepkan perjalanan masa seperti Back To The Future atau Tenet dan tidak ketinggalan siri anime Doraemon yang selama ini telah mempopularkan konsep time-travel.
Untuk mengembara sama ada ke masa depan atau ke masa lalu, ia telah menarik imaginasi manusia selama berabad-abad. Walaupun ramai mungkin berpendapat adalah tidak masuk akal untuk mempercayai bahawa kita boleh bergerak ke belakang atau ke masa hadapan, beberapa saintis paling cemerlang di dunia telah menyelidik sama ada ia boleh menjadi kenyataan suatu hari nanti.
Penyelidikan Topik Perjalanan Masa
Albert Einstein menyimpulkan pada tahun-tahun kemudiannya bahawa masa lalu, sekarang, dan masa depan semuanya wujud serentak dan kebanyakannya sudah biasa dengan konsep relativitinya.
Maksudnya masa adalah relatif dan bukan mutlak seperti yang didakwa Newton. Dengan teknologi yang sempurna dan sebuah kapal angkasa yang sangat pantas, seseorang dapat mengalami masa beberapa hari manakala orang lain pada masa yang sama mengalami hanya beberapa jam atau minit. Namun kebijaksanaan dan keyakinan Einstein mempunyai kesan yang sedikit terhadap kosmologi atau sains secara amnya.
Walau bagaimanapun, jika perjalanan masa benar-benar berlaku, Sesiapa yang mempunyai kuasa untuk bergerak melalui masa, akan mempunyai kuasa untuk mengubah sejarah lampau. Walaupun ini mungkin kelihatan menarik, ia mustahil untuk mengetahui akibat daripada sebarang perubahan peristiwa masa lalu, dan bagaimana ini akan mempengaruhi masa depan.
Penjelajahan Masa Menurut Mitologi Purba
Jika melihat dalam teks purba, kita boleh menemui beberapa rujukan kepada perjalanan masa. Dalam mitologi Hindu terdapat kisah Raja Raivata Kakudmi yang mengembara untuk bertemu dengan pencipta Brahma. Walaupun perjalanan ini tidak bertahan lama, apabila Kakudmi kembali ke Bumi dan mendapati 108 yuga telah berlalu di Bumi dan setiap yuga mewakili kira-kira 4 juta tahun. Penjelasan yang diberikan Brahma kepada Kakudmi ialah masa dan kewujudan alam bergerak secara berbeza.
Begitu juga kita ada rujukan dalam Al-Quran tentang kisah pemuda Ashabul Kahfi. Kisah ini merujuk kepada sekumpulan orang muda yang cuba melarikan diri dari kepungan raja, yang kemudian di bawah bimbingan Tuhan mereka menuju ke sebuah gua di mana Allah menidurkan mereka dan bangun pada 309 tahun kemudian.
Satu lagi cerita datang dari lagenda Jepun Urashima Taro, seorang individu yang dikatakan melawat istana bawah air Dewa Naga Ryujin. Dia berada di sana selama tiga hari, namun setelah kembali ke daratan mendapati bahawa dia telah meninggalkan tempatnya selama 300 tahun.
Dalam teks Buddha Tipitaka juga tertulis bahawa di syurga tiga puluh Dewa (tempat para Dewa), masa berlalu pada kadar yang berbeza di mana seratus tahun Bumi dikira sebagai satu hari untuk mereka. Terdapat banyak lagi rujukan kepada perjalanan masa yang boleh ditemui dalam mitologi purba.
Eksperimen Kontroversi Perjalanan Masa
Pada tahun 1980-an, terdapat laporan berkenaan percubaan memasuki ruang masa yang dinamakan projek Montauk. Sama ada eksperimen ini benar-benar berlaku atau sekadar dakwaan merapu teori konspirasi ini masih dalam perdebatan.
Namun pada tahun 2004, Marlin Pohlman, seorang saintis telah memohon paten bagi kaedah ‘gravity distortion’, tambahan lagi pada 2013 Wasfi Alshdaifat memfailkan satu lagi paten untuk mesin ‘space compression’ dan pelebaran masa yang boleh digunakan untuk merentasi masa.
Menurut PHYS.ORG, Ahli Fizik, Profesor Ronald Lawrence Mallett dari Universiti Connecticut menunjukkan kesungguhan mendalam berkenaan konsep time travel, berdasarkan teori relativiti Einstein. Mallett yakin perjalanan masa boleh menjadi kenyataan. Beliau meramalkan bahawa manusia pada abad ini berjaya membuktikan teori tersebut. Selain itu, Brian Cox, seorang ahli fizik turut bersetuju bahawa perjalanan masa boleh menjadi kenyataan namun hanya dalam satu arah.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih