Māori, masyarakat asli di New Zealand turut mempunyai kosmologi yang tersendiri seperti tamadun-tamadun silam yang lain. Kepelbagaian suku yang ada menambahkan lagi variasi penceritaan sedia ada. Mitos penciptaan alam semesta dan manusia ini diingati dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi menerusi kaedah lisan, hinggalah pada hari ini ia terekod dalam bentuk penulisan.

IKLAN: PBAKL ONLINE sedang berlangsung di Shopee The Patriots. Dapatkan judul kami pada harga serendah RM20. Klik: shp.ee/efz9vb5

Menurut Māori, alam hanya diselubungi kekosongan pada permulaan zaman. Keadaan sebegini disebut sebagai Te Kore. Dalam kekosongan tersebut, muncul dua dewa (atua) azali yang dikenali sebagai Ranginui (Rangi) si Bapa Langit dan Papatūānuku (Papa) si Bonda Bumi.

Beberapa tempoh berlalu, Papa dan Rangi kemudiannya saling bercantum lalu melahirkan tujuh orang anak (versi lain menyebut sehingga ratusan anak). Kesemua mereka berjantina lelaki, dan memiliki kelebihan tersendiri. Mereka dikenali sebagai:

  • Haumia (Haumia-tiketike) si dewa tumbuhan seperti halia, teratai dan kunyit.
  • Rongo (Rongo-mā-Tāne) si dewa kumara (ubi kentang) dan semua jenis makanan yang ditanam.
  • Rūaumoko si dewa gempa dan gunung berapi. Rūaumoko merupakan dewa bongsu. Menurut mitos, ia tidak sempat dilahirkan dan masih berada dalam tubuh Papa. Kononnya, gempa bumi dan letusan gunung berapi berlaku kerana tendangannya.
  • Tāne-mahuta si dewa hutan dan burung. Tane merupakan dewa penting bagi masyarakat Māori kerana ia menciptakan manusia dan memisahkan Papa dan Rangi sekali gus membentuk persekitaran langit dan bumi yang sesuai untuk dihuni.
  • Tangaroa-whakamau-ta si dewa laut, sungai, tasik, dan segala hidupan air. Juga merupakan bapa kepada Ikatere (bapa segala ikan) dan Tu-te-wehiwehi (bapa segala reptilia).
  • Tawhiri (Tāwhirimātea) si dewa cuaca, ribut dan petir. Juga merupakan bapa kepada angin dan segala macam bentuk awan, termasuklah hujan dan kabus.
  • Tūmatauenga si dewa pelindung manusia yang mengajarkan berbagai-bagai jenis kemahiran seperti memungut hasil hutan, memburu, memasak, dan menangkap ikan.

Lukisan yang menggambarkan pemisahan antara Rangi si Bapa Langit dan Papa si Bonda Bumi oleh dewa Tane

Percantuman antara Rangi dan Papa membuatkan alam semesta diselubungi kegelapan. Sementara itu, kesemua dewa generasi kedua mengimpikan hal sebaliknya – udara yang segar dan semesta yang bercahaya. Maka, Tūmatauenga pun mengusulkan supaya Papa dan Rangi dibunuh. Tāne-mahuta pula mencadangkan supaya mereka berdua dipisahkan.

Usulan kedua diterima. Tāne sendiri mengambil peranan. Dakapan antara Rangi dan Papa dipisahkan, membuatkan Rangi tertolak ke langit manakala Papa pula terjunam ke bumi. Buat pertama kali, alam semesta diterangi cahaya. Serta-merta, dewa-dewa generasi kedua memenuhkan dunia dengan segala jenis hidupan.

Namun, banyak udang banyak garam dan banyak orang banyak ragam. Pemisahan antara Rangi dan Papa tidak dipersetujui oleh Tawhiri si dewa cuaca. Tawhiri menyebelahi bapanya, Rangi untuk memerangi sekalian adik-beradiknya. Bala tentera yang terdiri daripada angin dan awan berbagai rupa dihimpunkan.

Sebelum itu, Tawhiri dikatakan mengorek kedua-dua biji matanya lalu melemparkannya ke langit sebagai tanda meratapi perpisahan ibu bapanya. Bebola mata tersebut kemudian berubah menjadi gugusan bintang (buruj) yang dikenali sebagai Matariki (ahli astronomi memanggilnya sebagai Pleiades). Dalam tradisi Māori, buruj Matariki dijadikan penanda masuknya Tahun Baru.

Perang saudara yang berlaku di Te Paerangi bermula dengan Tawhiri membakar Tane dan menumbangkan kesemua hutan belantaranya. Kemudian, Tangaroa si dewa laut pula menjadi mangsa. Angin berputar, ombak bersahut. Laut bergelora, memaksa anak-anak Tangaroa (seperti Tu-te-wehiwehi si bapa segala reptilia) meninggalkan lautan dan berteduh bersama Tane di hutan.

Seterusnya, Tawhiri menyasarkan Haumia dan Rongo. Namun, Papa si Bonda Bumi sempat memberikan perlindungan dengan menyimpan kedua-duanya di dalam perut bumi.

Kini, yang tinggal cuma Tūmatauenga si dewa perang. Badai ribut dan angin beliung yang dihantar oleh Tawhiri berjaya digagahi, berkat kakinya dipasakkan pada bumi. Tatkala melihat serangannya tidak mempan, Tawhiri pun berundur dan arka peperangan antara dewa-dewa Māori pun berakhir.

Mitos bertukar angin. Kali ini, giliran Tūmatauenga pula menghukum adik-beradiknya kerana bersikap lembik dan pengecut ketika berhadapan dengan Tawhiri. Sebagai pengajaran, Tūmatauenga mengasaskan seni memburu, bercucuk tanam, memotong kayu, memasak, dan menangkap ikan. Dia juga menciptakan cangkul untuk menggali tanah dan jerat untuk menangkap burung.

Semuanya ini bertujuan menjadikan anak-anak Haumia, Rongo, Tane, dan Tangaroa sebagai santapan buat umat manusia.

Gambaran moden ketujuh-tujuh anak Papa dan Rangi

Tindakan Tūmatauenga tersebut menyemarakkan api benci sesama dewa-dewa Māori. Antaranya, Tangaroa si dewa laut mengincari Tane si dewa hutan, lalu membadai segala rumah, pokok dan kanu yang ada dengan bala banjir. Musababnya, Tane membekalkan kayu-kayan kepada Tūmatauenga untuk membina kanu, mencipta jaring, dan membuat cangkuk yang digunakan untuk menangkap ikan.

Ribut dan hujan yang badai-membadai mengakibatkan daratan kian tenggelam digenangi lautan, lalu membentuk rupa bumi seperti yang dikenali kini. Masyarakat Māori juga meyakini yang permusuhan sesama anak-anak Rangi dan Papa masih berterusan, justeru menjadi punca berlakunya bermacam-macam bencana alam.

Tambah mitos mereka lagi, Rangi dan Papa saling meratapi pemergian satu sama lain. Tangisan Rangi jatuh menimpa Papa dalam bentuk hujan. Keluh-kesah Papa yang mendambakan suaminya pula muncul dalam bentuk kabus hutan.

Usai mitos berkenaan penciptaan alam semesta dan segala fenomena berkaitan, cerita berpindah pula kepada kisah penciptaan manusia yang berlaku dalam pelbagai versi. Versi yang disepakati sesama seluruh suku Māori adalah manusia diciptakan oleh Tane.

Māori mempercayai yang manusia pertama, Hineahuone dicipta dan ditiupkan rohnya oleh Tane

Kononnya, Tane terlebih dahulu menciptakan pepohonan dan hidupan lain lalu meniupkan roh buat mereka. Setelah seketika, Tane mengambil tanah kuning lalu membentuk dan menghidupkan manusia pertama yang berjantina perempuan. Namanya disebut sebagai Hineahuone.

IKLAN: Kami melancarkan POLITIK UNTUK PEMULA pada harga diskaun di PBAKL Online. 100 pembeli terawal dapat sign penulis. Link beli: https://shp.ee/rjhp7xi

Kedua-dua mereka bersemenda, lalu melahirkan Hinetītama. Tanpa mengetahui identiti bapanya, Hinetītama bersemenda dengan Tane lalu melahirkan zuriat berikutnya. Perlahan-lahan, populasi manusia berkembang sehinggalah mencapai jumlah yang ramai seperti sekarang.

Jika diimbau kembali, ciri-ciri dalam kosmologi Māori mengandungi banyak persamaan dengan tamadun-tamadun tersohor lain, seperti Babylon (Enuma Elish) dan Yunani (Theogony). Baik ianya daripada sudut keadaan alam semesta pada awal penciptaan, peperangan antara dua generasi dewa, mahupun sifat foya-foya yang dimiliki si dewa dalam menghamili manusia.

TERJEMAHAN
Ancient Origins. (23 Februari 2021). The Mythological Maori Origin Stories of New Zealand.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.