Semua pasti sudah masak dengan legenda Robin Hood. Dari kisahnya merompak orang kaya dengan hasil rompakan diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin hinggalah semangat kebangsaannya menyokong Raja Richard the Lionheart, ini antara teras cerita yang kita sudah biasa. Dan bukan sekali dua ia diadaptasi ke layar perak dengan yang terbaru, Robin Hood (2018) yang menampilkan protagonis siri Kingsman Taron Egerton sebagai Robin Hood. Tetapi siapa sebenarnya Robin?

  1. Orang sebenar

Suka atau tidak, watak Robin Hood ini ialah satu tokoh wira fiksyen di mana kebanyakan kisahnya meliputi aspek-aspek pada eranya. Robin (Robert) Hood (Hod/Hude) ialah nama gelaran yang diberi kepada penjenayah kecil-kecilan sekurang-kurangnya dari abad ke-13 Masihi. Dan jika anda perasan, nama Robin itu sendiri sebenarnya diambil dari perkataan ‘robbing’ yang bermaksud merompak. Dan itu satu kaitan yang gagal dikaitkan penulis-penulis kontemporari dengan kisah Robin Hood sebagai penjenayah terkenal hari ini.

Dan tidak mustahil kewujudan kumpulan seperti Robin Hood seperti yang dipaparkan dalam filem Sir Ridley Scott, Robin Hood (2010) yang menampilkan Russell Crowe sebagai Robin. Walau bagaimanapun, latar belakang mereka bukanlah anggota tentera yang pernah terlibat dalam kempen Perang Salib tetapi penjenayah yang menjadi buruan pihak berkuasa dengan melanggar undang-undang hutan (undang-undang di mana hutan dijadikan kawasan memburu bagi raja dan golongan bangsawan). Mereka ini sudah pasti dikagumi golongan petani yang tertindas. Namun, individu-individu yang memberi inspirasi kepada kisah Robin Hood ini berkemungkinan tidak dipanggil Robin Hood dari lahir atau tidak menggunakan nama tersebut sepanjang hayatnya.

  1. Penyokong Richard the Lionheart

Dalam kebanyakan kisah Robin Hood, beliau digambarkan sebagai penyokong Raja Richard the Lionheart dan merupakan penentang rejim adinda baginda, Putera John. Naratif ini turut dikembangkan dalam Robin Hood (2010) di mana Robin berkhidmat sebagai pemanah pasukan baginda dan juga bertanggungjawab membawa pulang mahkota Richard I ke England. Naratif ini sengaja ditambah oleh penglipur lara era Tudor abad ke-16 sekaligus menyatukan tiga figura dalam satu cerita buat kali pertama.

Selain Richard the Lionheart, nama Robin ada juga disebut semasa era pemerintahan Raja Edward II. Nama beliau juga dikaitkan sebagai penyokong Earl Keenam dari Leicester, Simon de Montfort dan pernah terlibat dalam Perang Evesham yang mengorbankan bangsawan dari Leicester itu. Tetapi entri terawal yang mengaitkan Robin Hood dengan golongan diraja ialah kaitannya dengan Ranulf de Blondeville, Earl Keenam dari Chester dan Earl Pertama dari Lincoln. Ini dijumpai dalam puisi berima William Langland, The Vision of Piers Plowman tetapi tidak diketahui sama ada puisi tersebut digabungkan dari beberapa kisah-kisah tradisional.

  1. Wira orang miskin

Kita semua tahu jasa Robin terhadap golongan fakir miskin. Tetapi kisah sebegini hanya timbul pada abad ke-16 menerusi coretan sejarawan Scotland John Major. Dan jika diteliti puisi-puisi berima membabitkan Robin Hood terutama The Lyttle Geste of Robyn Hode, Robin bukanlah mulia seperti yang dibayangkan dalam minda kita. Ini kerana dalam puisi ini mendedahkan perlakuan kejam mereka seperti mencacatkan pihak musuh dan membunuh kanak-kanak pada satu masa.

  1. Earl dari Huntington

Ada sesetengah berpandangan Robin Hood ini hanyalah samaran bagi seorang tokoh bangsawan yang bergelar Earl dari Huntington memerangi ketidakadilan dalam masyarakat dan membantu golongan miskin. Kalau kita dengar, ini menjadikan watak ini versi sebenar superhero biasa seperti Batman/Bruce Wayne dan Spiderman/Peter Parker. Tetapi sejarawan David Baldwin menembak jatuh teori ini sebagai fiksyen semata-mata. Ini kerana Robin Hood dalam kebanyakan puisi berima datang dari latar belakang orang biasa dan tidak mempunyai darah bangsawan.

Jadi idea ini datang dari mana sebenarnya? Idea ini timbul dari pemikiran John Leland yang menggambarkan Robin Hood sebagai penjenayah yang mempunyai latar belakang bangsawan. Dan pada tahun 1569, sejarawan Richard Grafton mendakwa menemui risalah yang menyatakan secara terperinci latar belakang bangsawan Robin. Idea ini dipopularkan oleh Anthony Munday menerusi dua dramanya, The Downfall of Robert, Earl of Huntington, dan The Death of Robert, Earl of Huntington pada tahun 1598.

Martin Parker turut menyatakan dalam bukunya A True Tale of Robin Hood bahawa Robert, Earl dari Huntington hidup dan mati pada 1198 Masihi. Masalahnya, Earl dari Huntingdon (interpretasi berkemungkinan untuk Huntington) ialah David dari Scotland yang meninggal dunia pada tahun 1219. Gelaran tersebut diwarisi oleh anaknya, John pada tahun 1237. Gelaran tersebut kosong selama satu abad sebelum akhirnya dikurniakan kepada William de Clinton.

  1. Maid Marian

Kita sudah biasa dengan perihal Maid Marian yang dijadikan sebagai fokus asmara Robin. Tetapi kebanyakan puisi berima membabitkan Robin Hood langsung tidak menyebut mereka mempunyai keluarga atau lebih tepat isteri. Jika ada sekalipun rujukan tentang wanita, ia merujuk soal agama Robin terutama berkenaan Virgin Mary. Bagaimanapun pada abad ke-16 dan selepas berlakunya era Reformasi Protestan, elemen wanita turut ditambah dalam kisah beliau dengan Maid Marian sebagai tumpuan. Justeru, tidak mengejutkan bagaimana kisah perkahwinan mereka berdua turut ditambah seperti dipaparkan dalam Robin Hood: Prince of Thieves (1991) yang menampilkan Kevin Costner sebagai Robin dan Mary Elizabeth Mastrantonio sebagai Marian.

  1. Kirklees Priory

Menurut legenda, Robin datang ke Kirklees Priory untuk mendapatkan rawatan perubatan tetapi dibiarkan mengalami pendarahan oleh pendeta yang merawatnya. Tahu bahawa beliau akan mati, Robin menggunakan saki-baki kekuatannya dengan memanah sebuah pokok sebagai tempat di mana beliau dikebumikan. Tetapi berdasarkan catatan sejarawan Tudor Richard Grafton, pengebumian Robin sebenarnya diuruskan oleh pendeta-pendeta dari Kirklees di mana Robin dikebumikan di tepi jalan. Anehnya, kisah kematian Robin ini hanya disentuh selepas 1540 dan puisi-puisi berima sebelumnya langsung tidak menyebut tentang Kirklees Priory.

Kirklees Priory dimiliki oleh keluarga Armitage selepas biara berkenaan tidak lagi wujud pada abad ke-16. Pada abad ke-18, Sir Samuel Armitage melancarkan proses penggalian kubur sehingga kedalaman tiga kaki. Proses tersebut dilancarkan bagi mengelak kubur yang dikatakan mengandungi mayatnya dirompak oleh perompak kubur yang berleluasa ketika itu. Tetapi selepas proses penggalian dilakukan, Armitage menyimpulkan kepingan batu yang menutup kubur kononnya Robin Hood itu dibawa dari tempat lain dan berdasarkan tradisi lisan tempatan, ia dikaitkan dengan Robin Hood. Kepingan tersebut menjadi buruan orang ramai kerana dikatakan dapat menyembuhkan sakit gigi. Untuk mengelak ia daripada dirosakkan, keluarga Armitage memasang dinding batu kecil dan ditambah dengan pagar besi bagi menutup kawasan itu.

  1. Merry Men of Nottingham

Kita sudah biasa dengan rakan-rakan Robin iaitu Little John, Will Scarlett, Alan Dale dan Friar Tuck. Tapi jika dibandingkan ketua mereka itu berdasarkan tokoh fiksyen, berlainan pula dengan mereka. Little John atau John Little banyak dirujuk dalam dokumen-dokumen kontemporari. Walaupun John juga sukar dijejak seperti Robin tetapi wujud bukti dia sebenarnya wujud. Satu kubur di kawasan laman Gereja Hathersage dikatakan miliknya berdasarkan singkatan nama L dan I/J di Derbyshire. Buktinya, dua kotej iaitu satu di Little Haggas Croft, Loxley (Yorkshire) dan satu lagi di Hathersage (sebuah perkampungan di Peak District, Derbyshire). Dua rumah ini dikatakan rumah di mana Robin dilahirkan dan tempat Little John menghabiskan sisa-sisa kehidupannya. Tetapi kotej Robin itu musnah pada tahun 1637 sementara kotej John pula dirobohkan baru-baru ini.

SUMBER

Baldwin, David. (2018). HistoryExtra. 7 myths about Robin Hood. https://historyextra.production.wcp.imdserve.com/period/medieval/robin-hood-real-myths-facts/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.