Setiap tamadun kuno mesti mempunyai sistem kepercayaan mereka tersendiri melalui mitologi yang rakyat tamadun sampaikan kepada generasi kemudian. Mitologi adalah perlu bagi seseorang mengenali asal-usul tamadun dan nenek moyang mereka, selain menguatkan kepercayaan agama asal mereka.
Tamadun Aztec pula mempunyai mitologi yang menarik. Tamadun ini bukan sekadar mempunyai mitologi berkenaan kelahiran tamadun, mereka juga mempunyai mitologi hari kiamat di mana dunia melalui fasa yang dikenali sebagai ‘Lima Matahari’.
Dunia yang kita duduki sekarang adalah berada fasa Matahari Kelima, setelah dunia melalui keempat-empat fasa ‘matahari’ yang telah musnah. Bagi warga Aztec, fasa Matahari Kelima juga bakal berakhir jika mengabaikan tugas memberi korban kepada dewa matahari.
FASA PENCIPTAAN ALAM SEMESTA
Untuk memahami mitos hari kiamat Aztec, kita harus mengenali dulu mitos penciptaan dunia Aztec. Kelahiran dunia bermula dari wujudnya pasangan dewa-dewi yang dipanggil sebagai Ometecuhtl. Pasangan ini terdiri dari dewa bernama Ometecuhtli dan dewi bernama Omecihuatl. Pasangan ini juga mempunyai nama lain iaitu Tonacatecuhtli (dewa) dan Tonacacihuatl (dewi).
Kaum Aztec percaya bahawa pasangan Ometecuhtl menetap di Omeyocan (bermaksud Dua Syurga), syurga ke-13 tertinggi. Tetapi dalam dunia Aztec tidak ada kuil khas untuk menyembah pasangan dewa-dewi ini. Dipercayai bahawa kaum Aztec tidak pernah berhubung dengan Ometecuhtl kerana jarak yang terlalu jauh untuk berhubung. Walau bagaimanapun, kaum ini percaya bahawa Ometecuhtl berada di mana-mana.
Dari Ometecuhtl, pasangan ini lahirkan empat lagi dewa-dewi: Huizilopochtli, Quetzalcoatl, Tezcatlipoca, dan Xipe Totec. Keempat-empat dewa-dewi ini melambangkan 4 arah utama: utara, selatan, timur, dan barat.
600 tahun kemudian berulah keempat-empat dewa-dewi ini mula mencipta alam semesta. Mereka mencipta masa kosmik, dunia, dan lahirkan beberapa dewa-dewi baru.
Dalam salah satu sumber utama Aztec, empat dewa-dewi ini mencipta seekor raksasa bernama Cipactli, raksasa gabungan buaya dan ikan. Sepanjang dewa-dewi ini sibuk mencipta, raksasa ini sentiasa mengganggu kerja mereka. Cipactli tinggal dalam air namun seleranya sangat besar. Pernah diceritakan bahawa salah satu dewa jatuh ke dalam air tempat raksasa ini tinggal, kemudian terus menjadi santapannya.
Tidak tahan dengan gangguan Cipactli, empat dewa-dewi mengambil keputusan hapuskannya. Walaupun Cipactli melawan dengan kuat, akhirnya dewa-dewi ini berjaya kalahkan dan hapuskan ciptaan mereka yang ‘gagal’ ini.
Kemudian, dewa-dewi Aztec menggunakan bangkai Cipactli sebagai bahan mencipta alam semesta. Untuk kepalanya, diciptakan 13 syurga. Manakala badannya pula dijadikan sebagai Bumi. Bahagian kaki Cipactli sehingga ke ekor diciptakan 9 neraka.
Proses penciptaan alam semesta ini sama dengan mitologi orang Sumer tentang dewi laut bernama Tiamat dibunuh oleh dewa kilat bernama Marduk, kemudian Marduk menciptakan alam semesta menggunakan tubuh Tiamat.
Mitologi penciptaan alam semesta Aztec tidak sekadar digunapakai sebagai cerita untuk menanam kepercayaan mereka, mitologi ini juga mereka aplikasikan dalam seni bina Aztec. Dikatakan kuil Mayor yang terletak di kota kuno Tenochtitlan adalah pusat alam semesta. Mereka letakkan kepercayaan bahawa bumi (kuil Mayor) berada di tengah-tengah dua alam iaitu syurga dan neraka. Dalam peringkat bumi, alam semesta tersebar dalam 4 arah dari kuil Mayor.
Namun, penciptaan alam semesta tidak selesai jika hanya gunakan bangkai raksasa laut. Penciptaan ini memerlukan satu lagi sumber, iaitu matahari. Namun menurut kaum Aztec, matahari adalah entiti yang tidak mudah untuk menciptakannya. Maka, pengorbanan diperlukan bagi melaksanakan penciptaan matahari ini.
Dari sini dewa Tezcatlipoca iaitu dewa magik dan waktu malam mengorbankan dirinya masuk ke dalam api, kemudian lahirnya Matahari Pertama, juga dikenali dengan nama ‘Empat Jaguar’. Tapi atas sebab tertentu, matahari ini menjadi entiti tidak lengkap kerana hanya separuh siap dari tubuh Tezcatlipoca
FASA MATAHARI PERTAMA
Tempoh masa fasa Matahari Pertama ini ialah 676 tahun dan berakhir dengan pergaduhan antara dewa Tezcatlipoca dan dewa Quetzalcoatl. Akibat dari pergaduhan ini, matahari terkeluar dari langit, membuatkan Tezcatlipoca mungkar. Kemudian dewa ini menghantar para jaguar untuk memakan kaum gergasi.
Setelah kaum gergasi ini pupus, dewa Quetzalcoatl mengorbankan dirinya dengan terbang ke langit dan bertukar menjadi Matahari Kedua, juga dikenali dengan nama ‘Empat Angin’. Dewa Quetzalcoatl adalah dewa ular bersayap yang popular dalam keagamaan kaum Aztec. Dewa ini juga disembah oleh kaum Mesoamerika lain seperti kaum Maya.
Dewa Quetzalcoatl adalah dewa angin, disembah untuk keberkatan seni dan ilmu pengetahuan. Kaum Aztec percaya bahawa dewa ini menyayangi manusia berbeza dengan dewa Tezcatlipoca.
FASA MATAHARI KEDUA
Fasa Matahari Kedua ini adalah fasa yang aman tidak seperti fasa Matahari Pertama. Namun, lama-kelamaan manusia menjadi korup. Dewa Tezcatlipoca mengambil kesempatan untuk menukarkan kaum manusia ini menjadi monyet bagi membalas dendam terhadap Quetzalcoatl. Quetzalcoatl mungkar dan menghantar ribut taufan bagi memusnahkan monyet yang disumpah itu.
Terdapat versi berbeza akan pengakhiran fasa Matahari Kedua ini. Tezcatlipoca mahu dirinya menjadi matahari lagi. Maka, dia menukarkan dirinya menjadi jaguar dan menghalau Quetzalcoatl menurunkan ‘takhta’ sebagai matahari. Quetzalcoatl membalas dengan menghantar ribut taufan dan banjir memusnahkan dunia. Sebilangan manusia ada yang terselamat dari bencana tersebut dengan memanjat pokok dan bertukar menjadi monyet.
FASA MATAHARI KETIGA
Dalam budaya kaum Mesoamerika, Tlaloc ialah dewa yang terawal disembah oleh kaum-kaum Mesoamerika kuno sebelum Maya, seperti kaum Olmec. Kaum Maya memanggil Tlaloc dengan nama Chaac dan kaum Zapotec pula memanggilnya dengan nama Cocijo.
Berbalik kepada fasa Matahari Ketiga, fasa ini dipanggil dengan nama ‘Empat Hujan’. Fasa ini sentiasa berlakunya hujan dan manusia yang lahir pada fasa ini menjadikan biji-bijian yang tumbuh dari tanah sebagai makanan. Tempoh fasa ini lebih pendek dari 2 fasa lepas iaitu 364 tahun.
Terdapat dua versi bagaimana kiamat berlaku dalam fasa Matahari Ketiga ini. Fasa pertama ialah perbuatan Quetzalcoatl memarakkan api dan memenuhi langit dengan abu, kemudian kebakaran berlaku sehingga memusnahkan penempatan manusia. Manusia yang terselamat dari bencana api ini kemudian berubah menjadi ayam belanda, rama-rama, atau anjing.
Versi kedua pula ialah perbuatan dewa Tecatlipoca menculik isteri Tlaloc bernama Xochiquetzal. Tlaloc sedih akan kehilangan isterinya dan dia tidak akan turunkan hujan lagi. Akibatnya dunia dilanda kebuluran. Walaupun manusia telah berdoa dan berikan korban kepada Tlaloc, dewa ini tetap berkeras tidak mahu turunkan hujan, bahkan menghantar api menjilat seluruh dunia. Kemudian berakhirnya fasa ini membawa kepada fasa Matahari Keempat.
FASA MATAHARI KEEMPAT
Chalchiuhtlicue disembah sebagai dewi air yang mengalir di permukaan Bumi seperti sungai, tasik, dan laut. Dewi ini juga disembah bagi memohon perlindungan dalam kelahiran anak. Dalam fasa ini, dunia dipenuhi oleh air dan manusia yang lahir di fasa ini mula bercucuk tanam dan memakan jagung. Tempoh fasa ini ialah 676 tahun.
Namun, fasa Matahari Keempat ini berakhir dengan kehadiran banjir besar. Pada pengakhiran fasa ini, Tezcatlipoca dan Quetzalcoatl cemburu dengan kejayaan dewi air ini dan mula menggulingkannya. Akibat dari tindakan dua dewa ini, langit terbuka luas dan hujan menurun tanpa henti sehingga banjir besar berlaku. Manusia yang terselamat dari banjir besar ini bertukar menjadi ikan.
FASA MATAHARI KELIMA
Dikatakan selepas fasa Matahari Keempat, para dewi-dewi Aztec bertemu di kota Teotihuacan bagi melantik siapa antara mereka menjadi matahari seterusnya. Anehnya, tiada antara mereka sanggup korbankan diri namun dewa Tecuciztecatl bertekad untuk korbankan dirinya. Tetapi setibanya ke lokasi korban, dewa ini ragu-ragu kemudian menarik balik kata-katanya.
Saat Tecuciztecatl berundur, dewa lagi satu bernama Nanahuatzin terus terjun ke api kemudian menjadi matahari baru. Tecuciztecatl yang malu akan dirinya yang penakut turut terjunkan diri dan lahirnya matahari kedua.
Tetapi kedua-dua matahari ini menyusahkan bagi dewa-dewi Aztec ini kerana kepanasannya akan menyeksakan dunia. Jadi mereka selesaikan masalah ini dengan menghantar arnah ke muka Tecuciztecatl untuk malapkan cahaya mataharinya, kemudian menukarkannya menjadi bulan. Dari sini kaum Aztec percaya mengapa permukaan Bulan di langit mempunyai rupa arnab.
Satu lagi masalah untuk dewa-dewi ini hadapi ialah Nanahuatzin ini sebenarnya lemah sehingga dia dalam bentuk matahari tidak mampu bergerak. Mereka selesaikannya dengan berikan darah untuk memastikan Nanahuatzin bergerak. Dalam versi lain, matahari ini digerakkan oleh dewa Ehecatl iaitu dewa angin yang menuip matahari.
Dengan ini lahirnya fasa Matahari Kelima atau ‘Empat Gerakan’. Inilah fasa yang kita iaitu manusia kini menetap mengikut kepercayaan kaum Aztec. Mereka percaya bahawa fasa ini akan berakhir dengan gempa bumi yang besar dan kita bakal ‘dimakan’ oleh raksasa langit.
Tambahan pula, matahari pada fasa ini akan hilang jika tidak dihidangkan darah sebagai korban, kemudian bermulanya hari kiamat. Dari sinilah kaum Aztec percaya bahawa mereka mesti mencari korban di kampung-kampung luar empayar bagi meneruskan budaya sembahan berdarah mereka.
Melihat dari mitos hari kiamat ini, kita dapat memahami secara mendalam bahawa kaum Aztec adalah kaum yang begitu struggle untuk meneruskan hidup sama ada secara individu atau masyarakat, menghadapi sebarang bahaya di sekeliling mereka. Setelah mereka berjaya membina tamadun sendiri, barulah mereka ceritakan kemandirian hidup yang ekstrem kepada generasi muda melalui mitos sebegini.
RUJUKAN:
Mingren, Wu. (3 July 2021). Sacrifice and Destruction: The Apocalyptic Aztec Creation Myths. Ancient Origins.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih