Bagi peminat filem-filem bertemakan Perang Dunia Kedua (WWII), pasti ada filem kegemaran masing-masing. Bagi penggemar filem klasik, pasti akan menyelitkan filem The Great Escape dan Bridge of River Kwai. Dan bagi generasi seperti saya, siapa tak boleh lupa Saving Private Ryan, Pearl Harbor, Hacksaw Ridge, Unbroken dan Dunkirk. Bagi peminat The Great Escape, pasti takkan lupa telatah banduan perang (POW) diketuai Hilts (Steve McQueen) dan Roger Bartlett (Richard Attenborough) yang mahu melarikan diri dari kem tahanan Nazi Jerman. Tetapi tahukah anda, ada sesetengah jalur kisah yang dipersembahkan sebenarnya palsu dan hanya diwujudkan untuk kesan dramatik?

1. JURUTERBANG BERSEKUTU MEMPUNYAI TANGGUNGJAWAB MELARIKAN DIRI DARI TAHANAN

Salah satu mitos yang menyelubungi The Great Escape ialah POW mempunyai kewajipan untuk melepaskan diri dari kem tahanan Nazi. Mitos yang dipersembahkan dalam filem tersebut memberi kesan kuat sehinggakan ada sesetengah bekas POW menegaskan mereka mempunyai kewajipan untuk melepaskan diri. Namun hakikatnya, perkara tersebut tidak berlaku dan tiada arahan sebegitu dikeluarkan.

Ini kerana apabila pesawat mereka ditembak jatuh, juruterbang dan krew pihak Bersekutu memang dijangka untuk mengelak ditahan pihak musuh. Tetapi apabila mereka berada dalam tahanan, tiada sebarang jangkaan untuk mereka melepaskan diri. Sebaliknya bila mereka dalam tahanan, mereka perlu menunjukkan kelakuan baik, bukannya menunjukkan keberanian yang bersifat semberono. Dan ini disokong dalam satu peraturan tentera Britain yang sama sekali tidak menyatakan mereka perlu melepaskan diri. Perkara sama turut tidak dinyatakan dalam arahan kepada mana-mana tentera Amerika Syarikat yang ditahan di kem-kem tahanan semasa WWII. Askar Amerika hanya dibenarkan melarikan diri selepas konflik Perang Korea tercetus.

Hakikatnya, dua pertiga POW menunjukkan sedikit minat atau tidak berminat langsung dengan cubaan melepaskan diri ini dan melihat ia dengan rasa curiga, tidak seperti digambarkan dalam filem-filem WWII yang kita tonton selama ini. Mereka sebenarnya merasa lega kerana tidak perlu lagi bertempur, sudah melakukan apa yang terdaya untuk negara mereka dan enggan mempertaruhkan nyawa mereka lagi. Bagi yang mahu melarikan diri, halangan mereka ini pula ialah halangan dari segi bahasa dan kemampuan fizikal. Masa yang diperuntukkan untuk melarikan diri boleh saja digunakan mereka untuk belajar atau memperbaiki diri mereka.

Dan ini kadangkala menimbulkan konflik antara golongan yang mahu melepaskan diri dengan golongan yang mahu kekal. Alasan bagi golongan yang mahu kekal ialah mereka tidak mahu dikenakan hukuman keras dan kejam oleh askar Nazi Jerman sebagai tindak balas pada tindakan mereka yang mahu melarikan diri. Dan pada satu ketika, dalam satu kem, satu kumpulan melempar satu tin melepasi pagar kawat berduri mengandungi nota memberitahu cubaan mereka menggali terowong di bawah kem.

2. IA BERLAKU SEMASA CUACA BAIK

Dalam filem The Great Escape, ia dilakukan dalam keadaan cuaca yang baik atau lebih tepat pada musim bunga. Pemilihan musim tersebut dibuat untuk menonjolkan stok filem berwarna. Hakikatnya, filem yang diinspirasikan kisah cubaan melarikan diri sekumpulan POW dari Kem Stalag Luft III, Poland ini sebenarnya tidak menceritakan keadaan yang dialami mereka. Ini kerana apabila POW Kem Stalag Luft III ini melarikan diri, suhu pada ketika itu amat sejuk dan permukaan bumi diliputi salji yang tebal. Dan menurut satu banduan, musim salji pada ketika itu merupakan musim paling sejuk dalam tempoh 30 tahun di kawasan tersebut. Ini menyebabkan sebarang cubaan untuk melarikan diri lebih sukar.

Dan jika itu saja tidak mencukupi, pakaian mereka juga tidak bersesuaian dengan musim ketika itu. Sesetengah POW hanya memakai seluar nipis yang selalu dikeluarkan untuk kegunaan di padang pasir. Dan but yang dipakai pula akan dipenuhi dengan air tatkala mereka melalui kawasan hutan dan anak sungai. Ramai mengalami reput fros dan terpaksa berlindung di tempat-tempat yang mudah terdedah seperti bangsal ladang. Tindakan mereka ini sebenarnya membantu penawan-penawan mereka mengesan, menahan dan membawa POW ini kembali semula ke kem tahanan.

3. MEMBUKA TEATER PEPERANGAN BARU DALAM JERMAN

Salah satu objektif operasi melepaskan diri The Great Escape ialah membantu usaha peperangan Bersekutu dengan memaksa Nazi Jerman menggunakan sumber manusia dan masa untuk memburu POW ini. Malangnya, teori sebegini boleh dianggap angan-angan Mat Jenin. Apabila berlaku usaha-usaha sebegini, rejim Nazi Jerman akan menggunakan sumber yang ada dalam negeri untuk memburu mereka. Maka, tiada keperluan untuk mereka memanggil mana-mana askar yang bertugas di perbatasan untuk tugas-tugas sebegini.

Malah, operasi sebegini sebenarnya lebih banyak membantu rejim Nazi Jerman kerana semasa memburu POW ini, kebanyakan mereka ditahan bersama ribuan lagi tahanan penjara, orang awam dan pekerja asing. Dan selepas insiden Stalag Luft III, Adolf Hitler mengarahkan kawalan keselamatan diketatkan sekaligus menyukarkan usaha POW ini melarikan diri dari kem tahanan. Justeru, tanggapan The Great Escape sebenarnya membuka ruang kepada usaha perang pihak Bersekutu merupakan satu tanggapan mengarut.

4. SATU-SATUNYA GREAT ESCAPE

Jika ada mendakwa plot The Great Escape satu-satunya usaha melepaskan diri dari kem tahanan Nazi Jerman, anda salah. Hakikatnya, terdapat banyak cubaan melarikan diri yang dilakukan oleh banduan-banduan pihak Bersekutu. Bagi pihak British pula, mereka melancarkan 11 cubaan melepaskan diri sebelum Mac 1944. Ini belum dicampur lagi dengan kelicikan Jeneral Henri Giraud, seorang jeneral tentera Perancis yang berjaya melepaskan diri dari Istana Konigstein, Dresden. Istana tersebut merupakan kem tahanan Nazi Jerman bagi POW yang berprofil tinggi dalam kalangan pihak Bersekutu.

Tetapi tidak semua cubaan berjaya seperti apa yang dilakukan Giraud. Kebanyakan POW berjaya ditangkap semula dalam masa singkat dan dikembalikan ke kem tahanan mereka. Contohnya pada Mac 1943, 43 juruterbang pihak Bersekutu melarikan diri melalui terowong di Szubin, Poland. 41 tahanan berjaya ditangkap semula sementara seorang lagi POW mati lemas semasa cuba melarikan diri. Rejim Nazi Jerman memperlekeh usaha mereka ini dan penambahan kawalan keselamatan menyukarkan lagi sebarang cubaan melarikan diri. Malah di Stalag Luft III, seorang tentera Nazi menasihatkan banduan-banduan yang terlibat untuk keluar dalam kumpulan dua atau tiga orang untuk meningkat peluang kembali semula ke negara asal mereka!

5. ADEGAN KEJAR-MENGEJAR MENGGUNAKAN MOTOSIKAL

Dalam The Great Escape, Hilts dan banduan-banduan lain melarikan diri dengan pelbagai cara seperti motosikal dan basikal. Hilts misalnya cuba menunggang motosikal melepasi pagar sempadan sambil dikejar ramai tentera Nazi Jerman. Ia memang satu adegan yang baik dan menaikkan lagi karisma McQueen sebagai seorang pelakon berkarakter. Tetapi hakikatnya ia tidak berlaku pada kumpulan banduan Stalag Luft III. Semasa mereka melarikan diri, mereka tiada akses pada kenderaan yang ditunjukkan dalam filem. Ini contoh lesen seni yang diambil John Sturges untuk menambah kesan dramatik dalam filem tersebut. Adegan tersebut bukan saja tidak sesuai malah dikecam oleh ramai bekas banduan perang semasa menonton filem tersebut.

Satu lagi mitos berkenaan Hilts ialah kerakyatan beliau sendiri. Maksudnya di sini ialah pembabitan warga Amerika dalam usaha kumpulan Stalag Luft III. Walaupun mereka memainkan peranan memantau tentera-tentera Nazi yang meronda semasa pembinaan terowong, komander kem kemudian memindahkan mereka ke lokasi lain beberapa bulan sebelum usaha melepaskan diri bermula. Memandangkan The Great Escape merupakan filem produksi Britain-Amerika, pembabitan warga Amerika lebih diketengahkan untuk menunjukkan karisma mereka semasa menjalankan operasi berani ini. Realitinya, mereka hanya terbabit pada peringkat awal saja.

SUMBER

  1. Coohill, Joseph. (2016). Professor Buzzkill. The Great Escape. http://professorbuzzkill.com/the-great-escape/
  2. Walters, Guy. (2018). History Extra. 5 myths of the Second World War’s Great Escape. https://www.historyextra.com/period/second-world-war/five-myths-of-the-ww2-great-escape/

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.